Pages

Thursday, 14 October 2010

Coretan kota Beirut (1)



Persiapan
 
Selama ini saya hanya mampu berdoa untuk pejuang dan penduduk palestin setiap kali selepas solat fardu. Kalau ditanya perasaan kemanusian saya, memanglah sedih mengenangkan penderitaan hidup mereka. Mereka tidak pernah merasa bahagia, aman dan selesa seperti keadaan kita sekarang ini, sejak puluhan tahun tanpa pembelaan serius dunia atau Negara polis. Saya kagum dengan sikap mereka yang tidak mahu mengalah, mereka terus bertahan dan melawan apabila ditindas, dibunuh, didera, ditangkap dan dipermainkan oleh puak zionist.

Kini saya sedar, bahawa perjuangan dan intifadah mereka telah menaikkan semangat saya. Jauh daripada itu, disebabkan sikap 'keras kepala' mereka terhadap Zionist, tanpa mengambil sikap mengalah dengan rejim Zionist, maka isu Palestin ini terus tetap hangat dan membara dan dirasai seluruh dunia termasuk kesannya pada diri saya sendiri. 

"Macamana, dah kemas ke belum..." tegur rakan seperjuanganku.

"Emmm... Belum lagi, tapi sikit-sikit tu adalah... Tidak ada sangat barang-barang yang nak dibawa... bawa ringkas-ringkas dan yang perlu saja... insyaallah hari khamis ni bolehlah berkemas apa yang patut..." balasku sambil-sambil mengimbau perihal Palestin semasa zaman remaja.

Dunia sendiri...

Lazimnya di zaman remaja, bila mendengar cerita Palestin, terbayang bahawa itu adalah isu Arab dan tanah Arab dan pergaduhan sesama sendiri. Di awal mempelajari sejarah Arab pun bermula dengan perkelahian di antara suku kaum, puak atau bangsa. Apakah perlu saya mengambil kisah dengan mereka yang berperang dan bergaduh sesama sendiri?. Atau mungkin kaedah pembelajaran di sekolah perlu diubah supaya mengenali bangsa Arab disudut emosi yang lebih ilmiah.


Dahulu, apabila keluarnya berita atau cerita tentang peperangan antara mereka, maka saya bersikap, hanya mengambil tahu dengan sambil lewa sahaja. Tidak pernah hendak bertanya, mengambil kisah, tidak ada sikap peduli, memahami dan mendalami penderitaan mereka yang berlaku sejak sekian tahun malah puluhan tahun. Mungkinkah itu yang dinamakan zaman remaja, zaman tidak peduli..., seronok dengan dunia sendiri?

Bahkan, tidak ada pula mana-mana NGO, media massa atau golongan parti politik yang berusaha mengenengahkan isu ini dengan sebaik mungkin dan berterusan ketika itu. Memahamkan rakyat jelata supaya isu ini mesti berada di arus perdana masyarakat kerana ianya ada kaitan dengan isu kemanusiaan, keagamaan dan kedaulatan. Bukannya lagi menjadi isu pertelingkahan bangsa Arab, tanah Arab dan kedaulatan Arab. Perasaan keakuan atau nafsi-nafsi dikalangan pemimpin Islam telah banyak merugikan kedaulatan dan keselamatan Islam. Sebaliknya, ianya terus-menerus menjadi perbuatan zalim, rakus dan tamak haloba dengan hasil perancangan jahat mereka (Zionist) yang berusaha sejak ratusan tahun, mengenepikan segala perjanjian dan akhirnya mengambil kesempatan terancang itu dari lemahnya kedaulatan pemerintahan Islam, menumbang dan tertumbangnya kerajaan khalifah Othmaniyyah.

Perlu disedarkan kembali, bahawa isu ini perlu disuburkan kembali (intifadah) dikalangan kita dan diberi nafas jihad supaya dengan semangat, azam dan kefahaman yang benar sahaja yang dapat meraih kembali kesatuan ummah manusia dan khususnya ummah Islam dan terus-menerus menangani isu sejagat ini dengan kadar yang segera dan berterusan.

Ujian...

Seminggu sebelum saya bertolak ke Beirut, berbagai rintangan dan ujian terhadap keluarga sendiri yang terpaksa saya tempuhi. Terasa hendak kalah dengan ujian yang dihadapi. Namun di hening pagi hari, saya berusaha untuk mengisi qalbu dengan berzikir dan membaca Al Mathurat serta bertadabbur dengan ayat-ayat suci kalam Allah untuk menenangkan hati dan perasaan yang berkecamuk dengan ujian silih berganti yang dikatakan menjadi asam garam dan pahit maung kehidupan dunia.. Tanpa disedari, air mata semakin penuh membasahi kedua-dua kelopak mata dengan tiba-tiba, bila melalui beberapa baris ayat. Suara bacaan saya semakin tersekat-sekat dan sebak. Entah kenapa begitu sensitif sekali perasan dan qalbu ketika itu.

Mungkinkah ini ujian yang mesti saya lalui dan perlu dirasai sendiri...?. Atau adakah ini kesan dari doa yang sekian lama dipohon...?. Saya hanya pasrah kepada ketentuan ilahi.

Namun, kalau dibuat perbandingan, ia tidaklah seberapa berbanding dengan peristiwa yang mereka hadapi.  Puluhan tahun mereka mengalami cengkaman-cengkaman jahat dan zalim tanpa peri kemanusian.

Saya tahu siapa diri saya dan saya juga tahu siapa yan mencipta diri saya ini. Saya masih bertuah menghirup udara segar, jauh dari hiruk pikuk desingan peluru senapang M16 atau letupan bedilan peluru meriam atau jerkahan rakus manusia zalim Zionist keparat. Malah bersyukur dengan kehidupan saya yang jauh lebih baik berbanding dengan rakyat Palestin di negara 'neraka'. Kesian, mereka yang menjadi pelarian asing di negara sendiri malah juga di negara asing...

"Aku masih tidak mampu menghadapi ujian-ujian yang besar... " bisik hati kecilku.

"Ya Allah janganlah engkau menguji aku dengan ujian-ujian yang tidak mampu aku tanggung. Aku amat takut sekali sekiranya akidah, niat dan hatiku tergoncang dengan ujian-ujian yang semakin hebat."

Dari ujian kesempitan harta, kesehatan diri dan keluarga dan begitu juga ujian getir hidup yang lain, yang mana tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus menyumbang bakti melalui kudrat tenaga, kesehatan dan harta yang tidak seberapa.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Al-Baqarah 2:286)

Malu..

Saya berasa malu apabila dikisahkan dengan kisah burung-burung kecil yang membawa air diparuh, berusaha bersungguh-sungguh untuk memadamkan api yang membakar Nabi Allah Ibrahim, kerana katanya kalau tidak kita yang melakukan, maka siapa lagi..., begitu juga burung-burung ababil yang berjaya meleburkan usaha Abrahah dengan tentera bergajahnya yang hebat untuk memusnahkan Kaabah Baitullah.


Semakin tebal niat di hati maka semakin tebal ujian yang terpaksa ditempuhi dan diharunginya. Insyaallah, saya akan cuba sedaya-upaya untuk menenteramkan hati supaya ia tidak mematahkan semangat dan azam untuk meneruskan hajat ke tanah Lubnan yang suatu ketika dahulu menjadi medan pertempuran sengit di antara rakyat Islam Lubnan dengan tentera Israel yang zalim. Di sana juga terdapat banyak kem-kem pelarian rakyat Palestin yang tidak diberi perhatian serius dan diurus dengan baik oleh kerajaan Lubnan.

Kenapa ke Lubnan?...

Bersambung...

abuzorief @ sheffield 
14/10/2010, khamis 
uk2beirut 8 - 13/10/2010

No comments:

Post a Comment