Pages

Sunday, 14 November 2010

Jurutera, profession dan intergriti


Profession sebagai seorang Jurutera Muslim bukanlah satu kebanggaan. Ianya penuh dengan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Tetapi ujian dan halangannya amat berat kerana untuk memenuhi tanggungjawab yang dipikul dan amanah yang mesti dilaksanakan terhadap kemajuan masyarakat dan negara. Walaupun ianya menjadi pekerjaan pertama untuk menyempurnakan mata pencarian atau rezeki kehidupan harian tetapi di sana terletak satu beban tanggungjawab dan amanah yang memerlukan pengorbanan diri sendiri.

Jurutera yang hebat ialah Jurutera yang mampu mengangkat diri ke martabat keimanan bersama-sama dengan kerjayanya. Beriman bersungguh-sungguh dengan Allah Taala sebagai tuhan Rab, Illah serta kesempurnaan Asma wal sifatnya. Beriman dengan Rasul-Rasul sebagai ikutan dan qudwah. Menjadikan Al Quran sebagai pegangan, pedoman dan punca pencarian ilmu. Dan merealisasikan jihad yang menuntut kepada pengorbanan diri dan harta.

Modernization

Modenization kini yang diertikan sebagai berlumba-lumba membawa arus kemajuan berbentuk fizikal seperti membangun ekonomi negara, memajukan prasarana dan pembangunan sains dan teknologi negara dan sebagainya. Semuanya berpaksikan kepada kemajuan dan kejayaan negara yang berbentuk fizikal kebendaan. Malah kita menjadi bangga kerana modernization itu membawa kepada konsep westernization. Kita sedia maklum bahawa masyarakat barat kini telah lemah dengan nilai dan adab kemanusian semata-mata mengejar kemajuan fizikal.

Islam tidak menghalang kita mengamalkan budaya hidup yang moden di samping pesatnya kemajuan di bidang sains dan teknologi. Sekiranya konsep modernization untuk memajukan sektor sains dan teknologi diperkuatkan dengan nilai akhlak keinsanan maka ia bukan sahaja mampu menjulang peribadi-peribadi menjadi hebat tetapi membawa kepada terlaksanakan sebuah tamadun yang selari dengan didikan Al Quran dan As Sunnah. Kini apa yang dikesali, slogan modernization yang dipopularkan oleh negara maju telah banyak menengelamkan nilai moral dan peradaban manusia. Nilai akhlak terpisah kepada dua bahagian dan masa.

Apabila “nilai kemanusiaan” atau “moral kemanusiaan” yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamaddun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula merupakan suatu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, sebagaimana yang dituduh oleh “pentafsiran ala benda atas sejarah” atau seperti yang dituduh oleh para penganut "sosialisme saintifik”. (Syed Qutb: Petunjuk sepanjang jalan - Islam ialah Tamadun)

Generasi quranik

Para sahabat Rasulullah mempelajari dari Al Quran untuk mencari arahan dan perintah dari Allah untuk dilaksanakan di dalam kehidupan seharian. Tidak sedikit pun menganggap ianya sebagai beban dan menyulitkan perjalanan hidup. Mereka begitu yakin dengan intipati yang tersurat dan tersirat. Mereka merasa satu kelainan dan kehebatan yang teramat apabila Al Quran ini dihuraikan di dalam bentuk pengamalan hidup harian dan bermasyarakat.

Kalau diimbaskan kembali kehebatan tentera Islam semasa perluasan empayar yang menjadi kebanggaan kita sekarang, sudah cukup untuk kita bertanya dimanakah dan dari manakah kehebatan mereka perolehi. Kisah Sa'ad Ibni Abi Waqqas ketika mana beliau jatuh sakit semasa Haji Wida' selepas pembukaan kota Mekah dan pada masa itu beliau hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja. Beliau telah menawarkan 2/3 dari hartanya kepada Rasulullah sebagai sadaqah untuk digunakan ketika berperang. Katanya ia sudah hampir di saat kematian. Jawab Rasulullah tidak, usia kamu lebih panjang dari aku. Lalu Rasulullah menolak tawaran harta dari beliau dan bertanya adakah kamu masih mempunyai anak. Masih ada ya Rasulullah, maka kamu berikanlah kepada anakmu. Tetapi beliau menawarkan semula setengah dari hartanya lalu Rasulullah masih menolak. Lalu Saad Ibni Abi Waqqas menawarkan lagi 1/3 dari hartanya dan 2/3 hartanya diberikan kepada anaknya. Maka Rasulullullah  menerima tawaran itu walaupun pemberian itu tetap masih terlalu banyak. Berilah kepada anakmu supaya dia boleh berdikari dan tidak meminta-minta daripada orang lain. Rasulullah pernah berkata kepadanya bahawa kamu akan dapat menguasai sebahagian daripada dunia. Benarlah apa yang diperkatakan oleh Rasulullah. Ketika di bawah pemerintahan Kalifah Umar, beliau telah dilantik sebagai panglima tentera dan Gabenor di Kuffah dan Najad. Manakala di bawah pemerintahan kalifah Uthman pula, beliau telah berjaya membawa Islam ke negara China. Begitulah hebatnya seorang yang bernama Sa'ad Ibni Abi Waqqas dengan ketinggian budi pekerti, pengorbanan dan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab.

"Suatu ketika dahulu semasa saya bekerja dengan beberapa Jurutera dan Manager Jepun, saya dapati mereka begitu setia bekerja untuk diri dan syarikatnya. Seolah-olah itulah syarikat pertama dan terakhir bagi mereka. Bekerja dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. Sentiasa menjaga masa terutama waktu bekerja, mesyuarat dan juga appointment (tiba awal di pejabat dan balik lewat apabila semua pekerja bawahan sudah balik pada waktunya dan pernah salah seorang di antara mereka berkata, mereka merasa malu untuk balik awal sekiranya ada di kalangan mereka yang belum balik lagi), tidak bermain-main semasa bekerja, tidak banyak bersembang dan membuang masa semasa bekerja, sentiasa hormat pada semua pekerja baik pihak atasan atau pihak bawahan, sentiasa menjaga kualiti dan tertib terhadap tugasan, tidak merungut apabila kerja lebih masa, ... semua ciri-ciri ini amat bertepatan sepertimana yang disaran di dalam Al Quran dan sunnah Ar Rasul SAW."

Amalan beretika bagi seorang Jurutera sudah lama dibincangkan. Baik di media massa mahu pun di forum-forum akademik. Semuanya mahukan supaya mereka yang berada ditahap ini mempraktikkan amalan kerja yang berdisiplin dan penuh dengan ketertiban akhlak Islam dalam erti kata menjurus kepada amalan kerja berhikmah dan berhimmah. Sifat jujur, amanah, bertanggungjawab, berperanan, berdisiplin, menjaga waktu, tidak mengambil rasuah, tidak pecah amanah, saling menghormati di antara satu sama lain dan lain-lain lagi perlu diberi perhatian.

Sebaik Ummat

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, yaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah." (Ali Imraan: 110)

Pengertian "kamu adalah sebaik-baik ummah atau kuntum khaira ummah" bukanlah penyataan imaginasi dan dongengan. Kefahaman tentang penyataan ini menjurus kepada kewajipan kita bertindak dan melakukan sesuatu yang terbaik ke arah tersebut. Dalam hubungan ini, apabila kita kecilkan skop kepada profession ini, maka besarnya tanggungjawab dan amanah yang perlu diketengahkan untuk menjadi salah satu anasir ummah seperti yang dikehendaki oleh Allah.

"Dan demikianlah kami jadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu ..." (Al-Baqarah: 143)

Halangan dan ujian

"Saya melihat segelintir Jurutera yang beragama Islam tidak segan silu meneguk arak dikhalayak ramai dengan megahnya tanpa merasa bersalah sedikit pun pada diri sendiri dan rakan-rakan muslim yang lain di majlis-majlis rasmi... adakah ini yang dinamakan the best social entertainment?..."

Namun unsur-unsur yang menghalang hidup dan kerjaya ini tetap jelas dan sukar disanggah. Akan ada pertentangan dari runtunan hawa nafsu yang mahukan ianya tidak mengikut amalan hidup dan kerja secara baik. Nafsu yang banyak memujuk diri kita supaya melakukan amalan yang bertentangan dengan syarak. Membangunkan semula nilai jahiliyyah berdasarkan pengabdian manusia di atas sesama manusia dan penyelewengan hukum alam yang tidak selari dengan fitrah kejadian manusia.

Apabila kesenangan sudah mula dirasai hasil dari kedudukan dan ketinggian jawatan, maka resam hidup mula berubah. Gaya personaliti juga akan berubah. Malah pendirian yang baik akan menjadi goyang dan semakin kurang mementingkan sikap intergriti dan berakhlak mulia. Maka ianya merasakan inilah peluang baginya untuk membuat apa sahaja menurut keinginan dan kemahuan hawa nafsu. Melanggar disiplin dan etika kehidupan seorang yang berkeperibadian muslim yang selama ini dikatakan beriman dengan Allah Taala.

Manusia yang beriman walau apa pun jawatannya, tinggi atau rendah akan sentiasa patuh kepada arahan Allah Taala. Apabila melakukan sesuatu kerja maka mereka akan melakukan secara berakhlak. Bukankah akhlak itu perlu diutamakan? Kepincangan seorang jurutera yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam akan menghancurkan nilai dan prinsip hidup di dalam masyarakat. Kebanyakkan kelakuan yang tidak berakhlak seperti amalan rasuah, kaki perempuan, pecah amanah, tidak berdisiplin, minum arak, menindas hak orang lain, sombong dan bongkak, penipu dan sebagainya akan menjadi satu budaya dan tradisi bahaya dikalangan jurutera sekiranya tidak ditangani dengan segera. Mereka secara tidak langsung telah menghidupkan sebuah tamadun yang tidak sehat dan tidak berprinsip dan akhirnya tewas dengan segala tipu daya kemewahan dunia..

Lihatlah sahaja tamadun yang telah lama dibenamkam oleh Allah di dalam perut bumi seperti kaum Saba' dengan kemajuan teknologi pembinaan, penduduk Iram bagi kaum Aad yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi dan kaum Samud dengan teknologi pemotongan batu-batu besar . Kebanggaan mereka di dalam teknologi keduniaan tidak dapat dinafikan. Malah mereka terlebih dahulu menunjukkan kepandaian mereka mencipta sebuah tamadun berteknologi tinggi setaraf dengan kehidupan mereka ketika itu. Namun siapa sangka, tamadun yang mereka banggakan dengan mengenepikan perintah dan larangan Allah Taala dengan sekelip mata sahaja hilang dan lenyap ditelan bumi disebabkan kemurkaan Allah Taala.


Yang demikian maka mestilah dicari suatu syarat kelayakan yang lain, iaitu syarat kelayakan yang tidak terdapat di dalam tamaddun sekarang. Ini tidaklah bererti bahawa kita mesti melupakan dan mesti memandang enteng kepada soal “penghasilan benda” dan “rekaan sains”, sebab menjadi kewajipan kita juga untuk berusaha mendapatkannya, tapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia merupakan “syarat kelayakan” asasi yang mesti kita gunakan di dalam memegang pimpinan umat manusia dalam tempoh sekarang ini. Cuma ia diperlukan sekadar untuk menjaga hidup kita dari ancaman dan penindasan dan juga kerana konsep Islam sendiri yang mengajarkan bahawa ciptaan sains adalah mustahak sebagai syarat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Oleh kerana itulah maka mustahaklah ada suatu syarat kelayakan lain, bukan ciptaan sains dan penghasilan benda, dan sudah pastilah syarat kelayakan itu tidak lain daripada "akidah” dan “Program” yang membolehkan manusia itu memelihara dan mengawal hasil ciptaan sains, di bawah pengawrasan suatu konsep lain yang dapat memenuhi hajat fitrah seperti yang telah diperolehi oleh kemajuan sains itu, dan supaya akidah dan program itu menjelma di dalam sebuah perkumpulan manusia, iaitu sebuah masyarakat Islam. (Sayid Qutb: Petunjuk sepanjang jalan - Ma'alim fit Toriq)

Bermegah-megah dengan jawatan dan kekayaan tidak membawa apa-apa pengertian dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Malah apabila bersekongkol dengan hawa nafsu, maka yang akan wujud adalah keburukan tingkah laku atau akhlak terkeji. Semua kerja buat hanya untuk dipuji dan dikenang sebagai berjasa. Dipamernya segala sijil-sijil dan pingat-pingat keberjasaannya tetapi di dalam diri penuh dengan hipokrit dan keangkuhan. Jangan sangka apa yang dikatakan maju, moden itu sebaliknya melambangkan kejahilan kita sekiranya kita terpisah jauh dari bimbingan Allah Taala.

Apa yang penting adalah membina semula etika dan akhlak yang menjadi tunjang kukuh kepada Islam dan membina tamadun peradaban Islam yang cemerlang. Menjadi generasi Jurutera Muslim yang unik iaitu beriman dan mempunyai kemurniaan akhlak yang tinggi berteraskan Al Quran dan As-sunnah. Takut dan harap semata-mata hanya kepada Allah dan bukannya untuk mengejar kemewahan, kesenangan dan pangkat tinggi yang sementara.

abuzorief @ sheffield
14/11/2010, Ahad

No comments:

Post a Comment