Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1433H. Semoga kita terus berusaha untuk istiqamah di atas segala tindakan dan amal kita kerana Allah, dan moga-moga kita menjadi hamba Allah yang sangat intim hubungan dengannya setiap masa.
Kesihatan
Perubahan masa,... hari, minggu, bulan dan tahun. Secara tidak langsung, perubahan ini tetap berlaku kepada usia manusia. Umur kian meningkat, berkadaran songsang dengan tahap lemahnya kesihatan tubuh badan dan berhadapan dengan risiko pelbagai penyakit dan semakin hari semakin lemahnya imunisasi pada tubuh badan.
Pentarbiyyahan
Perubahan mestilah disertakan dengan proses pentarbiyyahan yang tersusun dan berterusan, walaupun memakan masa bertahun lamanya. Kesungguhan atau pengorbanan yang tidak mengenal erti kecewa, mampu menghasilkan jiwa yang kental dan matang. Walaupun usaha-usaha pentarbiyyah ke arah perubahan ini dianggap remeh, kecil dan tidak menampakan hasilnya di depan mata.
Kerosakan akhlak
Walaupun usaha maaruf banyak dilakukan disana-sini, tetapi perbuatan mungkar dan fasad (kerosakan) semakin menjadi-jadi di setiap sudut, seolah-olah keadaannya bersaing diantara satu sama lain.
Paling ketara ialah perlakuan akhlak yang buruk dan keji. Kita terdedah dengan amalan dan budaya yang bertentangan dengan kehendak Islam. Mudah terikut-ikut dengan trend yang dikatakan moden tanpa menilai dari segi kebenaran hukum dan syariat, kononnya bertepatan dengan masa dan realiti hidup. Berakhlak dengan akhlak syaitan dan nafsu haiwan, gagal menyempurnakan amanah, menzalimi antara satu sama lain, menindas, menafikan hak dan keadilan, gagal mengurus hal-hal kebajikan dan jauh dari melaksanakan hukum dan syariat Allah.
Sikap dan sifat ehsan di dalam diri semakin hilang. Banyak amalan bercanggah dengan keperluan maqasid syarak (tujuan syarak). Setiap perlakuan kehidupan kita, sedikit demi sedikit secara tidak langsung telah menafikan kesempurnaan penghormatan terhadap akal, agama, harta, jiwa dan keturunan.
Kehidupan hanya berpandukan kepada realiti semasa yang jauh dari sibghah Allah (acuan Allah), didikan Rasulullah dan petunjukan serta pedoman dari kitab Allah.
Agenda kita
Sebenarnya banyak agenda yang perlu kita uruskan. Apa yang berlaku disekeliling kita, memaksa kita berbuat sesuatu.
- Meneruskan usaha-usaha mendidik diri sendiri
- Meneruskan usaha-usaha mendidik ahli keluarga
- Bersama-sama membina suasana soleh wa musleh di dalam kelompok masyarakat
- Berganding bahu memastikan kita memperolehi sebuah negara yang dapat mendaulatkan agama Islam
- Kesatuan ummah yang terpimpin secara keseluruhannya di atas muka bumi ini untuk tunduk dan patuh kepada Allah Azzawajalla.
Wallahu 'alam, sekian.
abuzorief @ sheffield
1 muharram 1433h
26/11/2011 sabtu
No comments:
Post a Comment