Pages

Friday 27 January 2012

Fitnah


Perkataan fitnah sudah tidak asing bagi kita. Semua kita mengerti dan faham maksud serta akibatnya. Malah kita sedia maklum bahawa akibat perbuatan fitnah ini pasti membawa kesan yang buruk dan jelek kepada insan yang difitnah. Malah ia menjadi senjata paling tajam untuk membunuh pihak lawan. Tajamnya lebih tajam dari mata pisau. Cara 'membunuhnya' lebih kejam dari hukuman tali gantung.

Di dalam Al Quran membawa berbagai erti terutama kepada perlakuan syirik, pembunuhan, peperangan, kesempitan, kerosakan dan melakukan pertuduhan tidak benar atau tanpa bukti.

Sejarah fitnah tidak berkesudahan...

Amalan fitnah telah berlaku sejak sekian lama di dalam kehidupan anak Adam. Fitnah di antara Qabil dan Habil sehingga berlaku pembunuhan, fitnah ke atas ummul mukminin Saidatina Aisyah semasa hidup Rasulullah, fitnah sehingga berlaku pembunuhan Khalifah Arrasyidin Saidina Uthman Affan, fitnah ke atas Saidina Ali Bin Abi Talib dan Saidatina Aisyah sehingga membawa kepada peperangan, fitnah juga menyebabkan hancurnya pemerintahan Bani Umayyah, fitnah sehingga melenyapkan zaman kerajaan Melayu Melaka, fitnah sehingga berlaku penangkapan beramai-ramai anggota-anggota Ikhwan Muslimin semasa pemerintahan Jamal Abdul Naser serta seterusnya dan sebagainya.

Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadanya. (At-Taubah 9:48)

Tujuan apa...?

Kenapakah di antara kita suka terlibat di dalam perbuatan ini?
  • Untuk mencari kedudukan peribadi
  • Menjaga kepentingan diri
  • Cemburu
  • Saja mereka cerita
  • Mencari populariti
  • Mendapatkan publisiti
  • Habit/tabiat
  • Budaya hidup
  • Mencari pengaruh
  • Untuk melindungi kesalahan diri
  • Terus berkuasa dan memerintah
  • Hipokrit
  • Strategi dan mengatur perancangan?
  • Dengki dan dendam
  • Untuk memusnahkan kerjaya orang lain
Terlibat?

Kenapakah amalan fitnah ini menjadi penyakit besar di dalam masyarakat?. Kerana, ia akan memberi kesan kepada ramai orang, berpecah-belah dan menimbulkan konflik permusuhan yang besar di dalam masyarakat. Tidak pelik kalau saya katakan bahawa perbuatan ini tidak mengenal siapa, sama ada golongan muda atau tua, lelaki atau perempuan, ilmuan atau tidak, agamawan atau tidak, berpangkat atau tidak, berkuasa atau tidak dan selainnya. Kerana masing-masing mempunyai tujuan, matlamat dan objektif yang tertentu untuk dicapai. Sedangkan perbuatan itu bukanlah amalan yang sejahtera dan harmoni malah berdosa besar dan ditegah sama sekali oleh Allah Taala.

dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan... (Al-Baqarah 2:191)

angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan... (Al-Baqarah 2:217)

Wabak

Paling merunsingkan bilamana wabak fitnah ini terus menjadi sebati di dalam masyarakat dan menjadi 'asam garam' kehidupan. Lama kelamaan ia seolah-olah telah menjadi biasa dan sedikit pun kita tidak merasa apa-apa seperti pepatah "Alah bisa tegal biasa". Masing-masing menjadi lali dan tidak merasa bersalah untuk terlibat sama ada sebagai pembawa atau penyebar, pendengar, pengumpul, penerima, penyokong, membenarkan fitnah dan sebagainya. Semua rantaian ini adalah satu tabiat sebenarnya dan pasti mendapat dosa sama seperti mereka yang membuat fitnah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujraat 18:6)

Negaraku vs krisis...

Banyak peristiwa sebegini yang berlaku sejak mutakhir ini di negara kita dan ia tidak pernah selesai sejak beberapa tahun lalu. Jelas apa yang berlaku itu pada asalnya ialah perselisihan dan perbezaan ideologi politik. Kemudian terus merebak kepada fitnah seksual dan liwat. Hatta, disebar dan tersebar fitnah ini di media TV, email, surat khabar, buku-buku dan penulisan, blog-blog, surat layang, perbualan-perbualan, CD, Video, facebook, tweeter, SMS, telefon, youtube dan segala macam media komunikasi lagi.

Bahkan ada yang menggunakan CCTV sebagai bukti tayangan semula untuk menyabitkan kesalahan kerana fitnah tersebut. Bukankah di dalam akhlak dan syariat Islam, bukti pengakuan yang benar itu sepatutnya datang dari tertuduh serta penuduh dan saksi yang menyaksikannya atau secara sahnya ialah ujud elemen dan objek dengan kehadiran yang nyata. Manakala ujian DNA, CCTV atau lain-lain teknologi tinggi itu hanya sabit sebagai alat sokongan untuk mengukuhkan bukti. Sepatutnya ia dihukum dan diambil perhatian apabila ia benar-benar mempunyai bukti-bukti jelas dan mencukupi serta memenuhi syarat dan dasar hukum syariat.

Sebab itu fitnah ini mesti dijauhkan dan dibendung. Ia menyebabkan maruah dan aib seseorang. Berbagai aib telah dibuka dan memalukan pihak yang terlibat. Bahkan aib ini turut dirasai oleh seluruh ahli keluarga dan saudara-mara. Sedangkan perkara-perkara aib ini sepatutnya ditutup dan dirahsiakan. Bukankah ini zalim namanya?.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al Hujuraat 18:11)

Kesan?

Akibat dari gejala dan perbuatan ini telah merosakkan keharmonian sistem sosial dan komunikasi di dalam masyarakat. Hubungan persaudaraan dan persahabatan menjadi retak dan saling bermusuhan di antara satu sama lain. Lebih sadis lagi apabila ada segelintir saling sihir-menyihir sehingga berbunuh-bunuhan tanpa rasa belas dan kasihan. Nafsu amarah tidak dapat dikawal lagi dan kurang menggunakan akal fikiran untuk menilai dan muhasabah diri apa yang akan berlaku, kesan serta akibat seterusnya. Tidak dapat dinafikan lagi, api semarak itu pula dimainkan dan diasak bertubi-tubi oleh Syaitan yang menjadi musuh kita yang nyata.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al Hujraat 18:12)

Elakkan...

Elakkan diri kita dari terjebak dengan perbuatan ini. Sama ada berita itu benar atau tidak, belum pasti akan kesahihannya atau lebih-lebih lagi tanpa kerelaan dan pengetahuan orang yang berkaitan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?

Sahabat menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.

Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Perbuatan ini bukan sahaja dibenci dan berperangai jahat. Pelakunya lebih mementingkan diri sendiri dari mengambil dan memberi manfaat untuk kesejahteraan ummah.

Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai); (Al-Qalam 68:11)

Adab di dalam Islam adalah berakhlak mulia. Ehsan adalah penting untuk dibina (tarbiyyah) di dalam diri. Kerana ehsan itu ialah menjadi perisai diri untuk melahirkan taqwa kepada Allah Taala. Sentiasa merasa takut untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang kerana setiap gerak-geri dan perbuatan itu diperhatikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam mengutamakan ukhuwwah dan perpaduan ummah. Sikap mementingkan diri sendiri tidak menguntungkan ummah malah akan melahirkan individu yang bersikap tamak, sombong, berhasad serta berdendam kerana mengutamakan habuan dunia semata.

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim. (Al Baqarah 2:193)

Semoga Allah menjauhi kita dari perbuatan dan amalan ini dan terlindung dari fitnah Dajjal yang akan datang.

Wassalam...

abuzorief @ sheffield
27/1/2012, jumaat

Monday 23 January 2012

Kasihnya Tuhan kepada hambanya


Kasihnya Allah Taala ke atas makhluknya tiada batasan rupa, warna kulit atau bangsa. Itulah haknya melalui sifat Rububiyyahnya. Kerana dialah Rabb dan dialah juga Illah. Pengatur dan pentadbir alam semesta. Raja yang memiliki tahta pemerintahan yang Agong, melampaui batas kecerdikan dan kepintaran akal kita.

Namun kita selalu lupa  tentang asal-usul penciptaan kita. Daripada air mani yang hina, daripada tanah yang sememangnya kita merasa jijik dan mual. Tanah yang sifatnya berbau busuk dan hanyir. Tetapi hakikatnya, itulah asal penciptaan kita. Ini bermakna, kita tidak boleh merasa megah dan hebat. Walau bagaimana kedudukannya kita, kaya, mulia, cerdik dan pintarnya kita sekali pun, nilai tersebut tiada ukurannya disisi Allah. Tetapi sebaliknya hanya nilai taqwa yang akan diukurnya. Kita disuruh untuk mengabdikan diri kepadanya. Pengabdiaan   atau penyembahan yang tanpa berbelah bahagi. Menurut tanpa merungut walaupun seketika. 

Bukankah pernah datang kepada manusia waktu dari masa, yang ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?. Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat. (Al-Insan, 76: 1-2)

Dengan sifat rububiyyahnya juga kita dapat mengecapi betapa indahnya hidup di atas muka bumi ini. Namun dengan sifat Uluhiyyahnya pula kita perlu menaruh harap dan memohon ehsan supaya kita dapat dikasihani, disayangi dan dirahmati serta diberkati seluruh kehidupan yang seketika ini. MengharapNya, biarlah dengan penuh kesungguhan pengharapan (roja'). Seolah-olahnya, hancur luluh segala hati sanubari dan perasaan kita serahkan kerana memohon, mengadu dan meminta kepadanya.

Muhasabah

Ambillah masa seminit dua untuk merenung diri kita sendiri sedalam-dalamnya dengan rasa Ikhlas. Melihat kembali hak-hak dan kekuasaan Allah ke atas diri kita dari kepala hinggalah ke hujung kaki. Cari dimana silapnya kita dalam mencari dan meniti kehidupan yang sementara ini. Di sini bukanlah tempat yang kekal abadi untuk kita terus menetap dengan penuh keselesaan. Bumi ini pun ada usia dan sampai masa ia juga akan kembali kepada maha penciptaNya, dan begitu juga dengan segala isinya iaitu semua makhluk ciptaannya telah ditetapkan usia dan ajal yang akan berakhir dan akan kembali kepadaNya kelak.

Renunglah seketika, supaya kita dapat menemui kembali identiti kita sebagai insan dan umumnya sebagai makhluk yang telah diciptakan dan diberikan segala macam kenikmatan. Renunglah dengan ikhlas kerana ia akan membuka mata hati dan menajamkan akal fikiran.

Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu dan telah aku cukupkan nikmatku bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu. (Al-Maidah, 5:3)

Wallahu a'lam

abuzorief @ sheffield
23/1/2012, isnin

Tuesday 17 January 2012

Antara tasbih dan cemuhan


Keupayaan kita untuk melakukan kebaikan dan kebajikan adalah terpuji. Mudahan-mudahan kita menjadi individu yang prihatin dan peka terhadap kerja-kerja kebaikan. Namun disebalik keupayaan kita itu, mampukah kita melaksanakan kerja-kerja pencegahan dan pembenterasan?.

Kita sedia maklum bahawa amat payah sekali untuk menegur dan mengajak orang lain meninggalkan keburukan, perbuatan keji dan kejahatan. Satu pekerjaan yang susah dan sukar. Seboleh-bolehnya kita akan cuba menggelak darinya dan lebih senang memilih untuk menyeru kepada kebaikan dan kebajikan atau melakukan amal-amal soleh dan kerja menyeru itu senang sekali untuk sesetengah orang menerimanya, seperti mengajak orang mengerjakan solat, baca yasin, berpuasa sunat, bersopan-santun, menderma, menghadiri ceramah ilmu dan lain-lain lagi.

Masalah sosial

Betapa banyaknya kemaksiatan dan jenayah yang menular di dalam masyarakat memerlukan bantuan kita semua untuk membenteras. Bukan kerja mudah dan perlu sokongan padu dari kita semua.

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan." (Surah Al-An'am: 32)


Antara masalah serius yang berlaku di dalam masyarakat,




  • Hiburan keterlaluan
  • Filem lucah
  • Amalan rasuah dan kes pecah amanah - Melalui sumber agensi Transperancy, Malaysia dengan index 4.3 (Corruption Perceptions Index 2011), Terakhir bulan November 2011 sahaja jumlah tangkapan pesalah laku rasuah ialah 60 tangkapan yang dilaporkan dan tidak kira kes yang tidak dilaporkan
  • Berzina dan pelacuran
  • Masalah LBGT
  • Kelahiran anak luar nikah dan kes buang anak - Sebanyak 52982 kes anak luar nikah dilahirkan pada tahun 2010 (sumber: Jabatan Pendaftaran Negara), Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan.
  • Gay marriage atau sebaliknya
  • Murtad dan jahil agama
  • Fitnah
  • Menderhaka dan biadap terhadap orang tua
  • Mabuk dan khayal ectasy
  • Dadah dan seangkatan
  • Curi dan rompakan
  • Mencabul hak kemanusiaan
  • Tidak menghormati hak orang lain
  • Berpeleseran dan berpoya-poya
  • Tunjuk jaguh tidak kena tempatnya seperti merempit dan seumpamanya
  • Pembunuhan dan bunuh diri
  • Penderaan dan keganasan rumah tangga
  • Penceraian - Sebanyak 28035 kes cerai dilaporkan pada tahun 2010 berbanding 27891 kes pada tahun 2009
  • Rogol - Sebanyak 6,963 kes rogol dan 2,506 kes cabul melibatkan kanak-kanak dilaporkan dari 2008 hingga Ogos 2010 (Utusan Malaysia 25/10/2010)

Apa yang berlaku itulah gambaran kepada kerosakan sebenar, kes-kes yang bertambah dan meningkat menunjukkan betapa rosaknya akhlak dan sikap generasi yang ada. Kita boleh menilai sendiri dengan pandangan mata kasar. Ia banyak dipengaruhi oleh sikap, suasana persekitaran, kemewahan harta dan duit ringgit, rakan-rakan dan pendidikan serta serangan fahaman materialsme yang mendadak. Terlalu banyak medium lucah yang boleh ditontoni oleh golongan-golongan muda, remaja malah kanak-kanak sekalipun dan mereka mudah sahaja terdedah dengan maklumat-maklumat dan tayangan-tayangan sebegini. Sebahagian mereka banyak dan seronok bergelumang dengan maksiat yang menyebabkan mereka semakin jauh dari taufik dan hidayah Allah Taala dan menempa laknat hasil dari perbuatan tersebut.

Benar atau tidak, itulah realiti sebenarnya jenis ragam dan penyakit yang berlaku di dalam masyarakat. Tidak pula dapat dinafikan bahawa gejala yang berlaku sekarang ini, sedikit sebanyak adalah hasil daripada didikan dan corakan di rumah, pembentukan dalam masyarakat, cernaan suasana atau environment yang telah ujud atau 'diperkenankan' oleh generasi sebelumnya. Percaya atau tidak itulah masalah yang terpaksa kita hadapi dan benteras. Dalam erti kata yang lain, siapa yang mendidik siapa, itulah hasil didikannya, siapa yang membentuk siapa atau siapa yang telah menghasilkan siapa, maka itulah hasilnya.

Kalau sekarang ini masalah sosial yang terjadi, tidaklah perlu menunding jari kehadapan, sebaliknya tanyalah diri kita sendiri tentang apa yang telah kita lakukan kepada anak-anak, anak-anak saudara kita, anak jiran atau mereka yang berada disekeliling kita untuk memastikan mereka berada di dalam masyarakat dan lapisan generasi yang diharapkan.

Namun, sedarkah kita bahawa selama negara kita merdeka, adakah kita berjaya melahirkan generasi yang diharapkan?, Bagaimanakah ibu-bapa telah memastikan dan menjamin anak-anak dibesarkan di dalam ruang mentaati Allah dan Rasul atau benar-benar terjamin akidahnya supaya menjadi insan bertaqwa dan beriman?

Kemungkaran...

Sungguh, manusia itu secara nalurinya berkehendakkan pergaulan di dalam masyarakat, kerana sifat semulajadi manusia itu perlukan komunikasi di antara satu sama lain. Namun apabila kehidupan bermasyarakat itu tidak ada di dalamnya pesan-memesan kepada kebaikan dan kesabaran maka akan berlakulah kekucar-kaciran di dalam bermasyarakat. Masyarakat menjadi porak-peranda kerana perbuatan dan tingkah-laku masing-masing mengganggu ketenteraman dan keharmonian serta terkeluar dari landasan akhlak yang dikehendaki oleh Islam.

Mengapa Engkau hendak menjadikan (Khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujimu dan mensucikanmu? (Al Baqarah 2:30)



Apakah sebabnya kita menjadi kurang selesa apabila hendak menegur orang lain supaya jangan melakukan kejahatan atau maksiat kepada Allah Taala?, Sikap ini terus mengasak pemikiran dan perilaku kita menjadi serba salah untuk menegah ke atas perkara haram dan subahat walaupun berlainan hanya dari pandangan mata kasar seperti merokok, minum arak, fitnah, couple (belum berkahwin), membuka aurat, mengambil rasuah, riba, pecah amanah, berlaku khianat dan sebagainya. Kenapa kita jadi begitu?. Amat berat sekali mulut kita hendak meluahkan segala teguran. Lidah kita menjadi kelu dan kita merasa sukar untuk berkata walaupun perkara itu adalah benar dan hak serta menyalahi hukum-hakam Allah Taala. Walaupun perbuatan keji tersebut berlaku di depan mata kita sendiri. Atau mungkin, cuma tidak kena ke atas batang hidung kita sendiri.

Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (Al Muzammil :5)

Semua orang akan mengelak dari berdepan dengan kerja ini.  Mungkin alasannya tidak mahu menjaga tepi kain orang lain atau menganggu 'rumah-tangga' orang lain. Tidak mahu menyakiti hati orang atau menguris perasaan kalbunya. Kerana, melakukan perbuatan ini akan berhadapan dengan risiko besar. Kita akan diherdik, dihalau, dimaki hamun, di sembur dengan kat-kata nista, disindir, diboikot persahabatan, dipukul dan dicedera, dihentam, dipenjara, dibunuh atau dikenakan tindakan serta dinafikan segala hak dan keperluan hidup dunia.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Yahya bin Ya'mar dan ia berkata "Ali bin Abi Thalib pernah berkutbah. Setelah beliau memuji Allah dan menyanjungnya, beliau berkata, "Wahai manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu itu hancur kerana mereka berbuat maksiat, sementara orang-orang alim dan para pendeta tidak melarang mereka dari kemaksiatan itu. Ketika mereka terus-menerus asyik dalam kemaksiatan, mereka ditimpa seksa. Oleh kerana itu, perintahkanlah mereka berbuat kebajikan dan cegahlah mereka dari kemungkaran, sebelum turun kepadamu suatu seksa seperti yang pernah turun kepada mereka. "Ketahuilah bahawasanya melakukan amar maaruf nahi mungkar itu tidak akan memutuskan rezeki dan tidak pula mendekatkan ajal"

Bukankah kewajipan kita menegakkan kebenaran dan membenteras segala yang batil itu wajib dilaksanakan. Selagimana perkara ini berterus-terusan berlaku di dalam masyarakat kita maka menjadi satu tanggungjawab untuk kita tidak berdiam diri.

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu semata-mata hanya Allah... (Al Baqarah 2:193)


Halangan dalaman

Faktor dalaman kita juga memainkan peranan menghalang dan menjadi penentang kepada usaha ini. Halangannya bukanlah sahaja kerana pihak berkenaan atau suasana itu tetapi lebih kepada sikap diri kita sendiri. Walhal kita sendiri tahu, bahawa perkara baik itu sememangnya benar belaka, mempunyai hak dan mendatangkan banyak manfaat. Sebabnya, kerana berlaku pertentangan dalaman di dalam diri sendiri. Kita terpaksa berlawan dengan nafsu amarah sendiri atau keinginan-keinginan yang terlampau untuk tidak mahu berhadapan dengan situasian sebegini.

Kerja buat dan perbuatan inilah yang Rasulullah lakukan sepanjang urusan hidup dan dakwahnya. Baginda mengajak manusia mengerjakan kebaikan (makruf) dan melarang melakukan perbuatan yang mungkar dan fasad (kemusnahan). Lihatlah, Rasulullah juga dibaling dengan batu di bumi Taif sehingga luka-luka dan berdarah. Rasulullah juga dilempar dengan najis di atas kepala, baginda turut berperang dan mengalami luka-luka dan sebagainya. Begitu juga, sahabat-sahabat Rasulullah diseksa, disalai, disula, diikat di padang pasir dibawah panas terikan matahari, luka-luka, terbunuh dan dibunuh dan sebagainya semata-mata mempertahankan yang benar dan hak dan meninggalkan yang batil.

Dan mereka berkata, "Sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala." (Al Mulk, 67:10)

Akhirnya, kita lebih suka mengambil jalan ringkas dan mudah iaitu membiarkan urusan ini dilakukan oleh orang lain dan membiarkan perbuatan itu berlaku begitu sahaja. Alasan yang diberi kerana tidak mempunyai kuasa untuk mencegah dan menghalang, sebaliknya dengan mudah pula kita berkata selemah-lemahnya biarlah kita tidak bersetuju di dalam hati sahaja. Ya! penyataan ini adalah penyataan selemah-lemahnya iman. Mampukan kita beralasan dengan penyataan ini selama-lamanya sehingga tidak ada upaya untuk melakukan usaha yang terbaik dan sebaik mungkin?.

Barangsiapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman. (HR Muslim)

Pengorbanan

Semua kerja ini memerlukan pengorbanan diri yang besar dan berterusan. Kena ada usaha yang bersungguh-sungguh. Kena berjanji pada diri kita sendiri bahawa inilah 'perniagaan' yang amat besar yang menguntungkan yang telah dijanjikan oleh Allah Taala dan percayalah bahawa 'perniagaan' ini dapat menebus dan menyelamatkan diri kita dari azab yang pedih.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (As Soff, 61:10-11)

Berpesan pada diri sendiri

Pengajarannya, maka pastikan diri kita sendiri menjadi baik terlebih dahulu. Jangan sama sekali melakukan perkara yang terlarang, tidak baik, perkara haram atau subahat, atau perkara keji yang melangkau akhlak yang mulia yang dikehendaki di dalam Al Quran Karim.

Mereka akan menilai diri kita yang mengajak atau menyeru. Mereka membandingkan apa yang kita perkatakan. Mereka menafsirkan setiap tingkah laku itu adakah selari dengan apa yang diperkatakan. Kalau kita sendiri haprak, sudah tentulah apa yang hendak kita lakukan dan sampaikan itu akan bertentangan atau sebaliknya.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (As Soff, 61:2-3)

Pembaikan dan perubahan itu mestilah berlaku dari diri kita sendiri. Apabila masing-masing peka dan bersungguh-sungguh untuk berubah (transform), dan ramai individu lain berperanan sedemikian, maka kita lihat masyarakat yang terbina adalah masyarakat yang sepertimana pembaikan dan perubahan yang telah dilakukan oleh setiap individu tersebut.

Namun kita harus sedar bahawa kerja buat kita ini mestilah semata-mata untuk Allah Taala kerana kita adalah hambanya dan kerana itu jugalah persoalannya, kerja kita masih banyak dan semakin banyak dan kitalah mesti merubah dan memperbaikinya...

Wallahu a'lam

Nota:
[1] Corruption Perceptions Index - http://cpi.transparency.org/cpi2011/results/
[2] Rasuah - http://www.sprm.gov.my/
[3] Statistik - http://kaunselingsyarie.blogspot.com
[4] Buang bayi - http://www.islam.gov.my/peranan-penguatkuasaan-syariah-dalam-membendung-gejala-pembuangan-bayi
[5] Al Quran & terjemahan
[6] Fiqih dakwah - Jum'ah Amin Abd Aziz

abuzorief @ sheffield
17/1/2012, selasa


Wednesday 11 January 2012

Sibuk dan amat menyibukkan



Mari kita merenung sejenak...

Demi masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian... (Al Asr: 1-2)

Siapakah yang berada di dalam kerugian sebenarnya?. Itulah kita yang telah diciptakan oleh Allah Taala. Walaupun kita telah diciptakan sesempurna mungkin sifatnya, fizikal, akal dan emosi serta lainnya, tetapi Allah yang maha besar dan hebat sebagai pencipta telah membuatkan kita itu sentiasa berada di dalam keadaan tidak sempurna, kerugian dan kelalaian. Sebab munasababnya bukan kerana Allah, tetapi ialah disebabkan oleh hal keadaan dan sikap kita sendiri.

Manusia asalnya tidak memiliki apa-apa. Manusia sentiasa memerlukan sesuatu. Peristiwa Nabi Adam dan Hawa diturunkan di atas muka bumi ini juga dengan hanya sehelai sepinggang sahaja. Demikian juga lihatlah, bagaimana kita dilahirkan oleh ibu kita, dengan berkeadaan lemah sehingga mampu berusaha sendiri. Ini menunujukkan bahawa kita memerlukan elemen sokongan. Kita menginginkan makanan, perlindungan, kasih sayang, berpasangan, berkomunikasi, bersosial dan kehendak-kehendak naluri dan nafsu yang lain.

Betapa lemah dan berharapnya kita. Dengan siapakah kita mengharapkan bantuan dan sokongan tersebut?.

Mengatur urusan hidup

Orang yang bijak dan cemerlang adalah orang yang berjaya mengatur perjalanan hidupnya supaya dapat menjadi orang yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh.

Kita terpaksa menyibukkan diri dengan kerja-kerja harian yang tidak pernah jemu untuk dilakukan ataupun untuk melakukannya. Sama ada kerja itu perlu atau tidak, mesti atau tidak, kena buat atau tidak, maka semuanya adalah kerja, dan kerja itu pastinya sibuk dan menyibukkan. Inilah yang dikatakan sebagai lumrah kehidupan kita.

Tetapi kalau ianya diuruskan dengan baik maka pastinya kerja yang sibuknya tadi dapat diselesaikan dengan mudah, bermanfaat pada diri sendiri dan dapat dimanfaatkan kepada orang lain.

Kisah Abdul Malik dengan bapanya

Kisah Abdul Malik dengan bapanya Umar Abdul Aziz banyak memberikan pengajaran kepada kita. Selepas perlantikan Umar sebagai Khalifah di hadapan orang ramai, beliau segera pulang ke rumah untuk merehatkan diri untuk menghilangkan seketika penatnya berikutan semalaman menguruskan jenazah Khalifah sebelumnya iaitu Sulaiman Abdul Malik. Belum sempat beliau hendak melelapkan mata, Abdul Malik menegur bapanya.

Apakah yang hendak dilakukan wahai bapaku Amirul Mukminin?.

Wahai anakku, ayahmu hendak melelapkan mata seketika. Terasa tidak bertenaga tubuh ayahmu ini.

Apakah bapaku, Amirul Mukminin boleh melelapkan mata sebelum mengembalikan semula segala harta dan hak yang telah dirampas oleh kerajaan sebelumnya kepada pemilik asalnya?.

Anakku, ayah tidak tidur semalaman kerana menguruskan jenazah pakcikmu, selepas zuhur nanti ayah akan melaksanakan urusan itu. Ayah akan mengembalikan segala harta yang telah dirampas kepada pemiliknya yang asal, Insyaallah, jawab ayahnya lagi.

Wahai bapaku Amirul Mukminin, siapa yang akan menjamin ayah akan hidup sehingga waktu zuhur nanti? Balas anaknya.

Subhanallah, kata-kata Abdul Malik benar-benar menyedarkannya dan telah memberikan semula kekuatan dan semangat kepadanya.

Berlengah-lengah

Masa yang ada belum tentu akan memberi peluang seperti yang diharapkan. Berlengah-lengah akan merencatkan banyak urusan yang penting, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan yang empunya hak atau menunaikan segala keperluan milik orang lain.

Masa yang berlalu begitu pantas sekali dan kita tidak mampu untuk mengulanginya semula. Benarlah, masa tidak boleh ditukar-milik, dijual-beli malah untuk dimiliki sekalipun. Hanya kita yang benar-benar menghargai masa dan menunaikan tanggungjawab kita sahaja yang dapat memanfaatkan masa yang berlalu itu.

Menunaikan hak peribadi muslim

Kita kena berfikir kembali adakah masa yang dilalui ini benar-benar dimanfaatkan pada diri sendiri mahupun kepada orang ramai. Ataukah kita hanya bermain-main sahaja dengannya dan membiarkannya ia pergi dengan begitu sahaja. Sekiranya kita benar-benar menghargainya sudah tentu kita akan mempersiapkan diri kita.

Alangkah mulianya kehidupan kita sekiranya kita dapat menunaikan kewajipan kita terhadap Allah yang maha pencipta. Kita sentiasa meletakkan diri kita di dalam kesibukan melakukan amal-amal soleh dan musleh. Tidak ada sedikit ruang pun untuk kita mensia-siakannya. Kita berusaha gigih dan serius dalam melakukan usaha untuk mendaulatkan Islam. Mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar. Mengembalikan Islam supaya dapat memerintah segala isi dunia.

Oleh itu, segala masa yang ada dimanfaatkan untuk melakukan kerja-kerja perubahan dan pembaikan (Islah dan taghyir).
  • Mempersiapkan diri dengan kefahaman akidah yang jelas dan beramal dengannya.
  • Memperkemaskan ibadah kita kepada Allah dengan ibadah yang sahih.
  • Memperelokkan akhlak kita sepetimana yang dikehendaki di dalam Quran.
  • Berusaha sedaya mampu untuk memperbaiki diri dan membantu orang lain untuk membina dan membentuk suasana yang soleh dan musleh.
  • Melakukan sesuatu yang menguntungkan ummah dan Islam khususnya.
Tips...

Antara tips yang boleh dikongsikan bersama adalah:
  • Sediakan sebuah buku catatan
  • Catat dahulu semua tugasan atau senarai kerja yang perlu diselesaikan
  • Selesaikan dahulu kerja yang paling mustahak dan penting atau utama.
  • Pastikan kerja utama ini di tingkatan yang 'first priority' dan senaraikan urutan kerja-kerja lainnya selepas itu.
  • Buat senarai semak dan senarai kerja tersebut mesti diletakkan tarikhnya dan juga tarikh 'action' (apabila selesai dilaksanakan)
  • Apabila ada tugasan baru maka perlu diletakkan tarikh baru.
  • Sentiasa semak semua senarai kerja yang belum dilaksanakan walaupun sudah berlalu tarikhnya.
  • Sekiranya ada kerja-kerja yang tidak dapat dilaksanakan, maka perlulah memaklumkan kepada pihak berkenaan, supaya pihak berkaitan maklum akan masalah yang berlaku.
  • Meminta pandangan pihak lain sekiranya ada kerja yang memerlukan pandangan pihak lain.
  • Muhasabah kembali setiap kerja yang telah dilakukan.
  • Berdoa dan pasrah kepada Allah Taala supaya diberikan hidayah untuk keluar dari kemelut kesibukan dan kepayahan.
  • Berzikir supaya diberikan ketenangan.
Semoga ianya berguna...

Wassalam

abuzorief @ sheffield
11/1/2012, rabu
version 1.1

Sunday 8 January 2012

Erti hidup sebagai hamba



Kisah pengalaman dan perjalanan hidup kita mesti dijadikan sebagai nilai, rujukan, ukuran dan panduan untuk kita menjalani kehidupan dengan lebih bermakna dan bermanfaat kerana pengalaman-pengalaman yang telah dilalui tersebut sekiranya ia dijadikan iktibar dan pengajaran, maka ia juga sebenarnya adalah salah satu dari guru kita.

Dan dia ajarkan kepada Adam nama-nama (benda) smuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para Malaikat seraya berfirman, "Sebutkan kepadaku nama semua (benda) ini, jika kamu yang benar!" Mereka menjawab, "Maha suci engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, engkaulah yang maha Mengetahui, Maha Bijaksana." (Al Baqarah, 2: 31 - 32)

Kemahiran vs pengalaman

Sesungguhnya, apabila kita  mempelajari tentang ilmu alat (ilmu dunia), ia adalah untuk menjadikan kita seorang yang terpelajar, pandai dan mempunyai skill, pakar atau specialist dengan kemahiran-kemahiran tertentu supaya kita berjaya di dalam hidup atau meletakkan kejayaan diri kita di posisi kerjaya tertentu. Kemahiran atau skill hidup atau ilmu seni kehidupan adalah salah satu penguasaan untuk digunakan di dalam mengatur urusan hidup kita. Dan ianya terlalu banyak dan kita boleh mengutipnya di sepanjang perjalanan hidup kita.

Memperolehinya, bukan sahaja datang atau diperolehi dari orang cerdik, pandai, 'cerdik dan pandai' (sepertimana kisah Luqman dengan anak-anaknya, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Khidir, Nabi Muhammad dan sebagainya) tetapi ianya juga mungkin boleh diperolehi dari orang dungu, sombong, bongkak, pemarah, dendam, gila (seperti cerita kaum 'Aad, kaum Saba', Nabi Lut dan kaumnya, kaum Thamud, kisah Qarun, Firaun dan Haman, Namrud dan sebagainya) atau ibrah dari kejadian dan kehidupan makhluk Allah yang lain (seperti semut, lebah, labah-labah, hud-hud dan sebagainya), sekiranya kita meletakkan diri sendiri di dalam golongan orang-orang yang berfikir. Kerana 'mereka-mereka' itu juga adalah salah satu dari elemen pembelajaran, pengiktibaran dan pengalaman yang nyata yang sangat berguna kepada kita.

Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, (Surah Al Haaqqah 69:6)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Surah Al-Baqarah 2:164)

Semua contoh-contoh yang disebutkan itu telah diabadikan ceritanya di dalam Quran sebagai pedoman dan pengajaran kehidupan sepanjang zaman. Benarlah pepatah orang-orang tua "Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan."

Pengalaman hidup kita sebagai manusia bukanlah dikurniakan secara sekali-gus atau 'dihempok' ke atas kita kesemuanya. Tidak sama sekali dan bukan begitu, tetapi diberinya kita kefahaman dan ilmu dan selebihnya kita mestilah berusaha untuk mencari sendiri dengan berpandukan akal waras dan sehat yang telah diberikan kepada kita. Disebabkan itulah, kita  mesti terus mempelajari, menjalani, menelusuri, mengalami dan merasai sendiri pengalaman hidup di atas muka bumi ini.

Cermin hidup

Kita berjaya atau gagal adalah merupakan cermin dan neraca kepada kita. Inilah pengalaman hidup kita sebenarnya. Tidak mungkin ada sejarah sepanjang kehidupan kita ini sentiasa berjaya atau sebaliknya. Sebab itulah kita dikehendaki supaya berusaha untuk mengubah nasib dan kehidupan kita. Berusahalah kerana itu adalah jalannya. Namun selebihnya kita mesti berserah kepada Allah sebagai pencipta kita. Semua seni dan kemahiran hidup ini adalah bekalan untuk kita 'andam' dan serikan selama mana kita akan menghabiskan sisa-sisa hidup kita hingga ke akhir hayat.

Namun banyak sekali pengalaman dan iktibar yang terkandung di dalam Al Quran yang mesti kita ambil peduli. Kerana itulah, Al Quran mestilah dijadikan sebagai rujukan, panduan dan perlembagaan hidup kita supaya kita benar-benar mengerti hidup ini sebagai hamba kepada tuhan.

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayat petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya). (Surah Al Jathiyah 45:20)

Allahu a'lam,

abuzorief @ sheffield
arooj restaurant, attercliffe road
8/1/2012, ahad
version 1.1

Friday 6 January 2012

Agnostic


Saya dijemput makan malam bersama dengan Trust committee Muslim Welfare House Sheffield (MWHS) dan pihak pengurusan MWHS dengan penggerak-penggerak St. Andrew church, Sheffield (SACS). Mereka yang hadir terdiri dikalangan usia remaja yang masih menuntut di Universiti sehinggalah ada yang telah lanjut usia di dalam lingkungan 80an.

Melihatkan peringkat umur penggerak atau sukarelawan SACS dikalangan mereka, saya membayangkan betapa mereka amat tabah, ikhlas bekerja dan sayangkan kepada agama mereka. Mereka bantu membantu dan bersepakat dalam perkara yang telah mereka sepakati.

Perjumpaan ini lebih kepada membina jaringan muhibbah yang telah dibina di antara Muslim Welfare House, Sheffield dengan St Andrew Church Sheffield. Perjumpaan yang pertama, saya gagal untuk menghadirinya. Saya juga tidak mahu gagal hadir untuk pertemuan kali keduanya. Alhamdulillah, pertemuan yang saya hadiri ini, saya merasakan ianya agak harmoni dan mesra, mungkin sudah masuk kali kedua pertemuan dan sekurang-kurangnya telah ada di antara kami yang telah saling kenal mengenali diantara satu sama lain.

Perbincangan pula tidak menyentuh perkara-perkara yang menimbulkan ketegangan dan rasa tidak selesa di antara satu sama lain. Isi perbualan hanya lebih kepada bertanya khabar bagi yang pertama kali berjumpa, isu semasa di sana-sini, hal ehwal peribadi dan kerjaya masing-masing dan aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dijalankan dan lain-lain.


Musykhil...

Saya bertanya kepada Minister St Andrew, beliau seorang wanita berusia pertengahan 40an, tentang peranan gereja terhadap masyarakat setempat. Jawatan Minister adalah jawatan tertinggi di gereja itu. Beliau agak fasih (fluent) menyebut perkataan Allah tanpa pelat. Beliau tahu apa yang berlaku di Malaysia, terbaru tentang isu penggunaan Allah. Saya katakan di Malaysia isu kristianisasi adalah isu besar dan sensitif, majoriti bangsa Melayu (Malay) seperti saya adalah Muslim. Gejala Kristianisasi terpaksa dibendung kerana puak-puak kristian amat giat menjalankan dakyah mereka. Namun saya senyapkan cerita itu kerana dikhuatiri mereka tidak selesa cerita sedemikian.

Saya mengalih topik dan mengajukan pertanyaan kepada aktiviti-aktiviti gereja. Kata beliau, pihak gereja berusaha untuk membantu golongan miskin, orang-orang tua, pendidikan anak-anak dan usaha-usaha charity atau kemanusian. Usaha ini berjalan setiap hari mengikut masa yang telah dijadualkan.

Remaja Kristian

Dari pemerhatian saya, gereja disini hanya dihadiri oleh orang-orang tua sahaja. Jurang penglibatan di antara golongan remaja, dewasa dan orang-orang tua amat jauh. Golongan muda jauh dan semakin jauh dari gereja. Mereka tidak gemar ke gereja.

Pada hari ahad juga bertembungan dengan berbagai-bagai aktiviti outdoor iaitu bersantai, BBQ, family gathering dan sebagainya dan carboot sale di merata tempat UK dan kebanyakkan peniaga-peniaga adalah terdiri dari orang-orang putih.

Bukankah sepatutnya mereka ke gereja untuk sembahyang pada hari Ahad?.

Andaian saya, mungkin juga mereka tidak suka terikat dengan perbagai 'hukum-hakam' di dalam agama mereka. Pembawaan keagamaan yang agak klassik, tidak moderate atau sebagainya.

Benar teka-teki saya apabila beliau menyatakan agak sukar untuk melibatkan anak-anak muda remaja untuk hadir ke gereja. Ada setengah-setengah gereja hanya dihadiri dan dimeriahkan oleh puak-puak berkulit hitam atau bangsa tertentu sahaja, walaupun gereja itu asalnya dimiliki oleh puak berkulit putih. Seolah-olahnya semacam perkauman pastinya. Penganut asalnya sudah hilang 'bisa', dan penganut bangsa lain atau orang luar UK terlebih kristiannya dari mereka.

Remaja Islam

Perkara yang sama juga berlaku pada remaja Islam kita, apabila kita dapati masjid-masjid hanya dihadiri oleh orang-orang tua sahaja. Puas juga perbagai pihak mengadakan usaha untuk mendekatkan anak-anak muda ke masjid. Bermacam-macam aktiviti dan kegiatan sosial untuk menarik remaja kita untuk sayangkan masjid dan turut bersama-sama mengimarahkannya.

Sekiranya golongan tua sayangkan anak-anak remaja pasti mereka akan menyuruh dan memastikan anak-anak pergi ke masjid bersama-sama di setiap waktu. Menjinakkan anak-anak supaya sayangkan institusi masjid.

Sebenarnya di dalam agama Islam, kalau kita dapat menjaga anak-anak muda, maka hubungan yang muda dan tua pasti tidak ada jurang yang jauh. Akan timbul rasa kasih sayang dan mahabbah sesama kita tidak kira perbezaan peringkat umur. Yang muda menghormati yang tua dan yang tua menyayangi yang muda. Bukankah indah hubungan itu sekiranya berterus-terusan berkekalan dan berpanjangan. Itulah yang dikehendaki di dalam Islam supaya lapisan generasi akan datang terpelihara dan dipelihara oleh generasi sebelumnya.

Agnosticisme

Kebanyakkan generasi muda mereka disini berfahaman agnostic walaupun mereka berpegang kepada agama Kristian. Pada pandangan saya mungkin tepatnya ialah murtad. Mereka menolak keujudan tuhan dan perkara-perkara ghaib lain yang tentunya ada nilai kebenaran dan pengetahuan, ragu dan bersikap skeptical terhadap kepercayaan dan lebih menyakini pengetahuan logik akal. Kepercayaan mereka sudah 'cair' (diluted) atau 'ceroi' ditelan dan dimabukkan oleh materialistik keduniaan.

Pengetahuan tentang ketuhanan itu kian terhakis dari diri mereka dan pengamalan di dalam masyarakat kebendaan (materialistic) yang bersifat metaphysic. Materialisme yang mencengkam di dalam kehidupan seharian telah memaksa mereka melupakan kurniaan dan pemberian Tuhan, thanks God, Tuhan sebagai tuhan yang maha berkuasa dan pencipta. Mungkin kata mereka, "Apalah sangat  tuhan boleh bagi pada aku...", sedangkan yang mereka mahu ialah kehidupan nyata dan bebas diri sendiri dari mempercayai perkara-perkara spiritual dan mistik yang menyemakkan fikiran.

Namun, kefahaman ini menjadi serba haru-biru di dalam pengamalan kerana mereka tidak mempunyai stance atau pendirian langsung serta tidak ambil hirau dan kisah tentang hal-hal kerohanian (spiritual), lebih-lebih lagi kepercayaan kepada tuhan yang menciptakan manusia.

Gereja bertukar masjid

Itulah salah satu faktor dan penyebab dimana ada gereja-gereja yang tidak dijengah langsung dan akhirnya dibeli oleh orang-orang Islam untuk dijadikan masjid. Kos untuk menjaga dan menyelenggara gereja sangat tinggi disamping krisis ekonomi yang melanda negara ini. Alhamdulillah gereja demi gereja dapat dimiliki dan dijadikan masjid. Walaupun orang Islam masih belum dapat menguasai 2/3 dunia, sekurang-kurangnya usaha kemenangan itu berputik dan berjaya usaha untuk menebus kembali melalui pemilikan bangunan-bangunan mereka. Insyaallah Islam akan berkembang dibumi ini.

Akhir...

Saya tidak sangka pula perbualan di antara kami berlangsung selama 3 jam lebih. Pada sangkaan awal saya mungkin selama sejam dua sahaja.

Bagi pihak Muslim Welfare House Sheffild, majlis ini akan dibuat berterusan dengan pihak Gereja tersebut. Kerana inilah peluang untuk kita menunjukkan bahawa kita bukannya anti sosial dan bukan pengganas (terrorists) sepertimana anggapan dan pandangan palsu serta penilaian kabur di kaca mata mereka. Kita hendak menghapuskan rasa curiga dan prejudis mereka terhadap Islam.

Kita boleh bekerjasama dengan mereka di dalam bidang yang disepakati seperti hal-hal solidariti, humanitarian, charity dan lain-lain. Walaupun kita tahu banyak juga perkara yang kita tidak mungkin boleh lakukan bersama terutamanya bidang yang berkaitan dengan ketuhanan dan ibadah. Namun yang paling baik ialah ada usaha untuk melakukan dialog Muslim Kristian untuk kesedaran di dalam hal-hal keagamaan yang ada kaitannya dengan isu ketuhanan yang satu, iaitu Allah tidak ada anak dan beranak dan tuhan itu satu tidak tiga.

Wassalam,

abuzorief @ sheffield
30/11/2011, 8pm rabu
kinaara family cuisine restaurant
staniford road, darnall

Monday 2 January 2012

Kualiti hidup golongan sedikit?...


Tidakkah kamu perhatikan para pemuka Bani Israil setelah Musa wafat, ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka, "Angkatlah seorang raja untuk kami, nescaya kami berperang di jalan Allah?. Nabi mereka menjawab, "Jangan-jangan jika diwajibkan atasmu berperang, kamu tidak akan berperang juga?". Mereka menjawab, "Mengapa kami tidak akan berperang di jalan Allah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dipisahkan dari) anak-anak kami?." Tetapi ketika perang itu diwajibkan atas mereka, mereka berpaling, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan Allah Maha mengetahui orang-orang yang zalim. (Surah ke 2: Al-Baqarah Ayat 246)

Sombong dan bongkak

Satu teguran hebat kepada kita yang masih mempunyai sikap dan sifat-sifat sombong dan kepura-puraan, yang bersarang di dalam diri sendiri. Sifat-sifat ini telah menyebabkan kita lupa kepada asal-usul kejadian dan penciptaan. Daripada air mani yang hina yang tidak ada nilai dan harga sedikit pun di sisi Allah Taala. Namun manusia terus merasa kagum dan hebat, megah dan sombong dengan lagak seperti Merak di kayangan. Sifat kita yang sombong dan bongkak inilah yang akan merosakkan kehidupan yang harmoni dan selamat.

Justeru, sifat sombong dan kepura-puraan ini akan menyebabkan kita terus lemas di dalam kemelut kehidupan kita sendiri. Kita tidak tahu dimanakah kehidupan yang pasti, yang mesti kita lalui dan teladani. Kita sendiri merasa takut dan hilang arah untuk melakukan. Segala tindakan dan keputusan yang kita buat, tidak mengena dan tersasar sama sekali. Walaupun perkara itu adalah perkara yang baik yang mendatangkan banyak faedah dan manfaatnya pada diri dan orang lain. Namun, kita masih degil untuk mendabik dada sambil mengatakan kita boleh buat itu dan ini, tetapi natijahnya kita sendiri tidak tahu apa yang akan atau sudah kita lakukan. Golongan sebegini sangat ramai di sekeliling kita. Mereka mempunyai pengaruh yang besar di dalam masyarakat dan mampu mempengaruhi yang lain. 

Apakah sifat dan sikap yang terjadi kepada golongan yang sedemikian?.
  • Sombong
  • Bongkak
  • Berpura-pura
  • Penindas
  • Pelampau
  • Pengampu
  • dan sebagainya
Tetapi Allah mengatakan hanya segolongan yang kecil atau golongan yang sedikit sahaja yang mendapat perhatianNya. Mungkinkah segolongan kecil itu adalah mereka yang sabar, taat dan pasrah kepada Allah Taala?.

Tertipu...

Sebenarnya golongan yang ramai ini adalah golongan yang tertipu. Mereka terpedaya dengan keasyikan. Kekuasaan dan kemewahan melampau juga memainkan faktor utama yang telah menipu dan memperdayakan. Ya!, kita mesti terkaya, terpanjang, terbesar, terbanyak dan terhebat dan lain-lain lagi. Tidak salah semuanya itu untuk dimiliki, kalau diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Kena ada kebijaksanaan akal dan keseimbangan neraca fikiran.

Hati dan akal yang celik sahaja yang mampu mencaturkan sifat-sifat tersebut untuk diterjemahkan dalam diri kita sendiri melalui tindakan yang rasional. Apabila tidak ada kebijaksanaan yang berteraskan ilmu wahyu Allah dan sunnah, maka kita tersasar jauh dari platform kehidupan. Kita merasa bangga dan ujub dengan diri sendiri dan seterusnya tenggelam dengan keenakan dan keasyikan bersama dengan manusia lain yang berperangai sedemikian.

Adakah kita golongan sedikit?..

Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. (Saba 54:13)

Ketika Saidina Umar Al Khattab sedang tawaf, beliau terdengar seorang arab Badawi berdoa "Ya Allah masukkan aku dalam golongan yang sedkit". Beliau sangat hairan, selalunya orang mahukan yang banyak. Selepas tawaf lalu beliau bertanya kepada Arab Badawi tadi kenapa dia berdoa sedemikian. Lalu menjawab Arab Badawi tadi, "Bukankah Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran bahawa hanya sedikit di kalangan hambaNya yang bersyukur?". Tersentuh jiwa Saidina Umar apabila mendengar penjelasan tersebut. Lantas beliau mengatakan kepada dirinya sendiri, "Wahai Umar, hari ini orang ramai lebih 'Alim daripada kamu".

Kalau ditanya, pasti semua kita mahukan yang banyak, besar, dan sebagainya. Kenapa hati dan naluri kita mahukan sedemikian rupa?. Tetapi ayat di atas benar-benar menyentuh hati dan jiwa, kerana dengan jelas menyatakan betapa hebatnya menjadi golongan yang sedikit.

Banyak gambaran peristiwa seperti ayat di atas. Nabi Noh dengan pengikutnya yang sedikit, Nabi Isa dengan pengikut yang sedikit, Talut mengalahkan tentera Jalut, Peristiwa Perang Badar Al Kubra dimana jumlah tentera Islam ratusan mengalahkan tentera kuffar ribuan orang, Salahudin Al Ayubi dengan bala tentera yang beriman dan bertaqwa, Muhammad Al Fateh disokong oleh tentera-tentera yang pasrah hidupnya kepada Allah Taala.

Imam Hasan AlBanna telah mengatakan dan menjelaskan bahawa "Sesungguhnya banyak orang yang mampu berkata, tetapi sedikit dari mereka yang mampu bertahan dalam beramal dan bekerja. Banyak pula dari sedikit itu yang mampu memikul beban jihad yang berat dan sukar. Para mujahidin inilah merupakan angkatan pilihan yang sedikit jumlahnya, tetapi menjadi pembela dan menjadi Ansharullah. Kadang-kadang mereka keliru, tetapi akhirnya menepati tujuan, jika mereka diberi inayah dan hidayah oleh Allah swt"


Allah menyukai golongan ini. Dan golongan inilah akan mendapat pertolongan dan rahmat dari Allah. Sedikit membawa kepada kualiti. Kuantiti bukanlah semata-mata menjadi kayu pengukur kepada kejayaan. Malah kuantiti kalau tidak bernilai dan berkualiti, maka akan merosakkan keseluruhannya. Ibarat nila setitik rosak susu sebelangga.

Kerana golongan ini sentiasa:



  • Bersyukur
  • Mendapat kemenangan
  • Mendapat bantuan
  • Pasrah kepada Allah
  • Bersabar
  • Taat dan patuh
  • Berjuang pada jalan Allah
  • Mengharap restu
  • Taufik dan hidayah
  • Sentiasa takut kepada Allah
  • Berkualiti
  • dan sebagainya...

Oleh itu, bagaimanakah pula pilihan kita?.

Hati dan jiwa yang bersih

Kitalah yang perlu menentukan hala-tuju hidup kita. Bukannya rakan-rakan, keluarga mahu pun orang lain. Kita mesti mempunyai kekuatan hati dan jiwa yang berpegang kepada keputusan yang waras dan mutlak. Keputusan itu mestilah yang bertepatan dengan syariat Allah Taala.

Hati yang bersih sahaja yang mampu menerima hidayah Allah. Hati yang kotor akan terus berada dalam kesesatan yang gelap pekat tanpa suluhan cahaya kebenaran.

Tarbiyyah jiwa

Semua sifat-sifat berlebihan tersebut mempunyai nilaian dan kiraan dari pandangan fizikal sahaja. Hidup dengan sifat rendah diri dan qanaah (berpada) serta sifat mazmumah yang lain, merupakan tarbiyyah jiwa yang paling baik. Itu adalah didikan langsung dari Allah Taala dan telah dicontohi oleh para Rasul. Didikan inilah yang mampu membentuk hati, jiwa dan peribadi kita.

Untuk persiapan diri dan menentukan kedudukan kita adakah kita tergolongan di dalam golongan ini, maka kenalah uji diri kita dengan ujian yang berat dan kurang disukai, yang susah dan perit, yang jauh dari nafsu syahwat dan tradisi-tradisi yang merosakkan serta menjauhkan apa-apa keselesaan hidup dan sebagainya.

Hasilnya, hidup kita akan sentiasa berdamping dengan Allah Taala. Niat dan gerak kerja kita diserahkan secara total (sepenuhnya) kepada Allah.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang sedikit... Wa khalilan min 'ibadiyas syakur... dan sedikit sahaja hamba-hambaku yang bersyukur.... Ameen

Allahu 'alam

Wassalam

Nota:
[1] Al Quran terjemahan
[2] Fiqh Dakwah, Syeikh Mustafa Masyhur, Jilid 1, Al-I'tishom Cahaya Umat
abuzorief @ sheffield
2/1/2012, isnin
bank holiday
v 1.1, 10/2/2012