Teringin sangat untuk melihat perubahan lanskap politik Malaysia negaraku merdeka. Ya! sudah 55 tahun Negara Malaysia merdeka dari jajahan penjajah yang datang untuk mencabut kedaulatan Negara.
Dahulu rakyat bersatu menentang penjajah...
Dahulu rakyat bersatu untuk menentang sang penjajah kerana untuk merealisaikan misi dan visi yang besar yang satu iaitu menentang penjajah dan negara berdaulat. Mereka datang merosakkan adat kebudayaan, kesucian Islam, dan kemakmuran negara. Mereka datang dengan tujuan yang jelas dan bukan sahaja semata-mata untuk menjajah negara ini. Ada yang datang kerana untuk mengaut kekayaan hasil mahsul negara ini, ada yang datang untuk meracuni fikiran terhadap siapa ketuanan yang memimpin dunia dan melutut sujud menyembah, ada pula yang datang dengan rasa dendam untuk menghapuskan agama Islam di atas muka bumi ini walau seinci mana sekalipun mereka berada. Lebih-lebih lagi kecemburuan dan kedengkian mereka terhadap agama Islam yang sebelum ini terbukti telah memerintah hampir 2/3 dunia dengan kemajuan tamadun ilmu dan akhlak yang tidak boleh lagi dinafikan oleh sejarah dunia.
Susahnya rakyat ketika itu untuk mendapat makanan, walaupun dari hasil tuaian sendiri. Apa yang boleh dimakan atau digenggam itulah yang dimakan. Mujur ada ubi kayu sebagai makanan harian, makan biji getah, makan bubur tanpa lauk dan garam dan makan segala pucuk kayu yang tumbuh. Malah rakyat marhaen sukar mendapatkan makanan yang enak-enak. Adat makan mereka hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, dan adakalanya mereka tidak ada makanan untuk dimakan, terus untuk beberapa hari, minggu atau bulan.
Candu...
Penjajahan mendatangkan banyak keburukan dari kebaikan. Huru-hara dan dendam adalah akibatnya. Kita tidak menafikan bahawa mereka juga membawa perubahan terhadap kemajuan negara, kemudahan infrastruktur dan kemahiran urus tadbir, kerana mereka juga akan hidup untuk jangka masa yang lama semasa penjajahan. Penjajah akan merampas segala tanah, harta rakyat dan hasil negara sewenang-wenangnya, Undang-undang mereka diguna-pakai untuk menjaga keselamatan mereka di negara ini.
Suasana keselesaan dan ketuanan mereka inilah yang akan menjadi 'candu' kepada anak bangsa untuk menjadi tali barut kepada penjajah. Kehidupan tali barut ini berubah 'wajah', dari segi pakaian, gaya cakap, tingkah laku, gaya makan dan keselesaan sebagainya untuk mengikut jejak langkah si penjajah. Sanggup menzalimi bangsa sendiri untuk kesenangan perut sendiri.
Suasana 55 tahun penjajahan dahulu juga telah meninggalkan kesan buruk terhadap bangsa sendiri. Sebahagian atau segolongan orang Melayu yang senang dan berada di dalam kerajaan yang memerintah ketika itu sudah bertukar adat dan tatasusila hidup. Malah mereka juga bertuhankan harta dan kuasa. Rakyat miskin dan marhaen kena bersujud di kaki mereka untuk menumpang senang. Bukannya diberi secara percuma tetapi kena berbakti. Mereka mengujudkan lapisan darjat antara warga kayangan, bangsawan dan rakyat merempat hina dina. Katanya, merekalah yang layak memimpin, memerintah dan berkuasa. Mereka juga yang menentukan banyak mana dan saiz periuk nasi orang lain. Malah, kehidupan itu jauh dari panduan Al-Quran dan Sunnah, kehendak kesucian agama Islam. Rakyat miskin juga yang utuh memegang dan menjaga agama Islam dari dibuang oleh puak-puak kayangan dan bangsawan ini.
Mungkin kita tidak dapat membayangkan keperitan, kesengsaraan itu melainkan mereka yang benar-benar berada dalam situasi sedemikian.
Itu cerita dulu-dulu. Sekarang negara Malaysia sudah bebas dari penjajahan yang bersifat fizikal. Teorinya Malaysia sudah merdeka.
Kini sudah 55 tahun...
Kini, 55 tahun telah berlalu, saban tahun diingati dan dirayai oleh kita. Perubahan kehidupan yang ketara jelas. Begitu juga, tidak dinafikan tiada lagi huru-hara dan peperangan. Banyak pembaharuan dan kemajuan di sana-sini. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan yang memerintah.
Kerajaan yang memerintah itu adalah dari parti yang menang yang telah dipilih oleh rakyat jelata. Kerana parti yang menang itu menjadi kerajaan dan kerajaan itu bertanggungjawab dan mestilah menjaga kedaulatan negara, menjaga kemajuan negara dan rakyatnya, meningkatkan ekonomi negara, menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya, menjamin kebajikan rakyatnya dan memerintah dengan dengan adil dan saksama.
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. [Al-Ahzab [33:72] ]
Parti mana yang dilantik mewakili rakyat dan mentadbir negara mestilah:
- Bertanggungjawab
- Adil dan saksama kepada semua lapisan rakyat dan bangsa
- Berkhidmat untuk rakyat bukannya kepada parti dan pengikutnya
- Menjaga kebajikan rakyat dan negara
- Amanah di dalam pengurusan dan tadbir
- Tidak sombong (arrogant) terhadap rakyat
- Tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada ditangan
- Berjiwa rakyat bukannya berjiwa kayangan dan bangsawan
- Telus di dalam mengurus tadbir harta, wang dan kekayaan negara
- Tidak memperjudikan nasib rakyat kerana untuk berkuasa
- Berusaha untuk menaikkan taraf kehidupan rakyat bawahan
- Sedar dan bersederhana di dalam gaya hidup sebagai pemimpin bertauladan
- Menjaga kedaulatan agama Islam disudut perundangan negara
Ramainya pemimpin korup...
Akan tetapi, Kerajaan yang sudah 55 tahun memerintah dimana pemerintahannya sudah lari dari tujuan asal. Sikap dan sifat semakin tidak disenangi oleh rakyat jelata. Kerajaan yang lebih mengutamakan kebendaan sehingga lebih segala-galanya. Saling bermusuh-musuhan sesama sendiri kerana kebendaan. Sumber manusia bersifat kebendaan. Kehidupan menjadi celaru kerana kebendaan. Pemimpin-pemimpin yang mentadbir kerana kebendaan. Oleh itu, mereka gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.
Apakah kita sanggup membela pemimpin-pemimpin yang secara terang-terangan mempunyai sifat dan kelakuan yang buruk di dalam urusan pentadbiran awam?. Mereka yang dilantik sepatutnya menjaga segala kepentingan awam, bukannya mengambil kesempatan di dalam mengkayakan diri sendiri, anak isteri mahupun kaum kerabat. Itu bukan tiket untuk terus berkuasa dan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat.
Kini rakyat bersatu menentang parti korup - musang berbulu ayam...
Rakyat sekarang bukan lagi rakyat yang dulu. Rakyat yang bukan hanya mengikut membabi buta sahaja tanpa berfikiran secara waras. Alhamdulillah, rakyat yang sedar dan sudah tahu membezakan hak-hak yang sepatutnya diperolehi dari kerajaan yang memerintah.
Kerajaan yang memerintah tidak boleh sesuka hati untuk menekan rakyat jelata yang terus mencabar mereka. Sebaliknya pemimpin dan parti itu mesti sedar segala apa yang mereka lakukan itu telah menyebabkan rakyat marah, kecewa dan kesal. Janganlah semata-mata kerana untuk merealisasikan impian untuk terus berkuasa, mengaut kekayaan hasil negara, maka apa yang tidak sah dan haram itu dihukumnya halal dan sah.
Kini, dalam proses peralihan kuasa, secara terang-terang kerajaan sementara telah berlaku khianat dengan menggunakan seluruh jentera dan kemudahan awam untuk memenangkan parti mereka, dan rakyat sentiasa bersabar dengan perbuatan mereka di dalam setiap tingkah-laku yang tidak betul yang telah dilakukan. Kalaulah perkara asas ini pun mereka khianati, apatah lagi dengan perkara-perkara yang lebih besar dan serius yang melibatkan perbendaharaan negara, hak rakyat, wang rakyat dan lain-lainnya.
Kuasa sebenarnya adalah ditangan rakyat, yang mana mereka dipilih melalui proses yang dikatakan demokrasi. Akan tetapi demokrasi itu juga dicabuli. Menolak parti dan pemimpin yang korup itu mesti supaya mereka sedar akan segala apa yang telah mereka lakukan.
Supaya negara, bangsa dan agama terpelihara dari parti dan pemimpin yang bukan:
- Parti yang korup
- Pemimpin yang bermasaalah,
- Cuai dan tidak cekap,
- Sombong dan bongkak,
- Rakus dan tamak,
- Tidak amanah dan khianat,
- Tidak telus dan beragenda tersembunyi,
- Tidak berprinsip dan beretika,
- 'Pencuri' harta rakyat dan negara,
- Pemerah wang rakyat,
- Songlap duit rakyat
Selamat mengundi PRU-13...
abuzorief @ N36 - pantai jerejak
1 may 2013, hari buruh
No comments:
Post a Comment