Pages

Saturday, 6 August 2011

Ramadhan yang penat?...


Sudah masuk tahun ke-3 saya berpuasa Ramadhan di bumi UK. Berbagai keadaan, ragam dan hal berpuasa di bumi asing. Tidaklah terasa panas terik yang mencengkam kulit dan urat kepala. Kemeriahan tetap juga ada untuk turut sama-sama meraikan kedatangan Ramadhan. Ada diantaranya mengambil peluang dengan menghiasi rumah dan laman, bercukur rambut dan berhias diri, ucapan salam Ramadhan Kareem dan Mubarak, berjabat tangan dan sebagainya.

Paling menenangkan hati apabila ke Masjid, kelihatan ramai jamaah bersolat waktu seolah-olah seperti solat jumaat. Betapa besarnya kesungguhan jamaah datang bersolat disamping menyambut dan meraikan kedatangan Ramadhan.

Negara sendiri

Berpuasa di negara sendiri lebih kepada 'rasa' senada sahaja. Maksudnya rutin atau aktiviti seharian di bulan Ramadhan lebih kurang sama sahaja dari tahun ke setahun. Penuh dengan kerja harian, pasar ramadhan, berbuka puasa di rumah atau masjid atau di kedai makan atau di hotel, bertarawikh + moreh, persiapan menjelang raya dan sebagainya.

Aktiviti awal siangnya agak lesu ditambah dengan terikan matahari sepanjang waktu. Manakala aktiviti di sebelah petang dan malamnya kembali sibuk dan ceria dengan persiapan juadah, bertarawikh dan berqiamullail dan sebagainya.

Alhamdulillah, namun itulah lumrah dan realiti sebenar berpuasa di negara sendiri.

Panas terik

Berbanding dengan saudara kita yang berpuasa di negara yang amat panas terik dan kering sepanjang waktu, yang tetap menguji kelasakan peribadi yang berpuasa. Mengharungi banyak dugaan dan halangan.

Berpuasa bukannya untuk menguji diri hebat untuk bertahan lapar atau dahaga, tetapi ia adalah perintah dan suruhan Allah.
  • Siapa kata berpuasa tidak merasa lapar?...
  • Siapa kata berpuasa tidak merasa dahaga?..
  • Siapa kata berpuasa tidak letih?...
  • Siapa kata berpuasa tidak lesu?...
  • Siapa kata berpuasa tidak tahan dengan kehendak nafsu?..
  • Siapa kata berpuasa tidak tahan dengan kehendak syahwat?...
  • Dan sebagainya...
Hakikat berpuasa adalah untuk menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya disisi syarak. Hakikat berpuasa inilah yang telah difardhukan Allah ke atas kita semua sama ada kita suka atau tidak, rela atau tidak, payah atau tidak.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (Al Baqarah 185)

Semuanya memerlukan pengorbanan dan kekuatan diri untuk melaksanakannya. Secara lumrahnya untuk melaksanakan puasa yang begitu lama ini bukanlah mudah. Sekiranya mudah maka akan ramailah manusia berpusu-pusu untuk menunaikannya tanpa sebarang alasan. Tetapi untuk menyakinkan manusia bahawa berpuasa ini memberikan banyak ganjaran dan kebaikan, telah dibuktikan dengan kajian sains, dari sudut kesihatan dan apa sahaja penemuan fizikal yang lain.

Namun ia masih sukar lagi kerana pada diri kita masih bertarung dengan hawa nafsu - perasaan syak, tidak selesa untuk berlapar dan berdahaga, dan mahukan hidup rasa selesa sepanjang masa. Mungkin katanya apa perlu untuk berlapar dan berdahaga kalau dirinya mampu berbelanja dan membiayai diri sendiri serta tidak menyeksa diri.

Peperangan, penindasan dan kezaliman

Agak sedih apabila mengenangkan saudara-saudara kita yang berhadapan dengan peperangan demi untuk mempertahankan diri, agama dan tanah-air. Isu Palestine yang tidak pernah selesai. Masjid Al Aqsa yang dihina dan ditawan oleh puak yang sombong dan bongkak. Berapa sangat 'harga' yang kita bayar kepada mereka untuk mereka mempertahankan kesemua itu.

Demi buah tiin dan zaitun, Dan gunung Tursina, Serta negeri (Mekah) yang aman ini; (Surah At Tin 1-3)

Namun, kita berdoa supaya Allah menetapkan dihati saudara-saudara kita supaya mampu bertahan dan diberikan kekuatan untuk melawan puak yang sombong dan bongkak itu. Kitalah yang perlu mencari jalan keluar kepada kemelut yang mereka hadapi. Janganlah biarkan mereka menyelesaikannya sendiri-sendiri. Kerana kita adalah saudara seakidah dengan mereka.

Insyaallah, roh Ramadhan mampu memberikan kekuatan kepada kita supaya melakukan yang terbaik untuk mereka.

Merenung

Ramadhan ini adalah bulan untuk kita 'berperang'. Berperang dengan kehendak hawa nafsu dan keselesaan hidup. Berperang dengan nafsu sendiri supaya menjadi hamba Allah yang taat perintahnya serta mentaati perintah Rasul dan berperang nafsu sendiri supaya lebih bersikap rendah diri dan bersederhana di dalam kehidupan.

Berpuasa di bulan Ramadhan banyak menyedarkan diri kita. Berpuasa ini bukanlah untuk sesiapa tetapi untuk Allah Taala.

Siapa kita sebenarnya?...

Lebihkan diri kita bertafakur dan merenung jauh-jauhnya atau sedalam-dalamnya tentang diri kita. Ambillah masa walau sebentar untuk memeriksa kembali hubungan diri kita dengan Allah dan manusia yang lain.

Rantaian hubungan

Rantaian hubungan diri kita dengan Allah sebagai pencipta segala makhluk dan selayaknya dia disembah perlu kita sedari. Kita amat berharap dengan pertolongan Allah untuk meleraikan segala 'kelesuan' dan kelemahan hidup kita di atas muka bumi ini. Sebenarnya, hidup kita tidak ada jalan lain yang mampu memberikan kita ini perasaan hebat dan megah. Walhal kita hanya makhluk yang telah diciptakan dari air mani yang amat hina dan rendah kedudukan kejadian. Oleh itu sudah selayaknya diri kita menjadi hamba Allah yang taat dan mengikut arahan.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? (Surah At Tin 4-8)

Begitu juga dengan rantaian hubungan diantara manusia dengan manusia yang banyak ragam dan karenah, memerlukan manusia itu bersifat rendah diri. Menginsafi diri dan menhormati manusia lain yang miskin, papa dan hidup melarat serta dhoif yang tidak dapat menikmati segala keperluan dan nikmat kesenangan di dunia. Rantaian hubungan ini memerlukan manusia -
  • Berkenal-kenalan (taaruf)
  • Faham-memahami (tafahum)
  • Tolong menolong (takaful)
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al Hujurat 13)

Peluang beramal

Rebutlah segala peluang kebajikan yang terbuka luas di bulan yang penuh keberkatan ini. Perbanyakkan sebanyak mungkin amal-amal yang mampu mendidik dan mentarbiyyahkan diri kita. Perelokkan segala amalan yang wajib supaya ia menjadi sempurna untuk dipersembahkan kepada Allah tuhan rabbul 'alamin.

Semoga Allah memberkati puasa Ramadhan kita melimpahkan sebanyak-banyaknya ganjaran terhadap amal yang kita lakukan.

Wallahu 'alam

abuzorief @ sheffield
6/8/2011, sabtu

Monday, 1 August 2011

Jangan 'mandulkan' Islam... agamaku dan agamamu


Agak aneh bila ada di antara kita mengambil mudah dan mengatakan "Oh!, kalau duduk di masjid, bersolat, berzikir, berjubah, berserban, berjanggut atau zikir 'sekian-sekian' banyak kali boleh masuk syurga..., dan sebagainya...".

Bukannya saya menafikan semua itu sekiranya ia bersumberkan dengan nas yang sahih. Tetapi, maksud saya, adakah dengan hanya melakukan amal peribadi, maka sudah mendapat jaminan (guarantee) untuk masuk syurga?.... Tidak perlu lagi melakukan amal kebajikan yang lain dan mencegah wabak kemungkaran yang kian bercambah di atas muka bumi?...

Bolehkah ke syurga melalui jalan pintas?...

Pada perkiraan saya untuk masuk syurga Allah Taala bukanlah senang seperti menjual kacang putih. Hidup untuk mentaati Allah dan Rasul pun masih 'kelam-kabut', tiba-tiba hendak menampung ibadah dengan melakukan amalan yang sedikit atau membaca bacaan tertentu sudah mendapat jaminan untuk masuk syurga.

Semua kita inginkan syurga. Baik kepada mereka yang bukan Islam juga menginginkannya. Menanam keazaman untuk memasuki syurga adalah satu perkara yang perlu, tetapi adakah cukup dengan ibadah solat seharian, zikir dan berpuasa sahaja?...

Mana mungkin semua itu mendatangkan hasil sekiranya kita tidak meneguhkan akidah, mencantikkan akhlak dan melakukan ibadah tanpa mengetahui tuntutan dan tindakan susulan natijah daripadanya.

Taat Allah dan Rasul

Bukanlah sewenang-wenangnya dengan kita mengikrarkan bahawa kita mencintai atau mentaati Allah dan Rasul, tetapi disebaliknya kita masih gagal menjadi hambanya yang taat. Masih lagi bersikap 'derhaka' kepadanya. Disuruhnya solat, kita masih meninggalkanya. Di suruh menutup aurat, kita menafikannya dengan 1001 alasan. Disuruh berlaku adil, tetapi tetap bersikap zalim. Disuruh berlaku amanah, tetapi masih mengkhianati. Begitulah dengan perbuatan-perbuatan yang lain-lainnya.

Kehidupan Arrasul

Sepanjang kehidupan Arrasul dididik dengan wahyu Allah. Begitu juga sahabat baginda dan mereka yang menghambakan diri mereka kepada Allah Taala. Mereka diacu dan dicanai menjadi hamba Allah yang faham dengan tuntutan syahadah. Bagi mereka jaminan untuk memasuki syurga Allah bukanlah mudah sepertimana yang disangka.

Baginda Arrasul menghambakan dirinya untuk perjuangan addeen Islam sepanjang usia baginda walaupun baginda sendiri sudah layak untuknya syurga Firdaus Allah Taala. Walaupun baginda melaksanakan solat sehingga bengkak-bengkak kaki, cedera dan luka apabila bertempur di medan perang, dihumban dengan najis di kepala dan badan apabila berhadapan dengan puak Jahiliyyah dan Yahudi apabila berdakwah, dilontar dengan ketulan batu semasa menyeru agama Allah di bumi Taif, diancam dan dirancang pembunuhan, dan sebagainya, namun kerja-kerja yang amat membebankan ini tetap diteruskan dengan berbagai cara untuk memastikan kalimah Allah terus hidup subur di dalam hati setiap manusia.

Baginda bukan sahaja telah ditawarkan dengan berbagai-bagai kemewahan harta dunia, pangkat dan wanita sebagai galang-ganti supaya meninggalkan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah yang dianggap baru oleh puak Jahiliyyah, tetapi disarankan kepada baginda untuk berkompromi di dalam hal-hal pengibadatan.

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (Surah Al-Kafirun 1-6)

Begitu juga, senario yang dihadapi oleh para sahabat dan para pejuang agama Allah, dimana mereka tidak hanya duduk berdiam diri di tikar sembahyang untuk menanti syurga. Sedangkan mereka mengalami luka-luka di medan perang untuk berjuang menegakkan kalimah Allah. Menentang puak-puak musuh bermati-matian kerana hak dan kebenaran. Kefahaman mereka tentang tuntutan kalimah syahadah cukup luas pengertiannya bukan sahaja setakat ibadah tetapi merangkumi seluruh pergerakan dan tindakan kehidupan harian.

Ad-deen yang menyeluruh

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu... (Al Maidah 3)

Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah. (Usul 20, Usul pertama : Imam Hassan Al Banna).

Kini, Islam hanya dianuti dan difahami dari sudut agama di dalam bidang ibadat sahaja. Mereka kurang memahami tentang agamanya sendiri. Masih jahil identitinya sebagai seorang Muslim. Faham dan amalnya dengan hanya mengikut selera nafsu dan logik akal sahaja. Membentuk kehidupan seharian dengan mengambil sebahagian ajaran dan hukuman dari Al Quran sekiranya sesuai dengan kehendak peribadi dan menidakkan atau meninggalkan sebahagian ajaran dan hukum-hakam yang lainnya, sekiranya tidak sesuai dengan kehendak diri.

Apakah benar ibadah kita?...

Mungkin katanya, menutupi aurat, politik dan urus tadbir, menjauhi riba dan amalan rasuah, menguruskan harta negara dengan adil dan bijaksana, keperluan jihad, melaksanakan undang-undang dan perlembagaan serta kehakiman mengikut Quran adalah tidak perlu, tidak sesuai dengan keadaan dan zaman, tidak relevant dan hanya sesuai di zaman Rasullullah dan Khalifah serta Empayar Islam sahaja.

Bentuk kefahaman dan pemikiran sebegini adalah masih kabur dan salah.

Tidak yakin dan teragak-agak

Sebab itulah kita lihat rata-rata orang Islam masih teragak-agak untuk mengiyakan apa yang disarankan di dalam Al Quran dan Hadis. Mereka lebih selesa duduk berzikir, bersolat, berpuasa dan sebagainya dalam keadaan kefahaman yang sempit.

Maaf saya katakan, bahawa kita telah 'memandulkan' Islam. Islam yang difahami dan dianuti sepatutnya dinamik, memberikan kesejahteraan kepada manusia dan makhluk yang lain. Tetapi kita hanya memahami Islam di ruang ibadah yang sempit sahaja. Sedangkan natijah ibadah itu adalah merupakan pengabdian menyeluruh kita kepada Allah Taala. Ia menghasilkan satu daya atau momentum untuk kita mempraktikkannya sebagai satu cara hidup yang menyeluruh.

abuzorief @ sheffield
salam ramadhan 1432h/2011
1/8/2011, isnin

Tuesday, 12 July 2011

Kena selalu BERSIH...


Semasa menyapu dan mencuci lantai, terfikir pula saya, sekiranya setiap hari disapu dan dilap, maka kuranglah kotornya dan paling kurang pun kotoran yang melekat itu mudah dicuci. Tidak perlu disental dengan teruk.

Begitulah adat mencuci kotoran. Kena selalu rajin mencuci supaya ia kelihatan bersih. Bab mencuci ini termasuklah semua urusan, keadaan dan hal. Apa sahaja yang kelihatan kotor maka ia perlu dibersihkan. Sekiranya ia tidak dibersihkan dari awal, lambat laun ia menjadi sukar dan susah untuk dibersihkan. Kotoran menjadi liat dan degil. Kotoran menjadi sebati dan terus melekat kuat dan sukar ditanggalkan. Setakat cuci biasa, tidak memberikan apa-apa natijah, malah penat yang dapat...

Percaya atau tidak, kotoran itu mudah sahaja diperolehi, manakala untuk mendapat bersih, ia memerlukan kerja yang kuat dan bersungguh-sungguh....

Namun, hati kita begitu juga. Ia mudah menjadi kotor dan hitam pekat sekiranya kita mengabai dari menjaganya. Kotoran yang dimaksudkan ialah kotor kerana hasad dengki, dendam, ujub, bermegah-megah, sombong dan sebagai. Semua ini adalah penyakit hati yang mesti diberikan perhatian dari diri empunya. Walaupun pada jasad fizikalnya kelihatan sihat dan segar bugar.

Begitu juga jasad atau fizikal luaran. Penjagaan fizikal mempunyai kaedah dan rawatannya, akal pun begitu juga dan manakala penjagaan hati pula mestilah melalui kaedah atau caranya. Kesemua elemen tersebut mempunyai gaya penjagaan yang tidak sama tetapi ia perlu sentiasa bersih.

Dalam urusan pentadbiran pun begitu juga, sama ada diri dan juga kerja harian di pejabat, sektor awam atau swasta, semua elemen akal, hati, jasad atau keadaan sekeliling mestilah sentiasa bersih untuk menghasilkan budaya kerjadan urus tadbir yang bersih. Sekiranya semua bersih, tidak akan timbul isu rasuah dan pecah amanah. Tidak akan ada perkara yang tidak telus. Semua pekerja melaksanakan kerja dengan baik. Semua kita akan menyukainya. Pentadbiran diri, keluarga, masyarakat dan negara disenangi.

Namun, sudikah kita semua bersikap demikian?...

abuzorief @ sheffield
12/7/2011, selasa

Tuesday, 28 June 2011

Buang masa


Kadang-kadang kita tertipu dengan tuntutan dan bisikan dalaman kita. Beza diantara sesaat sebelum dan sudah dengan sekelip mata boleh berubah. Tindakan menjadi tidak terarah daripada rajin tiba-tiba menjadi malas.

Contohnya, bila hati berkata..."Sekejap lagi, lepas sembahyang, aku nak baca Quran..." tetapi apa yang terjadi sesaat lepas itu boleh bertukar dan terus mengadap komputer sambil membelek-belek membaca laman web atau facebook secara asyik sehingga semuanya habis dilayari. Namun, dalam hati masih bertarung lagi... "Sikit lagi, sekejap lagi aku bacalah....". Begitulah sehingga kesudahan dan akhirnya hajat dan niat yang baik tadi 'tenggelam' dan lenyap begitu sahaja disebalik alasan tadi.

Sekiranya kita teliti akan perkara ini, ia memang menjadi perbuatan kita setiap masa dan hari. Kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kita kalah. Kalah dengan diri kita sendiri tanpa dihasut oleh kawan-kawan atau orang lain.

Begitulah, lemahnya diri kita untuk bersikap tegas terhadap diri sendiri. Kalahnya lebih banyak dari menang. Kalah itu lebih banyak untuk kita melakukan sesuatu perkara yang tidak bermanfaat dan banyak membuang masa. Kalah itu juga lebih banyak merencatkan perancangan yang baik-baik.

Masa terbuang begitu sahaja...

Belajar menghormati masa akan selama-lamanya belajar, sehingga sedar-sedar usia kita sudah di hujung dunia...

Bilakah kita akan menjadi tegas kepada diri kita sendiri?... bila dan bila...

abuzorief @ sheffield
28/6/2011 Selasa

Sunday, 12 June 2011

Pepat diluar rencung di dalam


Semangat saling tolong menolong di antara satu sama lain amat baik dan perlu dijadikan sebagai satu amalan dan budaya yang baik. Kerana, dengan ini ianya dapat menjalinkan hubungan ukhuwwah di antara kita dan mengeratkan hubungan silaturrahim kerana Allah Taala.

Yang menolong

Kita yang menolong hendaklah dengan ikhlas dan tidak peduli sangat untuk memperolehi hasil dari bantuan tersebut. Niat menolong tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Sifat untuk menolong yang lahir dari kehendak dan kemahuan hati yang bersih tanpa dipaksa-paksa.

Namun, ada di antara kita yang menolong seseorang kerana ada sesuatu niat yang tersembunyi atau mengungkit kembali segala pertolongan yang telah diberikannya dahulu,... 5, 10, 20 tahun dahulu. Barangkali, besar sungguh hajatnya apabila hendak menolong seseorang itu tanpa memperdulikan lagi semangat pertolongan dan roh ukhuwwah itu. Ini adalah pertolongan yang tidak ikhlas. Sifat begini akan menyebabkan hati kita sentiasa tidak selesa dan gelisah, kerana kita sentiasa memikirkan segala bantuan yang diberikan itu bilakah akan mendapat habuan. Ia bukan sahaja merosakkan amal dan pahala malah merosakkan kesihatan diri sendiri.

Ibarat pepatah mengatakan, ada udang disebalik batu. Indahnya peribahasa Melayu kita apabila mengaitkan sesuatu dengan kiasan yang sungguh sinis. Malah yang lebih parah lagi akan membawa seseorang itu menjadi pepat di luar rencung di dalam. Bisikan nafsu yang terus merosakkan diri individu supaya menjadi individu yang mendendami seseorang setelah bantuannya tidak diendahkan.

Yang paling mulia akhlak adalah memberikan bantuan dan pertolongan tanpa menghiraukan sebarang balasan dan habuan, sebaliknya menyerahkan niat segala-galanya kerana Allah Taala.

Yang ditolong

Mereka yang ditolong pula janganlah mudah melupakan terus pertolongan yang telah diberikan. Ingatlah kembali budi pekerti yang telah diberikan selagi ia tidak menjejaskan nilai dan etika kehidupan atau tidak melampaui syariat Islam dan tidak bermaksiat dengannya. Cubalah sama-sama mempunyai perasaan dan emosi, susah-senang ditanggung bersama tanpa mengharap apa-apa habuan seterusnya.

Sebenarnya banyak faktor yang boleh diberikan perhatian dalam aspek tolong menolong ini. Baik dari urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan ummah.
  • Meringankan beban saudara kita sesama Islam
  • Sentiasa wujud bantu menbantu diantara kita
  • Membantu ahli keluarga
  • Membantu hal ehwal kemasyarakatan
  • Menbantu menambah dan mengembang ilmu
  • Membantu menyebarkan dakwah dan qudwah
  • Membantu di dalam mempertingkatkan Iktisad atau ekonomi negara
  • Membantu meningkatkan kualiti hidup kita sebagai seorang muslim
  • Membantu di dalam hal-hal kebaikan dan mencegah kemungkaran
  • Dan sebagainya
Cerita Melayu

Mengimbau kembali siri-siri cerita Melayu di TV, banyak jalan ceritanya dengan plot yang sama, mungkin kerana sudah sebati dengan adat resam kehidupan harian, mengesahkan bagaimana bangsa sendiri sanggup menjadi pendendam, pendengki, penfitnah, tali-barut dan pembelot.

Pembelot dan tali-barut

Menjadi pembelot kepada bangsa sendiri kerana mengejar habuan dunia yang tidak seberapa. Sanggup mengadaikan maruah dan imej bangsa semata-mata untuk menjadi pengampu, pencacai dan penfitnah.

Sehingga sekarang, tidak dinafikan, ada segelintir dikalangan bangsa sendiri yang sanggup menjadi pengampu kepada bangsa sendiri yang lebih 'berkuasa' yang dikatakan berharta dan sanggup menindas bangsa sendiri demi kekayaan dan kemewahan. Survival hidup yang paling hilang maruah dan jelek tanpa mempedulikan orang lain dan hanya memikirkan kepentingan sendiri.

Memuliakan bangsa

Kesucian Islam datang untuk memuliakan bangsa tanpa mengira warna kulit hitam atau putih, hidung mancung atau penyek, tubuh badan besar atau kecil, paras rupa cantik atau hodoh dan diajarnya supaya saling kenal mengenali, tolong menolong dan mengenali budi pekerti di antara satu sama lain tanpa syak wasangka.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Al-Hujraat [49:13]

Wallahu a'lam...

abuzorief @ sheffield
12/6/2011, Ahad

Tuesday, 7 June 2011

Negara Islam atau negara kebajikan?...


1. Muslim Brotherhood atau Ikhwan Muslimin (IM) di Mesir mempunyai peluang yang besar untuk memerintah negara Mesir kerana tiada yang berkemampuan berbuat demikian.

2. Tetapi apa yang berlaku ialah IM sanggup berkongsi kuasa dan memberi peluang kepada rakan lain untuk menerajui kepimpinan. Apa yang lebih penting adalah hak dan kebajikan rakyat negara diutamakan.

3. Parti AKP Turki semakin popular dan berjaya memenangkan hati rakyat untuk terus memilih mereka untuk memerintah. Bukan kerana negara Islam tetapi lebih kepada kebajikan rakyatnya.

4. Kini, mereka bukan sahaja berjaya memulihkan ekonomi dan kestabilan politik malah sejumlah besar aktivist-aktivist mereka berjaya menaikkan maruah negara terhadap isu-isu kemanusiaan antarabangsa terutamanya Palestin dengan bermulanya misi kemanusiaan Flotilla Mavi Marmara pada tahun lepas.

5. Selama lebih 2 penggal PRU lalu, yang mana PAS kelihatan hilang 'sengat' di dalam team Pakatan Rakyat kerana isu Anwar masih berterusan menjadi isu utama negara. PAS seolah-olahnya terpaksa akur mengikut bahasa rentak 'rakan-rakannya'.

6. Pemilihan calon dalam Muktamar PAS baru-baru ini benar-benar merubah senario kepimpinan, di mana kepimpinan ulama yang selama ini menjadi tunggak utama halatuju PAS.

7. Kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS benar-benar membuka laluan baru dalam kepimpinan PAS untuk menghadapi PRU13 bersama rakan PKR dan DAP.

8. Apakah ini kehendak ahli-ahlinya untuk melihat parti politik ini kembali menyengat?

9. Justeru, negara Islam atau negara kebajikan ataukah kedua-duanya?... yang mana satu agenda yang boleh memenangkan hati rakyat Malaysia.

abuzorief @ sheffield
7/6/2011, Selasa

Friday, 3 June 2011

Jenama


Adakah puas hidup dengan jenama yang hebat dan ternama?...

Dari si anak kecil sehingga ke peringkat umur tua bangka pasti ada jenama tertentu yang menjadi kesukaan dan kegemaran untuk dimiliki. Katanya, tidak puas kalau tidak dapat barangan yang berjenama, kononnya out-to-date, ... ketinggalan zaman. Selalunya barangan yang berjenama itu pastinya berkualiti dan mahal-mahal belaka. Kadang-kadang, nama jenama itu lebih mahal dari barangan.

Lebih-lebih lagi, barangan berjenama itu akan dijaganya dengan baik dan diberikan perhatian dan penjagaan yang 'luar biasa'.

Saya bukanlah hendak memfokuskan kepada mesti atau tidak, perlu atau tidak kepada penggunaan barangan yang berjenama. Semua orang ada hak untuk memilikinya. Terpulanglah kepada hajat dan keinginan masing-masing.

Apa yang hendak saya katakan di sini adalah lebih kepada mencari kehidupan yang berkualiti atau 'berjenama' di sisi Allah Taala. Lebih-lebih lagi saya ingin mengingatkan diri saya sendiri betapa kita terlupa untuk mencari dan memiliki kehidupan yang berkualiti dan 'berjenama' disisi Allah Taala.

Allah telah menjenamakan kehidupan kita dengan jenama-jenama yang cukup hebat dan berkualiti.

Apakah jenama itu?..
  • Mukmin
  • Muslim
  • Muttaqin
  • Muhsin
  • Mujahid
  • Dan sebagainya sepertimana di dalam Al Quran
Apakah simboliknya jenama-jenama tersebut?...
Gembirakah kita untuk memiliki setiap jenama yang dilabelkan tersebut?

Masing-masing jenama itu ada pentakrifan dan kemuliaannya. Memilikinya akan ber'hubung' terus dengan Allah Taala. Pemiliknya akan mendapat martabat di sisi Allah Taala. Mereka menyayangi Allah dan Allah mengasihi serta menyayanginya. Mereka mendapat tempat dan keistimewaan dari Allah Taala.

Saya mengimbau dan mengenangkan kembali peristiwa  berdarah kerana serangan puak Zionist ke atas kapal Flotilla Mavi Marmara setahun yang lepas. Betapa ikhlasnya mereka berada di barisan hadapan untuk mempertahankan misi kemanusiaan mereka untuk membantu rakyat Palestin. Pengorbanan mereka yang bukan sedikit, tetapi melibatkan harta dan nyawa. Mendepang dada sebagai perisai untuk mempertahankan diri dari muntahan peluru senjata puak Zionist. Kalau dikira dengan nilai dunia, apalah sangat kerja buat mereka. Terpaksa meninggalkan kesenangan dunia dan kemewahan seisi alam. Meninggalkan anak dan isteri, sanak saudara dan kaum keluarga yang lain. Inilah 'jenama' hidup yang tidak mampu kita semua milikinya. Jenama yang paling berkualiti dan melangkaui ranking jenama-jenama yang lain....

abuzorief @ sheffield
3/6/2011, Jumaat