Tuesday, 28 June 2011

Buang masa


Kadang-kadang kita tertipu dengan tuntutan dan bisikan dalaman kita. Beza diantara sesaat sebelum dan sudah dengan sekelip mata boleh berubah. Tindakan menjadi tidak terarah daripada rajin tiba-tiba menjadi malas.

Contohnya, bila hati berkata..."Sekejap lagi, lepas sembahyang, aku nak baca Quran..." tetapi apa yang terjadi sesaat lepas itu boleh bertukar dan terus mengadap komputer sambil membelek-belek membaca laman web atau facebook secara asyik sehingga semuanya habis dilayari. Namun, dalam hati masih bertarung lagi... "Sikit lagi, sekejap lagi aku bacalah....". Begitulah sehingga kesudahan dan akhirnya hajat dan niat yang baik tadi 'tenggelam' dan lenyap begitu sahaja disebalik alasan tadi.

Sekiranya kita teliti akan perkara ini, ia memang menjadi perbuatan kita setiap masa dan hari. Kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kita kalah. Kalah dengan diri kita sendiri tanpa dihasut oleh kawan-kawan atau orang lain.

Begitulah, lemahnya diri kita untuk bersikap tegas terhadap diri sendiri. Kalahnya lebih banyak dari menang. Kalah itu lebih banyak untuk kita melakukan sesuatu perkara yang tidak bermanfaat dan banyak membuang masa. Kalah itu juga lebih banyak merencatkan perancangan yang baik-baik.

Masa terbuang begitu sahaja...

Belajar menghormati masa akan selama-lamanya belajar, sehingga sedar-sedar usia kita sudah di hujung dunia...

Bilakah kita akan menjadi tegas kepada diri kita sendiri?... bila dan bila...

abuzorief @ sheffield
28/6/2011 Selasa

Sunday, 12 June 2011

Pepat diluar rencung di dalam


Semangat saling tolong menolong di antara satu sama lain amat baik dan perlu dijadikan sebagai satu amalan dan budaya yang baik. Kerana, dengan ini ianya dapat menjalinkan hubungan ukhuwwah di antara kita dan mengeratkan hubungan silaturrahim kerana Allah Taala.

Yang menolong

Kita yang menolong hendaklah dengan ikhlas dan tidak peduli sangat untuk memperolehi hasil dari bantuan tersebut. Niat menolong tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Sifat untuk menolong yang lahir dari kehendak dan kemahuan hati yang bersih tanpa dipaksa-paksa.

Namun, ada di antara kita yang menolong seseorang kerana ada sesuatu niat yang tersembunyi atau mengungkit kembali segala pertolongan yang telah diberikannya dahulu,... 5, 10, 20 tahun dahulu. Barangkali, besar sungguh hajatnya apabila hendak menolong seseorang itu tanpa memperdulikan lagi semangat pertolongan dan roh ukhuwwah itu. Ini adalah pertolongan yang tidak ikhlas. Sifat begini akan menyebabkan hati kita sentiasa tidak selesa dan gelisah, kerana kita sentiasa memikirkan segala bantuan yang diberikan itu bilakah akan mendapat habuan. Ia bukan sahaja merosakkan amal dan pahala malah merosakkan kesihatan diri sendiri.

Ibarat pepatah mengatakan, ada udang disebalik batu. Indahnya peribahasa Melayu kita apabila mengaitkan sesuatu dengan kiasan yang sungguh sinis. Malah yang lebih parah lagi akan membawa seseorang itu menjadi pepat di luar rencung di dalam. Bisikan nafsu yang terus merosakkan diri individu supaya menjadi individu yang mendendami seseorang setelah bantuannya tidak diendahkan.

Yang paling mulia akhlak adalah memberikan bantuan dan pertolongan tanpa menghiraukan sebarang balasan dan habuan, sebaliknya menyerahkan niat segala-galanya kerana Allah Taala.

Yang ditolong

Mereka yang ditolong pula janganlah mudah melupakan terus pertolongan yang telah diberikan. Ingatlah kembali budi pekerti yang telah diberikan selagi ia tidak menjejaskan nilai dan etika kehidupan atau tidak melampaui syariat Islam dan tidak bermaksiat dengannya. Cubalah sama-sama mempunyai perasaan dan emosi, susah-senang ditanggung bersama tanpa mengharap apa-apa habuan seterusnya.

Sebenarnya banyak faktor yang boleh diberikan perhatian dalam aspek tolong menolong ini. Baik dari urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan ummah.
  • Meringankan beban saudara kita sesama Islam
  • Sentiasa wujud bantu menbantu diantara kita
  • Membantu ahli keluarga
  • Membantu hal ehwal kemasyarakatan
  • Menbantu menambah dan mengembang ilmu
  • Membantu menyebarkan dakwah dan qudwah
  • Membantu di dalam mempertingkatkan Iktisad atau ekonomi negara
  • Membantu meningkatkan kualiti hidup kita sebagai seorang muslim
  • Membantu di dalam hal-hal kebaikan dan mencegah kemungkaran
  • Dan sebagainya
Cerita Melayu

Mengimbau kembali siri-siri cerita Melayu di TV, banyak jalan ceritanya dengan plot yang sama, mungkin kerana sudah sebati dengan adat resam kehidupan harian, mengesahkan bagaimana bangsa sendiri sanggup menjadi pendendam, pendengki, penfitnah, tali-barut dan pembelot.

Pembelot dan tali-barut

Menjadi pembelot kepada bangsa sendiri kerana mengejar habuan dunia yang tidak seberapa. Sanggup mengadaikan maruah dan imej bangsa semata-mata untuk menjadi pengampu, pencacai dan penfitnah.

Sehingga sekarang, tidak dinafikan, ada segelintir dikalangan bangsa sendiri yang sanggup menjadi pengampu kepada bangsa sendiri yang lebih 'berkuasa' yang dikatakan berharta dan sanggup menindas bangsa sendiri demi kekayaan dan kemewahan. Survival hidup yang paling hilang maruah dan jelek tanpa mempedulikan orang lain dan hanya memikirkan kepentingan sendiri.

Memuliakan bangsa

Kesucian Islam datang untuk memuliakan bangsa tanpa mengira warna kulit hitam atau putih, hidung mancung atau penyek, tubuh badan besar atau kecil, paras rupa cantik atau hodoh dan diajarnya supaya saling kenal mengenali, tolong menolong dan mengenali budi pekerti di antara satu sama lain tanpa syak wasangka.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Al-Hujraat [49:13]

Wallahu a'lam...

abuzorief @ sheffield
12/6/2011, Ahad

Tuesday, 7 June 2011

Negara Islam atau negara kebajikan?...


1. Muslim Brotherhood atau Ikhwan Muslimin (IM) di Mesir mempunyai peluang yang besar untuk memerintah negara Mesir kerana tiada yang berkemampuan berbuat demikian.

2. Tetapi apa yang berlaku ialah IM sanggup berkongsi kuasa dan memberi peluang kepada rakan lain untuk menerajui kepimpinan. Apa yang lebih penting adalah hak dan kebajikan rakyat negara diutamakan.

3. Parti AKP Turki semakin popular dan berjaya memenangkan hati rakyat untuk terus memilih mereka untuk memerintah. Bukan kerana negara Islam tetapi lebih kepada kebajikan rakyatnya.

4. Kini, mereka bukan sahaja berjaya memulihkan ekonomi dan kestabilan politik malah sejumlah besar aktivist-aktivist mereka berjaya menaikkan maruah negara terhadap isu-isu kemanusiaan antarabangsa terutamanya Palestin dengan bermulanya misi kemanusiaan Flotilla Mavi Marmara pada tahun lepas.

5. Selama lebih 2 penggal PRU lalu, yang mana PAS kelihatan hilang 'sengat' di dalam team Pakatan Rakyat kerana isu Anwar masih berterusan menjadi isu utama negara. PAS seolah-olahnya terpaksa akur mengikut bahasa rentak 'rakan-rakannya'.

6. Pemilihan calon dalam Muktamar PAS baru-baru ini benar-benar merubah senario kepimpinan, di mana kepimpinan ulama yang selama ini menjadi tunggak utama halatuju PAS.

7. Kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS benar-benar membuka laluan baru dalam kepimpinan PAS untuk menghadapi PRU13 bersama rakan PKR dan DAP.

8. Apakah ini kehendak ahli-ahlinya untuk melihat parti politik ini kembali menyengat?

9. Justeru, negara Islam atau negara kebajikan ataukah kedua-duanya?... yang mana satu agenda yang boleh memenangkan hati rakyat Malaysia.

abuzorief @ sheffield
7/6/2011, Selasa

Friday, 3 June 2011

Jenama


Adakah puas hidup dengan jenama yang hebat dan ternama?...

Dari si anak kecil sehingga ke peringkat umur tua bangka pasti ada jenama tertentu yang menjadi kesukaan dan kegemaran untuk dimiliki. Katanya, tidak puas kalau tidak dapat barangan yang berjenama, kononnya out-to-date, ... ketinggalan zaman. Selalunya barangan yang berjenama itu pastinya berkualiti dan mahal-mahal belaka. Kadang-kadang, nama jenama itu lebih mahal dari barangan.

Lebih-lebih lagi, barangan berjenama itu akan dijaganya dengan baik dan diberikan perhatian dan penjagaan yang 'luar biasa'.

Saya bukanlah hendak memfokuskan kepada mesti atau tidak, perlu atau tidak kepada penggunaan barangan yang berjenama. Semua orang ada hak untuk memilikinya. Terpulanglah kepada hajat dan keinginan masing-masing.

Apa yang hendak saya katakan di sini adalah lebih kepada mencari kehidupan yang berkualiti atau 'berjenama' di sisi Allah Taala. Lebih-lebih lagi saya ingin mengingatkan diri saya sendiri betapa kita terlupa untuk mencari dan memiliki kehidupan yang berkualiti dan 'berjenama' disisi Allah Taala.

Allah telah menjenamakan kehidupan kita dengan jenama-jenama yang cukup hebat dan berkualiti.

Apakah jenama itu?..
  • Mukmin
  • Muslim
  • Muttaqin
  • Muhsin
  • Mujahid
  • Dan sebagainya sepertimana di dalam Al Quran
Apakah simboliknya jenama-jenama tersebut?...
Gembirakah kita untuk memiliki setiap jenama yang dilabelkan tersebut?

Masing-masing jenama itu ada pentakrifan dan kemuliaannya. Memilikinya akan ber'hubung' terus dengan Allah Taala. Pemiliknya akan mendapat martabat di sisi Allah Taala. Mereka menyayangi Allah dan Allah mengasihi serta menyayanginya. Mereka mendapat tempat dan keistimewaan dari Allah Taala.

Saya mengimbau dan mengenangkan kembali peristiwa  berdarah kerana serangan puak Zionist ke atas kapal Flotilla Mavi Marmara setahun yang lepas. Betapa ikhlasnya mereka berada di barisan hadapan untuk mempertahankan misi kemanusiaan mereka untuk membantu rakyat Palestin. Pengorbanan mereka yang bukan sedikit, tetapi melibatkan harta dan nyawa. Mendepang dada sebagai perisai untuk mempertahankan diri dari muntahan peluru senjata puak Zionist. Kalau dikira dengan nilai dunia, apalah sangat kerja buat mereka. Terpaksa meninggalkan kesenangan dunia dan kemewahan seisi alam. Meninggalkan anak dan isteri, sanak saudara dan kaum keluarga yang lain. Inilah 'jenama' hidup yang tidak mampu kita semua milikinya. Jenama yang paling berkualiti dan melangkaui ranking jenama-jenama yang lain....

abuzorief @ sheffield
3/6/2011, Jumaat