Pages

Monday, 23 January 2012

Kasihnya Tuhan kepada hambanya


Kasihnya Allah Taala ke atas makhluknya tiada batasan rupa, warna kulit atau bangsa. Itulah haknya melalui sifat Rububiyyahnya. Kerana dialah Rabb dan dialah juga Illah. Pengatur dan pentadbir alam semesta. Raja yang memiliki tahta pemerintahan yang Agong, melampaui batas kecerdikan dan kepintaran akal kita.

Namun kita selalu lupa  tentang asal-usul penciptaan kita. Daripada air mani yang hina, daripada tanah yang sememangnya kita merasa jijik dan mual. Tanah yang sifatnya berbau busuk dan hanyir. Tetapi hakikatnya, itulah asal penciptaan kita. Ini bermakna, kita tidak boleh merasa megah dan hebat. Walau bagaimana kedudukannya kita, kaya, mulia, cerdik dan pintarnya kita sekali pun, nilai tersebut tiada ukurannya disisi Allah. Tetapi sebaliknya hanya nilai taqwa yang akan diukurnya. Kita disuruh untuk mengabdikan diri kepadanya. Pengabdiaan   atau penyembahan yang tanpa berbelah bahagi. Menurut tanpa merungut walaupun seketika. 

Bukankah pernah datang kepada manusia waktu dari masa, yang ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?. Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat. (Al-Insan, 76: 1-2)

Dengan sifat rububiyyahnya juga kita dapat mengecapi betapa indahnya hidup di atas muka bumi ini. Namun dengan sifat Uluhiyyahnya pula kita perlu menaruh harap dan memohon ehsan supaya kita dapat dikasihani, disayangi dan dirahmati serta diberkati seluruh kehidupan yang seketika ini. MengharapNya, biarlah dengan penuh kesungguhan pengharapan (roja'). Seolah-olahnya, hancur luluh segala hati sanubari dan perasaan kita serahkan kerana memohon, mengadu dan meminta kepadanya.

Muhasabah

Ambillah masa seminit dua untuk merenung diri kita sendiri sedalam-dalamnya dengan rasa Ikhlas. Melihat kembali hak-hak dan kekuasaan Allah ke atas diri kita dari kepala hinggalah ke hujung kaki. Cari dimana silapnya kita dalam mencari dan meniti kehidupan yang sementara ini. Di sini bukanlah tempat yang kekal abadi untuk kita terus menetap dengan penuh keselesaan. Bumi ini pun ada usia dan sampai masa ia juga akan kembali kepada maha penciptaNya, dan begitu juga dengan segala isinya iaitu semua makhluk ciptaannya telah ditetapkan usia dan ajal yang akan berakhir dan akan kembali kepadaNya kelak.

Renunglah seketika, supaya kita dapat menemui kembali identiti kita sebagai insan dan umumnya sebagai makhluk yang telah diciptakan dan diberikan segala macam kenikmatan. Renunglah dengan ikhlas kerana ia akan membuka mata hati dan menajamkan akal fikiran.

Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu dan telah aku cukupkan nikmatku bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu. (Al-Maidah, 5:3)

Wallahu a'lam

abuzorief @ sheffield
23/1/2012, isnin

No comments:

Post a Comment