Pages

Wednesday, 24 November 2010

Rasuah atau ada udang di sebalik batu


Rasuah atau sogokan bermaksud memberi sesuatu kerana untuk mendapatkan sesuatu dengan cara atau jalan yang tidak sah. Berbuat baik kerana ada niat tertentu untuk diperolehi. Pepatah mengatakan "Ada udang disebalik batu". Perbuatan jahat ini melibatkan maruah peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Sentimen maruah amat terkesan apabila si pelaku melakukannya tanpa mengambil kira kesannya kepada agama dan ekonomi. Terjebak dengan survival moral yang hina dan rendah. Kesannya bukanlah setakat perilaku peribadi tetapi membawa kepada kehancuran moral dan imej bagi sesebuah negara dan agama.

Islam mengutuk perbuatan ini. Perbuatan ini bukan sahaja tidak elok  dan dipandang rendah di sisi Islam malah begitu juga disudut agama lain. Semua agama bersetuju dan sepakat mengatakan perbuatan ini tidak baik dan rendah nilai moral pelakunya. Manakan tidak, kerana ia perbuatan yang mengundang kepada kehancuran ekonomi atau Iktisad negara.

Firman Allah

Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui (Al Baqarah [2] : 188)

Maka ketika para (utusan itu) sampai kepada Sulaiman, dia (Sulaiman) berkata, "Apakah kamu akan memberikan harta kepadaku?, Apa yang Allah berikan kepadaku lebih baik daripada apa yang Allah berikan kepadamu, tetapi kamu berasa bangga dengan hadiahmu" (An Naml [27] : 36)

Permintaan

Apakah mungkin rasuah berkait rapat dengan Kapitalisme, konspirasi, kronisme dan nepotisme ?

Sepanjang pengalaman saya, banyak kejadian ini disaksikan di depan mata sendiri, baik dilakukan oleh mereka yang beragama Islam mahupun tidak. Unsur-unsur ketamakan dan kerakusan harta dunia telah menyebabkan mereka melakukan perkara ini. Dari habuan sekeping roti canai dan mee udang, sebatang pen, sepasang kasut Timberland, handphone, laptop, aksesori kereta sehinggalah duit ringgit. Mereka telah hilang pertimbangan akal waras kerana tenggelam dengan kekaburan garisan kenikmatan yang diperolehi dengan cara yang mudah, tidak baik dan korup. Peraturan dan undang-undang dikesampingkan. Timbullah sifat kronisme dan nepotisme di dalam hal ini. Cuba memperolehi kemewahan melalui jalan mudah dan cepat tanpa melalui proses yang sah dan berperaturan.

"Boleh kita deal...kalau nak projek ni, kena bagi aku 10%... Keputusan siapa yang dapat semuanya kat tangan aku..."

"Bagilah RM2500.00, aku akan pastikan pelan ni diluluskan dengan cepat..."

"Esok kita main golf, bolehlah aku adjust mana-mana projek yang sesuai kat hang...."

"Hang bagi set golf sudahlah..."

"Bawalah kami ke Medan ke, ke Bandong ke..., lepas ni senanglah kita berurusan.."

"Nah!, ambillah duit ni dulu, lepas dapat nanti kira lain pula..."

Dan banyak lagi permintaan dan sogokan sedemikian yang boleh ditemui. Transaksi yang dilakukan secara "cross border". Mereka yang berkelayakan dan memenuhi kretiria tidak diambil kira, sebaliknya mereka yang ada talian kerabat, saudara, kawan rapat dan memberi sogokan walaupun kurang kelayakan telah diberikan peluang dan diberikan kutamaan.

Mereka yang melakukan boleh mengatakan "Aku peduli apa, janji aku senang". Sombong, tamak dan keakuan yang telah menjerembabkan diri sendiri di dalam lembah yang hina ini. Semua ini kalau diperhatikan adalah keinginan hawa nafsu yang tidak mengenal erti amanah dan syukur kepada Allah Taala.

Korupsi

Saya bukanlah hendak menghurai panjang lebar tentang isu ini, malah isu ini pun telah menjadi satu isu yang hangat di negara kita selama ini. Kenapa perkara ini terjadi di negara yang penduduknya Muslim? Boleh dikatakan, majoriti negara Muslim terlibat dengan perbuatan ini. Sehingga isu ini menjadi perhatian dan diambil kesempatan oleh negara-negara maju untuk mengatakan bahawa betapa mundur dan korupnya negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Keadaan menjadi tenat apabila orang-orang bawahan dan atasan berganding bahu berterusan melakukan amalan korupsi sebegini seolahnya matlamat telah menghalalkan cara. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dan dibimbangkan. Dik kerana dilindungi oleh 'undang-undang' yang dikuasai oleh mereka yang berpangkat, berjawatan, berpengaruh dan berkuasa dan menjadi kebal sekebal-kebalnya.

Bribery payers index and Corruption perceptions index

Agak memalukan juga apabila dinilai keatas semua negara Islam dan didapati bahawa negara yang majoriti muslim dan ditadbir oleh mereka yang mengaku Muslim tidak dapat mentadbir negara dengan telus dan tiada amalan rasuah.

Mari kita perhatikan melalui Bribe payer index (BPI) melalui report BPI 2008 dan terbaru Corruption perceptions index 2010 yang dilakukan oleh agen Transperancy International (The global coalition against corruption) [1][2] dan didapati tidak ada satu pun negara di bawah tadbir Muslim tersenarai di dalam ranking negara yang kurang mengamalkan rasuah.

Kenapakah terjadinya sedemikian rupa? Dimanakah kedaulatan negara kita di dalam hal ini?

Aspek Rabbaniyyah

Buatlah sebanyak mana pun ceramah kesedaran tentang jenayah rasuah, kronisme dan nepotisme. Bagi saya penekanan halal dan haram di dalam hubungan muamalat mesti diberi penekanan. Aspek aqeedah yang sejahtera, amalan ibadah yang sahih dan tuntutan akhlak yang sejahtera adalah teras kepada proses pembinaan dan pembentukan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Islam tidak mengajar ummatnya menjadikan harta kemewahan sebagai asas jalan kehidupan untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala. Tetapi apabila kita meletakkan peribadi kita untuk mentaati perintah Allah, maka harta kemewahan yang dicari itu insyaallah, akan menjadi habuan kita dan kita tahu bagaimana hendak menguruskannya dan dipergunakan untuk manslahat umum dan mencari keredhaan Allah.

Nota:
[1] Transperancy International - Bribe payers Index:  http://www.transparency.org/news_room/latest_news/press_releases/2008/bpi_2008_en
[2] Transperancy International - Corruption perceptions index 2010 results: http://www.transparency.org/policy_research/surveys_indices/cpi/2010/results

abuzorief @ sheffield
23/11/2010, Selasa

No comments:

Post a Comment