Mungkin berjumpa, mungkin tidak ramadhan yang akan datang. Itulah keluhan yang sering kedengaran.
Umur aku yang ada sejengkal ini bukanlah ukuran yang lama untuk aku menguji kekuatan nyawa yang dianugerahkan. Esok, lusa dan tulat dan mahupun seterusnya tidak memberikan apa-apa jaminan untuk terus mengecapi udara dunia ini. Setiap manusia pasti akan mati. Itulah noktah terakhir makhluk yang bernyawa. Ada yang akhir hidupnya dengan jalan baik, husnul khatimah dan ada pula sebaliknya, su'ul khatimah. Hakikatnya, maut tidak dapat dihalang atau ditukar-ganti atau boleh dirunding, bila dan bila dan bila....
Tetapi tidak kepada Maha pencipta dan Maha Agung.
Walaupun ramadhan sering silih berganti, dari tahun ke tahun namun ramadhan tetap dimuliakan. Bahkan berlumba-lumba insan muslim lainnya membuat kebajikan, fastabiqul khairat. Berlumba-lumba untuk memenuhi janji Allah Taala. Namun dalam pada itu, insan yang sering begelumang dengan keperitan hidup, tersepit, terhimpit dik kedaifan masih berada kebuntuan hidup di antara celah-celah kehidupan dan kematian. Peritnya hidup untuk menanggung diri yang belum tahu hujung hayat bila dan bagaimana kesudahannya.
Namun mereka masih ada lagi harapan rezeki yang telah ditetapkan dan masih ada insan lain yang senang menghulurkan bantuan.
Itulah hak yang Maha pemberi rezeki, pengasih dan penyayang.
Saudara kita di Palestine yang bermandikan darah, berbuka puasa dan bersahur dengan dentuman meriam dan desingan peluru. Keadaan mereka yang berjaga-jaga dan tidak tentu arah. Kekejaman Zionist yang kemaruk kepada penaklukan dan darah muslim hanya seronok memincingkan mata menbedik senjata untuk menghemburkan butiran besi-besi racun ke arah nyawa yang sedang bertakbir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah. Berjuang kerana agama Allah. Berjuang kerana maruah dan keluarga. Berjuang kerana untuk memastikan maqasid syar'iah dipertahankan. Ramadhan bagi saudara kita ini dianggapnya sebagai bekalan kekuatan untuk pertempuran membebas Palestina dan Masjid Al-Aqsa.
Di manakah kita di saat ini... bergembira ataukah berduka mengenangkan nasib yang menimpa mereka...
Kita yang senang-lenang dan selesa dengan tidak diuji oleh kekalutan suasana hidup ini hanya berhadapan dengan kekalutan hidup sendiri. Baju raya sudah belikah atau belum?, kuih sudah buatkah atau belum?, perkakas dan perabot rumah sudah ditukar atau belum?. Semua ini adalah kekalutan nafsu yang menguasai jiwa yang sedang bertarung dengan jiwa yang hampir tenang dengan tuhannya. Jiwa yang tenang kerana menagih janji tuhannya untuk bersama-sama dengan hamba-hambanya yang terpilih dan mengharapkan untuk mengecapi syurga yang penuh dengan nikmat yang tidak terkata dan tergambar.
Datangnya ramadhan setahun sekali tetapi kita tidak mampu untuk mengabdikan diri kita kepada Allah Taala dengan sepenuhnya. Rupanya masih banyak urusan dunia yang tidak mampu ditinggalkan buat sementara waktu. Sebaliknya, amalan dan ibadah pula terpaksa ditangguhkan sementara kerana memberi ruang dan laluan kepada kehendak dan kemahuan nafsu.
Sesungguhnya Allah maha penerima taubat hamba-hambanya.
" Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu dilalaikan oleh harta kamu & anak-anak kamu daripada mengingati Allah . Maka barangsiapa yang melakukan yang demikian , maka mereka itulah orang-orang yang rugi . Dan berbelanjalah dari rezeki yang Kami kurniakan kamu sebelum mati datang kepada seseorang kamu, lalu akan berkatalah dia : Tuhanku ! Kalaulah boleh Engkau menangguhkan matiku sedikit masa lagi ,niscaya aku akan memberi sedekah , dan aku akan menjadi dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan. Dan Tuhan tiada akan memberi tangguh kepada sesuatu jiwa ,apabila telah sampai ajalnya, dan Allah Maha Mengetahui terhadap segala yang kamu kerjakan "9 : 11
Aku hanya mampu menangis di dalam kekalutan hati aku sendiri, semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang lalu...
Ameen, ameen ya Rabbal Alamin.
abuzorief @ Sheffield
18/9/2009 jumaat
abuzorief @ Sheffield
18/9/2009 jumaat
No comments:
Post a Comment