Pages

Sunday, 12 June 2011

Pepat diluar rencung di dalam


Semangat saling tolong menolong di antara satu sama lain amat baik dan perlu dijadikan sebagai satu amalan dan budaya yang baik. Kerana, dengan ini ianya dapat menjalinkan hubungan ukhuwwah di antara kita dan mengeratkan hubungan silaturrahim kerana Allah Taala.

Yang menolong

Kita yang menolong hendaklah dengan ikhlas dan tidak peduli sangat untuk memperolehi hasil dari bantuan tersebut. Niat menolong tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Sifat untuk menolong yang lahir dari kehendak dan kemahuan hati yang bersih tanpa dipaksa-paksa.

Namun, ada di antara kita yang menolong seseorang kerana ada sesuatu niat yang tersembunyi atau mengungkit kembali segala pertolongan yang telah diberikannya dahulu,... 5, 10, 20 tahun dahulu. Barangkali, besar sungguh hajatnya apabila hendak menolong seseorang itu tanpa memperdulikan lagi semangat pertolongan dan roh ukhuwwah itu. Ini adalah pertolongan yang tidak ikhlas. Sifat begini akan menyebabkan hati kita sentiasa tidak selesa dan gelisah, kerana kita sentiasa memikirkan segala bantuan yang diberikan itu bilakah akan mendapat habuan. Ia bukan sahaja merosakkan amal dan pahala malah merosakkan kesihatan diri sendiri.

Ibarat pepatah mengatakan, ada udang disebalik batu. Indahnya peribahasa Melayu kita apabila mengaitkan sesuatu dengan kiasan yang sungguh sinis. Malah yang lebih parah lagi akan membawa seseorang itu menjadi pepat di luar rencung di dalam. Bisikan nafsu yang terus merosakkan diri individu supaya menjadi individu yang mendendami seseorang setelah bantuannya tidak diendahkan.

Yang paling mulia akhlak adalah memberikan bantuan dan pertolongan tanpa menghiraukan sebarang balasan dan habuan, sebaliknya menyerahkan niat segala-galanya kerana Allah Taala.

Yang ditolong

Mereka yang ditolong pula janganlah mudah melupakan terus pertolongan yang telah diberikan. Ingatlah kembali budi pekerti yang telah diberikan selagi ia tidak menjejaskan nilai dan etika kehidupan atau tidak melampaui syariat Islam dan tidak bermaksiat dengannya. Cubalah sama-sama mempunyai perasaan dan emosi, susah-senang ditanggung bersama tanpa mengharap apa-apa habuan seterusnya.

Sebenarnya banyak faktor yang boleh diberikan perhatian dalam aspek tolong menolong ini. Baik dari urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan ummah.
  • Meringankan beban saudara kita sesama Islam
  • Sentiasa wujud bantu menbantu diantara kita
  • Membantu ahli keluarga
  • Membantu hal ehwal kemasyarakatan
  • Menbantu menambah dan mengembang ilmu
  • Membantu menyebarkan dakwah dan qudwah
  • Membantu di dalam mempertingkatkan Iktisad atau ekonomi negara
  • Membantu meningkatkan kualiti hidup kita sebagai seorang muslim
  • Membantu di dalam hal-hal kebaikan dan mencegah kemungkaran
  • Dan sebagainya
Cerita Melayu

Mengimbau kembali siri-siri cerita Melayu di TV, banyak jalan ceritanya dengan plot yang sama, mungkin kerana sudah sebati dengan adat resam kehidupan harian, mengesahkan bagaimana bangsa sendiri sanggup menjadi pendendam, pendengki, penfitnah, tali-barut dan pembelot.

Pembelot dan tali-barut

Menjadi pembelot kepada bangsa sendiri kerana mengejar habuan dunia yang tidak seberapa. Sanggup mengadaikan maruah dan imej bangsa semata-mata untuk menjadi pengampu, pencacai dan penfitnah.

Sehingga sekarang, tidak dinafikan, ada segelintir dikalangan bangsa sendiri yang sanggup menjadi pengampu kepada bangsa sendiri yang lebih 'berkuasa' yang dikatakan berharta dan sanggup menindas bangsa sendiri demi kekayaan dan kemewahan. Survival hidup yang paling hilang maruah dan jelek tanpa mempedulikan orang lain dan hanya memikirkan kepentingan sendiri.

Memuliakan bangsa

Kesucian Islam datang untuk memuliakan bangsa tanpa mengira warna kulit hitam atau putih, hidung mancung atau penyek, tubuh badan besar atau kecil, paras rupa cantik atau hodoh dan diajarnya supaya saling kenal mengenali, tolong menolong dan mengenali budi pekerti di antara satu sama lain tanpa syak wasangka.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Al-Hujraat [49:13]

Wallahu a'lam...

abuzorief @ sheffield
12/6/2011, Ahad

No comments:

Post a Comment