Pages

Saturday, 31 December 2011

Mari berfikir sejenak bersama anak-anak... (2)


Merenung kejadian alam

Andaikan, kalaulah matahari secara fitrahnya terbit di sebelah timur dan terbenam disebelah barat, tetapi engkar dengan arahan peraturan, maka akibatnya berlakulah kucar-kacir alam dan galaksi ini.

Kalaulah burung-burung secara tabi'enya diperintah terbang di udara, tetapi engkar dengan arahan, maka penuhlah burung-burung ini berjalan di atas muka bumi dan mengganggu makhluk lain termasuk manusia.

Kalaulah air-air di dalam alur sungai yang sepatutnya mengalir ke muara atau kuala, tetapi tetap degil untuk mengalir ke hulu, maka musibahnya akan berlaku banjir besarlah seluruh daratan. (dengan izin Allah Taala).

Begitulah dengan kejadian alam yang lain. Semua alam penciptaan Allah telah disusun peraturannya dan masing-masing akur dengan perintah Allah. Paling hampir untuk diajak kita berfikir ialah tentang kejadian dan sistem kehidupan manusia.


Tabi'e kehidupan

Peraturan adalah perlu di dalam sistem kehidupan. Semua kita berkehendakkan kepada peraturan atau undang-undang. Ia perlu untuk mengatur kehidupan kita supaya kita lebih berdisiplin atau menghormati di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain, memastikan kita mematuhi kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan yang tertentu.

Pernahkah kita bayangkan sekiranya disekeliling kita ini tidak ada undang-undang dan peraturan hidup. Pastinya keadaan yang ada akan mengalami kucar-kacir, kelam-kabut, huru-hara, punah ranah dan sebagainya. Manusia akan berbalah sesama-sendiri, bermusuhan, dan berbunuhan di antara satu sama lain. Siapa yang kuat dia akan terus berkuasa manakala yang lemah pasti tertindas dan menjadi hamba.

Bi'ah atau suasana

Anak-anak perlu dibiasakan dengan peraturan atau 'undang-undang' kecil di dalam rumah. Peraturan ini adalah untuk mendidik bukannya untuk mendera. Membiasakan mereka dengan peraturan akan membolehkan mereka sentiasa bersikap peka atau sensitif dan mengambil serius tentang banyak perkara dan berfikir tentang banyak perkara apabila hendak bertindak dan melakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya ibu-bapa berupaya menyediakan bi'ah (suasana) yang soleh. Peraturan yang saya maksudkan ialah peraturan yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah. Peraturan yang menepati manhaj Islam atau syariat.

Sekiranya dari kecil lagi mereka tidak dibiasakan dengan peraturan maka lama-kelamaan mereka akan membesar di dalam keadaan tidak terdidik. Mereka menjadi insan yang susah untuk menerima teguran dan sebagainya. Mereka akan bersikap memberontak dan kurang adab di dalam pergaulan sosial. Akhirnya akan merosakkan peribadinya sendiri dan memberi kesan kerosakan yang besar di dalam membentuk masyarakat yang bertamadun.

Melatih dan mendidik anak-anak sejak dari kecil adalah satu tindakan yang wajar. Ibu-bapa adalah guru pertama mendidik anak-anak. Apabila anak-anak dihantar ke sekolah, ibu-bapa meletakkan peratusan yang tinggi kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka. Sehinggakan ada dikalangan ibu-bapa langsung tidak ambil hirau lagi kefahaman dan kejelasan ilmu yang mereka terima di sekolah. Sepatutnya ibu-bapa kena memastikan kefahaman anak-anak selari dengan kefahaman ibu bapa. Dan kefahaman ibu-bapa pula mestilah sejajar sepertimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul (Al Quran).

Sebab itu di dalam mendidik anak-anak, maka ibu-bapalah pendidik dan perlu tahu banyak perkara tentang agama bukannya mengharapkan orang lain untuk mendidik anak sendiri. Ibu-bapalah perlu mengasihi agama sendiri sebelum menyuruh anak-anak mengasihinya pula. Tidaklah menjadi seperti ibu ketam hendak mengajar anak-anaknya berjalan lurus sedang siibu berjalan mengiring.

Mengajak anak-anak merenung kepada setiap kejadian alam, ini mudah-mudahan mereka faham bahawa perlunya kehidupan ini akan peraturan yang akan menyusun dan mengatur supaya tidak berlaku kucar-kacir yang merosakkan sistem kehidupan.

Peraturan hidup

Perhatikanlah, semuanya berkehendak kepada sistem dan peraturan. Begitu juga dengan perjalanan hidup kita di atas muka bumi ini. Sejak dari awal penciptaan kita lagi telah ada peraturan untuk mendisiplinkan dan mendidik kita supaya menjadi hamba Allah yang taat dan patuh. Peraturan hidup ini bertujuan supaya mematuhi arahan Allah Taala dan mengiyakan bahawa Allah Taala adalah maha pencipta yang agong. Ia menjadikan kita supaya menyembahnya dan memohon harap hanya kepada tuhan yang selayaknya memberi sepenuh harapan.

Panduan hidup kita yang sah hanyalah Al Quran Karim dan sunnah. Segala isi di dalamnya telah mempunyai jawapan dan lengkap dengan segala maklumat untuk seluruh perjalanan hidup kita.

Keingkaran

Disebabkan keingkaran kitalah, sistem kehidupan kita di atas muka bumi ini musnah dan hancur. Siapa lagi pemusnahnya kalau tidak kita, yang selalu menjadi pendusta dan kaki 'temberang' kepada maha pencipta kita sendiri. Ibarat kata, seorang hamba berlagak sebagai tuan, sedangkan tuannya ada di depan menyaksikan kelakuan hambanya sendiri.

Nescaya, Allah akan menghumban kita ke dalam nerakanya yang amat pedih itu. Allah dengan tanpa belas lagi akan menurunkan malapetaka yang amat dahsyat dan memusnahkan sistem kehidupan dunia dan kehidupan manusia khususnya. Apa yang hendak kita hairankan... kerana dialah yang maha berkuasa yang memerintah seluruh isi alam ini, bukankah adil Tuhan itu?...

Allah matlamat kami,
Ar-rasul pemimpin kami,
Al Quran perlembagaan kami,
Al Jihad pada jalan Allah adalah jalan kami,
dan mati di jalan Allah adalah cita-cita unggul kami.

Allahu a'lam, Wassalam...

abuzorief @ sheffield
31/12/2011, sabtu
selamat tahun baru 2012

Tuesday, 27 December 2011

Mari berfikir sejenak bersama anak-anak... (1)


Sambil saya menunggu bersama anak-anak, saya cuba melontarkan beberapa soalan kepada mereka untuk mengajak mereka berfikir sejenak tentang betapa besar dan berkuasanya Allah Taala yang telah menciptakan kita sebagai manusia. Bagi anak-anak, pasti mereka akan merasa pelik untuk berfikir tentang perkara-perkara yang mereka sendiri tidak nampak. Jadinya, tujuan mengajak mereka berfikir itu mudahan-mudahan dapat membawa imaginasi mereka untuk menerima perkara-perkara ghaib terutamanya mengenai Allah Taala sebagai Rabb dan Illah dan yang empunya sifat nama (Asma wassifat) yang cukup sempurna.

Jiwa suci murni...

Ibu-bapa mesti memastikan kotak fikiran anak-anak sentiasa terisi dengan kefahaman Akidah yang jelas yang tidak menyeleweng dari pengertian, makna, tuntutan dan peranan. Akal dan jiwa mereka yang masih suci bersih itu sepatutnya diisi dengan kefahaman yang hak dan bukannya yang batil atau songsang. Bahkan, memahamkan mereka biarlah secara hikmah dan biasakan mereka berfikir secara sedar dan bukannya memaksa mereka menerima secara paksa.

Cerita khayalan, Superman, Hantu...

Sejak di awal usia anak-anak lagi, mereka telah terdedah dengan cerita-cerita khayalan seperti Superman, BenTen, Power Rangers, Cinderella, hantu, halimunan dan lain-lain. Bahkan ibu-bapa menyogok pula anak-anak dengan costume atau pakaian, alatan permainan, bahan-bahan cerita dan sebagainya. Cerita-cerita hantu, mitos atau khayalan yang terlalu kerap ditonton di TV dan computer akan sedikit sebanyak mempengaruhi dan meninggalkan kesan negatif di dalam kotak fikiran mereka dan seterusnya terbawa-bawa melalui tindakan seharian.

Akibatnya, mereka akan menjadi pasif dengan cerita-cerita yang menakutkan atau mereka juga akan bersikap aggresif dan hyperactive, kononnya mereka juga boleh menjadi Superhero seperti idola kegemaran atau paling malang sekali bila mana mereka sendiri hilang rasa keyakinan pada diri sendiri bahkan dikhuatiri mereka akan berkata bahawa akan ada superhero idaman yang akan datang menyelamatkan mereka dikala memerlukan.

Walaupun objek-objek itu tidak pernah mereka lihat dengan mata kasar tetapi kepercayaan dan keyakinan mereka begitu kuat, seolah-olahnya ia ujud di alam realiti dan bayangan objek itu terbayang-bayang diwaktu keseorangan, malah terbawa-bawa apabila tiba waktu malam atau termimpi-mimpi dikala tidur.

Begitulah kuatnya kesan yang mereka perolehi. Secara tidak langsung kita sebagai ibu-bapa sepatutnya merasa bersalah kerana telah mengasak minda mereka supaya menerima khayalan itu sebagai realiti yang sebenarnya. Fikiran anak-anak teransang di dalam khayalan dunia yang palsu.

Jiwa suci...

Alangkah baiknya di awal usia itu diceritakan kepada mereka mengenai keesaan Allah Taala dengan segala sifat nama (Asma wa sifat) yang baik dan indah bagi Allah. Menceritakan kepada mereka tentang Rasul-rasul, Kitab-kitab, para Malaikat, Qada dan Qadar serta hari akhirat. Bukankah semua cerita-cerita ini adalah realiti yang semestinya mereka ketahui?. Tujuannya adalah untuk menghadirkan ke dalam hati mereka tentang benarnya keujudan Allah supaya mereka merasa aman, tenang dan merasa terpelihara di dalam keagungan dan kasih sayangnya serta kebaikan dan kelebihan sifat-sifat Allah Taala.

Justeru, mendidik mereka mengenai Akidah ini perlu berterusan sehingga ke usia remaja. Akal dan peribadi mereka kalau selalu 'dicanai' dan 'dipahat' dengan kefahaman Akidah yang jelas, insyaallah mereka mampu menjadi peribadi yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Ibu-bapa tidak perlu lagi risau tentang cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang akan mereka tempuhi di dalam kehidupan ini.

Akidah yang tertanam di dalam diri mereka, mampu menjadi perisai dan pelindung yang akan menyelamatkan mereka dari sebarang ujian dan halangan di atas muka bumi ini. Moga-moga kelalaian dan kealpaan gerak-laku mereka itu pantas disedarkan dan tidak tersasar jauh dari jalan yang hak dan mereka akan sentiasa sedar bahawa Allah itu melihat dan mengawasi setiap tingkah laku dan gerak-geri harian.

bersambung...

Allahu a'lam,

abuzorief @ sheffield
27/12/2011

Sunday, 18 December 2011

Bina harapan...


Kalau kenakalan anak-anak sejak dari kecil lagi diberikan perhatian dengan ditegur, dinasihat, dimarahi atau terakhirnya diberikan sedikit rotan sebagai peringatan, maka si anak-anak tadi pasti akan beringat selalu, serik dan tidak mahu buat lagi mengulangi perangai nakal itu. Mereka akan mengingati apa yang telah dinasihati dan mengambil pengajaran dari akibat perbuatan itu.

Sebaliknya, sekiranya anak-anak nakal itu dibiarkan sahaja oleh ibu-bapa, maka kenakalan mereka itu akan semakin menjadi-jadi sehingga lama kelamaan menjadi habit (tabiat), terus sebati dalam perbuatan, tindakan dan akhirnya susah untuk ditegur. Seterusnya akan mempengaruhi pula rakan-rakannya dan merosakkan kesejahteraan orang lain.

Masalah

Kita mungkin kecewa dengan keadaan yang berlaku, seperti rasuah, zina, salah guna kuasa, perebutan kuasa, kezaliman, kekejaman, ketidak-adilan kepada rakyat, sesama Islam bergaduh, jenayah civilization ummah dan berbagai-bagai lagi.

Perasaan kekecewaan itu seolah-olah mengambarkan kepada kita, bahawa sudah tiada harapan lagi untuk berubah, mengubah dan diubah. Buntu dan tiada upaya lagi untuk berbuat sesuatu untuk menyelesaikannya.
  • Apakah kita hendak menyerahkan semua masalah, beban dan nasib yang berlaku kepada masa dan keadaan supaya berubah dengan sendirinya?.
  • Ataukah kita hendak menunggu sang "Superman" yang akan menjadi penyelamat kepada semua perkara itu, sedangkan kita hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati sahaja atau tunggu dan lihat?
Big picture....

Namun, senario buruk yang berlaku di sekeliling kita dan ummah ini, terlalu banyak, runsing dan kronik kerana rapuhnya atau lemahnya sistem hidup manusia. Dari satu penyakit ke satu penyakit yang lain. Masalah yang berlaku berkait-kait di antara satu sama lain. Seolah-olahnya seperti satu simpulan (chain) tali yang berangkai kemudian berpintal-pintal sesama sendiri menjadi serabut dan hilang hujung pangkal atau puncanya.
  • Apakah untuk menyelesaikannya, dengan membuang sahaja tali bersimpul itu, atau menggunting dibahagian simpulan itu sahaja kemudian mengikat kembali bahagian yang telah dipotong, atau cuba merungkai perlahan-lahan simpulan itu sehingga ketemu pangkal dan hujungnya?
Tergesa-gesa, tunggu dan lihat...

Bagi kita yang berpegang kepada Akidah yang benar, pasti kita akan mengatakan bahawa semua apa yang berlaku itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Kerana itulah yang kita yakini. Kita tidak dilemahkan dengan perasaan berputus-asa dan lemah semangat. Sebenarnya, kitalah yang kena berusaha untuk mengangkat kembali martabat dan maruah diri, ummah dan manhaj Islam dengan kesungguhan yang paling maksima, istiqamah (berterusan) dan mujahadah sama ada dengan harta, malah akan membabitkan pengorbanan nyawa sekalipun.

Benar, masalah yang berlaku itu pasti telah berakar-umbi dan sukar untuk diselesaikan dengan sekelip mata. Bahkan, kalau difikirkan dari sudut logik akal maka kita akan merasa kecewa (frust) yang amat sangat dan buntu untuk menyelesaikannya. Tambahan pula, apabila kita hendak menyelesaikan satu-satu masalah, kita lebih bersifat tergesa-gesa (isti'jal) untuk melihat hasilnya. Kita selalu memilih jalan pintas tanpa memikir risiko yang akan dihadapi. Pada perkiraan nafsu, kita mahukan keputusan penyelesaian itu berlaku di depan mata, sekarang atau esok atau lusa. Sebaliknya kita lupa, Allah yang maha kuasa adalah penentu segalanya.

Lantunan seerah

Ketika Rasulullah dan para sahabat dihalau, dicaci, dimaki dan dibaling dengan batu-batu sehingga luka-luka oleh penduduk Taif, Rasulullah menunjukkan sikap yang paling berhemah dan mendidik kita semua. Sebaliknya, bukan terus dibalas dengan lontaran batu, semburan cacian dan makian tetapi berupaya menolak tawaran Malaikat bilamana bersedia untuk menhempap mereka dengan bukit-bukit yang ada, dengan ketulusan doa bermunajat kepada Rabb, supaya memberi taufik dan hidayah kepada generasi dan keturunan mereka yang akan datang. Harapannya adalah kepada generasi yang akan datang.

Serulah manusia kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik (An Nahl:125)

Cantiknya budi pekerti dan akhlak Arrasul kerana masih menaruh harapan kepada generasi yang akan datang untuk mengubah norma-norma hidup manusia kearah yang lebih baik dan sempurna. Perubahan itu tidak sekali-kali menggunakan jalan kekerasan sebaliknya banyak tertumpu kepada sistem pendidikan rabbani yang jauh lebih berkesan di dalam mendidik ummah.

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu semata-mata hanya untuk Allah... (Al Baqarah:193)

Peranan dan harapan...

Peranan kita, adalah meneruskan usaha, menyusun strategi, merancang sebaik mungkin, bersabar dan istiqamah dengan kerja-kerja pengislahan (pembaikan), taghyir (perubahan) dan sebagainya. Tetapi, kalau setakat usaha yang sedikit dan halai-balai (sambil lewa) dan boleh dikatakan seolah-olah seperti hangat-hangat tahi ayam, maka lupakanlah hasrat itu. Memanglah tidak berhasil. Tunggulah akan ada pihak atau insan-insan lain yang akan mengambil peranan itu dari kita. Jadilah kita sebahagian daripada orang-orang yang rugi kerana tidak bersama-sama mengambil peranan dan tanggugjawab.

Sepatutnya kita bersikap positif untuk melaksanakan kerja-kerja dan tanggungjawab serta bersungguh-sungguh untuk merubah dan membaiki.

Bahkan, walaupun kita tidak sempat untuk mengecapi hasilnya kerana mungkin kita akan 'dipanggil' untuk mengadap Allah Taala kelak, tetapi tahap keyakinan, kepercayaan dan hasil kerja buat kita mampu melahirkan model-model yang sama acuan rabbaninya iaitu menjadi penerus atau pewaris kita dan akan mewarisi hingga ke lapisan generasi akan datang. Insyaallah dengan harapan dan doa, pasti akan berkesinambungan dan membuahkan hasilnya.

Sistem Islam yang kecil itu perlu terbina di dalam diri kita dahulu sekiranya kita hendak membina sistem Islam yang menyeluruh yang mampu memberikan kesejahteraan hidup sejagat. Islam itu tetap akan datang saat kegemilangannya.

Allahu 'alam, wassalam...

abuzorief @ birmingham
MAB conference 2011
creating hope...
17/12/2011 sabtu

Wednesday, 14 December 2011

Marahkan nyamuk kelambu dibakar...


Apabila kita membeli kereta sudah tentu kita perlukan manual. Pihak pembuat kereta akan menyediakan manual yang sesuai untuk jenisnya sahaja dan tidak boleh digunakan untuk jenis kereta yang lain. Tujuan manual itu ialah untuk memastikan kereta kita sentiasa berada di dalam keadaan yang terbaik dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Sebarang masalah, dengan cepatnya kita mudah untuk merujuk kepada manual tadi.

Begitu juga, setiap urusan hidup manusia telah ada manualnya. Ia digunakan untuk menjadi panduan hidup. Apabila hendak pandu (drive) kehidupan, maka kita perlukan manual itu untuk memastikan perjalanan hidup kita itu sejajar dengan apa yang telah ditetapkan. Perjalanan hidup kita mestilah berada di dalam keadaan yang terbaik, selamat dan tidak tergelincir dari laluannya. Setting mode perlulah diperhatikan selalu. Sekiranya berlaku masalah di dalam perjalanan, maka manual tadilah yang perlu dirujuk dan memudahkan usaha trouble-shooting dilakukan. Manual itu mestilah manual yang sah dan bukannya manual yang telah ditokok-tambah mengikut cita rasa sendiri atau meminjam dari manual yang lain, yang tidak ada kena-mengena dengannya. Apakah kita sendiri meragui tentang manual kita sendiri?. Manual yang dimaksudkan itu adalah Al Quran Karim.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (Al Baqarah 2: 2)


Mempermainkan hukum

Agak kesal juga apabila setengah pihak mempermainkan hukum-hakam Allah tanpa berfikir risiko diri yang akan dihadapi. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah mereka itu tergolong di dalam golongan orang-orang Islam dan sanggup pula besekongkol dengan 'mereka-mereka' yang bukan Islam. Sudah pasti mereka ini jahil dengan agama sendiri. Perbuatan mereka ini secara tidak sedar telah tergelincir dari pegangan Aqidah Islam. Bukankah hukum-hakam Allah itu adalah benar dan pasti tujuannya serta objektifnya, yang mana ia telah diturunkan kepada manusia supaya menjadi panduan (manual) untuk menggerakkan seluruh perjalanan kehidupan di atas muka bumi ini. Hukum-hakam itu sendiri adalah untuk memastikan manusia itu sentiasa berada di dalam sistem atau manhaj kehidupan yang diredhai dan dinaungi olehnya.

Menghina Allah

Sungguh berani kita menderhaka kepada Allah Taala?.., Begitulah gambarannya kepada persoalan itu apabila kita memperlekeh, menyindir, mempersendakan setiap perkara, hukum dan aturan yang telah Allah tetapkan kepada kita walaupun dengan satu ayat sahaja. Betapa kurang ajarnya kita, apabila kita sendiri mengatakan ia tidak sesuai, meragui kebenarannya, malah berani pula mengatakan ia tidak adil, kejam, zalim dan sebagainya. Apakah hak kita untuk berkata sedemikian?.  Nauzubillahi min zalik....

Sedarlah kita semua, bahawa hanya Allah Taala sahaja yang tahu apakah bentuk panduan, pedoman dan garis hukum-hakam hidup kita sebenarnya, sepertimana yang telah termaktub di dalam Quran Karim dan melalui ajaran Arrasul SAW secara jelas terperinci.

Golongan orang Islam

Golongan yang sedar - golongan ini sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala perintah Allah Taala walaubagaimana keadaan sekalipun. Mereka faham dan yakin hanya Allah menentukan segala-galanya. Mereka sedar bahawa tanggungjawab untuk memastikan agama Allah ini mesti dijaga dan dakwah disebar-luaskan kepada manusia lain. Mereka akan memastikan undang-undang Islam didaulatkan dan berada ditempatnya.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At Taubah 9:71)

Golongan yang sangsi - golongan ini sentiasa merasa ragu-ragu terhadap hukum-hakam atau undang-undang yang telah Allah tetapkan kepada manusia. Mereka juga tidak akan segan silu mengatakan semua peraturan hidup Islam itu tidak sesuai dan tidak boleh dipraktikkan. Walhal mereka sendiri sudah nampak di depan mata, betapa peraturan hidup ciptaan manusia itu banyak yang cacat, rosak dan tempang.

(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur) atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman) ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka). (An Nur 24:50)

Golongan yang berkepentingan - golongan ini hanya mengharapkan kepentingan dan ganjaran yang akan diperolehi. Bagi mereka, selagi undang-undang manusia itu tidak menganggu urusan hidup, kedudukan, kekuasaan, kekayaan dan kesenangan mereka, maka selagi itulah ia boleh berkompromi dengannya dan memastikan dirinya selamat bernaung dibawahnya. Perlu disedarkan, bahawa undang-undang Allah tidak mengira siapa mereka, dari mana datangnya, dan mulianya mereka. Sebab itu undang-undang Allah amat berlaku adil pada semua manusia.

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Al A'raf 7:176)

Golongan berprasangka - Golongan ini sentiasa bersikap prejudis dengan Allah dan agama sendiri. Apa yang berlaku terhadap mereka dan sekeliling, secara sedar mereka akan menyalahkan Allah dan hukum-hukumnya di dalam setiap masalah yang berlaku. Sikap berpransangka mereka amat dahsyat sehingga sanggup menggadaikan tunjang akidah yang sepatutnya menjadi pegangan asas kepercayaan individu terhadap Allah Taala.

Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi! (Al Fussilat 41:23)

Sikap kita...

Jangan kita rosakkan manhaj Islam semata-mata kerana kita tidak bersetuju dan hanya berpandukan kepada logik akal dan rasa hati kita. Ambillah jalan berfikir supaya tindakan kita itu bersesuaian dengan diri kita yang berakal. Banyak sekali ayat-ayat Al Quran yang menyuruh kita semua supaya berfikir bukannya mengikut hawa nafsu yang bertuankan Syaitan yang direjam.

Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri) dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab. (Ar Rom 30:29)

Sekiranya kita tidak tahu, maka kita mesti belajar untuk mengetahui. Bukannya menjadi seperti tikus memperbaiki labu. Asal labu itu berkeadaan baik, habis ditebuknya, dicincang sehingga rosak dan tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan yan lain. Begitulah dengan keadaan kita apabila cuba buat-buat tahu, sedangkan apa yang telah kita lakukan itu secara tidak sedar telah merosakkan kehidupan kita sendiri malah turut merosakkan kehidupan orang lain.
  • Memperelokkan Aqidah kita kepada Allah Azza wajalla
  • Hendaklah diam sekiranya kita tidak tahu dan mengambil inisiatif untuk belajar dan untuk mengetahui kebenaran
  • Jangan cuba bersikap berani mempersendakan hukum Allah, kerana ia berkait dengan ikatan Akidah 
  • Beradablah dengan akhlak Islam
  • Jangan bersekongkol dengan puak yang memusuhi Islam kerana mereka beragenda untuk memesongkan agama Islam
  • Berfikirlah dengan waras apabila hendak melakukan sesuatu yang ada kaitannya dengan hal-hal ketuhanan.
Sekiranya kita mampu untuk menguruskan sikap kita, maka kita akan lebih berakhlak dengan akhlak yang terpuji. Berakhlak mulia dengan Allah dan berakhlak mulia juga sesama manusia. Dan sentiasa menjunjung segala perintahnya dengan melaksanakannya secara bersungguh-sungguh.

Allahu 'alam, sekian.

abuzorief @ sheffield
14/12/2011 rabu

Sunday, 11 December 2011

Bukan tidak percaya...


Amat penting dalam proses pembinaan diri itu perlu didahulukan kefahaman tentang aqidah yang jelas, tidak jemu mencari makna dan istiqamah mendalami tuntutan dan beramal dengannya.

Sepertimana firman Allah Taala,

"Dan (ingatlah) ketika Nabi ibrahim (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepa...da kekuasaanku)? Nabi ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah berfirman: (Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."(Al Baqarah 2:260)

Apabila hati dan jiwa bertembung dengan segala macam kekacauan pada diri, kita menjadi gundah-gulana kerana tidak tahu dimana hujung pangkal untuk menyelesainya. Sedangkan apa yang diajarkan oleh Arrasul SAW amat jelas sekali jalan penyelesaiannya, iaitu melalui proses pendidikan atau tarbiyyah yang berterusan.

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (Surah Luqman 31: 13)

Generasi pertama yang dibentuk telah 'dipahat' dan 'diikat' dengan ikatan akidah bertuhankan satu sahaja iaitu Allah SWT. Iman Bilal mampu bertahan dengan ujian dari puak kuffar, Sumaiyyah, dan ramai lagi generasi pertama yang telah berhadapan dengan ujian dan seksaan hidup diawal iman mereka.

Gagalnya kita mengawal diri kerana sikap kita. Lemahnya hak kebenaran untuk bertarung dengan kekuatan batil yang meruntun. Mungkinkah, ini menunujukkan bahawa kita masih lagi tidak menyakini amalan sunnah yang telah ditunjukkan. Timbul sikap ragu dan was-was terhadap Allah Taala. Sehinggakan, kesangsian kita kepada penyelesaian yang telah diajar itu telah menyebabkan kita cuba mencari kaedah lain untuk merawat keresahan hati, jiwa dan diri kita. Sekiranya benar penemuan kita itu, beruntunglah kita. Tetapi apa yang kita temui itu merupakan kaedah yang salah maka yang akan merana ialah diri kita sendiri.

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As Syam 91:7-10)

Akidah adalah pendinding hidup kita kerana ia meletakkan diri kita sentiasa hampir dan rindu kepada Allah Taala. Setiap perbuatan kita diperhatikan walaupun sedetik sahaja. Inilah kekuasaan penuh milik Allah Taala yang tidak ada tandingannya pada diri seorang hamba ciptaannya. Kerdil bukan ciptaan manusia ini?... Jadi apa yang hendak dimegahkan oleh kita sehingga kita mampu menidakkan keujudan Allah Taala sama ada sedar atau tidak melalui siri-siri perbuatan kita itu.

Sudah ramai yang telah kita lihat, manusia-manusia yang kecundang apabila tidak sempurna atau tidak ada pegangan Akidah dalam diri. Berbuat sesuatu tanpa ada neraca untuk menjadi penentu. Akhirnya hawa nafsu menjadi pemerintah yang paling berkuasa dalam diri. Betapa egonya hawa nafsu sehingga memesong pendirian dan pegangan diri manusia dari mempercayai atau mengiyakan kekuasaan Tuhan yang sebenarnya.

Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu... (Hadis ke 2: Hadis 40 Imam Nawawi)

Hati, jiwa dan hawa nafsu kita hanya mampu ditundukkan dengan Aqidah. Ikhlaskan hati dan berbanyaklah berfikir tentang segala isi dan kejadian dan penciptaannya yang lain. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Sekiranya sudah memperolehinya, jagalah ia dengan baik, dengan menjaga keasliannya. Walaupun kita tahu bahawa jalan untuk mendapatkannya, terpaksa melalui jalan getir dan sukar sehingga akan mengorbankan nyawa sekali pun.

Wallahu a'lam

abuzorief @ severn road, sheffield
11/12/11 ahad

Thursday, 8 December 2011

Palestin dan jiwa merdeka...


Peta dalaman Palestin berubah wajah lanskapnya dari tahun 1946 sehingga kini. Sehingga rapinya perancangan puak Yahudi dan sekutunya berusaha menukarnya menjadi negara Israel. Peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam peradaban hidup manusia, kalau diperhatikan dimana-mana negara di dunia ini.

Begitu mudah proses rompakan tanah-tanah yang bertuan asal untuk mereka miliki, melalui kekerasan dengan cara melakukan proses halauan, menzalimi, membunuh sekalipun serta mencabuli hak ketuanan bangsa Palestin sewenang-wenangnya melalui undang-undang yang berat sebelah, yang sudah kita ketahui, mereka telah mendiami sejak sekian lama, aman damai dan bahagia dengan puak bangsa lain.

Tidak siuman

Dari manakah datangnya puak-puak Israel yang dianggap hilang akal dan bersifat tidak siuman, yang masuk ke tanah orang lain secara membondong-bondong dengan rakus ibarat serigala yang kelaparan yang bukan lagi menunggu mangsa tetapi pantas menerkam mangsa dengan lahapnya serta gelojoh sekali. 'Serigala' peliharaan 'tuan' yang tidak diajar dengan adab dan kelakuan. Senantiasa sombong dan bongkak mendabik dada, merobek mangsa yang tidak sepatutnya dibunuh.

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). (Al Baqarah:146)

Berterusan sifat dendam kesumat mereka, ketika mana Arrasul masih berada dikota Mekah dan berlanjutan hingga berada di Madinah, mereka bukan sahaja mengherdik, mencaci, menghina, menyihir dan meracuni baginda dan umat Islam malah cuba merancang untuk membunuh baginda dengan berbagai-bagai cara asal tercapai hajat jahat mereka.

Begitulah peristiwa mereka yang banyak membunuh nabi-nabi dan Rasul yang diutuskan keatas mereka. Keangkuhan mereka mendatangkan kemurkaan dari Allah Taala. Malah merekalah bangsa yang paling banyak menerima azab dari Allah Taala.

Laknatullah...

Kini, kalau mereka ini puak Yahudi asal masakan mereka tidak tahu ajaran-ajaran Nabi dan Rasul dahulu kala yang jelas didatangi direct ke atas mereka memberi ajaran dan tunjuk ajar dan memimpin mereka sehingga diangkat menjadi satu bangsa yang mulia di atas muka bumi ini. Akan tetapi dengan kemuliaan itu telah menyesatkan mereka menjadi bangsa yang sombong dan bongkak. Tidak ubah seperti mana yang telah berlaku kepada Iblis laknatullah yang tidak mahu patuh kepada perintah Allah dan ingkar sama sekali, tanpa ingin sama sekali memohon maaf kepada yang maha Khaliq. Yahudi dan Iblis ibarat makhluk yang sama kejadiannya cuma berlainan asal-usul kejadian sahaja. Segala sifat Iblis penuh bersarang di dalam diri mereka. Suka membuat dan mendatangkan segala macam tipu daya, kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi.

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (Al Maidah:78)

Hati hiba...

Saya kira, hati saya yang keras ini, tidak mudah lembut untuk memaksa air mata mengalir tetapi tidak disangka akan terjadi sebaliknya. Mudah pula tersentuh hiba apabila menyaksikan peristiwa kejam yang berterusan berlaku. Sejak menyentuh dan menatap wajah comel anak Palestin dan meyaksikan sendiri penderitaan hidup mereka di kem pelarian, saya punyai semangat baru, saya mampu membayangkan betapa pilu dan sedihnya mereka diperlakukan sedemikian rupa. Mereka diusir sehingga terpaksa meninggal tanahair dan tanah lahir tercinta. Dada tiba-tiba menjadi sebak, dan kalau diteruskan juga mampu mengalirkan air mata... insaf!,... Tetapi apakan daya, hati hanya mampu berkata dari dalam.


Tanah wakaf

Tetapi tanah mereka adalah juga tanah yang telah diwakafkan oleh ummah Islam. Kita masih punyai hak keatasnya, kerana disitulah bermulanya tuntutan Ibadah solat fardhu dan Kiblat pertama umat Islam. Betapa payahnya Arrasul hendak menyakin kepada kaumnya ketika itu apabila berlakunya peristiwa Israk dan Mi'raj yang diluar jangkaan akal logik manusia. Segala tohmahan telah dilemparkan kepada baginda mengatakan peristiwa yang dilaluinya itu semuanya karut dan rekaan cerita belaka. Bagaimanakah kita kalau berada di masa itu?, mampukah kita beriman dengannya?...


Kemenangan

Kita pasti kemenangan akan berpihak kepada mereka dan kita semua, yang pasti dan tetap diberikan kekuatan oleh Allah kepada mereka untuk terus bertahan dan memperjuangkan tanah suci Palestin. Kalau tidak mereka siapa lagi yang akan melakukan tuntutan jihad tersebut. Palestin adalah platform atau medan jihad umat Islam sedunia. Semangat jihad tetap basah dan terus mengalir di dalam diri kita semua kerananya.


Rakyat Palestin adalah peisai kita. Mereka menahan muntahan peluru dengan batang tubuh mereka. Tubuh badan mereka sama dengan susuk tubuh badan kita, tidak ada yang lain rupa bentuknya atau specialnya, Ya!, seperti kita juga. Tetapi di dalam diri mereka dikurniakan Izzah oleh Allah melebihi apa yang ada di dalam diri kita. Jiwa mereka kental dan semangat jihad  mereka terus mengerunkan puak musuh. Semangat juang mereka telah mengambarkan kepada kita bahawa ruh mereka benar-benar terpahat kukuh sepertimana teracu dan terbentuknya pada generasi para sahabat Arrasul ketika mana berhadapan dengan puak Yahudi di zaman itu.
  • Kini apakah peranan kita?
  • Mampukah hanya duduk berpeluk tubuh berdiam diri sahaja?
  • Hanya menyaksikan kekejaman dan rintihan pilu mereka sahaja?
  • atau hanya berkata... entahlah apa yang hendak jadi dengan dunia ini...
  • Kalau kita tidak bertindak, siapa lagi yang akan bertindak.
  • Berusaha seoptima yang mungkin...
  • Ayuh lakukan sesuatu...
Ketenangan jiwa beribadah?..

Selagi kezaliman keatas mereka berterusan berlaku di depan mata kita, selagi itulah sepatutnya jiwa kita tidak tenang. Beribadah kepada Allah pun boleh berasa resah kerana tanggungjawab kita sesama saudara kita masih belum selesai. Ingin melelapkan mata pun tidak sampai hati kerana terbayang-bayang di anak-mata akan keperitan hidup mereka. Jiwa yang basah ialah jiwa yang senantiasa berdampingan dengan Allah dan berukhuwwah sesama saudara sendiri. Sakit mereka sakit juga kita. Derita mereka malah derita kita juga...

Jiwa kita perlu dilembutkan dengan memperbanyakkan...
  • kalimah Istighfar
  • Perbualan dengan ayat-ayat Al Quran Karim
  • Zikr maut
  • Beribadah di tengah malam
  • Berdoa kepada Allah


Ayuh mari lakukan sesuatu untuk mereka...
  • Buat tabungan peribadi dan keluarga untuk Palestin
  • Beri penerangan berterusan tentang isu sebenar mereka kepada masyarakat
  • Mendoakan kemenangan kepada mereka
  • Memperbanyakkan penulisan
  • Serius memboikot barangan keluaran Yahudi dan syarikat-syarikat sekutu yang menyokong mereka 
  • Bersatu sesama kita
  • Terus mengi'tiraf HAMAS sebagai kerajaan sah memelihara negara dan rakyatnya
  • Hulurkan bantuan yang diperlukan oleh mereka sama ada jiwa dan harta
  • dan sebagainya...
Sekadar semangat sahaja tidak memadai untuk terus istiqamah. Makanya, diri kita kena dipastikan berada di dalam sistem pentarbiyyahan secara tesusun.


Saya masih ingat kata-kata Dr Mohsen Salleh (Pengarah Azzaytounna Consultation and Study Centre), dengan katanya "Saya tidak akan berehat dengan isu Palestin dan hanya akan berehat bila jasad saya berada di dalam kubur...", Masyaallah satu percikan keinsafan pada diri saya.

Wassalam

abuzorief @ sheffield
8/12/2011 rabu

Tuesday, 6 December 2011

Generasi yang unggul?...


Program MKP/ISRAA di Lecture Hall, Mechanical Faculty, Sheffield University

Saya mengenangkan apa yang telah diperkatakan iaitu usaha untuk membina generasi Al Quran yang unik atau unggul. Bagaimana?.., macamana?....

Satu persoalan yang besar, yang mana pada kiraan realitinya sangat sukar untuk diperolehi generasi sedemikian, benarkah?

Tetapi tidak mustahil untuk melahirkan generasi sebegini melalui pentarbiyyahan yang berterusan. Pembentukan generasi sahabat terdahulu telah dibuktikan dan mereka mampu menjatuhkan kerajaan Rom dan Parsi dan memerintah 2/3 daripada dunia.

Pengalaman di kem pelarian Palestin



Namun, kini, tidak pula mustahil kerana semasa saya berada di kem pelarian Palestin, Shatila Beirut, saya tidak nampak pun anak-anak palestin yang datang meminta sedekah atau pengemis-pengemis berada di merata-rata tempat, walaupun kita faham dan maklum bahawa mereka berada di dalam keadaan yang cukup susah dan serba kekurangan. Di kejadian yang lain pula, mereka merasa tidak selesa apabila kami ingin mengambil gambar di sekitar kawasan mereka kerana khabarnya mereka tidak mahu ia menjadi bahan ketawa atau lelucun oleh pihak-pihak tidak berkenaan atau sengaja ingin mengambil kesempatan dari kesempitan hidup mereka.

Begitu juga keadaannya yang berlaku di tanah suci Gaza. Menurut salah seorang anggota konvoi AQSA Syarif yang menjejak kaki di sana, walaupun keadaan mereka sangat susah, rumah yang tidak serupa rumah, bangunan-bangunan yang pecah-pecah dibedil dengan peluru dan bom-bom oleh puak Zionist, makanan yang sukar diperolehi, kesihatan yang tidak terjamin, namun mereka tabah, mereka mampu berusaha untuk meneruskan kehidupan, anak-anak dididik dengan penuh izzah (kemuliaan), rakyat dijaga dengan penuh kasih sayang dan kemuliaan, mereka tidak menjadi pengemis atau peminta sedekah, malah mereka masih mampu untuk mempertahankan tanah suci yang menjadi tanah wakaf umat Islam sedunia. Mereka pasrah dengan ketentuan Ilahi dan akan terus mempertahankan tanah barakah itu bagi mewakili pihak kita semua.

Tidak seperti anak-anak 'comel' dan pengemis-pengemis tua yang mengemis di negara sendiri mahupun ditemui di negara-negara jiran. Rakyat di sekeliling boleh dikatakan senang-lenang dan negara amat mewah sehingga 'termuntah-muntah' dengan segala macam kemewahan. Namun tertindas juga golongan sedemikian. Usah dicakaplah tentang keperibadian sepertimana yang dimiliki oleh anak-anak Palestin atau rakyat Palestin.

Sesuatu yang menakjubkan dan sukar untuk mengetahui dimanakah datangnya kelebihan mereka. Mereka mampu menghasilkan generasi yang digeruni oleh puak Israel. Bukan kerana kekuatan senjata dan bukan juga kerana kecanggihan peralatan perang yang bermutu dan berteknologi tinggi.
  • Siapakah mereka?
  • Apakah formula pembentukan keperibadian ini?
  • Kenapa unik sekali generasi mereka?
Kehidupan Arrasul

Di awal usia baginda Arrasul, beliau telah terdedah dengan situasi atau suasana perit, sukar, sedih, hiba, kental, tegas, dan berbagai-bagai lagi. Tambahan pula hidup tanpa mendapat belaian kasih sayang ibu dan ayah dan tentunya tanpa kemesraan diperolehi dari mereka berdua. Di usia dewasa baginda dicemuh oleh kaum keluarga, kerabat dan bangsa serta manusia lain kerana membawa kalimah agung iaitu menyuruh manusia supaya tunduk dan taat kepada Allah sebagai tuhan rabb dan Illah. Semuanya adalah rencana dari Allah Taala yang bukan dibuat-buat secara sembrono untuk mengesahkan kehidupan baginda sedemikian rupa.

Kekentalan hidup baginda menyakinkan manusia yang bersama baginda untuk terus membina generasi yang akan memperjuangkan agama Allah. Malah, rentetan kehidupannya adalah untuk mendidik generasi ketika itu, kini dan akan datang secara langsung tentang ketabahan dan seriusnya usaha mendidik diri, keluarga, sahabat malah memastikan generasi supaya menjadi generasi yang terbaik mengikut acuan yang paling sempurna iaitu Al Quran. Mereka digelar sebagai generasi Al Quran yang unik.
  • Pegangan akidah mereka adalah berpandukan Al Quran
  • Amalan ibadah mereka menepati spesifikasi syariat
  • Akhlak mereka amat sempurna sepertimana termaktub di dalam Al Quran
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah 2:177)

Lihat sahaja kehidupan kita, sama ada di rumah atau di luar rumah, di tempat awam, sekolah atau pejabat, keseorangan atau berteman, bermasyarakat atau berkumpulan dan sebagainya. Malah tidak dinafikan pula dikalangan kita yang mengamalkan berbagai-bagai ideologi dan fahaman yang tidak bertepatan dengan Al Quran dan Sunnah. Apakah ideologi atau fahaman itu?

... Kapitalisma, sosialisma, nasionalisma dan ta'asub kepada bangsa, komunisma, sosialisma, demokrasi, hiburan (hedoisma) dan sebagainya.
  • Berpuas-hatikah kita dengan suasana dan keadaan yang ada?.
  • Bebaskah dengan apa yang diamalkan?.
  • Apakah 'nilaian' yang kita perolehi daripadanya.
  • Yakinkah kita betapa Islam mampu memberikan 'nilai' yang terbaik di dalam kehidupan manusia?
Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui. (Al-Baqarah 2:42)

Generasi yang dibentuk dengan Al Quran adalah generasi yang menolak semua ideologi ciptaan manusia kerana ideologi itu mempunyai banyak kepincangan sehingga menimbulkan kerosakan-kerosakan kepada sistem fitrah ciptaan iaitu hubungan dengan Allah Taala dan juga hubungan sesama manusia.

Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat. (Al-Baqarah 2:85)

Kekuatan aqidah

  • Pembinaan peribadi manusia yang mampu membuang sejauh-jauhnya pengamalan syirik dan sifat serta amalan kurafat dan jahiliyyah
  • Mengakui Allah sebagai rabb dan Illah yang sepatutnya disembah
  • Tidak tunduk kepada selain Allah
  • Menyakini tanpa ragu-ragu Kitab Allah
Berpegang pada prinsip dan bersikap tegas
  • Bertegas di dalam perkara-perkara hukum dan syariat
  • Mempertahankan perkara-perkara yang hak
  • Menolak sekeras-kerasnya perkara batil
Ukhuwwah
  • Menjalinkan ukhuwwah melangkaui batas bangsa dan kaum
  • Bersikap lemah lembut sesama mukmin dan bersikap tegas dengan puak yang menentang Allah dan Rasul
Mentaati Allah dan Rasul
  • Taat kepada suruhan dan larangan Allah dan Rasul di dalam setiap hal dan keadaan
Semoga kita bersama-sama membina generasi yang menepati acuan Allah dan mampu sekali lagi mengegarkan dunia dengan keperibadian yang cukup hebat dengan digelar sebagai generasi Al Quran yang unik.

Rasullullah SAW menyebut "Manusia ini seperti logam, orang yang terbaik dizaman jahiliyyah adalah orang yang terbaik di zaman Islam, jika mereka memahami"
Wallahu 'alam, sekian


abuzorief @ sheffield
10 muharram 1433H
6/12/2011 selasa

Saturday, 26 November 2011

Hijrah dan proses transformasi



Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1433H. Semoga kita terus berusaha untuk istiqamah di atas segala tindakan dan amal kita kerana Allah, dan moga-moga kita menjadi hamba Allah yang sangat intim hubungan dengannya setiap masa.

Kesihatan

Perubahan masa,... hari, minggu, bulan dan tahun. Secara tidak langsung, perubahan ini tetap berlaku kepada usia manusia. Umur kian meningkat, berkadaran songsang dengan tahap lemahnya kesihatan tubuh badan dan berhadapan dengan risiko pelbagai penyakit dan semakin hari semakin lemahnya imunisasi pada tubuh badan.

Sepatutnya, usia berkadar terus dengan iman dan amal. Iman dan amal berterusan menjadi mantap dan matang di kala usia meningkat. Ibadah menjadi semakin khusyuk kepada Rabbul Jalil. Akhlak menjadi sempurna kepada Allah Azzawajalla dan juga sesama manusia yang lain. Perubahan ini memerlukan kekuatan, kesungguhan dan azam. Hasilnya amat sukar diperolehi, sekiranya kita tidak memulakannya dari sekarang. Kerana untuk mendapatkan output atau hasilnya, ia tidak akan berlaku dengan hanya sekelip mata sahaja, seminit dua atau sehari semalam.

Pentarbiyyahan

Perubahan mestilah disertakan dengan proses pentarbiyyahan yang tersusun dan berterusan, walaupun memakan masa bertahun lamanya. Kesungguhan atau pengorbanan yang tidak mengenal erti kecewa, mampu menghasilkan jiwa yang kental dan matang. Walaupun usaha-usaha pentarbiyyah ke arah perubahan ini dianggap remeh, kecil dan tidak menampakan hasilnya di depan mata.

Kerosakan akhlak

Walaupun usaha maaruf banyak dilakukan disana-sini, tetapi perbuatan mungkar dan fasad (kerosakan) semakin menjadi-jadi di setiap sudut, seolah-olah keadaannya bersaing diantara satu sama lain.

Paling ketara ialah perlakuan akhlak yang buruk dan keji. Kita terdedah dengan amalan dan budaya yang bertentangan dengan kehendak Islam. Mudah terikut-ikut dengan trend yang dikatakan moden tanpa menilai dari segi kebenaran hukum dan syariat, kononnya bertepatan dengan masa dan realiti hidup. Berakhlak dengan akhlak syaitan dan nafsu haiwan, gagal menyempurnakan amanah, menzalimi antara satu sama lain, menindas, menafikan hak dan keadilan, gagal mengurus hal-hal kebajikan dan jauh dari melaksanakan hukum dan syariat Allah.

Sikap dan sifat ehsan di dalam diri semakin hilang. Banyak amalan bercanggah dengan keperluan maqasid syarak (tujuan syarak). Setiap perlakuan kehidupan kita, sedikit demi sedikit secara tidak langsung telah menafikan kesempurnaan penghormatan terhadap akal, agama, harta, jiwa dan keturunan.

Kehidupan hanya berpandukan kepada realiti semasa yang jauh dari sibghah Allah (acuan Allah), didikan Rasulullah dan petunjukan serta pedoman dari kitab Allah.

Agenda kita

Sebenarnya banyak agenda yang perlu kita uruskan. Apa yang berlaku disekeliling kita, memaksa kita berbuat sesuatu.
  • Meneruskan usaha-usaha mendidik diri sendiri
  • Meneruskan usaha-usaha mendidik ahli keluarga
  • Bersama-sama membina suasana soleh wa musleh di dalam kelompok masyarakat
  • Berganding bahu memastikan kita memperolehi sebuah negara yang dapat mendaulatkan agama Islam
  • Kesatuan ummah yang terpimpin secara keseluruhannya di atas muka bumi ini untuk tunduk dan patuh kepada Allah Azzawajalla.
Semua usaha ini perlukan perubahan menyeluruh, kesungguhan dan kesatuan. Kita mestilah berperanan sebagai individu-individu yang akan menyempurnakan dan menjayakan misi perubahan terarah. Kejayaan kita mengurus diri sendiri akan menyebabkan kita berjaya untuk menguruskan tujuan yang lebih besar... insyaallah.

Wallahu 'alam, sekian.

abuzorief @ sheffield
1 muharram 1433h
26/11/2011 sabtu

Saturday, 5 November 2011

Eid Adha mubarak 1432H


Saya sekeluarga mengucapkan salam eid adha mubarak kepada semua ahli keluarga dan rakan-rakan.

Allahuakbar, allahuakbar, allahuakhbar walillahilham...

Hari dimana muslimin dan muslimat berlumba-lumba melaksanakan ibadat haji dan umrah serta ibadah korban untuk merealisasikan diri sebagai hamba Allah yang sebenarnya yang patuh dan taat dalam melaksanakan segala suruhan dan larangan.

Pengertian ibadah korban ini difahami dalam bentuk menyerahkan seluruh pengabdian diri, jiwa dan harta kepada Allah sebagai rabb dan illah, tuhan yang menguasai seluruh perjalanan alam dan selayaknya disembah.

Allahuakbar, allahuakbar, allahuakhbar walillahilham...

abuzorief @ sheffield
10 zulhijjah 1432H
5/11/2011, sabtu
Sent from my BlackBerry® wireless device

Wednesday, 26 October 2011

Mengharap cahaya Islam di kota Eropah... (2)


Saya mengharapkan kota-kota di Eropah ini akan bersinar terang dengan cahaya Islam. Cahaya yang sukar untuk dipadam oleh tangan-tangan atau kuasa manusia. Tepisan cahaya ini tidak akan mampu di bendung apa sekatan sekalipun. Menyelinapnya cahaya itu untuk menerangi tempat yang gelap gelita kerana  selama ini tidak sesiapa pun kesah dengan kehidupan yang bercahaya.

Switzerland...

Alhamdulillah saya berpeluang untuk ke negara Switzerland yang rata-rata dikalangan kita amat mengkagumi negara itu dik kerana keindahan lanskap muka-buminya ditambah dengan hamparan banjaran Alps .

Memang benar, keindahan negara itu amat memukaukan mata apabila melihatnya. Sekali lagi terdetik di dalam hati betapa besarnya kuasa Allah Taala yang menciptakan bumi ini, jauh di sana diletakkan kawasan yang cantik itu dibumi Switzeland yang dihuni oleh mereka yang bukan Islam. Mereka menjaga kazanah ini dengan baik. Kawasannya bersih tidak bersampah disana-sini. Susun letak dan reka bentuk rumah yang sesuai dan cantik.

Kalau tanpa kesedaran dan tabiat disiplin hidup mereka, maka tidak akan terhasilnya negara yang mampu didiami dengan keadaan selesa dan mengembirakan. Katanya negara ini adalah salah satu negara yang terkaya didunia. Rata-rata rakyatnya mampu berbahasa lebih dari 2 bahasa : German, France, Italy dan Romansh.

Amalan agama Kristian telah sekian lama didominasi oleh penduduknya. (selebihnya maklumat boleh diperolehi di Wikipedia).


Tazkeraah 10 minit...

Saya ditegur oleh seorang wanita Switzerland yang agak berumur, seusai solat Asar di kawasan terbuka berhadapan dengan tasik Brienz atau Brienzersee. Sebelumnya, saya dikejar oleh anjingnya selepas saya mengambil wuduk di'gigi air' tasik. Memandangkan anjing itu bertuan maka saya pun berhenti dan memandang anjing itu dan tuannya berulang-kali dengan senyuman. Bagi mereka anjing itu seperti anak kecil. Jangankan di'unjuk-unjuk' dengan kaki, dimarah pun mereka tidak suka.

Beliau bertanya saya tentang agama saya, negara asal saya, siapa mereka semua yang bersama saya, berapa lama berada di sini dan kamu suka negara ini?.... Saya agak hairan dengan pertanyaannya 'kamu suka dengan negara ini?...' Saya menjawab, saya beragama Islam, seorang Muslim, dari Malaysia, mereka semua adalah ahli keluarga saya dan berada di sini untuk 3 hari sahaja , Ya!, saya suka negara ini kerana lanskapnya cantik.

Pada awal bicara, nadanya agak kurang berpuas hati apabila perkataan Islam terpacul keluar dari mulut saya. Terus dia berkata yang dia beragama Kristian dan Kristian sudah lama bertapak disini. Mereka hidup dengan aman dan harmoni. Katanya lagi, dia tidak suka orang Islam, kerana orang Islam brutal dan jahat. Mereka datang untuk menetap negara ini dan tidak mahu belajar menggunakan bahasa negara ini dan pengotor. Tambahnya lagi, selalu mencetuskan ketegangan dan keganasan.

Saya terdiam, tersenyum dan terpaku dengan sikap terus-terangnya. Saya agak malu dengan kenyataan sedemikian. Sungguh berani dia mengatakan Islam itu brutal dan jahat. Sedangkan saya yang berada didepannya adalah seorang Islam setelah diperkenalkan sebentar tadinya.

Sikap tidak puas hatinya itu sungguh ketara dengan lenggok body language yang mudah difahami. Al Maklum, negara ini negaranya, dan saya hanyalah pemerhati alam yang datang untuk memerhati keindahan ciptaan Allah Taala.

Sebelum dia meninggalkan saya, sempat ditegurnya saya supaya menjaga kebersihan dan jangan membuang sampah merata-rata. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya diatas teguran itu.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al Asr 1-3)

Saya tidak marah dan tidak terkilan dengan kenyataan terus-terangnya. Mungkin maklumat tentang Islam sebagai cara hidup sebenarnya tidak diperolehi dari sumber yang tepat. Mereka hanya memperolehi dari satu sumber yang tidak memihak kepada Islam dan hanya memerhati kehidupan negatif muslim lainnya.

Dalam hati, saya hanya mampu berdoa supaya diberinya hidayah dan taufik oleh Allah yang Esa, semoga memberi kesan dihatinya untuk mempelajari dan lebih tahu serta faham tentang agama 'anehku' ini.

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Surah Yusuf [12:111] )


Cahaya Islam...
  1. Sungguh jauh lagi cahaya Islam untuk menerangi negara ini.
  2. Siapakah yang mampu untuk membawa cahaya Islam ke negara ini?
  3. Mampukan kita menbawa Islam dan menjadi role model untuk diteladani?...
  4. Mampukan kita meletakkan Islam supaya menandingi agama Kristian yang selama ini dipegangi dan diyakini sejak sekian lama?
Mengharap cahaya Islam di kota Eropah... (1) :
http://abuzorief.blogspot.com/2011/05/mengharap-cahaya-islam-di-kota-eropah-1.html

abuzorief @ interlaken, switzerland
04/10/2011, selasa

Friday, 14 October 2011

Jangan biarkan si Luncai terjun dengan labunya?...


Siaran Beverly Hill...
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan." (Surah Al-An'am: 32)

Keadaan sosial remaja di sini juga merunsingkan pihak kerajaan. Malah terjadi juga di semua tempat dan negara. Banyak sangat cerita-cerita yang mengandungi unsur 18X (movies, dokumentari dsbnya...) yang amat terbuka dan mudah di access oleh remaja dan kanak-kanak malah orang-orang dewasa.

Apalah gunanya syarikat penapisan filem, kalau rancangan sex tersebut dibenarkan tayang berulang-kali atau paling lekeh pun mafhumnya, ditapis dengan beberapa kali tapisan, dipotong babak itu dan ini, tetapi dibabak yang boleh dikategorikan permulaan 'menghairahkan' tetap dibenarkan penyiarannya. Kalau inilah pembudayaannya, maka apa yang nak dipeningkan 'kepala' kerajaan memerintah, itukan hanya ibarat meludah ke langit akhirnya terkena diri sendiri juga @ Sudah jatuh ditimpa tangga... Sepatutnya rancangan sebegitu diharamkan terus ditayang atau disiarkan.
Fikiran kuno

Wallahu alam... mungkin ada juga dikalangan kita akan berkata... You kena berfikiran positiflah... jangan terlalu rigid atau berfikiran seperti orang kampong... dunia sekarang dah maju dan moden.... kalau tidak disiarkan maka susah nanti rancangan TV hendak dapat sponsor atau lebih mudah difahami lagi, senang dapat duit!.. duit!.. duit!, nanti semua siaran mahal dan pelanggan akan bosan melihat cerita yang sama sahaja.

Hai, entahlah... sejauh manalah dunia ini hendak maju kalau fikiran masih asyik dengan cerita-cerita hiburan yang merapu semacam ni...

Namun, yang mana lebih penting, masyarakat yang rosak nilai kemanusian dan akhlak atau syarikat siaran yang mengalami kerugian?. Sama-samalah kita fikirkan.

Kekeluargaan

Dalam isu hak keluarga untuk menangani krisis sosial anak-anak, kalau nak disalahkan ibu-bapa 100% pun tidak boleh juga. Begitu juga kalau hendak dipersalahkan anak-anak pula tidak patut juga, sebab di sekeliling mereka lebih banyak yang meneladani perkara-perkara yang jijik dan memualkan seperti internet, TV, majalah lucah, CD lucah dan sebagainya.

Mungkin contoh seperti cerita Anakku Sazali, boleh dijadikan panduan dan peringatan untuk sebahagian dari kisah kehidupan yang benar-benar terjadi.

Antara lain akibatnya, anak-anak tidak hirau lagi hal-hal agama dan akhlak, melawan dengan ibu-bapa kalau kehendaknya tidak dituruti, merempit yang melibatkan bohsia, berdua-duaan dengan yang bukan mahram tanpa rasa segan dan malu. Ada pula berdua-dua semasa belajar dengan alasan mudah mengulang-kaji pelajaran. Maka, siapa yang lebih berhak dan berkuasa di dalam hal ini, diri sendiri, keluarga, masyarakat atau pemerintah negara?.

Akhirnya, janganlah pula kita bercakap, Haaa!, barulah kita boleh memperkuatkan iman dengan adanya cobaan-cobaan sedemikian. Ini cakap-cakap orang yang tak beriman, atau cakap orang yang munafik.

Kembali kepada Quran dan Sunah

Marilah sama-sama kita balik semula kepada Al-Quran dan Sunnah kerana dunia kita semuanya sama, cuma amal kita semua mungkin tidak sama, siapa yang lebih taqwanya itulah yang dikasihi Allah Taala...

Duniaku hidup aku, duniamu hidup kamu, amalku hak aku, amalmu hak kamu jua, bahkan, kubur pun masing-masing punya, itu pun kalau ada kuburnya?.
abuzorief @ sheffield
14/10/2011, jumaat
updated

Thursday, 15 September 2011

Oh!... ISA



Malaya darurat...

Pihak British telah menggunakan akta penahanan tanpa bicara ini di Malaya pertama kalinya pada tahun 1948 melalui Emergency Regulation Ordinance atau Peraturan Ordinan Darurat yang telah digubal oleh British High Commissioner, Edward Gent untuk melemahkan seluruh aktiviti Parti Komunis Malaya semasa Malaya diisytihar darurat sehingga tamat pada tahun 1960.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menjaga segala kepentingan pihak British di tanah Malaya dari ancaman penentangnya.

Perkara 149...

Pada tahun 1960, kerajaan Malaysia pula telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini di bawah kuasa yang diberikan oleh Perkara 149 Perlembagaan Malaysia.

Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan—
(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau
(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau
(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau
(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau
(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,
maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu Akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkaikan undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini.

Melalui akta ini, mana-mana orang perseorangan boleh ditahan untuk tempoh tertentu tanpa perbicaraan jika sabit kesalahan yang boleh mengugat keselamatan negara.

Pemansuhan

Berita mengenai pemansuhan ISA atau Internal Security Act atau Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh Perdana Menteri hari ini adalah sangat-sangat dinantikan dan antara tindakan yang mesti disokong. Bersyukur, usaha gigih NGO-NGO bersama-sama dengan Gerakan Mansuh ISA atau GMI ternyata membuahkan hasil di atas usaha yang bersungguh-sungguh dan memberikan sinar baru dan harapan ke atas tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara. Kembalikan mereka ke pangkuan ahli keluarga dan masyarakat.

Kenapa perlu menahan mereka tetapi dakwalah mereka jika sabit kesalahan yang telah dilakukan...

Lemah...

Namun disebalik ISA, sistem demokrasi yang yang telah diimani itu terbukti amat lemah dan tidak mampu memberikan keadilan dan melindungi hak seseorang yang bebas dan merdeka. Sistem demokrasi terpaksa mempunyai perisai untuk melindunginya supaya ia sentiasa kebal. Sistem yang dihasilkan oleh ciptaan manusia melalui test and error mengikut kehendak dan keinginan tanpa base foundation yang kuat.

Walhal keadaan dan corak kehidupan manusia amatlah jauh berbeza di antara satu sama lain. Mana mungkin sistem ini mampu memberikan kepuasan kepada semua pihak. Sebaliknya, sistem yang selama ini diagung-agungkan hanya mendahulukan 'mereka' yang mempunyai kepentingan tertentu untuk terus berkuasa.

Hak diri...

Orang perseorangan mempunyai hak terhadap dirinya untuk hidup. Melakukan aktiviti harian hidup yang normal, berbeza pendapat dan berpandangan atau berpendirian berbeza selagi mana ia tidak bertentang dengan syarak.

Di dalam hal ini Islam telah menentukan maqasid syar'iah (tujuan hukum) atau al maslahah al tsnawiyyah untuk membebaskan diri kita dari 'ditakluki' oleh manusia lain selagimana ia tidak berlawanan dengan hukum-hakam atau syariat Allah Taala bersumberkan dari sumber utama iaitu dari Al Quran dan As Sunnah.

Menurut Iman As Syatibi, kemaslahatan yang hendak diwujudkan itu mempunyai 3 tingkatan iaitu keperluan daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Menurutnya lagi keperluan daruriyyah atau keperluan utama ini bertujuan untuk memelihara 5 perkara utama iaitu:-
  • Memelihara agama (hifd ad din)
  • Memelihara jiwa (hifd an nafs)
  • Memelihara akal (hifd al aql)
  • Memelihara keturunan (hifd Al Nasl)
  • Memelihara harta benda (hifd al mal)
Kalau mengikutkan tindakan ISA, secara tidak langsung telah mengenepikan hak fitrah kemanusian untuk hidup tanpa diganggu oleh mana-mana pihak tertentu. Sekiranya sabit kesalahan maka dakwalah dan bicaralah di Mahkamah secara adil dan mesti didatangi dengan saksi-saksi dan bukti-bukti yang jelas dan kukuh.

Hukuman ciptaan manusia hanya berlapikkan kepada kemahuan dan kepuasan nafsu semata-mata. Hukuman berdasarkan kepada perasaan, emosi dan pendapat dan pandangan diri yang tidak tepat. Dan akhir kesudahannya hanya akan menindas, menganiaya dan menafikan hak asasi orang lain.

Hukuman ISA yang dikenakan kelihatan kaku dan tidak dapat disesuai dengan perkembangan intelektual dan spiritual, arus perubahan dan kemajuan zaman yang terus berkembang. Melalui maqasid syariah ini telah menampakkan kepada kita betapa flexible dan dynamiknya hukum apabila setiap hukum itu hendak dijatuhkan dan ia sesuai atau relevent untuk setiap masa dan tempat tanpa bias kepada perasaan, emosi dan kehendak manusia tertentu.

Syariat..

Betapa dengan menegakkan syariat Islam itu mampu memberikan manfaat dan kemanslahatan kepada kita di dunia dan di akhirat. Kita merasa tenang untuk mengabdikan diri kepada Allah (Ubudiyyah) tanpa dihalang dan ditentang.

Nota:
Isa Anshori, M. Ag,. Jurnal Hukum Islam: Maqasid Syari'ah sebagai Landasan Etika Global, Universiti Muhammadiyah Surabaya

abuzorief @ sheffield
15/9/2011, khamis

Thursday, 8 September 2011

Perihal sejarah kita... pejuang dan penjajah


Kisah pejuang tanahair dan kemerdekaan telah menjadi topik 'panas' sekarang ini. Siapakah pejuang asli dan siapa pula penjenayah atau tali barut?. Cerita ini menjadi menarik setelah ahli politik berjaya 'melambung tinggi' cerita ini dan tidak semena-mena sentimen ini pula 'terpalit' ke arah parti pihak lawan dan di'panaskan' pula oleh pihak media untuk menghangatkan suasana dan mencari publisiti dari isu ini.

Namun, apa yang ingin saya ingin utarakan ini, lebih berupa pandangan biasa, di luar cerita yang telah dipolitikkan sekarang ini.

Dominant dan favour...

Fakta sejarah kalau tidak dicatat akan lenyap begitu sahaja. Jalan cerita, peristiwa dan tarikh kejadian tidak mampu dibuktikan dengan tepat dan betul serta salur-galur penyampai maklumat yang lemah. Namun fakta sejarah boleh dipesongkan atau diselewengkan. Tidak pula dapat dinafikan bahawa catatan sejarah yang berlaku boleh mengikut favour kepada siapa atau siapa yang lebih dominant ketika itu.

Tidak semua fakta sejarah tanah air kita itu dicatat dengan tepat sekiranya itulah sahaja sumber yang diambil dari pihak yang tidak memihak kepada bangsa dan tanah air kita. Ada yang benar faktanya dan ada pula yang perlu dikaji semula.  Sebab itu saya mengatakan bahawa ia dicatat mengikut siapa yang lebih dominant dan berkuasa atau berpengaruh.

Zaman penjajah...

Namun apabila diperhatikan peristiwa yang berlaku ketika zaman penjajahan ketika itu, yang lebih dominant adalah lebih berat (bias) kepada pihak penjajah, yang sedia maklum mereka lebih bersungguh dan lebih bersedia dalam mencatat sebarang kejadian yang berlaku di pihak mereka dan apa yang tercatat memang benar-benar pun berlaku di sekitar mereka atau di dalam perspektif mereka.

Tidak pelik, di mana ketika ini pun kalau dilihat, mereka amat bersungguh dan teliti mencatat apa sahaja peristiwa dan maklumat yang berlaku disekeliling mereka. Sama ada peristiwa kecil atau pun besar, personal atau umum atau apa sahaja untuk didokumentasikan, didokumentarikan dan dibukukan.

Justeru, tidak pelik, kalau ada pencatat peristiwa ketika zaman penjajah ketika itu pun lebih favour untuk mengaitkan sebarang peristiwa, kejadian dan berita yang akan memihak kepada mereka. Jadi tidak salah pula kalau semua cerita untuk sejarah kita, yang kita belajar itu lebih berat memihak kepada penjajah kerana fakta yang bersumberkan itu amat jelas dan terbukti. Terutamanya peristiwa para pejuang kita yang menentang mereka. Sesiapa yang menentang mereka ketika itu sudah pasti mereka adalah pengganas dan penjenayah. Berita, peristiwa dan bahan bukti bertulis ini dibawa balik ke negara mereka untuk disimpan sebagai arkib, bahan research atau rujukan dunia antarabangsa.

Mereka 'menghukum' pejuang kita sebagai pelampau dan pengganas. Maka sesiapa yang menentang mereka ketika itu akan menerima padah. Lihatlah apa yang berlaku pada Tok Janggut, Mat Kilau, Dol Said, Burhanuddin Helmi, Rentap, Rosly Dhoby, Datuk Maharaja Lela dan lain-lain dan mereka akhirnya ada yang disumbat ke dalam penjara dan diseksa atau ditali gantung atau dibunuh dengan kejam. Yang lebih memalukan lagi, segelintir dari anak bangsa sendiri telah menjadi pengampu, pembodek kepada mereka semata-mata kerana mendapat keselesaan hidup, ganjaran, kedudukan dan pangkat dengan memihak kepada penjajah. Berbangga pula memanggil mereka sebagai TUAN di atas tanah air sendiri.

Kini, apakah kita sebagai sebangsa dengan mereka ini turut juga menggelar mereka sebagai penjenayah dan penderhaka kepada 'pemerintah' pada ketika itu?... dan yang memerintah ketika itu bangsa Melayu atau penjajah?...

Turut sama menerima nasib yang tidak baik ialah anak bangsa yang menyokong pejuang radikal kemerdekaan tanah air, dengan diberikan gelaran golongan berhaluan kiri. Dengan sebab tidak sehaluan dari segi prinsip, ideologi, pandangan, pendapat dan cara fikir ke atas kerajaan pemerintah. Bunyinya pun amat gerun dan mendapat perception yang amat negatif.

Diperbodohkan..

Namun disebalik cerita sejarah yang tidak memihak kepada kita itu diselitkan pula cerita kedangkalan dan kebodohan bangsa sendiri sebagai candu dan 'gula-gula' yang mengkhayalkan seperti cerita Pak Pandir dan Mak Mandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Mat Jenin, Si Tanggang dan berbagai-bagai cerita jenaka lagi. Menceritakan kepada anak bangsa tentang kebodohan bangsa sendiri secara turun temurun.

Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk


Cerita Pak Kadok telah dimasukkan ke dalam buku bertajuk "Cherita Jenaka" yang turut memuatkan beberapa cerita-cerita rakyat popular yang lain seperti Pa' Kadok, Pa' Pandir, Lebai Malang, Pa' Belalang, Si-Lunchai oleh Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock pada tahun 1908. Cetakan ini diulang cetak sebanyak beberapa kali dengan edisi ketiga pada tahun 1914 dengan 159 halaman. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Pak_Kadok]

Perlu dikaji semula...

Apa yang diinginkan sekarang ialah semua sejarah perjuangan kemerdekaan dan tanahair perlu dilihat semula dari perspektif kita sendiri. Ia perlu dikaji dan diberikan penilaian yang adil dengan fakta yang betul (authentic) dan tepat berbanding dengan fakta sejarah oleh pihak penjajah. Ia perlu dinobatkan keasliannya sesuai dengan prinsip perjuangan bangsa dan tanahair kita sendiri. Penjajah tetap penjajah. Mereka yang datang menjajah perlu dipanggil sebagai penjajah atau penceroboh dari perspektif kita. Merekalah juga sebenarnya penganas dan 'perompak' di tanahair kita. Kita tidak mahu lagi mendengar cerita sejarah tanah air kita dipermainkan oleh orang lain yang bukan untuk menceritakan hal keadaan kita yang sebenarnya. Sebaliknya mereka lebih kepada memperlekehkan kita semua.

Perompak yang masuk ke dalam rumah kita sewenang-wenangnya dianggapnya sebagai penyelamat dan kita sebagai tuan rumah yang menghalang pula dianggap sebagai penentang dan penjenayah dan perlu dihukum dan disabitkan dengan pelbagai kesalahan.

Reflection...

Kalau hendak dikaitkan dengan apa yang berlaku pada 11/9, kebanyakkan kejadian yang berlaku masih disangsikan dan diragukan oleh pakar-pakar seperti para Arkitek, Jurutera-jurutera dan pakar bangunan yang lain sejak kebelakangan ini. Sebaliknya apa yang berlaku itu banyak kepada menyalahkan puak Islam sehingga digelarnya kita semua sebagai Terrorist. Kebencian mereka terhadap agama Islam begitu mendalam. Dengan peristiwa yang terjadi, habis semua orang Islam terbabit dan merasa cemas, merasa resah dan fobia dengan tohmahan atau fitnah itu. Terutamanya mereka yang menjadi minoriti di negara barat.

Begitulah juga apa yang telah terjadi di negara Iraq dengan kemasukan tentera Amerika dan bersekutu yang dipanggil sebagai penyelamat, dan mereka yang menghalang dan menentang itu sebagai pengganas walaupun mereka anak jati watan yang terkorban untuk berjuang kepada bangsa dan tanah mereka.

Di Afganistan pun begitu juga, puak Taliban dan rakyat Afganistan yang berjuang untuk tanah air mereka, dipanggil sebagai pengganas dan mereka di layan dengan buruk serta menghinakan dan layak menerima hukuman antarabangsa oleh puak tentera Amerika dan bersekutu.

Pihak media dan pencatat peristiwa yang menyebelahi mereka akan terus mencatat, peristiwa yang telah berlaku ini disebabkan oleh pengganas Islam dan seterusnya mengaitkan Islam sebagai agama yang menggalakkan keganasan. Siapakah yang lebih dominent di dalam mencatat sejarah yang berat sebelah ini. Tujuannya hanya untuk melagakan antara sama lain tanpa berasa belas dan kasihan. Yang lebih beruntung adalah mereka yang mempunyai agenda tertentu untuk penaklukan dan pencerobohan di alaf baru ini.

Begitu juga apa yang telah berlaku di Palestine. Peranan pihak British merampas tanah Palestine tidak akan dilupakan oleh orang-orang Islam. Pendatang Israel yang dibantu oleh British telah diangkut beramai-ramai dari serata tempat untuk datang mendiami dan merampas tanah orang-orang Palestine dan diberikan mandat atau authority dan mereka berhak berbuat apa sahaja. Akan tetapi orang-orang Palestine yang telah mendiami tanah air mereka sejak sekian lama, terus dihalau seperti 'anjing' dan dinafikan kewarganegaraan dan ditekan serta ditindas dengan kejam. Harta benda dan tanah kediaman dirampas oleh mereka. Mana-mana orang-orang Palestine yang bangun menentang mereka pula disabitkan sebagai penentang, penjenayah dan pengganas atau terrorist. Tidakkah pelik kejadian ini?...

Kisah para nabi dan rasul

Tetapi kita sebagai orang Islam patut merasa bersyukur kerana sejarah umat manusia, kisah para nabi dan rasul terdapat didalam Al Quran Karim dengan jelas, sahih dan tepat dan tidak mampu dipesongkan cerita oleh manusia yang bernafsu syaitan yang hanya untuk memihak dan berkepentingan mengikut hawa nafsu sendiri sahaja. Kalau hendak dibandingkan cerita ini dengan cerita Israeliat, ia memang jauh berbeza fakta dan jalan ceritanya. Begitulah agungnya wahyu Allah yang terus kekal menjadi pedoman dan rujukan kepada manusia.

Sekian...

abuzorief @ sheffield
8/9/2011, khamis