Sudah masuk tahun ke-3 saya berpuasa Ramadhan di bumi UK. Berbagai keadaan, ragam dan hal berpuasa di bumi asing. Tidaklah terasa panas terik yang mencengkam kulit dan urat kepala. Kemeriahan tetap juga ada untuk turut sama-sama meraikan kedatangan Ramadhan. Ada diantaranya mengambil peluang dengan menghiasi rumah dan laman, bercukur rambut dan berhias diri, ucapan salam Ramadhan Kareem dan Mubarak, berjabat tangan dan sebagainya.
Paling menenangkan hati apabila ke Masjid, kelihatan ramai jamaah bersolat waktu seolah-olah seperti solat jumaat. Betapa besarnya kesungguhan jamaah datang bersolat disamping menyambut dan meraikan kedatangan Ramadhan.
Negara sendiri
Berpuasa di negara sendiri lebih kepada 'rasa' senada sahaja. Maksudnya rutin atau aktiviti seharian di bulan Ramadhan lebih kurang sama sahaja dari tahun ke setahun. Penuh dengan kerja harian, pasar ramadhan, berbuka puasa di rumah atau masjid atau di kedai makan atau di hotel, bertarawikh + moreh, persiapan menjelang raya dan sebagainya.
Aktiviti awal siangnya agak lesu ditambah dengan terikan matahari sepanjang waktu. Manakala aktiviti di sebelah petang dan malamnya kembali sibuk dan ceria dengan persiapan juadah, bertarawikh dan berqiamullail dan sebagainya.
Alhamdulillah, namun itulah lumrah dan realiti sebenar berpuasa di negara sendiri.
Panas terik
Berbanding dengan saudara kita yang berpuasa di negara yang amat panas terik dan kering sepanjang waktu, yang tetap menguji kelasakan peribadi yang berpuasa. Mengharungi banyak dugaan dan halangan.
Berpuasa bukannya untuk menguji diri hebat untuk bertahan lapar atau dahaga, tetapi ia adalah perintah dan suruhan Allah.
- Siapa kata berpuasa tidak merasa lapar?...
- Siapa kata berpuasa tidak merasa dahaga?..
- Siapa kata berpuasa tidak letih?...
- Siapa kata berpuasa tidak lesu?...
- Siapa kata berpuasa tidak tahan dengan kehendak nafsu?..
- Siapa kata berpuasa tidak tahan dengan kehendak syahwat?...
- Dan sebagainya...
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (Al Baqarah 185)
Semuanya memerlukan pengorbanan dan kekuatan diri untuk melaksanakannya. Secara lumrahnya untuk melaksanakan puasa yang begitu lama ini bukanlah mudah. Sekiranya mudah maka akan ramailah manusia berpusu-pusu untuk menunaikannya tanpa sebarang alasan. Tetapi untuk menyakinkan manusia bahawa berpuasa ini memberikan banyak ganjaran dan kebaikan, telah dibuktikan dengan kajian sains, dari sudut kesihatan dan apa sahaja penemuan fizikal yang lain.
Namun ia masih sukar lagi kerana pada diri kita masih bertarung dengan hawa nafsu - perasaan syak, tidak selesa untuk berlapar dan berdahaga, dan mahukan hidup rasa selesa sepanjang masa. Mungkin katanya apa perlu untuk berlapar dan berdahaga kalau dirinya mampu berbelanja dan membiayai diri sendiri serta tidak menyeksa diri.
Peperangan, penindasan dan kezaliman
Agak sedih apabila mengenangkan saudara-saudara kita yang berhadapan dengan peperangan demi untuk mempertahankan diri, agama dan tanah-air. Isu Palestine yang tidak pernah selesai. Masjid Al Aqsa yang dihina dan ditawan oleh puak yang sombong dan bongkak. Berapa sangat 'harga' yang kita bayar kepada mereka untuk mereka mempertahankan kesemua itu.
Demi buah tiin dan zaitun, Dan gunung Tursina, Serta negeri (Mekah) yang aman ini; (Surah At Tin 1-3)
Namun, kita berdoa supaya Allah menetapkan dihati saudara-saudara kita supaya mampu bertahan dan diberikan kekuatan untuk melawan puak yang sombong dan bongkak itu. Kitalah yang perlu mencari jalan keluar kepada kemelut yang mereka hadapi. Janganlah biarkan mereka menyelesaikannya sendiri-sendiri. Kerana kita adalah saudara seakidah dengan mereka.
Insyaallah, roh Ramadhan mampu memberikan kekuatan kepada kita supaya melakukan yang terbaik untuk mereka.
Merenung
Ramadhan ini adalah bulan untuk kita 'berperang'. Berperang dengan kehendak hawa nafsu dan keselesaan hidup. Berperang dengan nafsu sendiri supaya menjadi hamba Allah yang taat perintahnya serta mentaati perintah Rasul dan berperang nafsu sendiri supaya lebih bersikap rendah diri dan bersederhana di dalam kehidupan.
Berpuasa di bulan Ramadhan banyak menyedarkan diri kita. Berpuasa ini bukanlah untuk sesiapa tetapi untuk Allah Taala.
Siapa kita sebenarnya?...
Lebihkan diri kita bertafakur dan merenung jauh-jauhnya atau sedalam-dalamnya tentang diri kita. Ambillah masa walau sebentar untuk memeriksa kembali hubungan diri kita dengan Allah dan manusia yang lain.
Rantaian hubungan
Rantaian hubungan diri kita dengan Allah sebagai pencipta segala makhluk dan selayaknya dia disembah perlu kita sedari. Kita amat berharap dengan pertolongan Allah untuk meleraikan segala 'kelesuan' dan kelemahan hidup kita di atas muka bumi ini. Sebenarnya, hidup kita tidak ada jalan lain yang mampu memberikan kita ini perasaan hebat dan megah. Walhal kita hanya makhluk yang telah diciptakan dari air mani yang amat hina dan rendah kedudukan kejadian. Oleh itu sudah selayaknya diri kita menjadi hamba Allah yang taat dan mengikut arahan.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? (Surah At Tin 4-8)
Begitu juga dengan rantaian hubungan diantara manusia dengan manusia yang banyak ragam dan karenah, memerlukan manusia itu bersifat rendah diri. Menginsafi diri dan menhormati manusia lain yang miskin, papa dan hidup melarat serta dhoif yang tidak dapat menikmati segala keperluan dan nikmat kesenangan di dunia. Rantaian hubungan ini memerlukan manusia -
- Berkenal-kenalan (taaruf)
- Faham-memahami (tafahum)
- Tolong menolong (takaful)
Peluang beramal
Rebutlah segala peluang kebajikan yang terbuka luas di bulan yang penuh keberkatan ini. Perbanyakkan sebanyak mungkin amal-amal yang mampu mendidik dan mentarbiyyahkan diri kita. Perelokkan segala amalan yang wajib supaya ia menjadi sempurna untuk dipersembahkan kepada Allah tuhan rabbul 'alamin.
Semoga Allah memberkati puasa Ramadhan kita melimpahkan sebanyak-banyaknya ganjaran terhadap amal yang kita lakukan.
Wallahu 'alam
abuzorief @ sheffield
6/8/2011, sabtu
Tak dapat nak bayangkan kalau berpuasa dan beraya di negara asing. Meriahkah atau muram?
ReplyDeleteApa pun, bila terkenangkan Somalia, 'puasa' mereka lebih menyayukan...