Pages

Saturday, 16 October 2010

Coretan kota Beirut (3)



Bumi Palestin di dalam Al Quran

Saya menyelak semula helaian surah At Tin yang banyak menerangkan kedudukan dan kelebihan tentang Negara Palestin. Saya meneliti pula kitab tafsir Fizilal Al Quran dan Tafsir Ibnu Kathir kerana ia sangat sesuai untuk dijadikan rujukan, dan saya juga cuba mencari kitab-kitab terjemahan yang lain. Semakin banyak mencari dan mendalami ayat ini barulah terbuka gambaran dan tahu serba sedikit tentang isi surah yang diturunkan.

"Dengan nama Allah Yang Maha pemurah lagi penyayang. Demi (buah) Tin dan (Buah) Zaiton. Demi Gunung Sinai dan demi negeri (Mekah) yang aman ini. Sungguh kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, maka mereka akan mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya. Maka apa yang menyebabkan (mereka) mendustakanmu (tentang) hari pembalasan setelah (adanya keterangan-keterangan) itu?. Bukankah Allah hakim yang paling adil?" [Surah At-Tin 1-8]


Allah bersumpah dengan nama-nama buah Tin, Zaiton serta Gunung Sinai dan Negeri aman iaitu Makkah. Gunung Sinai adalah tempat di mana Nabi Musa 'Alaihissalam mula mendapat panggilan Ilahi. Negeri aman atau Baladil amin pula adalah merujuk kepada Makkah yang merupakan Kiblat umat Islam selepas Masjid Al Aqsa. Buah Tin yang dimaksudkan merujuk kepada pokok Tin di Syurga, daunnya digunakan oleh Nabi Adam dan Hawa untuk menutup aurat, dan ada juga dirujuk kepada pokok Tin yang muncul di atas gunung di mana kapal Nabi Noh yang berlabuh di atas gunung tersebut. Manakala buah Zaiton pula dirujuk kepada gunung Tur Zaita di Jeruselam atau Jeruselam itu sendiri atau ada juga merujuk kepada cerita bilamana burung merpati membawa ranting pokok Zaiton kepada Nabi Noh yang menandakan tanah yang ditenggelami itu telah pulih dan subur kembali (Tafsir Fizilal Quran). Semua pokok-pokok ini mudah tumbuh di negeri yang penuh barakah sepertimana yang telah diwahyukan.

Selang masa yang ada, saya membelek-belek dan menyelak-yelak ringkas buku bertajuk "The Middle East in The Twentieth Century - Dr. Muhammad Abdul Jabbar Beg" dan beberapa panduan tentang negara yang akan saya lawati itu termasuklah 'menjelajahi' lebuhraya maklumat (internet) mengenai Palestin dan Lebanon melalui carian Google. Tidak kenal maka tidak cinta. Mungkin itu pepatah yang paling tepat untuk mengenali seseorang atau sesuatu.

Pencerobohan Palestin satu perancangan jahat

Al Aqsa mesti dibebaskan oleh kita semua. Zionist Israel mesti diberi tekanan hebat sama ada berbentuk fizikal, emosi mahu pun kecerdikan akal fikiran. Kaedah perjuangan di fasa alaf ini ialah menekan emosi pihak Israeli supaya tidak melakukan tindakan sesuka hati mereka. Tingkah laku mereka mesti diberi fokus dan agenda pemerhatian oleh umat seluruh dunia. Tetapi negara-negara Islam dan kesatuan OIC tetap berdiam diri, tunggu dan lihat. Kita perlu bersatu dalam satu ummah dan menangani satu perkara bersama-sama. Kalau negara-negara dunia masih berkira-kira dan tidak sanggup untuk menekan Israel, biarkan insan-insan kerdil dan terpilih ini memberikan tekanan kepada mereka. Biar mereka sedar, bahawa masih ada manusia yang sedar, insaf dan mengambil peduli, mahukan keamanan dan mempertaruhkan nyawa dan harta untuk membantu insan yang dizalimi dan dinafikan hak mereka di negara mereka sendiri.

Saya memetik kata-kata Pengerusi AQSA Syarif melalui perutusannya yang ke-4 kepada Sukarelawan AQSA2GAZA yang sedang bersiap ke al-Arisy dari Latakia, Syria pada 14 October 2010 Khamis lalu iaitu "Dunia terus menunggu apa yang akan berlaku selepas ini. Perhatian dunia ini sangat penting untuk kita meruntuhkan kepungan seterusnya, kepungan si penjajah Israel itu. Ada perumpamaan, ketika tikus-tikus bermuktamar bagaimana untuk memastikan agar pergerakan kucing mendapat perhatian. Mereka berdebat alangkah baiknya kalau ada loceng di leher kucing. Kehadiran kucing akan mendapat perhatian seluruh tikus-tikus yang ada. Soalannya, siapa yang berani menyangkutkan loceng ke leher kucing. Kini di leher negara penjajah Israel itu sudah ada loceng. Penduduk dunia mula memerhati perangai buruk mereka. Anda antara yang berjaya menyangkutkan loceng itu. Pahala anda tidak sedikit di sisiNya insya Allah."

Sejarah terus membuktikan bahawa British dan Amerika, melalui perang dunia pertama adalah punca utama pencabulan hak kemanusiaan ke atas negara Palestin. Mereka telah merancang sekian lama dan terus mengambil kesempatan di atas kejatuhan kerajaan Khalifah Othmaniyyah. Habis dipunggah ranap dengan lahapnya kedaulatan negara-negara Islam yang berada dibawah naungan kerajaan Othmaniyyah. Dibahagi-bahagikan tanah milik umat Islam ini sepertimana 'pecahan-pecahan kek' atau cebisan-cebisan daging kepada 'anjing-anjing gila' yang menanti habuan.

Perancangan jahat...

Perancangan mereka adalah perancangan bersama secara tersusun dan berstrategi dengan puak Zionist yang bergerak di seluruh dunia melalui idea asal penubuhan negara Israel (Der Judenstadt) oleh Theodor Herzl sehinggalah kepada penubuhan World Zionist Organization 1897. Semasa perang dunia pertama, James A. Balfour seorang British Foreign Secretary telah mengutus surat bertarikh 2 November 1917 kepada Lord Rothschild untuk menyokong inspirasi puak Zionist dan surat ini kemudiannya menjadi Deklarasi Balfour (Balfour Declaration). Surat ini telah menjanjikan sebuah tanah air Israel di negara Palestin. Zionist begitu 'sabar' dan teliti di dalam perancangan dan mempunyai hasrat yang rakus untuk memiliki dan membentuk negara Israel secara haram.


Akhirnya Jerusalem telah dimiliki oleh mereka pada 9 Disember 1917 melalui Kesatuan Kebangsaan Arab (Alliance of Arab Nationalist) dan British force yang diketuai oleh Edmund Allenby. Sehinggalah dengan kesudahan kepada kerajaan Othmaniyyah kehilangan keseluruhan tanah air Palestin malah tanah-tanah naungannya yang lain pada Oktober 1918. Maka, berlakulah siri-siri kemasukan pendatang haram Israel dari seluruh pelusuk Eropah dan Russia melalui projek Aliyah (dalam bahasa Hebrew atau projek Aliyot atau immigration project) dan juga pembantaian kejam beramai-ramai rakyat Palestin untuk memastikan mereka menjadi majoriti di negara Palestin.

Sehingga kini, lihatlah apa yang telah British dan Amerika lakukan ke atas tanah Palestin. Tidak pula berlaku ke atas negara jajahan mereka yang lain. Perangai jahat mereka merobek-robek tanah Palestin dianggap sungguh biadap. Sikap bersekongkol mereka dengan regim Zionist dianggap sungguh zalim. Mereka memberi ruang dan lesen yang besar kepada regim Zionist supaya puak-puak ini boleh mencabul hak kemanusiaan rakyat Palestin, mengenakan undang-undang yang 'pelik' ke atas rakyat Palestin, merampas tanah air penduduk Palestin, memisahkan tanah dan halaman rakyat Palestin, memisahkan ahli keluarga dan sanak saudara serta membunuh ahli keluarga-keluarga Palestin, menghalau rakyat Palestin dari tanah air mereka, menyekat pergerakan dan kerja harian rakyat Palestin yang selama ini menjadi sumber rezeki dan mengganggu serta menyukarkan hal-hal pendidikan dan persekolahan anak-anak Palestin. Dan bermacam-macam lagi penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Palestin. Semua kerja jahat mereka ini adalah semata-mata untuk menguasai tanah air Palestin.

Bayangkan sekiranya ini terjadi pada negara kita dan segala hak-hak kita di negara sendiri dicabuli, dizalimi dan dinafikan oleh puak penceroboh dan manakala, negara-negara kuasa dunia hanya berdiam diri sahaja. 

Persoalannya...

Persoalannya kenapa perlu membebaskan negara palestin dan apakah kelebihan dan keistimewaan,ya kepada kita semua?
  1. Palestin adalah tanah yang diberkati oleh Allah Taala.
  2. Palestin adalah tanah yang suci untuk umat Islam.
  3. Palestin adalah tanah yang didiami oleh nabi-nabi dan rasul-rasul.
  4. Palestin adalah tanah Israa
  5. Terletakkanya Masjid Al Aqsa yang menjadi Qiblat pertama orang-orang Islam
  6. Sebagai tanah Mahsyar (gathering) dan Manshar (coming from earth)
  7. Sesiapa yang tinggal disana dianggap sebagai Mujahid dan Murabit
  8. Memilik tanah Palestin adalah satu kejayaan.
bersambung...

abuzorief @ sheffield
16/10/2010
uk2beirut 

No comments:

Post a Comment