Bergembiralah kita kerana masih berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Di berikan keberkatan oleh Allah Taala akan setiap amal yang kita lakukan sama ada dari sebesar zarah, biji sawi sehinggalah sebesar-besar amal iaitu berjuang di medan jihad.
Palestinaku...
Amat beruntunglah saudara-saudara kita di bumi barakah Palestin kerana jihad mereka mempertahan bumi barakah sehingga akhir hayat kerana di dalamnya terdapat masjidil Aqsa yang mulia.
- Dimanakah kita di dalam hal ini?...
- Bagaimanakah kita mengukur keberkatan ramadhan?
- Apa yang kita telah perolehi dari madrasah Ramadhan?
Timbang-tara atau neraca
Ramadhan adalah bulan untuk memberatkan timbangan amal kita. Kelebihan bulan Ramadhan sangatlah banyak seperti mana dikisahkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran dan juga diriwayatkan di dalam hadis Nabi SAW. Lebih-lebih lagi kelebihan ini amat besar nilainya bagi golongan yang digelar sebagai golongan orang-orang bertaqwa atau muttaqin.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al Baqarah 2:185)
Bagi golongan ini, hanya Allah da Rasul adalah segala-galanya. Mereka akan memperolehi ganjaran rahmat dari Allah Taala. Mereka mendapat sepenuhnya kasih sayang dari Allah Taala. Mereka menyayangi Allah dan Rasul lebih segala-galanya, dan Allah amat menyayangi mereka sepenuhnya.
Hubung-kait Ramadhan dengan Aqidah Uluhiyyah
Sepertimana kita ketahui bahawa Ramadhan adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim. Ia samalah seperti rukun-rukun Islam yang lain. Meninggalkan salah satu rukun Islam, maka ia akan menyebabkan berlakunya kepincangan yang besar kepada kesempurnaan penyembahan diri kita kepada Allah Taala.
Di dalam kitab Al Aqidah Al Wasitiyyah Ibn Taymiyyah ada menyebutkan bahawa pegangan asas aqidah kita iaitu Tauhid Uluhiyyah juga disebut sebagai Tauhid Al Ibadah. Segala perlakuan ibadah kita adalah untuk membuktikan betapa taat dan patuhnya kita kepada Allah Taala.
Kita adalah hamba kepada Allah Taala dan selayaknya kita mengabdikan diri kita kepadanya walau apa cara sekalipun kehidupan kita di atas muka bumi ini. Melakukan ibadah adalah untuk menguatkan ikatan aqidah kita kepadanya. Memantapkan keyakinan total diri kita kepadanya. Disinilah penyaksian dan penyembahan kita secara total kepada yang maha Esa.
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. (Surah Al Anbiya 21:90)
Mereka yang benar-benar menyerah diri kepada Allah dan mengikuti ajaran Rasul adalah golongan hamba yang patuh dan taat. Mereka yang patuh dan taat ini adalah mereka yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Taala.
Jadi, pengakhiran kepada madrasah Ramadhan adalah sebagai platform untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa kepadanya.
Wallahu'alam
abuzorief @ sheffield
17/8/2011, rabu
Nuzul Quran
No comments:
Post a Comment