Pages

Tuesday, 17 January 2012

Antara tasbih dan cemuhan


Keupayaan kita untuk melakukan kebaikan dan kebajikan adalah terpuji. Mudahan-mudahan kita menjadi individu yang prihatin dan peka terhadap kerja-kerja kebaikan. Namun disebalik keupayaan kita itu, mampukah kita melaksanakan kerja-kerja pencegahan dan pembenterasan?.

Kita sedia maklum bahawa amat payah sekali untuk menegur dan mengajak orang lain meninggalkan keburukan, perbuatan keji dan kejahatan. Satu pekerjaan yang susah dan sukar. Seboleh-bolehnya kita akan cuba menggelak darinya dan lebih senang memilih untuk menyeru kepada kebaikan dan kebajikan atau melakukan amal-amal soleh dan kerja menyeru itu senang sekali untuk sesetengah orang menerimanya, seperti mengajak orang mengerjakan solat, baca yasin, berpuasa sunat, bersopan-santun, menderma, menghadiri ceramah ilmu dan lain-lain lagi.

Masalah sosial

Betapa banyaknya kemaksiatan dan jenayah yang menular di dalam masyarakat memerlukan bantuan kita semua untuk membenteras. Bukan kerja mudah dan perlu sokongan padu dari kita semua.

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan." (Surah Al-An'am: 32)


Antara masalah serius yang berlaku di dalam masyarakat,




  • Hiburan keterlaluan
  • Filem lucah
  • Amalan rasuah dan kes pecah amanah - Melalui sumber agensi Transperancy, Malaysia dengan index 4.3 (Corruption Perceptions Index 2011), Terakhir bulan November 2011 sahaja jumlah tangkapan pesalah laku rasuah ialah 60 tangkapan yang dilaporkan dan tidak kira kes yang tidak dilaporkan
  • Berzina dan pelacuran
  • Masalah LBGT
  • Kelahiran anak luar nikah dan kes buang anak - Sebanyak 52982 kes anak luar nikah dilahirkan pada tahun 2010 (sumber: Jabatan Pendaftaran Negara), Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan.
  • Gay marriage atau sebaliknya
  • Murtad dan jahil agama
  • Fitnah
  • Menderhaka dan biadap terhadap orang tua
  • Mabuk dan khayal ectasy
  • Dadah dan seangkatan
  • Curi dan rompakan
  • Mencabul hak kemanusiaan
  • Tidak menghormati hak orang lain
  • Berpeleseran dan berpoya-poya
  • Tunjuk jaguh tidak kena tempatnya seperti merempit dan seumpamanya
  • Pembunuhan dan bunuh diri
  • Penderaan dan keganasan rumah tangga
  • Penceraian - Sebanyak 28035 kes cerai dilaporkan pada tahun 2010 berbanding 27891 kes pada tahun 2009
  • Rogol - Sebanyak 6,963 kes rogol dan 2,506 kes cabul melibatkan kanak-kanak dilaporkan dari 2008 hingga Ogos 2010 (Utusan Malaysia 25/10/2010)

Apa yang berlaku itulah gambaran kepada kerosakan sebenar, kes-kes yang bertambah dan meningkat menunjukkan betapa rosaknya akhlak dan sikap generasi yang ada. Kita boleh menilai sendiri dengan pandangan mata kasar. Ia banyak dipengaruhi oleh sikap, suasana persekitaran, kemewahan harta dan duit ringgit, rakan-rakan dan pendidikan serta serangan fahaman materialsme yang mendadak. Terlalu banyak medium lucah yang boleh ditontoni oleh golongan-golongan muda, remaja malah kanak-kanak sekalipun dan mereka mudah sahaja terdedah dengan maklumat-maklumat dan tayangan-tayangan sebegini. Sebahagian mereka banyak dan seronok bergelumang dengan maksiat yang menyebabkan mereka semakin jauh dari taufik dan hidayah Allah Taala dan menempa laknat hasil dari perbuatan tersebut.

Benar atau tidak, itulah realiti sebenarnya jenis ragam dan penyakit yang berlaku di dalam masyarakat. Tidak pula dapat dinafikan bahawa gejala yang berlaku sekarang ini, sedikit sebanyak adalah hasil daripada didikan dan corakan di rumah, pembentukan dalam masyarakat, cernaan suasana atau environment yang telah ujud atau 'diperkenankan' oleh generasi sebelumnya. Percaya atau tidak itulah masalah yang terpaksa kita hadapi dan benteras. Dalam erti kata yang lain, siapa yang mendidik siapa, itulah hasil didikannya, siapa yang membentuk siapa atau siapa yang telah menghasilkan siapa, maka itulah hasilnya.

Kalau sekarang ini masalah sosial yang terjadi, tidaklah perlu menunding jari kehadapan, sebaliknya tanyalah diri kita sendiri tentang apa yang telah kita lakukan kepada anak-anak, anak-anak saudara kita, anak jiran atau mereka yang berada disekeliling kita untuk memastikan mereka berada di dalam masyarakat dan lapisan generasi yang diharapkan.

Namun, sedarkah kita bahawa selama negara kita merdeka, adakah kita berjaya melahirkan generasi yang diharapkan?, Bagaimanakah ibu-bapa telah memastikan dan menjamin anak-anak dibesarkan di dalam ruang mentaati Allah dan Rasul atau benar-benar terjamin akidahnya supaya menjadi insan bertaqwa dan beriman?

Kemungkaran...

Sungguh, manusia itu secara nalurinya berkehendakkan pergaulan di dalam masyarakat, kerana sifat semulajadi manusia itu perlukan komunikasi di antara satu sama lain. Namun apabila kehidupan bermasyarakat itu tidak ada di dalamnya pesan-memesan kepada kebaikan dan kesabaran maka akan berlakulah kekucar-kaciran di dalam bermasyarakat. Masyarakat menjadi porak-peranda kerana perbuatan dan tingkah-laku masing-masing mengganggu ketenteraman dan keharmonian serta terkeluar dari landasan akhlak yang dikehendaki oleh Islam.

Mengapa Engkau hendak menjadikan (Khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujimu dan mensucikanmu? (Al Baqarah 2:30)



Apakah sebabnya kita menjadi kurang selesa apabila hendak menegur orang lain supaya jangan melakukan kejahatan atau maksiat kepada Allah Taala?, Sikap ini terus mengasak pemikiran dan perilaku kita menjadi serba salah untuk menegah ke atas perkara haram dan subahat walaupun berlainan hanya dari pandangan mata kasar seperti merokok, minum arak, fitnah, couple (belum berkahwin), membuka aurat, mengambil rasuah, riba, pecah amanah, berlaku khianat dan sebagainya. Kenapa kita jadi begitu?. Amat berat sekali mulut kita hendak meluahkan segala teguran. Lidah kita menjadi kelu dan kita merasa sukar untuk berkata walaupun perkara itu adalah benar dan hak serta menyalahi hukum-hakam Allah Taala. Walaupun perbuatan keji tersebut berlaku di depan mata kita sendiri. Atau mungkin, cuma tidak kena ke atas batang hidung kita sendiri.

Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (Al Muzammil :5)

Semua orang akan mengelak dari berdepan dengan kerja ini.  Mungkin alasannya tidak mahu menjaga tepi kain orang lain atau menganggu 'rumah-tangga' orang lain. Tidak mahu menyakiti hati orang atau menguris perasaan kalbunya. Kerana, melakukan perbuatan ini akan berhadapan dengan risiko besar. Kita akan diherdik, dihalau, dimaki hamun, di sembur dengan kat-kata nista, disindir, diboikot persahabatan, dipukul dan dicedera, dihentam, dipenjara, dibunuh atau dikenakan tindakan serta dinafikan segala hak dan keperluan hidup dunia.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Yahya bin Ya'mar dan ia berkata "Ali bin Abi Thalib pernah berkutbah. Setelah beliau memuji Allah dan menyanjungnya, beliau berkata, "Wahai manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu itu hancur kerana mereka berbuat maksiat, sementara orang-orang alim dan para pendeta tidak melarang mereka dari kemaksiatan itu. Ketika mereka terus-menerus asyik dalam kemaksiatan, mereka ditimpa seksa. Oleh kerana itu, perintahkanlah mereka berbuat kebajikan dan cegahlah mereka dari kemungkaran, sebelum turun kepadamu suatu seksa seperti yang pernah turun kepada mereka. "Ketahuilah bahawasanya melakukan amar maaruf nahi mungkar itu tidak akan memutuskan rezeki dan tidak pula mendekatkan ajal"

Bukankah kewajipan kita menegakkan kebenaran dan membenteras segala yang batil itu wajib dilaksanakan. Selagimana perkara ini berterus-terusan berlaku di dalam masyarakat kita maka menjadi satu tanggungjawab untuk kita tidak berdiam diri.

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu semata-mata hanya Allah... (Al Baqarah 2:193)


Halangan dalaman

Faktor dalaman kita juga memainkan peranan menghalang dan menjadi penentang kepada usaha ini. Halangannya bukanlah sahaja kerana pihak berkenaan atau suasana itu tetapi lebih kepada sikap diri kita sendiri. Walhal kita sendiri tahu, bahawa perkara baik itu sememangnya benar belaka, mempunyai hak dan mendatangkan banyak manfaat. Sebabnya, kerana berlaku pertentangan dalaman di dalam diri sendiri. Kita terpaksa berlawan dengan nafsu amarah sendiri atau keinginan-keinginan yang terlampau untuk tidak mahu berhadapan dengan situasian sebegini.

Kerja buat dan perbuatan inilah yang Rasulullah lakukan sepanjang urusan hidup dan dakwahnya. Baginda mengajak manusia mengerjakan kebaikan (makruf) dan melarang melakukan perbuatan yang mungkar dan fasad (kemusnahan). Lihatlah, Rasulullah juga dibaling dengan batu di bumi Taif sehingga luka-luka dan berdarah. Rasulullah juga dilempar dengan najis di atas kepala, baginda turut berperang dan mengalami luka-luka dan sebagainya. Begitu juga, sahabat-sahabat Rasulullah diseksa, disalai, disula, diikat di padang pasir dibawah panas terikan matahari, luka-luka, terbunuh dan dibunuh dan sebagainya semata-mata mempertahankan yang benar dan hak dan meninggalkan yang batil.

Dan mereka berkata, "Sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala." (Al Mulk, 67:10)

Akhirnya, kita lebih suka mengambil jalan ringkas dan mudah iaitu membiarkan urusan ini dilakukan oleh orang lain dan membiarkan perbuatan itu berlaku begitu sahaja. Alasan yang diberi kerana tidak mempunyai kuasa untuk mencegah dan menghalang, sebaliknya dengan mudah pula kita berkata selemah-lemahnya biarlah kita tidak bersetuju di dalam hati sahaja. Ya! penyataan ini adalah penyataan selemah-lemahnya iman. Mampukan kita beralasan dengan penyataan ini selama-lamanya sehingga tidak ada upaya untuk melakukan usaha yang terbaik dan sebaik mungkin?.

Barangsiapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman. (HR Muslim)

Pengorbanan

Semua kerja ini memerlukan pengorbanan diri yang besar dan berterusan. Kena ada usaha yang bersungguh-sungguh. Kena berjanji pada diri kita sendiri bahawa inilah 'perniagaan' yang amat besar yang menguntungkan yang telah dijanjikan oleh Allah Taala dan percayalah bahawa 'perniagaan' ini dapat menebus dan menyelamatkan diri kita dari azab yang pedih.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (As Soff, 61:10-11)

Berpesan pada diri sendiri

Pengajarannya, maka pastikan diri kita sendiri menjadi baik terlebih dahulu. Jangan sama sekali melakukan perkara yang terlarang, tidak baik, perkara haram atau subahat, atau perkara keji yang melangkau akhlak yang mulia yang dikehendaki di dalam Al Quran Karim.

Mereka akan menilai diri kita yang mengajak atau menyeru. Mereka membandingkan apa yang kita perkatakan. Mereka menafsirkan setiap tingkah laku itu adakah selari dengan apa yang diperkatakan. Kalau kita sendiri haprak, sudah tentulah apa yang hendak kita lakukan dan sampaikan itu akan bertentangan atau sebaliknya.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (As Soff, 61:2-3)

Pembaikan dan perubahan itu mestilah berlaku dari diri kita sendiri. Apabila masing-masing peka dan bersungguh-sungguh untuk berubah (transform), dan ramai individu lain berperanan sedemikian, maka kita lihat masyarakat yang terbina adalah masyarakat yang sepertimana pembaikan dan perubahan yang telah dilakukan oleh setiap individu tersebut.

Namun kita harus sedar bahawa kerja buat kita ini mestilah semata-mata untuk Allah Taala kerana kita adalah hambanya dan kerana itu jugalah persoalannya, kerja kita masih banyak dan semakin banyak dan kitalah mesti merubah dan memperbaikinya...

Wallahu a'lam

Nota:
[1] Corruption Perceptions Index - http://cpi.transparency.org/cpi2011/results/
[2] Rasuah - http://www.sprm.gov.my/
[3] Statistik - http://kaunselingsyarie.blogspot.com
[4] Buang bayi - http://www.islam.gov.my/peranan-penguatkuasaan-syariah-dalam-membendung-gejala-pembuangan-bayi
[5] Al Quran & terjemahan
[6] Fiqih dakwah - Jum'ah Amin Abd Aziz

abuzorief @ sheffield
17/1/2012, selasa


No comments:

Post a Comment