Pages

Wednesday, 11 January 2012

Sibuk dan amat menyibukkan



Mari kita merenung sejenak...

Demi masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian... (Al Asr: 1-2)

Siapakah yang berada di dalam kerugian sebenarnya?. Itulah kita yang telah diciptakan oleh Allah Taala. Walaupun kita telah diciptakan sesempurna mungkin sifatnya, fizikal, akal dan emosi serta lainnya, tetapi Allah yang maha besar dan hebat sebagai pencipta telah membuatkan kita itu sentiasa berada di dalam keadaan tidak sempurna, kerugian dan kelalaian. Sebab munasababnya bukan kerana Allah, tetapi ialah disebabkan oleh hal keadaan dan sikap kita sendiri.

Manusia asalnya tidak memiliki apa-apa. Manusia sentiasa memerlukan sesuatu. Peristiwa Nabi Adam dan Hawa diturunkan di atas muka bumi ini juga dengan hanya sehelai sepinggang sahaja. Demikian juga lihatlah, bagaimana kita dilahirkan oleh ibu kita, dengan berkeadaan lemah sehingga mampu berusaha sendiri. Ini menunujukkan bahawa kita memerlukan elemen sokongan. Kita menginginkan makanan, perlindungan, kasih sayang, berpasangan, berkomunikasi, bersosial dan kehendak-kehendak naluri dan nafsu yang lain.

Betapa lemah dan berharapnya kita. Dengan siapakah kita mengharapkan bantuan dan sokongan tersebut?.

Mengatur urusan hidup

Orang yang bijak dan cemerlang adalah orang yang berjaya mengatur perjalanan hidupnya supaya dapat menjadi orang yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh.

Kita terpaksa menyibukkan diri dengan kerja-kerja harian yang tidak pernah jemu untuk dilakukan ataupun untuk melakukannya. Sama ada kerja itu perlu atau tidak, mesti atau tidak, kena buat atau tidak, maka semuanya adalah kerja, dan kerja itu pastinya sibuk dan menyibukkan. Inilah yang dikatakan sebagai lumrah kehidupan kita.

Tetapi kalau ianya diuruskan dengan baik maka pastinya kerja yang sibuknya tadi dapat diselesaikan dengan mudah, bermanfaat pada diri sendiri dan dapat dimanfaatkan kepada orang lain.

Kisah Abdul Malik dengan bapanya

Kisah Abdul Malik dengan bapanya Umar Abdul Aziz banyak memberikan pengajaran kepada kita. Selepas perlantikan Umar sebagai Khalifah di hadapan orang ramai, beliau segera pulang ke rumah untuk merehatkan diri untuk menghilangkan seketika penatnya berikutan semalaman menguruskan jenazah Khalifah sebelumnya iaitu Sulaiman Abdul Malik. Belum sempat beliau hendak melelapkan mata, Abdul Malik menegur bapanya.

Apakah yang hendak dilakukan wahai bapaku Amirul Mukminin?.

Wahai anakku, ayahmu hendak melelapkan mata seketika. Terasa tidak bertenaga tubuh ayahmu ini.

Apakah bapaku, Amirul Mukminin boleh melelapkan mata sebelum mengembalikan semula segala harta dan hak yang telah dirampas oleh kerajaan sebelumnya kepada pemilik asalnya?.

Anakku, ayah tidak tidur semalaman kerana menguruskan jenazah pakcikmu, selepas zuhur nanti ayah akan melaksanakan urusan itu. Ayah akan mengembalikan segala harta yang telah dirampas kepada pemiliknya yang asal, Insyaallah, jawab ayahnya lagi.

Wahai bapaku Amirul Mukminin, siapa yang akan menjamin ayah akan hidup sehingga waktu zuhur nanti? Balas anaknya.

Subhanallah, kata-kata Abdul Malik benar-benar menyedarkannya dan telah memberikan semula kekuatan dan semangat kepadanya.

Berlengah-lengah

Masa yang ada belum tentu akan memberi peluang seperti yang diharapkan. Berlengah-lengah akan merencatkan banyak urusan yang penting, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan yang empunya hak atau menunaikan segala keperluan milik orang lain.

Masa yang berlalu begitu pantas sekali dan kita tidak mampu untuk mengulanginya semula. Benarlah, masa tidak boleh ditukar-milik, dijual-beli malah untuk dimiliki sekalipun. Hanya kita yang benar-benar menghargai masa dan menunaikan tanggungjawab kita sahaja yang dapat memanfaatkan masa yang berlalu itu.

Menunaikan hak peribadi muslim

Kita kena berfikir kembali adakah masa yang dilalui ini benar-benar dimanfaatkan pada diri sendiri mahupun kepada orang ramai. Ataukah kita hanya bermain-main sahaja dengannya dan membiarkannya ia pergi dengan begitu sahaja. Sekiranya kita benar-benar menghargainya sudah tentu kita akan mempersiapkan diri kita.

Alangkah mulianya kehidupan kita sekiranya kita dapat menunaikan kewajipan kita terhadap Allah yang maha pencipta. Kita sentiasa meletakkan diri kita di dalam kesibukan melakukan amal-amal soleh dan musleh. Tidak ada sedikit ruang pun untuk kita mensia-siakannya. Kita berusaha gigih dan serius dalam melakukan usaha untuk mendaulatkan Islam. Mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar. Mengembalikan Islam supaya dapat memerintah segala isi dunia.

Oleh itu, segala masa yang ada dimanfaatkan untuk melakukan kerja-kerja perubahan dan pembaikan (Islah dan taghyir).
  • Mempersiapkan diri dengan kefahaman akidah yang jelas dan beramal dengannya.
  • Memperkemaskan ibadah kita kepada Allah dengan ibadah yang sahih.
  • Memperelokkan akhlak kita sepetimana yang dikehendaki di dalam Quran.
  • Berusaha sedaya mampu untuk memperbaiki diri dan membantu orang lain untuk membina dan membentuk suasana yang soleh dan musleh.
  • Melakukan sesuatu yang menguntungkan ummah dan Islam khususnya.
Tips...

Antara tips yang boleh dikongsikan bersama adalah:
  • Sediakan sebuah buku catatan
  • Catat dahulu semua tugasan atau senarai kerja yang perlu diselesaikan
  • Selesaikan dahulu kerja yang paling mustahak dan penting atau utama.
  • Pastikan kerja utama ini di tingkatan yang 'first priority' dan senaraikan urutan kerja-kerja lainnya selepas itu.
  • Buat senarai semak dan senarai kerja tersebut mesti diletakkan tarikhnya dan juga tarikh 'action' (apabila selesai dilaksanakan)
  • Apabila ada tugasan baru maka perlu diletakkan tarikh baru.
  • Sentiasa semak semua senarai kerja yang belum dilaksanakan walaupun sudah berlalu tarikhnya.
  • Sekiranya ada kerja-kerja yang tidak dapat dilaksanakan, maka perlulah memaklumkan kepada pihak berkenaan, supaya pihak berkaitan maklum akan masalah yang berlaku.
  • Meminta pandangan pihak lain sekiranya ada kerja yang memerlukan pandangan pihak lain.
  • Muhasabah kembali setiap kerja yang telah dilakukan.
  • Berdoa dan pasrah kepada Allah Taala supaya diberikan hidayah untuk keluar dari kemelut kesibukan dan kepayahan.
  • Berzikir supaya diberikan ketenangan.
Semoga ianya berguna...

Wassalam

abuzorief @ sheffield
11/1/2012, rabu
version 1.1

No comments:

Post a Comment