Pages

Tuesday, 27 December 2011

Mari berfikir sejenak bersama anak-anak... (1)


Sambil saya menunggu bersama anak-anak, saya cuba melontarkan beberapa soalan kepada mereka untuk mengajak mereka berfikir sejenak tentang betapa besar dan berkuasanya Allah Taala yang telah menciptakan kita sebagai manusia. Bagi anak-anak, pasti mereka akan merasa pelik untuk berfikir tentang perkara-perkara yang mereka sendiri tidak nampak. Jadinya, tujuan mengajak mereka berfikir itu mudahan-mudahan dapat membawa imaginasi mereka untuk menerima perkara-perkara ghaib terutamanya mengenai Allah Taala sebagai Rabb dan Illah dan yang empunya sifat nama (Asma wassifat) yang cukup sempurna.

Jiwa suci murni...

Ibu-bapa mesti memastikan kotak fikiran anak-anak sentiasa terisi dengan kefahaman Akidah yang jelas yang tidak menyeleweng dari pengertian, makna, tuntutan dan peranan. Akal dan jiwa mereka yang masih suci bersih itu sepatutnya diisi dengan kefahaman yang hak dan bukannya yang batil atau songsang. Bahkan, memahamkan mereka biarlah secara hikmah dan biasakan mereka berfikir secara sedar dan bukannya memaksa mereka menerima secara paksa.

Cerita khayalan, Superman, Hantu...

Sejak di awal usia anak-anak lagi, mereka telah terdedah dengan cerita-cerita khayalan seperti Superman, BenTen, Power Rangers, Cinderella, hantu, halimunan dan lain-lain. Bahkan ibu-bapa menyogok pula anak-anak dengan costume atau pakaian, alatan permainan, bahan-bahan cerita dan sebagainya. Cerita-cerita hantu, mitos atau khayalan yang terlalu kerap ditonton di TV dan computer akan sedikit sebanyak mempengaruhi dan meninggalkan kesan negatif di dalam kotak fikiran mereka dan seterusnya terbawa-bawa melalui tindakan seharian.

Akibatnya, mereka akan menjadi pasif dengan cerita-cerita yang menakutkan atau mereka juga akan bersikap aggresif dan hyperactive, kononnya mereka juga boleh menjadi Superhero seperti idola kegemaran atau paling malang sekali bila mana mereka sendiri hilang rasa keyakinan pada diri sendiri bahkan dikhuatiri mereka akan berkata bahawa akan ada superhero idaman yang akan datang menyelamatkan mereka dikala memerlukan.

Walaupun objek-objek itu tidak pernah mereka lihat dengan mata kasar tetapi kepercayaan dan keyakinan mereka begitu kuat, seolah-olahnya ia ujud di alam realiti dan bayangan objek itu terbayang-bayang diwaktu keseorangan, malah terbawa-bawa apabila tiba waktu malam atau termimpi-mimpi dikala tidur.

Begitulah kuatnya kesan yang mereka perolehi. Secara tidak langsung kita sebagai ibu-bapa sepatutnya merasa bersalah kerana telah mengasak minda mereka supaya menerima khayalan itu sebagai realiti yang sebenarnya. Fikiran anak-anak teransang di dalam khayalan dunia yang palsu.

Jiwa suci...

Alangkah baiknya di awal usia itu diceritakan kepada mereka mengenai keesaan Allah Taala dengan segala sifat nama (Asma wa sifat) yang baik dan indah bagi Allah. Menceritakan kepada mereka tentang Rasul-rasul, Kitab-kitab, para Malaikat, Qada dan Qadar serta hari akhirat. Bukankah semua cerita-cerita ini adalah realiti yang semestinya mereka ketahui?. Tujuannya adalah untuk menghadirkan ke dalam hati mereka tentang benarnya keujudan Allah supaya mereka merasa aman, tenang dan merasa terpelihara di dalam keagungan dan kasih sayangnya serta kebaikan dan kelebihan sifat-sifat Allah Taala.

Justeru, mendidik mereka mengenai Akidah ini perlu berterusan sehingga ke usia remaja. Akal dan peribadi mereka kalau selalu 'dicanai' dan 'dipahat' dengan kefahaman Akidah yang jelas, insyaallah mereka mampu menjadi peribadi yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Ibu-bapa tidak perlu lagi risau tentang cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang akan mereka tempuhi di dalam kehidupan ini.

Akidah yang tertanam di dalam diri mereka, mampu menjadi perisai dan pelindung yang akan menyelamatkan mereka dari sebarang ujian dan halangan di atas muka bumi ini. Moga-moga kelalaian dan kealpaan gerak-laku mereka itu pantas disedarkan dan tidak tersasar jauh dari jalan yang hak dan mereka akan sentiasa sedar bahawa Allah itu melihat dan mengawasi setiap tingkah laku dan gerak-geri harian.

bersambung...

Allahu a'lam,

abuzorief @ sheffield
27/12/2011

No comments:

Post a Comment