Pages

Sunday, 12 February 2012

Apabila minyak sudah kering, ianya pasti padam sendiri...


Hidup ini bagaikan lampu dinding, yang dinyalakan di malam hari... apabila minyak sudah kering, ianya pasti padam sendiri... (Hijjaz)

Lampu yang menyala dengan mengharapkan bekalan minyak, sekiranya minyak habis maka lampu yang menyala terang-benderang atau lampu yang mampu menerangkan kawasan gelap-gelita, akan terpadam dengan sendirinya. Kegelapan bukan hanya setakat diri sendiri tetapi turut mengelapkan suasana sekitar yang hanya bergantung harap dengannya.

Lirik senikata lagu yang mengingatkan saya betapa hidup ini di atas muka bumi ini hanya sementara dan  cuma tinggal cebisan-cebisan usia hidup yang berbaki sahaja, wallau a'lam, entah bila akan dijemput kelak. Memandangkan kekuatan tubuh badan tidak seperti dulu lagi. Banyak penyakit merupakan tanda-tanda 'kearah' cepatnya akhir hayat. Hanya masa yang menentukan dengan ketentuan Ilahi.


Cahaya

Pada hari ini juga genap 63 tahun kematian Imam Hasan Al Banna (12 Februari 1949). Mengenangkan betapa serius dan cekalnya beliau bersama keanggotaan yang lain untuk mengubah dunia (transformation) setelah peristiwa kejatuhan empayar Islam Othmaniyyah. Usaha yang bukan main-main, tetapi penuh dengan perancangan dan strategi dengan pengorbanan serta jihad. Kini perubahan yang besar di seluruh dunia Arab (Arab Spring) adalah hasil pentarbiyyahan yang telah dimulakan sejak awal gerakannya lagi. Siapa sangka tarbiyyah mampu mengubah segala-galanya.

Diantara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya) (Surah Al Ahzab: 23)

Beliau menyatakan, "Sifat-sifat tersebut tidak akan wujud di dalam diri peribadi Muslim kecuali dengan tarbiyyah".

Usia...

Dengan usia yang semakin bertambah saban hari, terasa sedikit gementar untuk menghadapi cabaran mendatang. Kalaulah umur baginda Muhammad saw berakhir sekitar usia 63 tahun, maka saya menjangkakan usia tersebut jugalah akan menjadi kayu ukur (bench mark) kepada usia kita semua. 

Usia 63 tahun bukanlah lama. 1/3 hidup semasa di alam kanak-kanak dan remaja, 1/3 hidup ketika di alam dewasa dan 1/3 lagi, hidup masih berbaki... maka kalau dikira, usia  saya hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi dalam fasa 1/3 hidup yang masih berbaki. Begitulah kalau dicongak dengan kiraan mathematic, maka hanya tinggal 1/3 kehidupan sahaja lagi. Tetapi jangan lupa pula, kalau ditolak dengan waktu tidur, makan, urusan dunia dan hal peribadi, maka usia yang berbaki tersebut hanya tinggal lagi 1/3 dari 1/3 usia kehidupan. Aduh, cepatnya masa berlalu...


Kesibukkan vs bekalan...

Terkadang-kadang,  kesibukan dengan urusan duniawi, maka kita akan tenggelam seketika di bawa arus keasyikan dan kealpaan. Kita lupa, yang kita ini ada negeri lain yang akan kita terokai dan diami yang menjadi tempat tinggal yang kekal abadi. Cabaran yang cukup luar biasa untuk menuju fasa kehidupan seterusnya. 

Kita sendiri tidak mampu mengambarkan betapa dahsyatnya azab neraka dan takjubnya segala nikmat syurga di sana. Kalau baik amalan maka akan mudahlah laluan sepanjang perjalanan tersebut dan sekiranya bekalan di dunia ini hanya berupa debu atau sedikit sahaja, maka nasib yang menimpa diri juga mudah sekali diramal.  

Dan persiapkanlah bagi mereka apa yang kamu mampu dari kekuatan (Al-Anfal: 60)

Bekalan apakah yang  mesti kita bawa ke sana, sekiranya persiapan ke sana pun tidak pernah diambil hirau dan dipandang serius.


Amalan...

Sepanjang rentetan kehidupan kita ini, sebenarnya menanti di sana 'kerja besar' yang perlu dilaksanakan. Bukan untuk kesenangan dan keselesaan hidup diri kita sendiri sahaja tetapi menuntut lebih daripada itu.
  • Adakah kita pasti bahawa kehidupan kita ini hanya untuk mengalas perut sendiri sahaja?.
  • Bagaimana dengan keperluan ummah dan hakimiyyah Allah?
  • Bukan lagi hanya mendengar ceramah tetapi bertindak beramal dengannya...
  • Namun, apakah yang telah kita usahakan untuk mendaulatkan agama Allah di atas muka bumi ini?.
  • Berapa banyakkah amalan kita yang telah kita kumpul untuk bekalan menuju akhirat nanti?.
  • Bagaimanakah kita hendak menjawap persoalan Malaaikah di dalam kubur nanti?
  • Siapakah saudara kita yang telah kita pimpin tangan mereka supaya mengabdikan diri mereka kepada Allah Azzawajalla?
  • Berapa banyakkah tenaga tulang 4 kerat kita ini telah kita kerah dan serahkan untuk membela Deen Allah?...

Sesungguhnya Allah tidak mengubah satu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri (Ar-Ra'ad: 11)

Allahu a'lam, semua ini sukar untuk dijawab secara spesifik, tanpa melakukan perubahan dari sekarang. Mesti melalui proses pentarbiyyahan. Tarbiyyah jasadiah, tarbiyyah ruhiyyah, tarbiyyah aqaliyyah, tarbiyyah di medan (lapang-sasar) dan sebagainya. Tarbiyyah untuk melahir ahli yang faham, fikrah Islami yang jelas, Amal Islami yang jelas dan jitu, mempunyai kekuatan wehdah (kesatuan) untuk menegakkan Daulah Islamiyyah 'Alamiyyah.

Sikap 'tunggu dan nanti dulu' banyak merugikan diri sendiri. Jadi berfikir dan mengambil tindakan segera dan tangkas adalah jalan yang tepat dan bijak.

Wallahu a'lam,

Sekian,

abuzorief @ sheffield
12/2/2009, khamis
version 1.1, 12/2/2012 ahad
(12 years wedding anniversary)

No comments:

Post a Comment