Pages

Friday, 31 May 2013

Kenapa menulis?...


Artikel-artikel ini dihimpunkan hasil dari pemerhatian, pengembaraan dan perjalanan saya secara rasmi atau tidak rasmi. Apa yang ditulis itulah sebenarnya apa yang berlaku di hadapan mata saya. Tidak mungkin kenangan itu dibiarkan begitu sahaja. Kadangkala otak kita mesti diasah supaya 'kekaratan' itu tidak akan menghakiskan kekuatan ingatan yang bersifat sementara.

Saya sebenarnya seorang Jurutera Professional di bidang Elektrikal di RHA Consulting Engineers Sdn Bhd. Pekerjaan saya banyak melibatkan kerja-kerja perundingan kejuruteraan di bidang Mekanikal dan Elektrikal untuk projek-projek pembangunan dan pembinaan. Pengalaman berhadapan dengan berbagai kerenah dan tingkah-laku manusia banyak mengajar saya apa itu erti kehidupan. Tidak semuanya adalah 'Malaikat-malaikat' di sekeliling kehidupan kita.

Keputusan isteri saya untuk melanjutkan pelajaran diperingkat PhDnya di UK pada tahun 2008, sedikit sebanyak merunsingkan saya kerana terpaksa meninggalkan kerja syarikat yang banyak dan sedang meningkat naik sejak penubuhannya pada tahun 2005. Bukan mudah untuk saya meninggalkan sementara waktu kerja-kerja harian syarikat yang telah menjadi rutin utama di dalam urusan mencari rezeki. Namun terpaksa juga ditinggalkan buat sementara waktu berbekalkan azam dan tawakal kepada Allah Taala.

Kehidupan saya di UK, banyak memberikan saya ruang masa untuk menulis dan mencatatkan apa yang berlaku di sana. Lebih bermakna di dalam persoalan kehidupan itu, banyak perbandingan positif dan negatif atau di dalam erti-kata, asam-garam kehidupan.

Menulis dan mencatat memang menyeronokkan, tetapi terpaksa memerah idea-idea dan butir-butir ayat untuk disusun supaya menjadi kata-kata yang mudah untuk dibayangkan realitinya, diselami nukilan itu supaya pembaca juga turut merasai apa yang penulis alami. Bukan perkara mudah kalau apa yang hendak ditulis dan dicatat itu tidak dijiwai sepenuhnya.

Berdasarkan apa yang dinukilkan atau dicatatkan ini, bukanlah bermakna ia adalah satu-satunya resam kehidupan yang mesti berlaku pada setiap orang. Tetapi penulisan ini adalah untuk dijadikan iktibar dan peringatan pada diri penulis sendiri.

Semoga usaha kerdil ini diterima sebagai ibadah oleh Allah Taala.

Sekian, wallahu 'alam.

abuzorief @ penang
31/5/2013 jumaat

No comments:

Post a Comment