Apabila kita membeli kereta sudah tentu kita perlukan manual. Pihak pembuat kereta akan menyediakan manual yang sesuai untuk jenisnya sahaja dan tidak boleh digunakan untuk jenis kereta yang lain. Tujuan manual itu ialah untuk memastikan kereta kita sentiasa berada di dalam keadaan yang terbaik dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Sebarang masalah, dengan cepatnya kita mudah untuk merujuk kepada manual tadi.
Begitu juga, setiap urusan hidup manusia telah ada manualnya. Ia digunakan untuk menjadi panduan hidup. Apabila hendak pandu (drive) kehidupan, maka kita perlukan manual itu untuk memastikan perjalanan hidup kita itu sejajar dengan apa yang telah ditetapkan. Perjalanan hidup kita mestilah berada di dalam keadaan yang terbaik, selamat dan tidak tergelincir dari laluannya. Setting mode perlulah diperhatikan selalu. Sekiranya berlaku masalah di dalam perjalanan, maka manual tadilah yang perlu dirujuk dan memudahkan usaha trouble-shooting dilakukan. Manual itu mestilah manual yang sah dan bukannya manual yang telah ditokok-tambah mengikut cita rasa sendiri atau meminjam dari manual yang lain, yang tidak ada kena-mengena dengannya. Apakah kita sendiri meragui tentang manual kita sendiri?. Manual yang dimaksudkan itu adalah Al Quran Karim.
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (Al Baqarah 2: 2)
Mempermainkan hukum
Agak kesal juga apabila setengah pihak mempermainkan hukum-hakam Allah tanpa berfikir risiko diri yang akan dihadapi. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah mereka itu tergolong di dalam golongan orang-orang Islam dan sanggup pula besekongkol dengan 'mereka-mereka' yang bukan Islam. Sudah pasti mereka ini jahil dengan agama sendiri. Perbuatan mereka ini secara tidak sedar telah tergelincir dari pegangan Aqidah Islam. Bukankah hukum-hakam Allah itu adalah benar dan pasti tujuannya serta objektifnya, yang mana ia telah diturunkan kepada manusia supaya menjadi panduan (manual) untuk menggerakkan seluruh perjalanan kehidupan di atas muka bumi ini. Hukum-hakam itu sendiri adalah untuk memastikan manusia itu sentiasa berada di dalam sistem atau manhaj kehidupan yang diredhai dan dinaungi olehnya.
Menghina Allah
Sungguh berani kita menderhaka kepada Allah Taala?.., Begitulah gambarannya kepada persoalan itu apabila kita memperlekeh, menyindir, mempersendakan setiap perkara, hukum dan aturan yang telah Allah tetapkan kepada kita walaupun dengan satu ayat sahaja. Betapa kurang ajarnya kita, apabila kita sendiri mengatakan ia tidak sesuai, meragui kebenarannya, malah berani pula mengatakan ia tidak adil, kejam, zalim dan sebagainya. Apakah hak kita untuk berkata sedemikian?. Nauzubillahi min zalik....
Sedarlah kita semua, bahawa hanya Allah Taala sahaja yang tahu apakah bentuk panduan, pedoman dan garis hukum-hakam hidup kita sebenarnya, sepertimana yang telah termaktub di dalam Quran Karim dan melalui ajaran Arrasul SAW secara jelas terperinci.
Golongan orang Islam
Golongan yang sedar - golongan ini sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala perintah Allah Taala walaubagaimana keadaan sekalipun. Mereka faham dan yakin hanya Allah menentukan segala-galanya. Mereka sedar bahawa tanggungjawab untuk memastikan agama Allah ini mesti dijaga dan dakwah disebar-luaskan kepada manusia lain. Mereka akan memastikan undang-undang Islam didaulatkan dan berada ditempatnya.
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At Taubah 9:71)
Golongan yang sangsi - golongan ini sentiasa merasa ragu-ragu terhadap hukum-hakam atau undang-undang yang telah Allah tetapkan kepada manusia. Mereka juga tidak akan segan silu mengatakan semua peraturan hidup Islam itu tidak sesuai dan tidak boleh dipraktikkan. Walhal mereka sendiri sudah nampak di depan mata, betapa peraturan hidup ciptaan manusia itu banyak yang cacat, rosak dan tempang.
(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur) atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman) ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka). (An Nur 24:50)
Golongan yang berkepentingan - golongan ini hanya mengharapkan kepentingan dan ganjaran yang akan diperolehi. Bagi mereka, selagi undang-undang manusia itu tidak menganggu urusan hidup, kedudukan, kekuasaan, kekayaan dan kesenangan mereka, maka selagi itulah ia boleh berkompromi dengannya dan memastikan dirinya selamat bernaung dibawahnya. Perlu disedarkan, bahawa undang-undang Allah tidak mengira siapa mereka, dari mana datangnya, dan mulianya mereka. Sebab itu undang-undang Allah amat berlaku adil pada semua manusia.
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Al A'raf 7:176)
Golongan berprasangka - Golongan ini sentiasa bersikap prejudis dengan Allah dan agama sendiri. Apa yang berlaku terhadap mereka dan sekeliling, secara sedar mereka akan menyalahkan Allah dan hukum-hukumnya di dalam setiap masalah yang berlaku. Sikap berpransangka mereka amat dahsyat sehingga sanggup menggadaikan tunjang akidah yang sepatutnya menjadi pegangan asas kepercayaan individu terhadap Allah Taala.
Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi! (Al Fussilat 41:23)
Sikap kita...
Jangan kita rosakkan manhaj Islam semata-mata kerana kita tidak bersetuju dan hanya berpandukan kepada logik akal dan rasa hati kita. Ambillah jalan berfikir supaya tindakan kita itu bersesuaian dengan diri kita yang berakal. Banyak sekali ayat-ayat Al Quran yang menyuruh kita semua supaya berfikir bukannya mengikut hawa nafsu yang bertuankan Syaitan yang direjam.
Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri) dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab. (Ar Rom 30:29)
Sekiranya kita tidak tahu, maka kita mesti belajar untuk mengetahui. Bukannya menjadi seperti tikus memperbaiki labu. Asal labu itu berkeadaan baik, habis ditebuknya, dicincang sehingga rosak dan tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan yan lain. Begitulah dengan keadaan kita apabila cuba buat-buat tahu, sedangkan apa yang telah kita lakukan itu secara tidak sedar telah merosakkan kehidupan kita sendiri malah turut merosakkan kehidupan orang lain.
- Memperelokkan Aqidah kita kepada Allah Azza wajalla
- Hendaklah diam sekiranya kita tidak tahu dan mengambil inisiatif untuk belajar dan untuk mengetahui kebenaran
- Jangan cuba bersikap berani mempersendakan hukum Allah, kerana ia berkait dengan ikatan Akidah
- Beradablah dengan akhlak Islam
- Jangan bersekongkol dengan puak yang memusuhi Islam kerana mereka beragenda untuk memesongkan agama Islam
- Berfikirlah dengan waras apabila hendak melakukan sesuatu yang ada kaitannya dengan hal-hal ketuhanan.
Allahu 'alam, sekian.
abuzorief @ sheffield
14/12/2011 rabu
No comments:
Post a Comment