Pages

Friday, 27 January 2012

Fitnah


Perkataan fitnah sudah tidak asing bagi kita. Semua kita mengerti dan faham maksud serta akibatnya. Malah kita sedia maklum bahawa akibat perbuatan fitnah ini pasti membawa kesan yang buruk dan jelek kepada insan yang difitnah. Malah ia menjadi senjata paling tajam untuk membunuh pihak lawan. Tajamnya lebih tajam dari mata pisau. Cara 'membunuhnya' lebih kejam dari hukuman tali gantung.

Di dalam Al Quran membawa berbagai erti terutama kepada perlakuan syirik, pembunuhan, peperangan, kesempitan, kerosakan dan melakukan pertuduhan tidak benar atau tanpa bukti.

Sejarah fitnah tidak berkesudahan...

Amalan fitnah telah berlaku sejak sekian lama di dalam kehidupan anak Adam. Fitnah di antara Qabil dan Habil sehingga berlaku pembunuhan, fitnah ke atas ummul mukminin Saidatina Aisyah semasa hidup Rasulullah, fitnah sehingga berlaku pembunuhan Khalifah Arrasyidin Saidina Uthman Affan, fitnah ke atas Saidina Ali Bin Abi Talib dan Saidatina Aisyah sehingga membawa kepada peperangan, fitnah juga menyebabkan hancurnya pemerintahan Bani Umayyah, fitnah sehingga melenyapkan zaman kerajaan Melayu Melaka, fitnah sehingga berlaku penangkapan beramai-ramai anggota-anggota Ikhwan Muslimin semasa pemerintahan Jamal Abdul Naser serta seterusnya dan sebagainya.

Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadanya. (At-Taubah 9:48)

Tujuan apa...?

Kenapakah di antara kita suka terlibat di dalam perbuatan ini?
  • Untuk mencari kedudukan peribadi
  • Menjaga kepentingan diri
  • Cemburu
  • Saja mereka cerita
  • Mencari populariti
  • Mendapatkan publisiti
  • Habit/tabiat
  • Budaya hidup
  • Mencari pengaruh
  • Untuk melindungi kesalahan diri
  • Terus berkuasa dan memerintah
  • Hipokrit
  • Strategi dan mengatur perancangan?
  • Dengki dan dendam
  • Untuk memusnahkan kerjaya orang lain
Terlibat?

Kenapakah amalan fitnah ini menjadi penyakit besar di dalam masyarakat?. Kerana, ia akan memberi kesan kepada ramai orang, berpecah-belah dan menimbulkan konflik permusuhan yang besar di dalam masyarakat. Tidak pelik kalau saya katakan bahawa perbuatan ini tidak mengenal siapa, sama ada golongan muda atau tua, lelaki atau perempuan, ilmuan atau tidak, agamawan atau tidak, berpangkat atau tidak, berkuasa atau tidak dan selainnya. Kerana masing-masing mempunyai tujuan, matlamat dan objektif yang tertentu untuk dicapai. Sedangkan perbuatan itu bukanlah amalan yang sejahtera dan harmoni malah berdosa besar dan ditegah sama sekali oleh Allah Taala.

dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan... (Al-Baqarah 2:191)

angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan... (Al-Baqarah 2:217)

Wabak

Paling merunsingkan bilamana wabak fitnah ini terus menjadi sebati di dalam masyarakat dan menjadi 'asam garam' kehidupan. Lama kelamaan ia seolah-olah telah menjadi biasa dan sedikit pun kita tidak merasa apa-apa seperti pepatah "Alah bisa tegal biasa". Masing-masing menjadi lali dan tidak merasa bersalah untuk terlibat sama ada sebagai pembawa atau penyebar, pendengar, pengumpul, penerima, penyokong, membenarkan fitnah dan sebagainya. Semua rantaian ini adalah satu tabiat sebenarnya dan pasti mendapat dosa sama seperti mereka yang membuat fitnah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujraat 18:6)

Negaraku vs krisis...

Banyak peristiwa sebegini yang berlaku sejak mutakhir ini di negara kita dan ia tidak pernah selesai sejak beberapa tahun lalu. Jelas apa yang berlaku itu pada asalnya ialah perselisihan dan perbezaan ideologi politik. Kemudian terus merebak kepada fitnah seksual dan liwat. Hatta, disebar dan tersebar fitnah ini di media TV, email, surat khabar, buku-buku dan penulisan, blog-blog, surat layang, perbualan-perbualan, CD, Video, facebook, tweeter, SMS, telefon, youtube dan segala macam media komunikasi lagi.

Bahkan ada yang menggunakan CCTV sebagai bukti tayangan semula untuk menyabitkan kesalahan kerana fitnah tersebut. Bukankah di dalam akhlak dan syariat Islam, bukti pengakuan yang benar itu sepatutnya datang dari tertuduh serta penuduh dan saksi yang menyaksikannya atau secara sahnya ialah ujud elemen dan objek dengan kehadiran yang nyata. Manakala ujian DNA, CCTV atau lain-lain teknologi tinggi itu hanya sabit sebagai alat sokongan untuk mengukuhkan bukti. Sepatutnya ia dihukum dan diambil perhatian apabila ia benar-benar mempunyai bukti-bukti jelas dan mencukupi serta memenuhi syarat dan dasar hukum syariat.

Sebab itu fitnah ini mesti dijauhkan dan dibendung. Ia menyebabkan maruah dan aib seseorang. Berbagai aib telah dibuka dan memalukan pihak yang terlibat. Bahkan aib ini turut dirasai oleh seluruh ahli keluarga dan saudara-mara. Sedangkan perkara-perkara aib ini sepatutnya ditutup dan dirahsiakan. Bukankah ini zalim namanya?.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al Hujuraat 18:11)

Kesan?

Akibat dari gejala dan perbuatan ini telah merosakkan keharmonian sistem sosial dan komunikasi di dalam masyarakat. Hubungan persaudaraan dan persahabatan menjadi retak dan saling bermusuhan di antara satu sama lain. Lebih sadis lagi apabila ada segelintir saling sihir-menyihir sehingga berbunuh-bunuhan tanpa rasa belas dan kasihan. Nafsu amarah tidak dapat dikawal lagi dan kurang menggunakan akal fikiran untuk menilai dan muhasabah diri apa yang akan berlaku, kesan serta akibat seterusnya. Tidak dapat dinafikan lagi, api semarak itu pula dimainkan dan diasak bertubi-tubi oleh Syaitan yang menjadi musuh kita yang nyata.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al Hujraat 18:12)

Elakkan...

Elakkan diri kita dari terjebak dengan perbuatan ini. Sama ada berita itu benar atau tidak, belum pasti akan kesahihannya atau lebih-lebih lagi tanpa kerelaan dan pengetahuan orang yang berkaitan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?

Sahabat menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.

Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Perbuatan ini bukan sahaja dibenci dan berperangai jahat. Pelakunya lebih mementingkan diri sendiri dari mengambil dan memberi manfaat untuk kesejahteraan ummah.

Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai); (Al-Qalam 68:11)

Adab di dalam Islam adalah berakhlak mulia. Ehsan adalah penting untuk dibina (tarbiyyah) di dalam diri. Kerana ehsan itu ialah menjadi perisai diri untuk melahirkan taqwa kepada Allah Taala. Sentiasa merasa takut untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang kerana setiap gerak-geri dan perbuatan itu diperhatikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam mengutamakan ukhuwwah dan perpaduan ummah. Sikap mementingkan diri sendiri tidak menguntungkan ummah malah akan melahirkan individu yang bersikap tamak, sombong, berhasad serta berdendam kerana mengutamakan habuan dunia semata.

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim. (Al Baqarah 2:193)

Semoga Allah menjauhi kita dari perbuatan dan amalan ini dan terlindung dari fitnah Dajjal yang akan datang.

Wassalam...

abuzorief @ sheffield
27/1/2012, jumaat

No comments:

Post a Comment