Pages

Tuesday, 2 November 2010

Hantu Halloween... A Jack-o'-lantern

A Jack-o'-lantern

Seperti biasa, saya menyelongkar dan terus menyelongkar, kalau-kalau sayur di dalam freezer di rumah mula kurang, maka fikiran otak pun ligat memberikan cadangan supaya beli sahaja di LiDL. Harga sayur-sayuran di sini jauh lebih murah berbanding di ASDA. Kalau di ASDA harga letucce sebiji sepound tetapi di LiDL baru berharga 50 Pence, itu pun buat masa ini sahaja. Boleh dikatakan setengah perbezaan harganya. Dan begitu jugalah dengan harga sayur pilihan yang lain seperti tomato, British potatoes, Leeks, onion spring dan lain-lain.
 
Kebetulan pula selepas saya balik kerja, teringat pula hendak singgah menjengah di LiDl, al maklumlah, lebih kepada hendak meninjau-ninjau atau window shopping katanya. "Kot-kot ada barang baru masuk..." bisik hatiku.

Sampai sahaja di ruang sayur di bahagian belakang sayur, terdapat bekas besar dan didalamnya berlonggok-longgok buah labu berkulit kuning keras dan beruas-ruas. "Wah! kalau buat labu masak lemak cili api sedap ni..." Sambil-sambil mencari tanda harga. "Emmm!... sepound sebiji, murah... murah bolehlah ambil satu...". Sepanjang berada di UK, saya belum cuba lagi masak lemak labu jenis ini, pasti sedap...

Halloween
 
Waktu itu saya tidak berapa ambil kesah sangat dengan perayaan hantu Halloween orang putih ini. Sana-sini di kedai sibuk dengan menjual accessories untuk perayaan hantu Halloween. Baju ala sihir, topeng hantu, topi tajam, kasut panjang hitam, kuku panjang bak kata semua alat-alat itu macam kepunyaan hantu, cukup horror dan agak-agaknya begitukah rupanya hantu berpakaian?. Pakaiannya lengkap dari hujung kepala sehinggalah ke hujung kaki dengan warna yang serba hitam. Alhamdulillah, 'hantu-hantu' masih berpakaian menutup aurat berbanding orang yang masih hidup.
Festival of dead atau Parentalia
 
Perayaan yang dinamakan festival of dead atau Parentalia mirip kepada perayaan Celtic festival of Samhain [Wikipedia] yang mana ianya mempunyai unsur-unsur pemujaan roh orang-orang yang sudah mati. Begitu kuatnya kepercayaan mereka dengan dunia ghaib yang menyesatkan. Manusia ketika itu sangat bergantung kuat kepada keajaiban dan keanehan kejadian berdasarkan kepada nasib baik dan buruknya kehidupan.
 
Siapakah yang memberikan imiginasi pemakaian dan kelakuan sedemikian rupa? Hantu?... Iblis?... Jembalang?... Jin?... atau pun manusia yang berjiwa syaitan?. Seakan-akan seperti memuja dan berpesta dengan syaitan dan iblis. Sekilas pandang, macam orang cina di Malaysia yang hendak menyambut perayaan hantu kuning, upacara bawa bot dengan serba kuning dan dibakarnya bendera kerta di tepi jalan, di tepi tong sampah, di busut-busut dan mana-mana tempat yang dirasakan ada hantu agaknya. Orang Melayu dahulu kala pun sedemikian rupa juga apabila diadakan upacara menjamu ancak, mandi safar dan menurun apabila mengubati orang sakit.
 
Berbalik kepada cerita labu kuning tadi, maka saya pun membelahlah labu untuk dibuat sayur masak lemak. Labu kuning ini memang keras kulitnya. Kalau pisau tumpul kurang tajam 'mata'nya jangan kata nak hiris, tetak pun tak makan. Jadi, pastikan pisaunya tajam. Bila dibelah sahaja, "Alamak! isi nipis, banyak rongga, biji banyak pulak..., macamana nak masak, isi pun tak ada." Saya pun menhiris sikit isinya dan apabila rasa, ianya kurang lemak macam labu kita di Malaysia. Apa nak buat dengan labu tu, kalau tidak ke tong sampah tempat akhirnya.
 
Bonfires night

Beberapa hari sebelum 31/10/2010, baru saya ingat rupanya labu itu hanya untuk mereka merayakan hari hantu Halloween pada malam 31/10/2010 bersama dengan bonfires night. Jadi dalam hati saya, layaklah labu itu dihumban sahaja dalam tong sampah. "Mujurlah labu tu tidak berjalan-jalan atau melayang-layang dalam rumah..." usik saya pada anak-anak. Semuanya adalah karut-karut belaka walaupun kita maklumi bahawa orang-orang putih ini pada satu ketika kurang percaya dengan cerita tahyul. Tetapi sekarang mereka pula jadikan hantu-hantu ini sebagai kawan dan turut memberikan peghormatan hebat di dalam perayaan-perayaan yang direka-khas untuknya.
Akidah
 
Islam memandang serius dan menganggap ianya sebagai amalan kurafat dan pelakunya telah melakukan syirik kepada Allah Taala. Amalan-amalan pemujaan kuno di alam Melayu kini juga telah mula diselongkar dan mula dihidup-hidupkan kembali melalui siri-siri tayangan di TV. Amalan pemujaan, menurun, berubat dengan menggunakan bantuan Jin dan Syaitan dan segala amalan sesat lagi mula mendapat sambutan orang ramai melalui siri-siri tayangan yang ditayangkan. Walhal, perkara inilah yang ditentang oleh ulama-ulama tauhid kita untuk mengembalikan keaslian dan kesahihan akidah kepada Allah Taala.

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. (Al-Ikhlas: 1-4)
Tidak hairan kalau kita katakan amalan ini telah lama ujud kerana manusia ketika itu mencari-cari zat ketuhanan untuk dijadikan sembahan. Dilihatnya apa sahaja yang aneh dan ajaib lalu itulah juga dijadikan bahan sembahan. Dan ada juga manusia yang sengaja hendak mencari kelainan untuk sembahan dan ada pula semata-mata ingkar untuk tidak mahu menerima ajaran tauhid yang jelas.

Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya. (Yunus: 101)Peristiwa ini juga telah berlaku di zaman nabi Musa ketika mana beliau pergi untuk menerima wahyu dari Allah. Kaum yang ditinggalnya telah diuji keimanan mereka oleh Allah dengan hanya sedetik sahaja beralih keimanan mereka dengan menyembah anak sapi yang boleh berkata-kata.
 
Peristiwa Bilal Ibnu Rabah, Sumaiyyah dan keluarganya serta sahabat-sahabat Rasulullah di era awal keislaman berusaha mempertahankan dirinya dari diseksa oleh pembesar-pembesar Quraisy yang jahil demi untuk mempertahankan akidah yang jelas dari kembali kepada kufur. Begitu juga keteguhan iman kekasih Allah yang lain seperti Aisyah isteri firaun yang beriman di dalam istana Firaun, Aisya ibu kepada nabi Musa yang mampu mengabdikan diri kepada Allah di dalam kerakusan kuasa Firaun dan Maryam ibu kepada nabi Isa kekal keimanannya kepada Allah dari ancaman fitnah orang-orang yang berniat jahat dengan ketentuan Allah Taala. Semua ini telah menunjukkan kepada kita betapa hebatnya tauhid Allah dan mereka merasai kemanisan iman itu dengan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat. (At-Tahrim: 12)
Namun, bagi kita hanya mengambil sikap tidak peduli untuk mempertahankan akidah yang jelas. Malah sanggup pula mencampur-adukkan dengan kehendak hawa nafsu amarah yang lebih didorong oleh Iblis dan Syaitan. Demikian juga ada yang sanggup untuk mengadai akidah semata-mata untuk menpertahankan kepentingan dan kesenangan hidup dunia yang sementara.
Akidah tidak boleh bertolak ansur dengan perkara yang boleh menghilangkan kesuciannya melalui apa cara sekalipun, tidak boleh bersekongkol dengan apa bentuk kepercayaan dan pegangan isme-isme seperti Komunisme, Sekularisme, Nasionalisme, Sosiolisme dan sebagainya yang menyimpang dan menyesatkan dan lebih-lebih lagi berupa syirik mutlak kepada Allah Taala.

Imam Hassan AlBanna di dalam Risalah Ta'alim dalam bab faham huraian usul 20 menyebut "tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma’thur."
Malaikat Jibrail A.S datang kepada nabi Muhammad dalam keadaan sedar dan mengajar Rasulullah tentang Iman, Islam dan Ehsan yang menjadi pegangan hidup kita yang sebenarnya. Begitu murninya ajaran wahyu yang diperolehi oleh Rasulullah dan kemudiannya diajarkan kepada kita semua supaya menjadi hamba Allah yang taat dan beriman dengannya. Apa yang kita harapkan ialah supaya Allah mengampuni kita dan menjauhkan diri kita semua dari azabnya yang pedih.

Dan barang siapa mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Nisa’: 115)Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda "Setiap kali dicampakkan makhluk ke dalam neraka Jahannam, ia akan berkata: Adakah masih ada lagi? Hingga Tuhan yang Agung meletakkan kakiNya lalu ia runtuh bertimpa-timpa. Ia berkata: Cukup, cukup demi keagungan dan kemuliaanMu. Dalam pada itu syurga masih ada kekosongan hingga Allah membuat makhluk lain dan mereka ini memenuhi kekosongan di syurga ini.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sekian.

abuzorief @ Sheffield
2/11/2010, tuesday

No comments:

Post a Comment