Pages

Monday, 1 August 2011

Jangan 'mandulkan' Islam... agamaku dan agamamu


Agak aneh bila ada di antara kita mengambil mudah dan mengatakan "Oh!, kalau duduk di masjid, bersolat, berzikir, berjubah, berserban, berjanggut atau zikir 'sekian-sekian' banyak kali boleh masuk syurga..., dan sebagainya...".

Bukannya saya menafikan semua itu sekiranya ia bersumberkan dengan nas yang sahih. Tetapi, maksud saya, adakah dengan hanya melakukan amal peribadi, maka sudah mendapat jaminan (guarantee) untuk masuk syurga?.... Tidak perlu lagi melakukan amal kebajikan yang lain dan mencegah wabak kemungkaran yang kian bercambah di atas muka bumi?...

Bolehkah ke syurga melalui jalan pintas?...

Pada perkiraan saya untuk masuk syurga Allah Taala bukanlah senang seperti menjual kacang putih. Hidup untuk mentaati Allah dan Rasul pun masih 'kelam-kabut', tiba-tiba hendak menampung ibadah dengan melakukan amalan yang sedikit atau membaca bacaan tertentu sudah mendapat jaminan untuk masuk syurga.

Semua kita inginkan syurga. Baik kepada mereka yang bukan Islam juga menginginkannya. Menanam keazaman untuk memasuki syurga adalah satu perkara yang perlu, tetapi adakah cukup dengan ibadah solat seharian, zikir dan berpuasa sahaja?...

Mana mungkin semua itu mendatangkan hasil sekiranya kita tidak meneguhkan akidah, mencantikkan akhlak dan melakukan ibadah tanpa mengetahui tuntutan dan tindakan susulan natijah daripadanya.

Taat Allah dan Rasul

Bukanlah sewenang-wenangnya dengan kita mengikrarkan bahawa kita mencintai atau mentaati Allah dan Rasul, tetapi disebaliknya kita masih gagal menjadi hambanya yang taat. Masih lagi bersikap 'derhaka' kepadanya. Disuruhnya solat, kita masih meninggalkanya. Di suruh menutup aurat, kita menafikannya dengan 1001 alasan. Disuruh berlaku adil, tetapi tetap bersikap zalim. Disuruh berlaku amanah, tetapi masih mengkhianati. Begitulah dengan perbuatan-perbuatan yang lain-lainnya.

Kehidupan Arrasul

Sepanjang kehidupan Arrasul dididik dengan wahyu Allah. Begitu juga sahabat baginda dan mereka yang menghambakan diri mereka kepada Allah Taala. Mereka diacu dan dicanai menjadi hamba Allah yang faham dengan tuntutan syahadah. Bagi mereka jaminan untuk memasuki syurga Allah bukanlah mudah sepertimana yang disangka.

Baginda Arrasul menghambakan dirinya untuk perjuangan addeen Islam sepanjang usia baginda walaupun baginda sendiri sudah layak untuknya syurga Firdaus Allah Taala. Walaupun baginda melaksanakan solat sehingga bengkak-bengkak kaki, cedera dan luka apabila bertempur di medan perang, dihumban dengan najis di kepala dan badan apabila berhadapan dengan puak Jahiliyyah dan Yahudi apabila berdakwah, dilontar dengan ketulan batu semasa menyeru agama Allah di bumi Taif, diancam dan dirancang pembunuhan, dan sebagainya, namun kerja-kerja yang amat membebankan ini tetap diteruskan dengan berbagai cara untuk memastikan kalimah Allah terus hidup subur di dalam hati setiap manusia.

Baginda bukan sahaja telah ditawarkan dengan berbagai-bagai kemewahan harta dunia, pangkat dan wanita sebagai galang-ganti supaya meninggalkan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah yang dianggap baru oleh puak Jahiliyyah, tetapi disarankan kepada baginda untuk berkompromi di dalam hal-hal pengibadatan.

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (Surah Al-Kafirun 1-6)

Begitu juga, senario yang dihadapi oleh para sahabat dan para pejuang agama Allah, dimana mereka tidak hanya duduk berdiam diri di tikar sembahyang untuk menanti syurga. Sedangkan mereka mengalami luka-luka di medan perang untuk berjuang menegakkan kalimah Allah. Menentang puak-puak musuh bermati-matian kerana hak dan kebenaran. Kefahaman mereka tentang tuntutan kalimah syahadah cukup luas pengertiannya bukan sahaja setakat ibadah tetapi merangkumi seluruh pergerakan dan tindakan kehidupan harian.

Ad-deen yang menyeluruh

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu... (Al Maidah 3)

Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah. (Usul 20, Usul pertama : Imam Hassan Al Banna).

Kini, Islam hanya dianuti dan difahami dari sudut agama di dalam bidang ibadat sahaja. Mereka kurang memahami tentang agamanya sendiri. Masih jahil identitinya sebagai seorang Muslim. Faham dan amalnya dengan hanya mengikut selera nafsu dan logik akal sahaja. Membentuk kehidupan seharian dengan mengambil sebahagian ajaran dan hukuman dari Al Quran sekiranya sesuai dengan kehendak peribadi dan menidakkan atau meninggalkan sebahagian ajaran dan hukum-hakam yang lainnya, sekiranya tidak sesuai dengan kehendak diri.

Apakah benar ibadah kita?...

Mungkin katanya, menutupi aurat, politik dan urus tadbir, menjauhi riba dan amalan rasuah, menguruskan harta negara dengan adil dan bijaksana, keperluan jihad, melaksanakan undang-undang dan perlembagaan serta kehakiman mengikut Quran adalah tidak perlu, tidak sesuai dengan keadaan dan zaman, tidak relevant dan hanya sesuai di zaman Rasullullah dan Khalifah serta Empayar Islam sahaja.

Bentuk kefahaman dan pemikiran sebegini adalah masih kabur dan salah.

Tidak yakin dan teragak-agak

Sebab itulah kita lihat rata-rata orang Islam masih teragak-agak untuk mengiyakan apa yang disarankan di dalam Al Quran dan Hadis. Mereka lebih selesa duduk berzikir, bersolat, berpuasa dan sebagainya dalam keadaan kefahaman yang sempit.

Maaf saya katakan, bahawa kita telah 'memandulkan' Islam. Islam yang difahami dan dianuti sepatutnya dinamik, memberikan kesejahteraan kepada manusia dan makhluk yang lain. Tetapi kita hanya memahami Islam di ruang ibadah yang sempit sahaja. Sedangkan natijah ibadah itu adalah merupakan pengabdian menyeluruh kita kepada Allah Taala. Ia menghasilkan satu daya atau momentum untuk kita mempraktikkannya sebagai satu cara hidup yang menyeluruh.

abuzorief @ sheffield
salam ramadhan 1432h/2011
1/8/2011, isnin

No comments:

Post a Comment