Pages

Sunday, 17 October 2010

Coretan kota Beirut (4)

Ujian akhir


8/10/2010 - Semalaman, saya tidak boleh tidur nyenyak. Di malam itu juga, semua anak-anak saya muntah-muntah tanpa sebarang sebab dan punca. Panik dan risau saya memikirkan kejadian yang datang dengan tiba-tiba.

"Takanlah food poisoning kot... Along, kakak, adik... mai sini, makan ubat ni..." Saya segera memberi mereka Ibuprofen dan selebihnya saya hanya mampu bertawakal kepada Allah.
Dalam hati ini, adakah ini ujian terakhir dari Allah sebelum saya melangkah keluar. Sementelah anak-anak saya telah tidur, jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi, saya masih lagi menghabiskan 'sisa-sisa atau saki-baki' tugasan dan kerja yang masih belum selesai dan memikirkan apakah lagi yang belum beres. Menyambung kerja-kerja yang tidak selesai amat memenatkan, lebih-lebih lagi kalau ianya ditinggalkan begitu lama, maka bertambahlah beban dan masalah yang 'merawit-rawit'. Diibaratkan, apabila hendak memulakannya kembali, seolah-olah seperti hendak menarik seekor lembu yang tidak mahu berjalan. .

"Uufffh!... dah pukul 2.30 pagi.." Awal pagi sebelum bertolak, saya kena menghantar anak-anak ke sekolah. Sekali-sekala saya terjaga dari tidur dan segera memerhatikan anak-anak yang sedang tidur dengan nyenyaknya.  

"Insyaallah, tak demam kot..." bisik hati kecilku sambil meletakkan tangan di dahi dan tengkok anak-anak.

Perjalanan bermula



Perjalanan ke Beirut ini dimulakan dengan doa safar dan doa tawakal. Seawal lagi, hajat ini telah ditancap dengan niat dan azam kerana Allah Taala.

"Dan mengapa kami tidak akan bertawakal kepada Allah, sedangkan Dia telah menunjukkan jalan kepada kami dan kami sungguh akan tetap bersabar terhadap gangguan yang kamu lakukan kepada kami. Dan hanya kepada Allah sahaja orang yang bertawakal berserah diri." [Surah Ibrahim (12)]

Moga-moga Allah memudahkan segala urusan dan memberikan saya taufik dan hidayah yang sebaik-baiknya. Kerana urusan ke sana bukanlah urusan untuk bersuka-ria, misi makan angin atau melancong untuk melihat negara orang. Tetapi matlamat utama adalah untuk menyampaikan sumbangan derma orang ramai untuk dimanfaatkan oleh pelarian Palestin di sana. Ini adalah amanah orang ramai yang mesti diselesaikan. Sumbangan ini amat-amat dinantikan oleh warga Palestin di sana. Mereka amat memerlukan bantuan dari kita semua.

Setengah orang berkata kalau hendak melakukan kerja yang baik-baik, perlulah melalui 'jalan-jalan' sukar. Walau bagaimanapun katanya, semua itu ada benarnya bagi saya....  

"Ya! aku membenarkan akan kebenarannya." bisik hatiku.

Peristiwa hijrah Arrasul dijadikan penuh pengiktibaran dan pedoman. Peristiwa yang penuh dengan nilai keimanan dan ketaqwaan kepada Allah serta kecerdikan Rasulullah sebagai kekasih Allah. Langkah biarlah tersusun dengan gerak dan aturnya. Apa kerja sekalipun mestilah dirancang dari awal dan dilakukan dengan bersungguh, azam kemudian bertawakal, dengan kesudahannya, berserah kembali kepada Allah Taala di dalam apa jua urusan.

bersambung...

abuzorief @ sheffield
17/10/2010
uk2beirut

No comments:

Post a Comment