Berjamaah adalah untuk melaksanakan kerja dakwah bersama-sama dengan halatuju dan matlamat. Merancang, memantau dan berusaha untuk mencapai matlamat yang telah digariskan bersama-sama di dalam tanzim yang munazamah atau tersusun. Pasti semua jamaah Islam yang diwujudkan adalah untuk berusaha menegakkan daulah dan bersama-sama membina kembali keagungan empayar Islam di bawah kepimpinan khalifah sepertimana di masa pemerintahan khalifah Islam yang lampau. Apabila kita berada di bawah pemerintahan Islam sudah tentu segala Ibadah dan ubudiyyah kita kepada Allah Taala berada di dalam keadaan selamat dan tenang. Kita merasa seronok bermuamalat, beribadah, bermuayyassah, berjihad, berilmu, berpolitik dengan cara dan aturan yang dikehendaki di dalam Al Quran dan mencontohi sunnah Rasulullah SAW.
Kesan kejatuhan Khalifah
Selepas kejatuhan Khalifah Othmaniyyah 1924, keadaan ummah Islam begitu teruk sekali kerana sistem dan Deen kehidupan Islam yang terbaik itu dirobek-robek sepertimana serigala atau anjing-anjing yang lapar dengan lahapnya mengerumuni hidangan atau diibaratkan sebagai tidak keruan, bertebaran menyembunyikan diri dari disambar helang-helang yang lapar. Habis negara-negara Islam dijajah dan dibahagi-bahagikan mengikut selera kepada suku sakat mereka tanpa mengendahkan lagi hak-hak kemanusiaan. Kalau Islam amat menyanjung tinggi, memelihara dan mengambil kira hak-hak wanita, anak-anak kecil, kaum lemah dan mereka yang berlindung dirumah-rimah ibadah semasa perang, tetapi puak penjajah yang tidak bersistem dan jahil telah mencabul semua sistem dan hak yang mulia itu. Bagi mereka hanya untuk memusnahkan kemahsyuran empayar Islam. Tidak boleh terima realiti bahawa Islam itu adalah selamat dan menyelamatkan.
Antara faktor kelemahannya ketika itu adalah kerana terlalu tebalnya sikap mazmumah dan jahat perilaku kerana telah diracuni dan menyerap masuk ke dalam hati-hati ummah ketika itu. Perancangan jahat penjajah menggunakan unsur-unsur ketamakan, mengadu domba, khianat, pepecahan, benci dan fitnah sehinggakan melemahkan pemerintahan. Sifat-sifat jahat yang amat sinonim dengan hasutan iblis dan syaitan yang selalu akan menyusahkan umat Islam untuk menumpukan perlaksanaan Ibadah kepada Allah Taala dengan sempurna.
Ta'asub dan berburuk sangka
Agak jelas juga sikap dan sifat di atas apabila ada dikalangan kita yang berjamaah mempunyai dan mewarisi sikap sebegini. Berburuk sangka sesama sendiri, cemburu buta, mengadu domba, ta'asub atau mengagung-agungkan hanya kepada jamaah tertentu sahaja dengan mengatakan dialah jamaah yang terbaik dan sebagainya dan mengenepikan usaha orang lain. Memisahkan hubungan ukhuwwah atau persaudaraan Islam yang menjadi teras keagungan Islam. Langsung mengenepikan hak-hak muslim sesama muslim. Sedangkan kita disaran supaya berlemah lembut terhadap orang yang beriman dan bertegas dengan orang-orang kafir (Al Ma'idah : 54).
Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW "Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara"
Jika inilah sikap buruknya, sudah tentu usaha ke arah pembinaan daulah akan menjadi lambat dan 'semak' dengan perkara-perkara yang remeh-temeh ini. Walhal matlamat besar kita adalah untuk mengembalikan daulah dan kepimpinan Khalifah.
Menyusun agenda pembangunan ummah
Garis sasar kita untuk membangunkan ummah mestilah jelas dan bersifat global dan tidak lagi berfikiran sempit hanya kepada siapa jamaah yang hebat, jamaah yang banyak amalan roh atau fizikal, jamaah yang ramai tokoh atau jamaah yang mempunyai tokoh hebat dan sebagainya. Sepatutnya semua jamaah yang ada berganding bahu untuk bersama-sama merealisasikan halatuju untuk ke arah pembinaan daulah. Di antara jamaah-jamaah saling hormat menghormati, bertolak ansur, bersepakat dalam perkara-perkara pembaikan ummah dan mensasarkan halatuju bersama untuk pembangunan ummah.
Walaupun berlainan jamaah tetapi ukhuwwah Islam yang menjadi teras kepada kekuatan ummah Islam perlu diberikan perhatian dan jangan sekali diketepikan. Mesti saling hormat menghormati di dalam ruang lingkup peradaban Islam dan bukannya bersifat dan berfikiran hanya kepada jamaah yang sempit. Kita perlu mengikis sikap keakuan dan kesombongan yang kita ketahui, akhirnya akan memusnahkan diri sendiri, jamaah dan juga ummah.
Jamaah adalah wadah untuk melaksanakan objektif dan halatuju. Kepentingan Ummah adalah lebih besar dan perlu di beri nafas dan agenda yang baru untuk dibawa bersama-sama untuk membina kembali daulah dan empayar Islam.
Dakwah kita
Dakwah yang perlu dilakukan adalah bersifat yakin, jelas, berpendirian, tidak ragu-ragu, tidak berselindung, universal, menjalinkan hubungan erat di antara sesama muslim dan menyediakan platform yang baik untuk kita bersama-sama melaksanakan amal dan aktiviti-aktiviti ke arah pembangunan dan kemajuan ummah.
"Katakanlah (wahai Muhammad) Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain" (Yusuf: 108)
Melalui dakwah juga kita sebenarnya mengasihi mereka lebih dari kita mengasihi diri kita sendiri. Mengikat kasih sayang sepenuhnya di antara satu sama lain. Mempertautkan tali-tali mahabbah dan mengajak bersama-sama melakukan kerja kebaikan untuk Islam.
Kerana kita menyakini sepenuhnya bahawa sifat dakwah itu adalah untuk menyelamatkan manusia dari perkara mungkar dan mengajak melaksanakan kebaikan. Berlumba-lumba dan berusaha untuk melakukan kebaikan dan menempuh segala halangan dengan sabar dan taat.
"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata" (Al Anfal : 39)
Nota:
[1] Al Quran dan terjemahannya
[2] Majmu' rasail - Imam Hasan Al Banna (Pustaka Salam)
abu zorief @ sheffield
21/11/2010 Ahad
No comments:
Post a Comment