Program MKP/ISRAA di Lecture Hall, Mechanical Faculty, Sheffield University
Saya mengenangkan apa yang telah diperkatakan iaitu usaha untuk membina generasi Al Quran yang unik atau unggul. Bagaimana?.., macamana?....
Satu persoalan yang besar, yang mana pada kiraan realitinya sangat sukar untuk diperolehi generasi sedemikian, benarkah?
Tetapi tidak mustahil untuk melahirkan generasi sebegini melalui pentarbiyyahan yang berterusan. Pembentukan generasi sahabat terdahulu telah dibuktikan dan mereka mampu menjatuhkan kerajaan Rom dan Parsi dan memerintah 2/3 daripada dunia.
Pengalaman di kem pelarian Palestin
Namun, kini, tidak pula mustahil kerana semasa saya berada di kem pelarian Palestin, Shatila Beirut, saya tidak nampak pun anak-anak palestin yang datang meminta sedekah atau pengemis-pengemis berada di merata-rata tempat, walaupun kita faham dan maklum bahawa mereka berada di dalam keadaan yang cukup susah dan serba kekurangan. Di kejadian yang lain pula, mereka merasa tidak selesa apabila kami ingin mengambil gambar di sekitar kawasan mereka kerana khabarnya mereka tidak mahu ia menjadi bahan ketawa atau lelucun oleh pihak-pihak tidak berkenaan atau sengaja ingin mengambil kesempatan dari kesempitan hidup mereka.
Begitu juga keadaannya yang berlaku di tanah suci Gaza. Menurut salah seorang anggota konvoi AQSA Syarif yang menjejak kaki di sana, walaupun keadaan mereka sangat susah, rumah yang tidak serupa rumah, bangunan-bangunan yang pecah-pecah dibedil dengan peluru dan bom-bom oleh puak Zionist, makanan yang sukar diperolehi, kesihatan yang tidak terjamin, namun mereka tabah, mereka mampu berusaha untuk meneruskan kehidupan, anak-anak dididik dengan penuh izzah (kemuliaan), rakyat dijaga dengan penuh kasih sayang dan kemuliaan, mereka tidak menjadi pengemis atau peminta sedekah, malah mereka masih mampu untuk mempertahankan tanah suci yang menjadi tanah wakaf umat Islam sedunia. Mereka pasrah dengan ketentuan Ilahi dan akan terus mempertahankan tanah barakah itu bagi mewakili pihak kita semua.
Tidak seperti anak-anak 'comel' dan pengemis-pengemis tua yang mengemis di negara sendiri mahupun ditemui di negara-negara jiran. Rakyat di sekeliling boleh dikatakan senang-lenang dan negara amat mewah sehingga 'termuntah-muntah' dengan segala macam kemewahan. Namun tertindas juga golongan sedemikian. Usah dicakaplah tentang keperibadian sepertimana yang dimiliki oleh anak-anak Palestin atau rakyat Palestin.
Sesuatu yang menakjubkan dan sukar untuk mengetahui dimanakah datangnya kelebihan mereka. Mereka mampu menghasilkan generasi yang digeruni oleh puak Israel. Bukan kerana kekuatan senjata dan bukan juga kerana kecanggihan peralatan perang yang bermutu dan berteknologi tinggi.
- Siapakah mereka?
- Apakah formula pembentukan keperibadian ini?
- Kenapa unik sekali generasi mereka?
Kehidupan Arrasul
Di awal usia baginda Arrasul, beliau telah terdedah dengan situasi atau suasana perit, sukar, sedih, hiba, kental, tegas, dan berbagai-bagai lagi. Tambahan pula hidup tanpa mendapat belaian kasih sayang ibu dan ayah dan tentunya tanpa kemesraan diperolehi dari mereka berdua. Di usia dewasa baginda dicemuh oleh kaum keluarga, kerabat dan bangsa serta manusia lain kerana membawa kalimah agung iaitu menyuruh manusia supaya tunduk dan taat kepada Allah sebagai tuhan rabb dan Illah. Semuanya adalah rencana dari Allah Taala yang bukan dibuat-buat secara sembrono untuk mengesahkan kehidupan baginda sedemikian rupa.
Kekentalan hidup baginda menyakinkan manusia yang bersama baginda untuk terus membina generasi yang akan memperjuangkan agama Allah. Malah, rentetan kehidupannya adalah untuk mendidik generasi ketika itu, kini dan akan datang secara langsung tentang ketabahan dan seriusnya usaha mendidik diri, keluarga, sahabat malah memastikan generasi supaya menjadi generasi yang terbaik mengikut acuan yang paling sempurna iaitu Al Quran. Mereka digelar sebagai generasi Al Quran yang unik.
- Pegangan akidah mereka adalah berpandukan Al Quran
- Amalan ibadah mereka menepati spesifikasi syariat
- Akhlak mereka amat sempurna sepertimana termaktub di dalam Al Quran
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah 2:177)
Lihat sahaja kehidupan kita, sama ada di rumah atau di luar rumah, di tempat awam, sekolah atau pejabat, keseorangan atau berteman, bermasyarakat atau berkumpulan dan sebagainya. Malah tidak dinafikan pula dikalangan kita yang mengamalkan berbagai-bagai ideologi dan fahaman yang tidak bertepatan dengan Al Quran dan Sunnah. Apakah ideologi atau fahaman itu?
... Kapitalisma, sosialisma, nasionalisma dan ta'asub kepada bangsa, komunisma, sosialisma, demokrasi, hiburan (hedoisma) dan sebagainya.
Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui. (Al-Baqarah 2:42)
Generasi yang dibentuk dengan Al Quran adalah generasi yang menolak semua ideologi ciptaan manusia kerana ideologi itu mempunyai banyak kepincangan sehingga menimbulkan kerosakan-kerosakan kepada sistem fitrah ciptaan iaitu hubungan dengan Allah Taala dan juga hubungan sesama manusia.
Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat. (Al-Baqarah 2:85)
Kekuatan aqidah
- Pembinaan peribadi manusia yang mampu membuang sejauh-jauhnya pengamalan syirik dan sifat serta amalan kurafat dan jahiliyyah
- Mengakui Allah sebagai rabb dan Illah yang sepatutnya disembah
- Tidak tunduk kepada selain Allah
- Menyakini tanpa ragu-ragu Kitab Allah
Berpegang pada prinsip dan bersikap tegas
- Bertegas di dalam perkara-perkara hukum dan syariat
- Mempertahankan perkara-perkara yang hak
- Menolak sekeras-kerasnya perkara batil
Ukhuwwah
- Menjalinkan ukhuwwah melangkaui batas bangsa dan kaum
- Bersikap lemah lembut sesama mukmin dan bersikap tegas dengan puak yang menentang Allah dan Rasul
Mentaati Allah dan Rasul
- Taat kepada suruhan dan larangan Allah dan Rasul di dalam setiap hal dan keadaan
Semoga kita bersama-sama membina generasi yang menepati acuan Allah dan mampu sekali lagi mengegarkan dunia dengan keperibadian yang cukup hebat dengan digelar sebagai generasi Al Quran yang unik.
Rasullullah SAW menyebut "Manusia ini seperti logam, orang yang terbaik dizaman jahiliyyah adalah orang yang terbaik di zaman Islam, jika mereka memahami"
Wallahu 'alam, sekian
abuzorief @ sheffield
10 muharram 1433H
6/12/2011 selasa
No comments:
Post a Comment