Pages

Tuesday, 9 November 2010

Ketaqwaan atau kefasikan


Apabila mentadabbur ayat-ayat Al Quran, sememangnya hatilah yang akan terasa tenang. Kerana itulah makanan dan habuan rohani. Kesihatan rohani perlu diambil berat dan diberikan sepenuh perhatian. Selama ini kita membiarkan rohani kita kosong tanpa 'dibajai' dengan ayat-ayat Allah. Semakin sibuk kita dengan urusan dunia, maka semakin kurang kita memberikan perhatian kepadanya. Walaupun peranan rohani kita, tidak sepertimana jasad kita bekerja, tetapi rohani kita 'menyelimuti' seluruh jasad fizikal kita untuk melaksanakan kerja, sama ada perlakuan kita itu baik atau pun buruk. Rohani berperanan menggerakkan anggota jasad. Rohani yang sehat dan tenang akan menggerakkan jasad untuk melakukan kebaikan tetapi sekiranya ia tidak sehat, maka ia akan menyerah kalah mengikut dorongan hawa nafsu melakukan kejahatan. Kesihatan rohani amat mustahak kerana ianya membawa kepada fitrah kejadian kita sebagai manusia yang menyembah penciptanya.

Kita diberikan dua pilihan di dalam kehidupan. Antara jalan ketaqwaan atau jalan kefasikan. Kedua-dua jalan ini amat jauh perbezaannya. Satu jalan menyuruh kepada kesempurnaan hidup kita sebagai hamba kepada Allah dan manakala satu jalan lagi membawa kita kepada jalan kesesatan dan kemurkaan Allah Taala.

"Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntunglah orang yang menyucikannya (jiwa itu) dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya" (As Syam 91: 8-10)

Sebagai manusia yang memiliki jiwa yang murni dan suci fitrah kejadian, maka sudah tentu kita akan dibimbing kearah jalan ketuhanan. Berikrar untuk tunduk dan patuh kepada Allah sama ada hidup atau mati atau melalui solat dan beribadah yang telah ditentukan sama ada secara sukarela atau terpaksa. Tetapi amat malang sekiranya kita memilih jalan kefasikan kerana kita dibimbing oleh musuh kita yang nyata iaitu Iblis dan Syaitan.

Kebahagian hidup yang dibimbing oleh Syaitan hanya kecapan kemanisan yang sementara. Keseronokan yang terbatas. Walhal, kita sebenarnya akan melalui kehidupan di dunia ini sebagai ujian untuk kita menuju alam akhirat yang kita ketahui akan menjadi tempat yang kekal. Tempat yang memberikan keseronokan dan kebahagian yang abadi. Tempat yang akan merealisasikan segala keinginan yang kita idami selama ini. Tetapi jalan kebahagian kesana perlulah diganti dengan pengorbanan yang tinggi sejak di dunia lagi. Mana mungkin kita mahukan kesenangan disana tanpa ada pengorbanan.

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya?" (Al An'aam [6]:122)

Apakah yang dikatakan ketaqwaan dan kefasikan?. Semuanya memerlukan kepada jawapan yang tepat supaya kita tidak terperangkap di dalam kebingungan hidup yang entah bagaimana. Mereka yang dapat menyucikan diri sendiri adalah mereka yang cemerlang ketaqwaanya. Jelas halatuju dan matlamat akhir sebuah kehidupan. Kehidupan ini adalah sebagai bekalan. Setiap bekalan perlu diisi dan dipenuhi. Bekalan yang baik boleh digunakan sepanjang perjalanan kehidupan. Tetapi sekiranya bekalan tidak diisi atau basi atau busuk diperjalanan maka ianya tidak membawa apa-apa pengertian malah akan membebankan sejarah kehidupan.

Berfikirlah secara rasional demi untuk meneruskan sebuah kehidupan yang sementara ini. Addunya mazra'atul akhirat... dunia adalah ladang akhirat. Menyempurnakan tanggungjawab kita di dunia adalah kewajipan untuk menuju kehidupan yang kekal dan menjamin kehidupan yang abadi buat selama-lamanya.

abu zorief @ sheffield
9/11/2010, Selasa

No comments:

Post a Comment