Kekejaman regim Israel telah menghambat mereka keluar dari tanah air sendiri. Kehidupan mereka di tanah air sendiri amat sukar dan sengaja dijadikan susah oleh puak-puak zalim keparat ini. Mereka terpaksa keluar dari tanah air dengan hati yang berat dan sedih. Siapa yang tidak merasa sedih berpisah dengan sanak-saudara dan kampung halaman yang selama ini merupakan tempat perlindungan diri dan keluarga tercinta. Namun semua kebahagian dirampas dengan sekelip mata oleh puak-puak Zionist yang tidak berhati-perut.
Saya dibawa ke kem pelarian Shatila yang berada tidak berapa jauh dari bandar Beirut. Terkenang kembali saya kepada lirik lagu nyanyian Allahyarham Zubir Ali - Balada seorang gadis kecil di atas kejayaan yang pernah dicapainya sebagai Pencipta Lagu Terbaik pada Pesta Lagu Malaysia 1983.
Zubir Ali - Balada Seorang Gadis Kecil.mp3
Gadis kecil itu telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan duka cita
Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering airmata
Menangisi kematian
Ayahbonda dan saudara
Pada suatu senja
Langit Syatila
Menyaksikan pembunuhan
Anak kecil dan wanita
Munir ditembak
Penuh luka
Tapi ajalnya belum tiba
Kerna Tuhan mengasihi dia
Peristiwa hitam 17 September
Telah menjadi bukti
Sempurnalah kekejaman
Suatu bangsa yang sombong dan hina
Sejarah pembunuhan beramai-ramai secara membabi buta yang berlaku pada rakyat pelarian Palestin telah tidak mengira anak-anak kecil, wanita muda dan tua serta orang-orang yang lemah ditembak dengan begitu kejam.
Peristiwa kejam ini dilakukan oleh pengganas militia Arab Kristian Phalangist yang lengkap bersenjata sambil dibantu oleh pasukan tentera ganas Zionis Israel (Israeli Defense Force, IDF) mengempur masuk pada 15 September 1982 ke kawasan khemah pelarian Palestin Sabra dan Shatila.
Tentera ganas Zionis Israel (IDF) mengambil kesempatan di atas kemarahan bangsa Arab Lebanon beragama Kristian atas pembunuhan Presiden Lebanon Bashir Gemayel pada 14 September 1982. Pejuang PLO telah dituduh sebagai merancang dan penyebab kematian Presiden Lebanon ketika itu yang katanya berada di khemah pelarian ini. Maka pihak IDF telah mengapi-apikan kemarahan puak Phalangist. Inilah juga peluang keemasan mereka (IDF) untuk menakluki Beirut Barat. Kejadian pembunuhan ini berlaku dengan cepat diantara 35 hingga 45jam sahaja.
Namun manusia yang mereka tembak itu sedikit pun tidak memiliki senjata api untuk mempertahankan diri sendiri. Menurut wartawan akhbar British The Independent, Robert Fisk telah menganggarkan nyawa 2,000 orang awam pelarian Palestin telah terkorban. Tetapi jumlah sebenarnya kematian adalah samar dan tidak diketahui dengan tepat. Semua ini dijadikan kenangan sedih linangan air mata darah betapa manusia zalim Israel sanggup memperlakukan sedemikian rupa.
Bila saya menjejak sahaja kaki di tanah Shatila ini, perasan qalbu menjadi hiba apabila dapat melihat dengan mata sendiri betapa keadaan kehidupan mereka yang agak 'tenat' kesan dari pembantaian kejam. Kini, lagu peristiwa hitam 17 September yang saya dengar di sekitar tahun 80an, kini benar-benar menjadi kenyataan. Dahulunya khemah-khemah mereka daripada kain kanvas, kini khemah mereka didirikan bangunan batu bata yang tidak stabil. Hampir 30 tahun berlalu sejak kejadian pembunuhan. Saya sudah menjejak kaki di sini. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa sukarnya kehidupan mereka berbanding mereka yang bersenang-lenang hidup diluar sempadan 'penjara sedih' Shatila.
Kelihatan anak-anak kecil comel yang belum lagi mengerti apa itu kehidupan sebenarnya. Mereka kelihatan bermain-main dan sambil mengerling ke belakang ke arah saya dengan pandangan yang agak hairan. Mungkin manusia berbangsa saya ini tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Tetapi mereka tidak sedikit pun peduli dengan kedatangan saya. Saya mengambil peluang mengusap-usap kepala mereka dan mencuit-cuit pipi mulus mereka... sayang saya kepada mereka seperti anak-anak saya sendiri. Malah, mereka sebaya dengan anak-anak saya... tetapi mereka anak pejuang... anak-anak para syuhada. Malah, mereka mewarisi semangat juang bapa, datuk dan saudara-saudara mereka yang lain. Mereka mempunyai hati yang kental. Sedari awal lagi mereka sudah hidup susah dan menderita. Mungkin dengan kehidupan sebegini akan membuatkan mereka lebih ‘keras kepala’ untuk membebaskan tanah air mereka yang dirompak oleh regim-regim Zionist yang terlaknat. Saya percaya di dalam hati mereka tersimpan cita-cita untuk membebaskan tanah-air yang dirampas oleh puak-puak Israel.
bersambung...
abuzorief @ beirut
uk2beirut2010
No comments:
Post a Comment