Amat penting dalam proses pembinaan diri itu perlu didahulukan kefahaman tentang aqidah yang jelas, tidak jemu mencari makna dan istiqamah mendalami tuntutan dan beramal dengannya.
Sepertimana firman Allah Taala,
"Dan (ingatlah) ketika Nabi ibrahim (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepa...da kekuasaanku)? Nabi ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah berfirman: (Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."(Al Baqarah 2:260)
Apabila hati dan jiwa bertembung dengan segala macam kekacauan pada diri, kita menjadi gundah-gulana kerana tidak tahu dimana hujung pangkal untuk menyelesainya. Sedangkan apa yang diajarkan oleh Arrasul SAW amat jelas sekali jalan penyelesaiannya, iaitu melalui proses pendidikan atau tarbiyyah yang berterusan.
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (Surah Luqman 31: 13)
Generasi pertama yang dibentuk telah 'dipahat' dan 'diikat' dengan ikatan akidah bertuhankan satu sahaja iaitu Allah SWT. Iman Bilal mampu bertahan dengan ujian dari puak kuffar, Sumaiyyah, dan ramai lagi generasi pertama yang telah berhadapan dengan ujian dan seksaan hidup diawal iman mereka.
Gagalnya kita mengawal diri kerana sikap kita. Lemahnya hak kebenaran untuk bertarung dengan kekuatan batil yang meruntun. Mungkinkah, ini menunujukkan bahawa kita masih lagi tidak menyakini amalan sunnah yang telah ditunjukkan. Timbul sikap ragu dan was-was terhadap Allah Taala. Sehinggakan, kesangsian kita kepada penyelesaian yang telah diajar itu telah menyebabkan kita cuba mencari kaedah lain untuk merawat keresahan hati, jiwa dan diri kita. Sekiranya benar penemuan kita itu, beruntunglah kita. Tetapi apa yang kita temui itu merupakan kaedah yang salah maka yang akan merana ialah diri kita sendiri.
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As Syam 91:7-10)
Akidah adalah pendinding hidup kita kerana ia meletakkan diri kita sentiasa hampir dan rindu kepada Allah Taala. Setiap perbuatan kita diperhatikan walaupun sedetik sahaja. Inilah kekuasaan penuh milik Allah Taala yang tidak ada tandingannya pada diri seorang hamba ciptaannya. Kerdil bukan ciptaan manusia ini?... Jadi apa yang hendak dimegahkan oleh kita sehingga kita mampu menidakkan keujudan Allah Taala sama ada sedar atau tidak melalui siri-siri perbuatan kita itu.
Sudah ramai yang telah kita lihat, manusia-manusia yang kecundang apabila tidak sempurna atau tidak ada pegangan Akidah dalam diri. Berbuat sesuatu tanpa ada neraca untuk menjadi penentu. Akhirnya hawa nafsu menjadi pemerintah yang paling berkuasa dalam diri. Betapa egonya hawa nafsu sehingga memesong pendirian dan pegangan diri manusia dari mempercayai atau mengiyakan kekuasaan Tuhan yang sebenarnya.
Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu... (Hadis ke 2: Hadis 40 Imam Nawawi)
Hati, jiwa dan hawa nafsu kita hanya mampu ditundukkan dengan Aqidah. Ikhlaskan hati dan berbanyaklah berfikir tentang segala isi dan kejadian dan penciptaannya yang lain. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Sekiranya sudah memperolehinya, jagalah ia dengan baik, dengan menjaga keasliannya. Walaupun kita tahu bahawa jalan untuk mendapatkannya, terpaksa melalui jalan getir dan sukar sehingga akan mengorbankan nyawa sekali pun.
Wallahu a'lam
abuzorief @ severn road, sheffield
11/12/11 ahad
No comments:
Post a Comment