Pages

Saturday 27 November 2010

Kitakah Ulul Albab?...


Penantian

Seronok dan mengasyikkan kepada mereka yang pertama kali dapat melihat dan merasa sendiri apabila salji turun dan merawak-rawak pergerakannya bilamana 'terjun' ke bumi. Memang indah permandangan ketika ini kerana sukar dapat melihatnya di tempat sendiri yang panas terik di bawah sinaran matahari yang membahang kerana 'hukum' nya berada di garisan Khatulistiwa.

Alhamdulillah, saya sekeluarga telah masuk musim ketiga winter dan telah melalui semua ini. Kesejukan yang melampau yang tidak dapat diceritakan. Itu baru ceritanya di bumi UK dan belum lagi di kutub utara yang berlapis-lapis dan bersilang-silang bongkah aisnya.

Kejadian

Saya teringat kembali semasa kejadian atau pra-Thunami terjadi. Mereka yang berada semasa kejadian itu menceritakan alangkah cantiknya ombak-ombak 'menari-nari' mengalunkan gelombang air yang berbuih keputihan dan berlumba-lumba menerpa ke pantai. Ya!, indah dan telah menjadi halwa mata ketika itu. Namun, tanpa disedari bahawa keindahan itu rupa-rupanya mendatangkan malapetaka hebat. Siapa sangka dengan sekelip mata sahaja keadaan indah dan cantik itu berubah rupa kepada keadaan yang amat cemas dan kejadian yang menyedihkan. Ramai mangsa terkorban dan banyak kerosakan ketika mana ianya terjadi.

Sekiranya terjadinya malapetaka akibat bencana alam maka ia tidak mengira samada sejuk atau panas dan bersedia atau tidak. Kejadian sejuk teramat dengan bongkah-bongkah ais yang berton-ton, banjir kilat di Pakistan baru-baru ini yang telah meragut banyak nyawa dan kerosakan harta benda yang besar, letupan gunung berapi dengan semburan lava yang panas dan meleburkan apa sahaja yang disentuhinya dan lain-lain kejadian lagi. Semua kita akan berduka-cita dengan kejadian yang berlaku.

Siapakah yang mampu mengubah kejadian sebegini?
Siapakah yang lebih diutamakan dan dipatuhi sekiranya terjadi keadaan ini?

Alasan

Bila keadaan sejuk, semua kita maklum bahawa kita tidak akan merasa keluh-kesah berbanding dengan keadaan yang panas terik dan berbahang. Bila panas, ada sahaja rungutan... katanya bila sejuk boleh sahaja pakai baju tebal dan berlapis-lapis dan boleh memasang heater untuk memanaskannya. Tetapi apabila panas, kita hanya mampu untuk memasang air conditioning, itupun hanya di dalam kawasan tertutup dan tidak mampu berbuat apa-apa bila panas yang maksima di luar.

Peringatan

Itulah sunnah atau takdir alam yang tidak dapat di sangkal sama sekali. Bila dan bagaimana ia terjadi adalah dibawah urusan maha pencipta. Dalam apa keadaan sekali pun, itulah nikmat kejadian Allah, samada panas atau sejuk dan senang atau susah, kerana ada pengajaran atau 'ibrah' di sebalik cerita alam tersebut.

Kesenangan yang dirasai akan melupakan kita sebentar, siapa yang lebih agung dan lebih hebat penciptanya. Kita seronok dan leka sehingga kita tidak sedar bahawa kita adalah hambanya. Tetapi apabila musibah terjadi, maka cepat-cepat pula kita kembali untuk menginsafi segala tindak-tanduk jahat yang telah dilakukan.

Apakah yang membuatkan kita tersentak dari lamunan ini?

Wallahu 'alam, kerana di sana ada peringatan yang pantas yang wajib diakui bahawa Allah adalah pencipta yang layak untuk disembah dan dipatuhi.

Rindu

Bagi mereka yang taat dan patuh kepada perintah Allah, mereka sentiasa rindu dan menanti saat-saat kemenangan mengharungi ujian dunia. Mengharap janji-janji dari Allah untuk memiliki dan mendiami syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan. Tidak sabar lagi menunggu dan terus menunggu. Alangkah seronoknya dan mengasyikkan sekiranya nikmat kurniaan Allah ini dapat dirasai walaupun sesaat.

Hebatnya sunnah kejadian alam ini kerana ada peringatan yang jelas bagi kita yang berakal dan mahu memikirkannya...

Kitakah ulul albab?

abuzorief @ sheffield
27/11/2010, Ahad

1 comment: