Saturday, 19 September 2009

Salam Eid Fitr Mubarak 1430H/2009


Salam Eid Fitr Mubarrak, Minal 'Eidil wal Faizin dari saya sekeluarga di perantauan untuk ayahanda dan bonda serta keluarga tercinta, saudara-mara tercinta, rakan seperjuangan, rakan sepejabat, jiran tetangga, Individu yang mengenali saya, rakan-rakan, pembaca dan juga dimana-mana.

Semoga amalan di Bulan Ramadhan yang mulia ini menjadikan kita hambanya yang bertaqwa dan diampunkan segala dosa-dosa kita sepanjang kehidupan kita di dunia ini.

Dan bermulanya Syawal pula adalah alam kehidupan baru yang bermakna kerana muga-muga Allah mengangkat darjat kita dan digolongkan di dalam golongan siddiqin, solehin, syuhada dan hasuna ula ika rafiqa.

Taqabballahu minna waminkum

abuzorief @ sheffield
Eid Fitr Mubarak 20/9/2009 sunday
19/9/2009  sabtu

Friday, 18 September 2009

Ramadhan yang pergi...


Mungkin berjumpa, mungkin tidak ramadhan yang akan datang. Itulah keluhan yang sering kedengaran.

Umur aku yang ada sejengkal ini bukanlah ukuran yang lama untuk aku menguji kekuatan nyawa yang dianugerahkan. Esok, lusa dan tulat dan mahupun seterusnya tidak memberikan apa-apa jaminan untuk terus mengecapi udara dunia ini. Setiap manusia pasti akan mati. Itulah noktah terakhir makhluk yang bernyawa. Ada yang akhir hidupnya dengan jalan baik, husnul khatimah dan ada pula sebaliknya, su'ul khatimah. Hakikatnya, maut tidak dapat dihalang atau ditukar-ganti atau boleh dirunding, bila dan bila dan bila....

Tetapi tidak kepada Maha pencipta dan Maha Agung.

Walaupun ramadhan sering silih berganti, dari tahun ke tahun namun ramadhan tetap dimuliakan. Bahkan berlumba-lumba insan muslim lainnya membuat kebajikan, fastabiqul khairat. Berlumba-lumba untuk memenuhi janji Allah Taala. Namun dalam pada itu, insan yang sering begelumang dengan keperitan hidup, tersepit, terhimpit dik kedaifan masih berada kebuntuan hidup di antara celah-celah kehidupan dan kematian. Peritnya hidup untuk menanggung diri yang belum tahu hujung hayat bila dan bagaimana kesudahannya.

Namun mereka masih ada lagi harapan rezeki yang telah ditetapkan dan masih ada insan lain yang senang menghulurkan bantuan.

Itulah hak yang Maha pemberi rezeki, pengasih dan penyayang.

Saudara kita di Palestine yang bermandikan darah, berbuka puasa dan bersahur dengan dentuman meriam dan desingan peluru. Keadaan mereka yang berjaga-jaga dan tidak tentu arah. Kekejaman Zionist yang kemaruk kepada penaklukan dan darah muslim hanya seronok memincingkan mata menbedik senjata untuk menghemburkan butiran besi-besi racun ke arah nyawa yang sedang bertakbir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah. Berjuang kerana agama Allah. Berjuang kerana maruah dan keluarga. Berjuang kerana untuk memastikan maqasid syar'iah dipertahankan. Ramadhan bagi saudara kita ini dianggapnya sebagai bekalan kekuatan untuk pertempuran membebas Palestina dan Masjid Al-Aqsa.

Di manakah kita di saat ini... bergembira ataukah berduka mengenangkan nasib yang menimpa mereka...

Kita yang senang-lenang dan selesa dengan tidak diuji oleh kekalutan suasana hidup ini hanya berhadapan dengan kekalutan hidup sendiri. Baju raya sudah belikah atau belum?, kuih sudah buatkah atau belum?, perkakas dan perabot rumah sudah ditukar atau belum?. Semua ini adalah kekalutan nafsu yang menguasai jiwa yang sedang bertarung dengan jiwa yang hampir tenang dengan tuhannya. Jiwa yang tenang kerana menagih janji tuhannya untuk bersama-sama dengan hamba-hambanya yang terpilih dan mengharapkan untuk mengecapi syurga yang penuh dengan nikmat yang tidak terkata dan tergambar.

Datangnya ramadhan setahun sekali tetapi kita tidak mampu untuk mengabdikan diri kita kepada Allah Taala dengan sepenuhnya. Rupanya masih banyak urusan dunia yang tidak mampu ditinggalkan buat sementara waktu. Sebaliknya, amalan dan ibadah pula terpaksa ditangguhkan sementara kerana memberi ruang dan laluan kepada kehendak dan kemahuan nafsu.

Sesungguhnya Allah maha penerima taubat hamba-hambanya.

" Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu dilalaikan oleh harta kamu & anak-anak kamu daripada mengingati Allah . Maka barangsiapa yang melakukan yang demikian , maka mereka itulah orang-orang yang rugi . Dan berbelanjalah dari rezeki yang Kami kurniakan kamu sebelum mati datang kepada seseorang kamu, lalu akan berkatalah dia : Tuhanku ! Kalaulah boleh Engkau menangguhkan matiku sedikit masa lagi ,niscaya aku akan memberi sedekah , dan aku akan menjadi dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan. Dan Tuhan tiada akan memberi tangguh kepada sesuatu jiwa ,apabila telah sampai ajalnya, dan Allah Maha Mengetahui terhadap segala yang kamu kerjakan "9 : 11

Aku hanya mampu menangis di dalam kekalutan hati aku sendiri, semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang lalu...

Ameen, ameen ya Rabbal Alamin.

abuzorief @ Sheffield
18/9/2009 jumaat

Sunday, 13 September 2009

Ramadhan vs SWOT & Key Performance Indicator


Sepanjang ramadhan yang telah dilalui ini, maka sudah tentu kita tahu segala kekuatan dan kelemahan kita serta apa yang akan kita perolehi.

SWOT

Kita sudah boleh membuat penilaian prestasi amal sepanjang harian atau muhasabah yang telah dilalui. Kita juga sudah pun sedia maklum bahawa dikalangan kita mempunyai borang-borang muhasabah yang tersendiri. Semua rekod dan amalan yang akan atau telah dilakukan sebenarnya sudah boleh kita membuat ukuran secara fizikal melalui data dan grafikal statistik secara terperinci. Kita sahaja yang mengetahui kelemahan dan kekuatan diri sendiri melalui SWOT (Strength, Weakness, Opportunity and Treats) analisis yang dilakukan sendiri.

KPI

Bukanlah kita hendak menentukan berapa banyak pahala yang kita sudah dapat, semua ini kerja Allah Taala akan tetapi sebaliknya, kita hendak mengukur berapakah pencapaian amalan yang telah kita laksanakan dan kita penuhi melalui piawaian KPI atau Key performance Indicator yang telah kita tentukan di awal Ramadhan dan seterusnya.
  • What : Apa yang hendak kita buat
  • How: Bagaimana kita hendak buat
  • Where : Dimana kita hendak buat
  • Who : Siapa dan dengan siapa kita hendak buat
  • Why : Kenapa kita hendak buat

Baguskah kita atau terukkah kita, rajinkah atau malaskah kita, maka ianya boleh diputuskan bermula dari KPI yang telah kita tentukan diawalnya. Maka rajin-rajinlah audit sendiri amalan kita dengan Allah Taala mahupun sesama insan yang lain.

Semua indicator atau petunjuk-petunjuk ini adalah dari kesungguhan kita sendiri. Kalau kita ingin memperolehi sesuatu nescaya kita akan berusaha untuk memdapatkannya, melainkan kita sendiri yang tidak mahu berusaha ke arahnya.

Semoga Allah menerima amalan harian kita dan digolongkan di dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

Wallahu 'alam

abuzorief @ sheffield
13/9/2009 sunday

Friday, 11 September 2009

Ramadhan vs Larian terakhir...


"Ummi! kita nak buat kueh raya apa nanti". tanya anak saya kepada Umminya. "Kek Coklat, Blaa..blaa.... ", Balas umminya.

"Tadarus abah belum habis lagi ni...." kata saya.

"Weii seronoknya bulan puasa nak habis dah ni...." kata si anak kecil.

Pecutan

Inilah masa yang paling sibuk bagi mereka yang mempunyai agenda, semuanya hendak dihabiskan dengan pecutan yang tidak terhingga lajunya, semua perkara hendak dilakukan. Mana dengan persiapan makanan, kuih muihnya, Tarawikhnya, witr, Tahajjud, zikir, Tadarusnya, Dhuha, amalan fardhu dan sunat mu'akkadah, derma dan sedekah dan sebagainya ibadah dan kerja harian yang lain.


Al maklum bak kata, semuanya sibuk dan penuh agenda harian di bulan Ramadhan ini dan lebih-lebih lagi di akhir 10 malam mengejar malam lailatur Qadr.
Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?.. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar. (Al-Qadr: 1- 5)
Berlumba-lumba

Saya menjangkakan kita semua berlumba-lumba untuk beribadah di akhir malam yang mana ganjaran pahalanya melebihi ganjaran 1000 bulan seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah Taala. Biar pun hal keadaan kita disibukkan dengan hal seharian namun akhirnya kita bersegera pula untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah Taala. Biar pun kita diletihkan dengan urusan kerja yang saban hari tidak akan habis, namun kita masih mampu untuk menyusup buat seketika masa untuk bertadarus ayat suci Al Quran. Mampu kita untuk membilang tasbih, tahmid dan takbir kepada yang maha Esa.
 

Kerana, kita adalah hambanya....
Lailatul Qadr
 
Malam akhir yang telah digambarkan oleh Allah sebagai malam yang penuh dengan keberkatan. diampunkan segala dosa dan diangkat darjat seorang itu menjadi hambanya yang dikasihi dan paling bertaqwa.

Bagi mereka yang mengidamkan malam Lailatur Qadr ini maka mereka akan merancang agenda sepanjang harian supaya mereka tidak terlepas atau mensia-siakan malam yang penuh dengan ganjaran ini.

Namun bagi mereka yang merasakan malam akhir ini sama sahaja seperti malam -malam lain maka akan tidak diendahnya dan dibiarkan malam itu berlalu dengan perkara-perkara yang lalai dan lagha...
 
Kenapa macam biasa sahaja?. Malah kalau kita perhatikan kembali, amalan baik di bulan puasa ini banyak yang kita sia-siakan, banyak makanan yang telah kita bazirkan. Kalau diperhatikan juga, perbelanjaan di bulan puasa ini juga terlebih diluar jangkaan kita daripada bulan-bulan tidak berpuasa. Cubalah kita perincikan setiap perbelanjaan yang telah dibelanjakan. Makanan berbuka, baju baru, tirai baru, kerusi baru, cadar baru dan sebagainya. Bukannya tidak boleh semua itu tetapi biarlah di dalam pertimbangan aras kita. Perkara inilah yang diuji untuk kita lalui  dan mungkin juga sebagai penentu malam Qadr kita.

Ada juga di antara kita menjadikan malam-malam ini dengan seriusnya menyaksikan perlawanan bola sepak yang berbagai-bagai liga dan piala, mengadap wajah di papan TV sedangkan wajah kita ini perlu dihadapkan kepada Allah Taala. Kelalaian ini sehingga terabai dan terlepasnya waktu tahajjud, tasbih dan masa yang selayaknya dibesarkan keagungan Alah Taala. Adakah kita serius untuk Allah Taala?. Bukankah semua amalan itu untuk bekalan kita?. Sepatutnya, masa inilah juga kita sujud dan bersimpuh memohon keampunan di atas dosa-dosa yang telah banyak kita lakukan,
 
Namun semuanya kita sia-siakan dik kerana anggapan kita yang mengatakan bahawa malam itu sama sahaja, macam malam di bulan-bulan yang lain.

Apakah sebenarnya harapan kita apabila bertemu dengan malam yang mejangkau kemuliaannya lebih mulia dari malam 1000 bulan itu?...

Adakah kita benar-benar akan bertemu dengan malam Lailatur Qadr?...

Sepantas manakah kita berlari dan memecut. Berlarilah kita selaju mungkin untuk mengutip setiap ganjaran yang telah Allah janjikan...

Adakah kita akan bersama dengan mereka yang akan mencapai hujung garisan penamat iaitu golongan orang-orang yang bertaqwa?.
Dimana kita di akhir malam ini, dan adakah kita akan berada digarisan penamat dengan capaian nombor satu?.

abuzorief @ Sheffield
11/9/2009 jumaat

Tuesday, 8 September 2009

Ramadhan vs Iman dan Nafsu


 
"Aku rimaslah, lagi-lagi buat baik, apa yang baik sangat dengan Ramadhan sampai hang suka sangat dengan dia" merungut Nafsu kepada Iman.

"Eh! kamu ni membebel tak tentu pasal ni kenapa?, Ramadhan itukan kawan aku, Aku selesa dan tenang dengan dia... dia medan beramal dan aku mampu mengaut seberapa banyak pahala yang dijanjikan oleh Tuhan aku..." kata Iman kepada Nafsu.

"Eleh!, baik?, pahala?... amal?, apa semua tu, tak payah nak buat baik, kalau baik macam mana sekali pun bukannya hang dapat apa, Ramadhan tu membuatkan hang penat, lapar, dahaga saja, itu tak boleh buat.. ini tak boleh buat... apa semua tu?, tak ada kebebasanlah..." Bantah Nafsu dengan rasa tidak puas hati.

"Itu bagi kamu, tapi tidak aku, aku suka dengan dia, dah lama aku bersama dia walaupun setahun sekali aku berjumpa, lagi lama tak berjumpa, lagi rindu aku rasakan, sedih kalau aku terpaksa meninggalkannya.." kata Iman dengan nada yang bersungguh-sungguh.

"Hang tengok aku ni, boleh mengumpat, mengadu domba, jadi batu api, bebaslah... we are free beb". Nafsu cuba menghasut Iman.

"Tak boleh semua tu, bertentangan dengan fitrah ciptaan aku..., come on lah, bersihkanlah hati kamu dengan segala sifat mahmudah, tinggalkanlah perbuatan keji tu, sanggup kamu engkar dengan tuan kamu sendiri ya!..." nasihat Iman kepada Nafsu.

Namun tak dihiraunya Nafsu dengan kata-kata Iman. Nafsu yang keras kepala, memang susah hendak dilembutkan dengan kata-kata. Tetapi Iman sangat tahu bagaimana hendak mengawal Nafsu daripada mempengaruhinya setiap detik dan waktu. Dia akan ajar Nafsu supaya kalah dengan kehendak mazmumahnya. Ya!, dengan cara berpuasa sahaja Nafsu akan kalah.

Hari-hari Ramadhan telah berlalu. Memang kedua mereka tidak mudah mengalah, dan mereka juga berlainan ciptaan. Dan mereka sanggup berperang di antara satu sama lain demi untuk mempertahankan misi perjuangan dan kefahaman masing-masing.
 
******
 
 
Iman mahu menjadi hamba yang bertaqwa kepada Rabbul Jalil. Nafsu pula sejak azali lagi sangat bantah dengan Rabbul Izzati. Dia bercita-cita untuk menjadi Amarah. Menguasai dunia yang fana ini. Keras hatinya macam batu malah lebih keras dan liat dari yang disangkakan.

Namun semua ini tidak dihiraukan oleh Iman. Kerana Iman sangat setia kepada tuhannya. Setiap kali dia terleka maka dia akan segera beristhigfar kepada tuhannya di atas kelalaian dan kealpaannya. Tuhannya amat mengasihinya. Dialah harapan tuhannya yang dapat mengalahkan si Nafsu yang sombong dan kerakusan itu.
Wahai jiwa yang tenang!... Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhainya, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan asuklah ke dalam surgaKu: Al-Fajr: 27-30

Berbeza pula dengan Nafsu. Dia lebih suka bersekongkol dengan tuannya iaitu Syaitan keparat. Jalannya adalah jalan yang sesat. Tidak pernahnya hendak membawa kebaikan dan kemurniaan. Banyak fasad dan mungkar gerak-gerinya dari amal baik. Begitu senang hati dia dengan Syaitan. Kalau tidak diturutinya arahan tuannya, terasa gelisah kelakunya. Malah dia lebih arif untuk mengatur strategi tanpa bantuan tuannya.
"Dia mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya dan sungguh rugi orang yang mengotorinya" Asy-Syam: 8-10
 
Wallahu a'lam
 
abuzorief @ Sheffield
8/9/2009 tuesday