Thursday, 25 December 2008

Mencari Amanah Pencipta ...2


Kali ini penulisan saya lebih menjurus kepada peluang membuat kebajikan sesama insan atau makhluk alam yang lain. Sepertimana di ruangan Mencari Amanah Pencipta (1) yang lalu. Banyak kelebihan kalau kita membuat kebajikan. Lebih-lebih lagi kebajikan itu kepada mereka yang sangat memerlukan. Samada kebajikan yang kita bagi itu dalam bentuk harta, wang ringgit atau bantuan fizikal atau doa harian. Kecil atau besar, banyak ataupun sikit, semuanya bermakna kepada yang memerlukan dan diperhatikan oleh Pencipta yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Imbauan

Saya mengimbau kembali usaha kebajikan yang telah dilakukan bersama-sama sahabat-sahabat yang dikasihi. Dari mula kerja mengagih sumbangan Ramadhan sehinggalah berjaya menyumbang kerusi roda kepada mereka yang memerlukan. Sumbangan itu, tidak semua orang mampu memilikinya. 

Ingatan saya terus membawa mengimbau di saat-saat dimana sahabat-sahabat disibukkan pula dengan pengumpulan baju terpakai untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor dan Kedah. Begitu juga kepada mereka yang ke Acheh untuk menabur budi dan jasa membantu mangsa Tsunami. Insyaallah, semua kerja itu pasti mendapat ganjaran dari Allah Taala. 

Apabila disertakan dengan niat yang ikhlas untuk membantu maka bantuan itu sebenarnya adalah dari Allah Taala. Dialah yang mengerakkan hati kita supaya membantu. Tanpa bantuan dari Allah, memang susah hendak kita gerakkan tulang empat kerat yang kita ada untuk berbakti kepada mereka. Ibarat, beratnya seperti hendak mengangkat batang-batang besi. Teramat sungguh berat.


Dan perumpamaan orang yang menginfaqkan hartanya untuk mencari redha Allah dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang di siram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Surah ke 2, Al-Baqarah: Ayat 265)





Kita baru bercakap...

Saya pernah ke sebuah gudang pengumpulan barang-barang terpakai di Kulim di belakang kedai perabot yang berada di atas bukit berhadapan dengan Restoran Nasi Kandar Nasmir. Gudang tersebut dimiliki oleh kaum Cina. Sebelum itu, mereka beroperasi di sebuah kedai terbiar di kawasan yang tidak jauh dari bangunan TNB Kulim, kecil sahaja kawasannya. Saya tidak berapa ingat nama Tamannya apa. Selepas beberapa tahun kemudiannya, mereka sudah memiliki sebuah gudang besar. Malah mereka mampu mengajikan pula anak-anak muda dan makcik-makcik Melayu, bangsa saya sendiri untuk bekerja dengan mereka. Hebat modus operandi atau gerak kerja mereka ini. Mereka amat fokus kepada kerja dan akhirnya berjaya dalam perancangan mereka. Produknya ialah semua barang-barang terpakai seperti pakaian, kotak, besi buruk, cermin, barang mainan kanak-kanak, hasil buangan kilang malah apa saja barangan buangan semuanya mereka kumpulkan. Kemudian mereka akan sisihkan satu persatu mengikut jenisnya. Ada yang mereka jual dan ada yang mereka dermakan. Hasil jualan mereka salurkan ke pusat Heomodalisis, milik mereka sendiri. Hasil buangan tersebut juga mereka jual di kedai-kedai bundle mereka sendiri.


Kalau kita baru bercakap, tetapi mereka telah melangkah jauh ke hadapan. Contohnya, berapakah banyak pusat-pusat kebajikan, pusat-pusat heomodalisis yang telah kita usahakan?. Sebaliknya, mereka telah lama mengusahakan dengan hanya dari sisa-sisa buangan atau barang-barang terpakai. Siapa sangka semua barangan terpakai yang dibuang itu dapat membantu golongan yang amat memerlukan. Tidak popular bukan?. Bagi kita barangan buangan tersebut amat jijik dan kotor. Kita sendiri tidak snggup untuk melakukannya. Itulah realitinya, Thats life is challenging to get survive.

Sudah cukup duit...


Mestikah kita akan membantu apabila kita sudah cukup harta dan wang ringgit?. 

Menyumbanglah walau sedikit dengan hanya sekeping duit siling 1 sen atau sekeping roti putih. Ia lebih baik dari kita berpeluk tubuh atau menyeluk poket seluar dan baju. Tetapi yang keluarnya hanya jari-jemari nan kedekut yang akan menjadi kematu kelak.


Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang harus mereka infaqkan. Katakanlah, "Harta apa saja yang kamu infaqkan, hendakknya diperuntukkan bagi kedua oang tua, kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang dalam perjalanan." Dan kebaikan apa saja yang kamu kerjakan, maka seungguhnya Allah Maha Mengetahui. (Surah ke 2, Al-Bqarah: Ayat 215)


Doa insan yang kemiskinan

Allah tidak membantu orang yang melakukan kezaliman dan sombong. Doa orang yang dizalimi lebih mustajab. Kalau orang yang kita bantu itu mendoakan kesejahteraan untuk kita, masya Allah.. itulah yang kita mahukan. Doa mereka mustajab. Doa mereka dimakbulkan Allah. Selagi mana mereka menggunakan hasil bantuan dari kita, selagi itulah ganjaran pahala berjalan seperti speedometer (meter km/h) kereta kita. Lagi laju kita pandu, lagi ligatlah putaran speedometer tersebut. Begitulah ibaratnya dengan amal dan ganjaran pahala dari Allah Taala.


Bagi mereka yang kurang upaya, bukanlah hasrat mereka untuk hidup sedemikian. Merempat untuk mengharap bantuan dan belas kasihan. Menadah tangan untuk menagih bantuan dan simpati. Mereka juga terpaksa melakukannya untuk meneruskan hidup. Biar pun hidup mereka hanya mampu untuk menghidu udara busuk dunia dan menumpang hidup seketika di bumi petualang ini.

Bantulah..


Kita golongan yang bernasib baik yang telah diletakkan Allah di atas platform yang baik. Kita doalah supaya kita akan terus berada di atas kelesaan hidup ini. Kita tidak mahu hidup dalam kesempitan. Kita tidak mahu jadi orang yang meminta-minta. Tetapi kita mahu jadi orang yang memberi dan mampu membantu saudara kita yang memerlukan.


Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapus sebahagian kesalahan-kesalahanmu. Dan Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan. (Surah ke 2, Al-Baqarah- Ayat 271)


Barang siapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah melipat-gandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepadanyalah kamu dikembalikan. (Surah ke 2, Al-Baqarah: Ayat 245)


Ingat!. Memberi walaupun sedikit tetapi Allah akan melipat-gandakan rezeki kita. Rezeki dan hak keselesaan hidup adalah hak Allah. Itu semua kerja Allah, bukan kerja kita. Berusaha dan berdoalah supaya kita dipermudahkan urusan rezeki dan mampu menghulurkan bantuan kepada yang hak walaupun dengan bacaan sesurah Al Fatihah.... 

Ameen.

abuzorief @ darnall, sheffield
thursday, 25/12/2008 13:38
British Summer Time

Tuesday, 16 December 2008

Mencari Amanah Pencipta (1)

Bertuah sungguh kita, kalau sudah memenuhi tiga keperluan asas hidup. Ada makanan, tempat tinggal dan pakaian. Bagi mereka yang masih tidak ada, maka bantulah mereka. Allah suruh kita berbuat baik sesama insan. Tunjukkanlah rasa keperihatinan kita sesama insan. Barulah ada rasa persamaan. 

Fokus kepada penulisan ini ialah betapa pentingnya pakaian. Pakaian amat penting. Bentuk badan kita perlu dilindungi. Buah cempedak pun kita balutnya, inikan pula tubuh badan kita yang begitu unik ciptaannya. Patut sangat kita merasa bangga dan serahkan pujian itu kepada Allah Taala. 

Tubuh badan yang cantik mesti dijaga dengan elok. Bukannya di dedah dan dibiarkan berhadapan dengan anasir-anasir jahat yang akan mencacatkan tubuh badan kita kelak. Mungkin akan terkena selumbar, kayu, percikan api, panas matahari atau sejuk melampau. Dan lebih molek lagi ditutup sepenuhnya sepertimana yang diperintahkan pencipta kita. Aurat di jaga akan selamat dari segala bahaya. Bahaya dari fitnah, bahaya dari dicabul kehormatan, bahaya dari diganggu oleh manusia bernafsu haiwan dan sebagainya. 

Tetapi kita tak pernah bersikap amanah pada diri kita sendiri. Tubuh badan yang cantik adalah amanah dari pencipta. Kenapa kita mesti khianati amanah yang diberikan?. Apa, kita sudah tidak sayang pada tubuh badan kita sendiri? dan kenapa? tak percaya?....


Pilih-pilihlah kasut yang tak pakai untuk disumbangkan.
-
Jangan bagi kasut yang dah rosak
-
Lebih-lebih lagi pakaian,...maklumlah sejuk

Bagi yang berkemampuan dan lebih wangnya, hulur-hulurlah pada yang memerlukan. Buatlah amal jariah sebelum mati. Bukannya banyak pun yang mereka mahukan dari kita, tetapi mereka mahukan kasih sayang dan keperihatinan masyarakat. 

Bantulah dengan belas ehsan. Sumbangan yang dipinta, itu pun pakaian yang sudah lusuh, sudah tidak muat untuk dipakai, yang lama dan kita pun sudah muakuntuk memakainya, tetapi ada insan lain yang amat memerlukan. 

Apa salahnya kalau diberikan kepada mereka yang amat memerlukan?. Itulah amal jariah yang pasti diperhitungkan beratnya walaupun sedikit. 

Firman Allah...Wahai orang-orang beriman, hendakkah kamu, aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?...Kamu beriman dengan Allah dan Rasul dan berjihad di Jalan Allah. Itulah yang lebih baik sekiranya kamu mengetahui...(As-Saff, 61:9-10)



Saya amat tersentuh dengan usaha masyarakat Islam di UK, yang berterusan membantu sama ada Individu, persatuan, NGO, Charity berdaftar dan sebagainya. Mereka berganding bahu untuk melakukan kerja amal ini. Mungkin mudah dan kecil sahaja di kelopak mata kita dan mungkin bagi anggapan kita itulah amal yang tidak popular. Tetapi amal yang tidak popular inilah yang akan dikira oleh Allah Azza Wajalla sebagai pemberat amal kita di akhirat kelak.

Sekian

abuzorief @ darnall, sheffield

tuesday, 16/12/2008 19:24
British Summer Time

Nota: Allah juga menuntut kita berbuat kebajikan, lebih-lebih lagi kebajikan sesama insan kerana amal yang berterusan dan ikhlas amat dikasihi tuhan.