Pages

Monday, 2 January 2012

Kualiti hidup golongan sedikit?...


Tidakkah kamu perhatikan para pemuka Bani Israil setelah Musa wafat, ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka, "Angkatlah seorang raja untuk kami, nescaya kami berperang di jalan Allah?. Nabi mereka menjawab, "Jangan-jangan jika diwajibkan atasmu berperang, kamu tidak akan berperang juga?". Mereka menjawab, "Mengapa kami tidak akan berperang di jalan Allah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dipisahkan dari) anak-anak kami?." Tetapi ketika perang itu diwajibkan atas mereka, mereka berpaling, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan Allah Maha mengetahui orang-orang yang zalim. (Surah ke 2: Al-Baqarah Ayat 246)

Sombong dan bongkak

Satu teguran hebat kepada kita yang masih mempunyai sikap dan sifat-sifat sombong dan kepura-puraan, yang bersarang di dalam diri sendiri. Sifat-sifat ini telah menyebabkan kita lupa kepada asal-usul kejadian dan penciptaan. Daripada air mani yang hina yang tidak ada nilai dan harga sedikit pun di sisi Allah Taala. Namun manusia terus merasa kagum dan hebat, megah dan sombong dengan lagak seperti Merak di kayangan. Sifat kita yang sombong dan bongkak inilah yang akan merosakkan kehidupan yang harmoni dan selamat.

Justeru, sifat sombong dan kepura-puraan ini akan menyebabkan kita terus lemas di dalam kemelut kehidupan kita sendiri. Kita tidak tahu dimanakah kehidupan yang pasti, yang mesti kita lalui dan teladani. Kita sendiri merasa takut dan hilang arah untuk melakukan. Segala tindakan dan keputusan yang kita buat, tidak mengena dan tersasar sama sekali. Walaupun perkara itu adalah perkara yang baik yang mendatangkan banyak faedah dan manfaatnya pada diri dan orang lain. Namun, kita masih degil untuk mendabik dada sambil mengatakan kita boleh buat itu dan ini, tetapi natijahnya kita sendiri tidak tahu apa yang akan atau sudah kita lakukan. Golongan sebegini sangat ramai di sekeliling kita. Mereka mempunyai pengaruh yang besar di dalam masyarakat dan mampu mempengaruhi yang lain. 

Apakah sifat dan sikap yang terjadi kepada golongan yang sedemikian?.
  • Sombong
  • Bongkak
  • Berpura-pura
  • Penindas
  • Pelampau
  • Pengampu
  • dan sebagainya
Tetapi Allah mengatakan hanya segolongan yang kecil atau golongan yang sedikit sahaja yang mendapat perhatianNya. Mungkinkah segolongan kecil itu adalah mereka yang sabar, taat dan pasrah kepada Allah Taala?.

Tertipu...

Sebenarnya golongan yang ramai ini adalah golongan yang tertipu. Mereka terpedaya dengan keasyikan. Kekuasaan dan kemewahan melampau juga memainkan faktor utama yang telah menipu dan memperdayakan. Ya!, kita mesti terkaya, terpanjang, terbesar, terbanyak dan terhebat dan lain-lain lagi. Tidak salah semuanya itu untuk dimiliki, kalau diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Kena ada kebijaksanaan akal dan keseimbangan neraca fikiran.

Hati dan akal yang celik sahaja yang mampu mencaturkan sifat-sifat tersebut untuk diterjemahkan dalam diri kita sendiri melalui tindakan yang rasional. Apabila tidak ada kebijaksanaan yang berteraskan ilmu wahyu Allah dan sunnah, maka kita tersasar jauh dari platform kehidupan. Kita merasa bangga dan ujub dengan diri sendiri dan seterusnya tenggelam dengan keenakan dan keasyikan bersama dengan manusia lain yang berperangai sedemikian.

Adakah kita golongan sedikit?..

Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. (Saba 54:13)

Ketika Saidina Umar Al Khattab sedang tawaf, beliau terdengar seorang arab Badawi berdoa "Ya Allah masukkan aku dalam golongan yang sedkit". Beliau sangat hairan, selalunya orang mahukan yang banyak. Selepas tawaf lalu beliau bertanya kepada Arab Badawi tadi kenapa dia berdoa sedemikian. Lalu menjawab Arab Badawi tadi, "Bukankah Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran bahawa hanya sedikit di kalangan hambaNya yang bersyukur?". Tersentuh jiwa Saidina Umar apabila mendengar penjelasan tersebut. Lantas beliau mengatakan kepada dirinya sendiri, "Wahai Umar, hari ini orang ramai lebih 'Alim daripada kamu".

Kalau ditanya, pasti semua kita mahukan yang banyak, besar, dan sebagainya. Kenapa hati dan naluri kita mahukan sedemikian rupa?. Tetapi ayat di atas benar-benar menyentuh hati dan jiwa, kerana dengan jelas menyatakan betapa hebatnya menjadi golongan yang sedikit.

Banyak gambaran peristiwa seperti ayat di atas. Nabi Noh dengan pengikutnya yang sedikit, Nabi Isa dengan pengikut yang sedikit, Talut mengalahkan tentera Jalut, Peristiwa Perang Badar Al Kubra dimana jumlah tentera Islam ratusan mengalahkan tentera kuffar ribuan orang, Salahudin Al Ayubi dengan bala tentera yang beriman dan bertaqwa, Muhammad Al Fateh disokong oleh tentera-tentera yang pasrah hidupnya kepada Allah Taala.

Imam Hasan AlBanna telah mengatakan dan menjelaskan bahawa "Sesungguhnya banyak orang yang mampu berkata, tetapi sedikit dari mereka yang mampu bertahan dalam beramal dan bekerja. Banyak pula dari sedikit itu yang mampu memikul beban jihad yang berat dan sukar. Para mujahidin inilah merupakan angkatan pilihan yang sedikit jumlahnya, tetapi menjadi pembela dan menjadi Ansharullah. Kadang-kadang mereka keliru, tetapi akhirnya menepati tujuan, jika mereka diberi inayah dan hidayah oleh Allah swt"


Allah menyukai golongan ini. Dan golongan inilah akan mendapat pertolongan dan rahmat dari Allah. Sedikit membawa kepada kualiti. Kuantiti bukanlah semata-mata menjadi kayu pengukur kepada kejayaan. Malah kuantiti kalau tidak bernilai dan berkualiti, maka akan merosakkan keseluruhannya. Ibarat nila setitik rosak susu sebelangga.

Kerana golongan ini sentiasa:



  • Bersyukur
  • Mendapat kemenangan
  • Mendapat bantuan
  • Pasrah kepada Allah
  • Bersabar
  • Taat dan patuh
  • Berjuang pada jalan Allah
  • Mengharap restu
  • Taufik dan hidayah
  • Sentiasa takut kepada Allah
  • Berkualiti
  • dan sebagainya...

Oleh itu, bagaimanakah pula pilihan kita?.

Hati dan jiwa yang bersih

Kitalah yang perlu menentukan hala-tuju hidup kita. Bukannya rakan-rakan, keluarga mahu pun orang lain. Kita mesti mempunyai kekuatan hati dan jiwa yang berpegang kepada keputusan yang waras dan mutlak. Keputusan itu mestilah yang bertepatan dengan syariat Allah Taala.

Hati yang bersih sahaja yang mampu menerima hidayah Allah. Hati yang kotor akan terus berada dalam kesesatan yang gelap pekat tanpa suluhan cahaya kebenaran.

Tarbiyyah jiwa

Semua sifat-sifat berlebihan tersebut mempunyai nilaian dan kiraan dari pandangan fizikal sahaja. Hidup dengan sifat rendah diri dan qanaah (berpada) serta sifat mazmumah yang lain, merupakan tarbiyyah jiwa yang paling baik. Itu adalah didikan langsung dari Allah Taala dan telah dicontohi oleh para Rasul. Didikan inilah yang mampu membentuk hati, jiwa dan peribadi kita.

Untuk persiapan diri dan menentukan kedudukan kita adakah kita tergolongan di dalam golongan ini, maka kenalah uji diri kita dengan ujian yang berat dan kurang disukai, yang susah dan perit, yang jauh dari nafsu syahwat dan tradisi-tradisi yang merosakkan serta menjauhkan apa-apa keselesaan hidup dan sebagainya.

Hasilnya, hidup kita akan sentiasa berdamping dengan Allah Taala. Niat dan gerak kerja kita diserahkan secara total (sepenuhnya) kepada Allah.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang sedikit... Wa khalilan min 'ibadiyas syakur... dan sedikit sahaja hamba-hambaku yang bersyukur.... Ameen

Allahu 'alam

Wassalam

Nota:
[1] Al Quran terjemahan
[2] Fiqh Dakwah, Syeikh Mustafa Masyhur, Jilid 1, Al-I'tishom Cahaya Umat
abuzorief @ sheffield
2/1/2012, isnin
bank holiday
v 1.1, 10/2/2012

No comments:

Post a Comment