Monday, 12 May 2014

Fobia diuji...


Benar-benar saya terasa apabila perkara-perkara yang selalu saya cakap, nasihati, atau bagi peringatan pada orang lain itu akan berpatah balik kepada saya yang bercakap. Kalau bercakap tentang kesihatan, maka akan diuji oleh Allah dengan kesakitan. Kalau bercakap tentang kesabaran , maka datanglah ujian yang akan menyebabkan saya naik berang dan 'panas'. Kalau bercakap tentang  sikap menderma atau sedekah, maka diuji oleh Allah berkaitan dengan kewangan. Dugaan orang yang hendak meminjam duit walaupun duit tersebut hanya memadai untuk perbelanjaan harian diri dan keluarga atau duit itu telah dirancang untuk digunakan untuk tujuan itu dan ini. Barangkali duit itu bukan bahagian saya, mungkin itulah bahagian dia, seperti yang telah ditakdirkan akan sukatannya oleh Allah SWT.

Jangan pandai bercakap sahaja...

Fobia...

Terasa 'fobia' pula hendak bercakap perkara-perkara yang berkenaan. Takut diuji dengan ujian yang tidak mampu untuk ditanggung, walaupun Allah hanya menguji mengikut tahap kemampuan seseorang. Memang terasa berat untuk menghadapinya. Terasa lelah yang amat sangat.

Hanya kepadaMu ya Allah aku berserah dan bertawakkal.

Perkhabaran yang telah disampaikan itu pasti ada ujian yang datang melanda. Berat atau ringan itu di luar pengetahuan kita. Tidak boleh dielakkan lagi.

Hanya dengan sabar dan ikhlas sahaja mampu memberikan ketenteraman pada diri.

Berteori?...
 
Berteori sahaja belum lagi memadai, Hebat macamana pun kita berbicara, belum tentu lagi dikategorikan sebagai hebat. Teorinya mesti lengkap dengan praktikalnya. Maksudnya mestilah terlebih dahulu melalui ujian dan dugaan. Ada pengalaman yang akan dijadikan neraca timbangan kepada setiap pertuturan itu.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. [As-Soff 61:2-3]

Bahkan untuk mengelakkan diri dari kemurkaan Allah tentang apa yang telah kita perkatakan, maka semestinya kitalah yang mendahuluinya. Baik dari segi percakapan, perbuatan mahupun apa saja tindakan lahiriyah ataupun batiniyah supaya terhindar dari kemurkaan Allah.

Allah maha Mengetahui dan mendengar segala sesuatu

Semoga dengan dugaan itulah yang akan membuka atau menjadi jalan keluar kepada segala dugaan tersebut.

Sekian

abuzorief @ kulim
nama kawanku nasir (pertolongan)
12/5/2014 isnin
9.00am

Thursday, 8 May 2014

Bebal...


"Dah banyak kali cakap, pun masih buat salah lagi, benda yang sama juga diulang, penat cakaplah"

"Entah berapa kali dah cakap, apakah masuk telinga kanan lepas itu keluar telinga kanan juga?, kalau masuk teliga kanan keluar telinga kiri, sekurang-kurangnya lekat juga kalau tak banyak sikit!"

"Dah besar panjang, tak faham-faham, bahasa apa lagi aku nak cakap"

Maka perkataan yang terakhir akan keluar...

"Memang bebal sungguh"

Wallahu 'alam

Tambah menyakitkan hati, sekiranya kita sentiasa berulang-ulang kali cakap, menegur, menasihati tetapi tetap juga si polan itu membuat kesalahan yang tidak sepatutnya diulang.

Teruslah bercakap...

Bercakaplah banyak kali, nasihatilah banyak kali dan jangan berputus asa. Memang itu tabiat manusia yang kita temui. Mungkin kita juga sedemikian, tidak dapat dinafikan dengan kelemahan sebagai insan. Apa yang berlaku itu juga yang akan berlaku pada diri sendiri. Menunjuk ke arah orang lain itu juga sebenarnya menunjuk juga kepada kita.

Luahkan rasa...

Mesti diluahkan rasa tidak puas hati itu supaya ia tidak 'bersarang' di dalam diri, kerana akibatnya ia akan merosakkan diri sendiri, karier dan prestasi diri. Berterus-terang adalah komunikasi yang terbaik bagi menghilangkan kekusutan.


Berdoa...

Apabila berdepan dengan situasi tersebut, bersabarlah dan terus berdoa kepada Allah Taala. Berdoa bukan untuk menghancurkan tetapi meminta dikurniakan ketabahan, kekuatan sabar dan dikurniakan hidayah ke atas kita dan hamba Allah tersebut.

Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
8/5/14 khamis

Monday, 5 May 2014

Apa ertinya menumpang...


Semasa saya melalui di setiap lorong yang sempit di antara deretan rumah, saya berfikir alangkah bertuahnya saya kerana bukan saya yang berada di sini. Rumah sekadar untuk berteduh dan insfrastrukturnya tidak terurus. Longkang bertakung dan menjadi sarang biak berbagai serangga berbahaya. Rumah yang hampir rebah 'bertumpang dagu' kerana itulah satu-satunya tempat untuk berteduh dari siang dan malam, panas terik dan hujan, tempat berehat seadanya.

Bukannya semua rumah yang mereka tinggal itu milik sendiri, tetapi ada yang menyewa walaupun keadaan rumah sewa yang mereka sewa itu juga begitu dhoif. Ertinya, yang menyewakan rumah itu juga hidup kesempitan. Malah ada di antara mereka itu pula berpenyakit kronik yang memerlukan rawatan yang tidak kurang mahalnya.

Dimanakah mereka hendak memperolehi kesenangan?

Apa ertinya hidup...

Membuat kerja amal kebajikan banyak mengajar erti hidup yang lebih bermakna di dalam diri. Kerana ia mampu melahirkan rasa insaf, tidak sombong dengan kelebihan yang ada, tidak kedekut untuk memberi sama ada harta benda, wang ringgit atau tenaga kudrat yang ada malah menghabiskan masa-masa itu untuk merancang dan menyusun gerak-kerja supaya ia lebih berstrategik.

Memberi itu banyak keberkatan dari Allah Taala. Dengan memberi kita meringankan beban kesempitan dan kesusahan yang ditanggung oleh mereka yang kurang berkemampuan. Memberi kepada yang memerlukan akan melembutkan hati supaya tidak bersifat sombong dan bakhil. Memberi menanamkan pada diri kita semangat ukhuwwah kerana Allah Taala. Memberi akan mengingatkan kita di atas sifat kasih dan sayang Allah. Kita yang mempunyai kelebihan dari perbagai sudut nikmat adalah untuk melengkapi rantaian-rantaian hidup di antara satu sama lain (compliment each other).

Kenapa kita tidak mahu berlumba-lumba di dalam mencari kebaikan dan pahala sepertimana yang dijanjikan oleh Allah Taala?

bersambung...

abuzorief @ kg manis perai
semarak mahabbah kg manis
4/5/2014 ahad 
9.00am-12.00pm