Friday, 31 May 2013

Kenapa menulis?...


Artikel-artikel ini dihimpunkan hasil dari pemerhatian, pengembaraan dan perjalanan saya secara rasmi atau tidak rasmi. Apa yang ditulis itulah sebenarnya apa yang berlaku di hadapan mata saya. Tidak mungkin kenangan itu dibiarkan begitu sahaja. Kadangkala otak kita mesti diasah supaya 'kekaratan' itu tidak akan menghakiskan kekuatan ingatan yang bersifat sementara.

Saya sebenarnya seorang Jurutera Professional di bidang Elektrikal di RHA Consulting Engineers Sdn Bhd. Pekerjaan saya banyak melibatkan kerja-kerja perundingan kejuruteraan di bidang Mekanikal dan Elektrikal untuk projek-projek pembangunan dan pembinaan. Pengalaman berhadapan dengan berbagai kerenah dan tingkah-laku manusia banyak mengajar saya apa itu erti kehidupan. Tidak semuanya adalah 'Malaikat-malaikat' di sekeliling kehidupan kita.

Keputusan isteri saya untuk melanjutkan pelajaran diperingkat PhDnya di UK pada tahun 2008, sedikit sebanyak merunsingkan saya kerana terpaksa meninggalkan kerja syarikat yang banyak dan sedang meningkat naik sejak penubuhannya pada tahun 2005. Bukan mudah untuk saya meninggalkan sementara waktu kerja-kerja harian syarikat yang telah menjadi rutin utama di dalam urusan mencari rezeki. Namun terpaksa juga ditinggalkan buat sementara waktu berbekalkan azam dan tawakal kepada Allah Taala.

Kehidupan saya di UK, banyak memberikan saya ruang masa untuk menulis dan mencatatkan apa yang berlaku di sana. Lebih bermakna di dalam persoalan kehidupan itu, banyak perbandingan positif dan negatif atau di dalam erti-kata, asam-garam kehidupan.

Menulis dan mencatat memang menyeronokkan, tetapi terpaksa memerah idea-idea dan butir-butir ayat untuk disusun supaya menjadi kata-kata yang mudah untuk dibayangkan realitinya, diselami nukilan itu supaya pembaca juga turut merasai apa yang penulis alami. Bukan perkara mudah kalau apa yang hendak ditulis dan dicatat itu tidak dijiwai sepenuhnya.

Berdasarkan apa yang dinukilkan atau dicatatkan ini, bukanlah bermakna ia adalah satu-satunya resam kehidupan yang mesti berlaku pada setiap orang. Tetapi penulisan ini adalah untuk dijadikan iktibar dan peringatan pada diri penulis sendiri.

Semoga usaha kerdil ini diterima sebagai ibadah oleh Allah Taala.

Sekian, wallahu 'alam.

abuzorief @ penang
31/5/2013 jumaat

Tuesday, 7 May 2013

Kenyataan Media IKRAM, Pasca PRU-13



KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
PASCA PILIHANRAYA UMUM MALAYSIA KE-13
7 Mei 2013 bersamaan 26 Jamadil Akhir 1434 H


Kelmarin, Pilihanraya Umum ke – 13 (PRU13) telah selesai dilaksanakan.

IKRAM merakamkan ucapan tahniah kepada semua pengundi Malaysia yang telah keluar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan aman. Dengan peratusan keluar mengundi lebih 80%, yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah PRU di negara ini, kesedaran politik rakyat Malaysia tentunya sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Mereka sudah faham apakah itu erti kuasa rakyat.

Walaubagaimanapun, IKRAM mengambil perhatian berat terhadap kemungkinan berlakunya proses pengundian yang meragukan, malahan bertentangan dengan undang-undang sehingga menjadikan PRU13 dilihat bukannya satu proses demokrasi yang bebas dan adil. IKRAM mengambil maklum perihal beberapa isu seperti publisiti media yang berat sebelah, masalah dakwat kekal yang mudah dibasuh, proses pengundian yang meragukan serta pengundian awal dan pengundian pos yang tidak telus dan boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

Ketelusan institusi yang bertanggungjawb khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi tanda tanya, diragui serta dicemari. IKRAM mempersoalkan kesahihan keputusan yang telah dimaklumkan. IKRAM menuntut SPR memberi penjelasan kepada setiap isu keraguan yang ditimbulkan sebelum ia dapat diterima sewajarnya.

IKRAM menggesa Pakatan Rakyat memilih pendekatan aman, melalui tindakan undang-undang atau perhimpunan aman.

Pengalaman PRU13 ini menguatkan lagi tekad IKRAM untuk terus memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Jangan sesekali memandang kecil kuasa dan pengaruh rakyat jelata Malaysia!

Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


Thursday, 2 May 2013

Ubah!... Ini kalilah


Teringin sangat untuk melihat perubahan lanskap politik Malaysia negaraku merdeka. Ya! sudah 55 tahun Negara Malaysia merdeka dari jajahan penjajah yang datang untuk mencabut kedaulatan Negara.

Dahulu rakyat bersatu menentang penjajah...

Dahulu rakyat bersatu untuk menentang sang penjajah kerana untuk merealisaikan misi dan visi yang besar yang satu iaitu menentang penjajah dan negara berdaulat. Mereka datang merosakkan adat kebudayaan, kesucian Islam, dan kemakmuran negara. Mereka datang dengan tujuan yang jelas dan bukan sahaja semata-mata untuk menjajah negara ini. Ada yang datang kerana untuk mengaut kekayaan hasil mahsul negara ini, ada yang datang untuk meracuni fikiran terhadap siapa ketuanan yang memimpin dunia dan melutut sujud menyembah, ada pula yang datang dengan rasa dendam untuk menghapuskan agama Islam di atas muka bumi ini walau seinci mana sekalipun mereka berada. Lebih-lebih lagi kecemburuan dan kedengkian mereka terhadap agama Islam yang sebelum ini terbukti telah memerintah hampir 2/3 dunia dengan kemajuan tamadun ilmu dan akhlak yang tidak boleh lagi dinafikan oleh sejarah dunia.

Susahnya rakyat ketika itu untuk mendapat makanan, walaupun dari hasil tuaian sendiri. Apa yang boleh dimakan atau digenggam itulah yang dimakan. Mujur ada ubi kayu sebagai makanan harian, makan biji getah, makan bubur tanpa lauk dan garam dan makan segala pucuk kayu yang tumbuh. Malah rakyat marhaen sukar mendapatkan makanan yang enak-enak. Adat makan mereka hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, dan adakalanya mereka tidak ada makanan untuk dimakan, terus untuk beberapa hari, minggu atau bulan.

Candu...

Penjajahan mendatangkan banyak keburukan dari kebaikan. Huru-hara dan dendam adalah akibatnya. Kita tidak menafikan bahawa mereka juga membawa perubahan terhadap kemajuan negara, kemudahan infrastruktur dan kemahiran urus tadbir, kerana mereka juga akan hidup untuk jangka masa yang lama semasa penjajahan. Penjajah akan merampas segala tanah, harta rakyat dan hasil negara sewenang-wenangnya, Undang-undang mereka diguna-pakai untuk menjaga keselamatan mereka di negara ini.

Suasana keselesaan dan ketuanan mereka inilah yang akan menjadi 'candu' kepada anak bangsa untuk menjadi tali barut kepada penjajah.  Kehidupan tali barut ini berubah 'wajah', dari segi pakaian, gaya cakap, tingkah laku, gaya makan dan keselesaan sebagainya untuk mengikut jejak langkah si penjajah. Sanggup menzalimi bangsa sendiri untuk kesenangan perut sendiri.

Suasana 55 tahun penjajahan dahulu juga telah meninggalkan kesan buruk terhadap bangsa sendiri. Sebahagian atau segolongan orang Melayu yang senang dan berada di dalam kerajaan yang memerintah ketika itu sudah bertukar adat dan tatasusila hidup. Malah mereka juga bertuhankan harta dan kuasa. Rakyat miskin dan marhaen kena bersujud di kaki mereka untuk menumpang senang. Bukannya diberi secara percuma tetapi kena berbakti. Mereka mengujudkan lapisan darjat antara warga kayangan, bangsawan dan rakyat merempat hina dina. Katanya, merekalah yang layak memimpin, memerintah dan berkuasa. Mereka juga yang menentukan banyak mana dan saiz periuk nasi orang lain. Malah, kehidupan itu jauh dari panduan Al-Quran dan Sunnah, kehendak kesucian agama Islam. Rakyat miskin juga yang utuh memegang dan menjaga agama Islam dari dibuang oleh puak-puak kayangan dan bangsawan ini.

Mungkin kita tidak dapat membayangkan keperitan, kesengsaraan itu melainkan mereka yang benar-benar berada dalam situasi sedemikian.

Itu cerita dulu-dulu. Sekarang negara Malaysia sudah bebas dari penjajahan yang bersifat fizikal. Teorinya Malaysia sudah merdeka.

Kini sudah 55 tahun...

Kini, 55 tahun telah berlalu, saban tahun diingati dan dirayai oleh kita. Perubahan kehidupan yang ketara jelas. Begitu juga, tidak dinafikan tiada lagi huru-hara dan peperangan. Banyak pembaharuan dan kemajuan di sana-sini. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang memerintah itu adalah dari parti yang menang yang telah dipilih oleh rakyat jelata. Kerana parti yang menang itu menjadi kerajaan dan kerajaan itu bertanggungjawab dan mestilah menjaga kedaulatan negara, menjaga kemajuan negara dan rakyatnya, meningkatkan ekonomi negara, menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya, menjamin kebajikan rakyatnya dan memerintah dengan dengan adil dan saksama.

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.  [Al-Ahzab [33:72] ]


Parti mana yang dilantik mewakili rakyat dan mentadbir negara mestilah:
  • Bertanggungjawab
  • Adil dan saksama kepada semua lapisan rakyat dan bangsa
  • Berkhidmat untuk rakyat bukannya kepada parti dan pengikutnya
  • Menjaga kebajikan rakyat dan negara
  • Amanah di dalam pengurusan dan tadbir
  • Tidak sombong (arrogant) terhadap rakyat
  • Tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada ditangan
  • Berjiwa rakyat bukannya berjiwa kayangan dan bangsawan
  • Telus di dalam mengurus tadbir harta, wang dan kekayaan negara
  • Tidak memperjudikan nasib rakyat kerana untuk berkuasa
  • Berusaha untuk menaikkan taraf kehidupan rakyat bawahan
  • Sedar dan bersederhana di dalam gaya hidup sebagai pemimpin bertauladan
  • Menjaga kedaulatan agama Islam disudut perundangan negara

Ramainya pemimpin korup...

Akan tetapi, Kerajaan yang sudah 55 tahun memerintah dimana pemerintahannya sudah lari dari tujuan asal. Sikap dan sifat semakin tidak disenangi oleh rakyat jelata. Kerajaan yang lebih mengutamakan kebendaan sehingga lebih segala-galanya. Saling bermusuh-musuhan sesama sendiri kerana kebendaan. Sumber manusia bersifat kebendaan. Kehidupan menjadi celaru kerana kebendaan. Pemimpin-pemimpin yang mentadbir kerana kebendaan. Oleh itu, mereka gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.

Apakah kita sanggup membela pemimpin-pemimpin yang secara terang-terangan mempunyai sifat dan kelakuan yang buruk di dalam urusan pentadbiran awam?. Mereka yang dilantik sepatutnya menjaga segala kepentingan awam, bukannya mengambil kesempatan di dalam mengkayakan diri sendiri, anak isteri mahupun kaum kerabat. Itu bukan tiket untuk terus berkuasa dan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat.





Kini rakyat bersatu menentang parti korup - musang berbulu ayam...


Rakyat sekarang bukan lagi rakyat yang dulu. Rakyat yang bukan hanya mengikut membabi buta sahaja tanpa berfikiran secara waras. Alhamdulillah, rakyat yang sedar dan sudah tahu membezakan hak-hak yang sepatutnya diperolehi dari kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang memerintah tidak boleh sesuka hati untuk menekan rakyat jelata yang terus mencabar mereka. Sebaliknya pemimpin dan parti itu mesti sedar segala apa yang mereka lakukan itu telah menyebabkan rakyat marah, kecewa dan kesal. Janganlah semata-mata kerana untuk merealisasikan impian untuk terus berkuasa, mengaut kekayaan hasil negara, maka apa yang tidak sah dan haram itu dihukumnya halal dan sah.

Kini, dalam proses peralihan kuasa, secara terang-terang kerajaan sementara telah berlaku khianat dengan menggunakan seluruh jentera dan kemudahan awam untuk memenangkan parti mereka, dan rakyat sentiasa bersabar dengan perbuatan mereka di dalam setiap tingkah-laku yang tidak betul yang telah dilakukan. Kalaulah perkara asas ini pun mereka khianati, apatah lagi dengan perkara-perkara yang lebih besar dan serius yang melibatkan perbendaharaan negara, hak rakyat, wang rakyat dan lain-lainnya.

Kuasa sebenarnya adalah ditangan rakyat, yang mana mereka dipilih melalui proses yang dikatakan demokrasi. Akan tetapi demokrasi itu juga dicabuli. Menolak parti dan pemimpin yang korup itu mesti supaya mereka sedar akan segala apa yang telah mereka lakukan.

Supaya negara, bangsa dan agama terpelihara dari parti dan pemimpin yang bukan:
  • Parti yang korup
  • Pemimpin yang bermasaalah,
  • Cuai dan tidak cekap,
  • Sombong dan bongkak,
  • Rakus dan tamak,
  • Tidak amanah dan khianat,
  • Tidak telus dan beragenda tersembunyi,
  • Tidak berprinsip dan beretika,
  • 'Pencuri' harta rakyat dan negara,
  • Pemerah wang rakyat,
  • Songlap duit rakyat
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. [Al-Araf [7:3] ]

Selamat mengundi PRU-13...

abuzorief @ N36 - pantai jerejak
1 may 2013, hari buruh