Pages

Sunday, 8 January 2012

Erti hidup sebagai hamba



Kisah pengalaman dan perjalanan hidup kita mesti dijadikan sebagai nilai, rujukan, ukuran dan panduan untuk kita menjalani kehidupan dengan lebih bermakna dan bermanfaat kerana pengalaman-pengalaman yang telah dilalui tersebut sekiranya ia dijadikan iktibar dan pengajaran, maka ia juga sebenarnya adalah salah satu dari guru kita.

Dan dia ajarkan kepada Adam nama-nama (benda) smuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para Malaikat seraya berfirman, "Sebutkan kepadaku nama semua (benda) ini, jika kamu yang benar!" Mereka menjawab, "Maha suci engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, engkaulah yang maha Mengetahui, Maha Bijaksana." (Al Baqarah, 2: 31 - 32)

Kemahiran vs pengalaman

Sesungguhnya, apabila kita  mempelajari tentang ilmu alat (ilmu dunia), ia adalah untuk menjadikan kita seorang yang terpelajar, pandai dan mempunyai skill, pakar atau specialist dengan kemahiran-kemahiran tertentu supaya kita berjaya di dalam hidup atau meletakkan kejayaan diri kita di posisi kerjaya tertentu. Kemahiran atau skill hidup atau ilmu seni kehidupan adalah salah satu penguasaan untuk digunakan di dalam mengatur urusan hidup kita. Dan ianya terlalu banyak dan kita boleh mengutipnya di sepanjang perjalanan hidup kita.

Memperolehinya, bukan sahaja datang atau diperolehi dari orang cerdik, pandai, 'cerdik dan pandai' (sepertimana kisah Luqman dengan anak-anaknya, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Khidir, Nabi Muhammad dan sebagainya) tetapi ianya juga mungkin boleh diperolehi dari orang dungu, sombong, bongkak, pemarah, dendam, gila (seperti cerita kaum 'Aad, kaum Saba', Nabi Lut dan kaumnya, kaum Thamud, kisah Qarun, Firaun dan Haman, Namrud dan sebagainya) atau ibrah dari kejadian dan kehidupan makhluk Allah yang lain (seperti semut, lebah, labah-labah, hud-hud dan sebagainya), sekiranya kita meletakkan diri sendiri di dalam golongan orang-orang yang berfikir. Kerana 'mereka-mereka' itu juga adalah salah satu dari elemen pembelajaran, pengiktibaran dan pengalaman yang nyata yang sangat berguna kepada kita.

Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, (Surah Al Haaqqah 69:6)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Surah Al-Baqarah 2:164)

Semua contoh-contoh yang disebutkan itu telah diabadikan ceritanya di dalam Quran sebagai pedoman dan pengajaran kehidupan sepanjang zaman. Benarlah pepatah orang-orang tua "Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan."

Pengalaman hidup kita sebagai manusia bukanlah dikurniakan secara sekali-gus atau 'dihempok' ke atas kita kesemuanya. Tidak sama sekali dan bukan begitu, tetapi diberinya kita kefahaman dan ilmu dan selebihnya kita mestilah berusaha untuk mencari sendiri dengan berpandukan akal waras dan sehat yang telah diberikan kepada kita. Disebabkan itulah, kita  mesti terus mempelajari, menjalani, menelusuri, mengalami dan merasai sendiri pengalaman hidup di atas muka bumi ini.

Cermin hidup

Kita berjaya atau gagal adalah merupakan cermin dan neraca kepada kita. Inilah pengalaman hidup kita sebenarnya. Tidak mungkin ada sejarah sepanjang kehidupan kita ini sentiasa berjaya atau sebaliknya. Sebab itulah kita dikehendaki supaya berusaha untuk mengubah nasib dan kehidupan kita. Berusahalah kerana itu adalah jalannya. Namun selebihnya kita mesti berserah kepada Allah sebagai pencipta kita. Semua seni dan kemahiran hidup ini adalah bekalan untuk kita 'andam' dan serikan selama mana kita akan menghabiskan sisa-sisa hidup kita hingga ke akhir hayat.

Namun banyak sekali pengalaman dan iktibar yang terkandung di dalam Al Quran yang mesti kita ambil peduli. Kerana itulah, Al Quran mestilah dijadikan sebagai rujukan, panduan dan perlembagaan hidup kita supaya kita benar-benar mengerti hidup ini sebagai hamba kepada tuhan.

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayat petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya). (Surah Al Jathiyah 45:20)

Allahu a'lam,

abuzorief @ sheffield
arooj restaurant, attercliffe road
8/1/2012, ahad
version 1.1

No comments:

Post a Comment