Merenung kejadian alam
Andaikan, kalaulah matahari secara fitrahnya terbit di sebelah timur dan terbenam disebelah barat, tetapi engkar dengan arahan peraturan, maka akibatnya berlakulah kucar-kacir alam dan galaksi ini.
Kalaulah burung-burung secara tabi'enya diperintah terbang di udara, tetapi engkar dengan arahan, maka penuhlah burung-burung ini berjalan di atas muka bumi dan mengganggu makhluk lain termasuk manusia.
Kalaulah air-air di dalam alur sungai yang sepatutnya mengalir ke muara atau kuala, tetapi tetap degil untuk mengalir ke hulu, maka musibahnya akan berlaku banjir besarlah seluruh daratan. (dengan izin Allah Taala).
Begitulah dengan kejadian alam yang lain. Semua alam penciptaan Allah telah disusun peraturannya dan masing-masing akur dengan perintah Allah. Paling hampir untuk diajak kita berfikir ialah tentang kejadian dan sistem kehidupan manusia.
Tabi'e kehidupan
Peraturan adalah perlu di dalam sistem kehidupan. Semua kita berkehendakkan kepada peraturan atau undang-undang. Ia perlu untuk mengatur kehidupan kita supaya kita lebih berdisiplin atau menghormati di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain, memastikan kita mematuhi kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan yang tertentu.
Pernahkah kita bayangkan sekiranya disekeliling kita ini tidak ada undang-undang dan peraturan hidup. Pastinya keadaan yang ada akan mengalami kucar-kacir, kelam-kabut, huru-hara, punah ranah dan sebagainya. Manusia akan berbalah sesama-sendiri, bermusuhan, dan berbunuhan di antara satu sama lain. Siapa yang kuat dia akan terus berkuasa manakala yang lemah pasti tertindas dan menjadi hamba.
Bi'ah atau suasana
Anak-anak perlu dibiasakan dengan peraturan atau 'undang-undang' kecil di dalam rumah. Peraturan ini adalah untuk mendidik bukannya untuk mendera. Membiasakan mereka dengan peraturan akan membolehkan mereka sentiasa bersikap peka atau sensitif dan mengambil serius tentang banyak perkara dan berfikir tentang banyak perkara apabila hendak bertindak dan melakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya ibu-bapa berupaya menyediakan bi'ah (suasana) yang soleh. Peraturan yang saya maksudkan ialah peraturan yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah. Peraturan yang menepati manhaj Islam atau syariat.
Sekiranya dari kecil lagi mereka tidak dibiasakan dengan peraturan maka lama-kelamaan mereka akan membesar di dalam keadaan tidak terdidik. Mereka menjadi insan yang susah untuk menerima teguran dan sebagainya. Mereka akan bersikap memberontak dan kurang adab di dalam pergaulan sosial. Akhirnya akan merosakkan peribadinya sendiri dan memberi kesan kerosakan yang besar di dalam membentuk masyarakat yang bertamadun.
Melatih dan mendidik anak-anak sejak dari kecil adalah satu tindakan yang wajar. Ibu-bapa adalah guru pertama mendidik anak-anak. Apabila anak-anak dihantar ke sekolah, ibu-bapa meletakkan peratusan yang tinggi kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka. Sehinggakan ada dikalangan ibu-bapa langsung tidak ambil hirau lagi kefahaman dan kejelasan ilmu yang mereka terima di sekolah. Sepatutnya ibu-bapa kena memastikan kefahaman anak-anak selari dengan kefahaman ibu bapa. Dan kefahaman ibu-bapa pula mestilah sejajar sepertimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul (Al Quran).
Sebab itu di dalam mendidik anak-anak, maka ibu-bapalah pendidik dan perlu tahu banyak perkara tentang agama bukannya mengharapkan orang lain untuk mendidik anak sendiri. Ibu-bapalah perlu mengasihi agama sendiri sebelum menyuruh anak-anak mengasihinya pula. Tidaklah menjadi seperti ibu ketam hendak mengajar anak-anaknya berjalan lurus sedang siibu berjalan mengiring.
Mengajak anak-anak merenung kepada setiap kejadian alam, ini mudah-mudahan mereka faham bahawa perlunya kehidupan ini akan peraturan yang akan menyusun dan mengatur supaya tidak berlaku kucar-kacir yang merosakkan sistem kehidupan.
Peraturan hidup
Perhatikanlah, semuanya berkehendak kepada sistem dan peraturan. Begitu juga dengan perjalanan hidup kita di atas muka bumi ini. Sejak dari awal penciptaan kita lagi telah ada peraturan untuk mendisiplinkan dan mendidik kita supaya menjadi hamba Allah yang taat dan patuh. Peraturan hidup ini bertujuan supaya mematuhi arahan Allah Taala dan mengiyakan bahawa Allah Taala adalah maha pencipta yang agong. Ia menjadikan kita supaya menyembahnya dan memohon harap hanya kepada tuhan yang selayaknya memberi sepenuh harapan.
Panduan hidup kita yang sah hanyalah Al Quran Karim dan sunnah. Segala isi di dalamnya telah mempunyai jawapan dan lengkap dengan segala maklumat untuk seluruh perjalanan hidup kita.
Keingkaran
Disebabkan keingkaran kitalah, sistem kehidupan kita di atas muka bumi ini musnah dan hancur. Siapa lagi pemusnahnya kalau tidak kita, yang selalu menjadi pendusta dan kaki 'temberang' kepada maha pencipta kita sendiri. Ibarat kata, seorang hamba berlagak sebagai tuan, sedangkan tuannya ada di depan menyaksikan kelakuan hambanya sendiri.
Nescaya, Allah akan menghumban kita ke dalam nerakanya yang amat pedih itu. Allah dengan tanpa belas lagi akan menurunkan malapetaka yang amat dahsyat dan memusnahkan sistem kehidupan dunia dan kehidupan manusia khususnya. Apa yang hendak kita hairankan... kerana dialah yang maha berkuasa yang memerintah seluruh isi alam ini, bukankah adil Tuhan itu?...
Allah matlamat kami,
Ar-rasul pemimpin kami,
Al Quran perlembagaan kami,
Al Jihad pada jalan Allah adalah jalan kami,
dan mati di jalan Allah adalah cita-cita unggul kami.
Allahu a'lam, Wassalam...
abuzorief @ sheffield
31/12/2011, sabtu
selamat tahun baru 2012
Allahu a'lam, Wassalam...
abuzorief @ sheffield
31/12/2011, sabtu
selamat tahun baru 2012
No comments:
Post a Comment