Pages

Sunday, 18 December 2011

Bina harapan...


Kalau kenakalan anak-anak sejak dari kecil lagi diberikan perhatian dengan ditegur, dinasihat, dimarahi atau terakhirnya diberikan sedikit rotan sebagai peringatan, maka si anak-anak tadi pasti akan beringat selalu, serik dan tidak mahu buat lagi mengulangi perangai nakal itu. Mereka akan mengingati apa yang telah dinasihati dan mengambil pengajaran dari akibat perbuatan itu.

Sebaliknya, sekiranya anak-anak nakal itu dibiarkan sahaja oleh ibu-bapa, maka kenakalan mereka itu akan semakin menjadi-jadi sehingga lama kelamaan menjadi habit (tabiat), terus sebati dalam perbuatan, tindakan dan akhirnya susah untuk ditegur. Seterusnya akan mempengaruhi pula rakan-rakannya dan merosakkan kesejahteraan orang lain.

Masalah

Kita mungkin kecewa dengan keadaan yang berlaku, seperti rasuah, zina, salah guna kuasa, perebutan kuasa, kezaliman, kekejaman, ketidak-adilan kepada rakyat, sesama Islam bergaduh, jenayah civilization ummah dan berbagai-bagai lagi.

Perasaan kekecewaan itu seolah-olah mengambarkan kepada kita, bahawa sudah tiada harapan lagi untuk berubah, mengubah dan diubah. Buntu dan tiada upaya lagi untuk berbuat sesuatu untuk menyelesaikannya.
  • Apakah kita hendak menyerahkan semua masalah, beban dan nasib yang berlaku kepada masa dan keadaan supaya berubah dengan sendirinya?.
  • Ataukah kita hendak menunggu sang "Superman" yang akan menjadi penyelamat kepada semua perkara itu, sedangkan kita hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati sahaja atau tunggu dan lihat?
Big picture....

Namun, senario buruk yang berlaku di sekeliling kita dan ummah ini, terlalu banyak, runsing dan kronik kerana rapuhnya atau lemahnya sistem hidup manusia. Dari satu penyakit ke satu penyakit yang lain. Masalah yang berlaku berkait-kait di antara satu sama lain. Seolah-olahnya seperti satu simpulan (chain) tali yang berangkai kemudian berpintal-pintal sesama sendiri menjadi serabut dan hilang hujung pangkal atau puncanya.
  • Apakah untuk menyelesaikannya, dengan membuang sahaja tali bersimpul itu, atau menggunting dibahagian simpulan itu sahaja kemudian mengikat kembali bahagian yang telah dipotong, atau cuba merungkai perlahan-lahan simpulan itu sehingga ketemu pangkal dan hujungnya?
Tergesa-gesa, tunggu dan lihat...

Bagi kita yang berpegang kepada Akidah yang benar, pasti kita akan mengatakan bahawa semua apa yang berlaku itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Kerana itulah yang kita yakini. Kita tidak dilemahkan dengan perasaan berputus-asa dan lemah semangat. Sebenarnya, kitalah yang kena berusaha untuk mengangkat kembali martabat dan maruah diri, ummah dan manhaj Islam dengan kesungguhan yang paling maksima, istiqamah (berterusan) dan mujahadah sama ada dengan harta, malah akan membabitkan pengorbanan nyawa sekalipun.

Benar, masalah yang berlaku itu pasti telah berakar-umbi dan sukar untuk diselesaikan dengan sekelip mata. Bahkan, kalau difikirkan dari sudut logik akal maka kita akan merasa kecewa (frust) yang amat sangat dan buntu untuk menyelesaikannya. Tambahan pula, apabila kita hendak menyelesaikan satu-satu masalah, kita lebih bersifat tergesa-gesa (isti'jal) untuk melihat hasilnya. Kita selalu memilih jalan pintas tanpa memikir risiko yang akan dihadapi. Pada perkiraan nafsu, kita mahukan keputusan penyelesaian itu berlaku di depan mata, sekarang atau esok atau lusa. Sebaliknya kita lupa, Allah yang maha kuasa adalah penentu segalanya.

Lantunan seerah

Ketika Rasulullah dan para sahabat dihalau, dicaci, dimaki dan dibaling dengan batu-batu sehingga luka-luka oleh penduduk Taif, Rasulullah menunjukkan sikap yang paling berhemah dan mendidik kita semua. Sebaliknya, bukan terus dibalas dengan lontaran batu, semburan cacian dan makian tetapi berupaya menolak tawaran Malaikat bilamana bersedia untuk menhempap mereka dengan bukit-bukit yang ada, dengan ketulusan doa bermunajat kepada Rabb, supaya memberi taufik dan hidayah kepada generasi dan keturunan mereka yang akan datang. Harapannya adalah kepada generasi yang akan datang.

Serulah manusia kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik (An Nahl:125)

Cantiknya budi pekerti dan akhlak Arrasul kerana masih menaruh harapan kepada generasi yang akan datang untuk mengubah norma-norma hidup manusia kearah yang lebih baik dan sempurna. Perubahan itu tidak sekali-kali menggunakan jalan kekerasan sebaliknya banyak tertumpu kepada sistem pendidikan rabbani yang jauh lebih berkesan di dalam mendidik ummah.

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu semata-mata hanya untuk Allah... (Al Baqarah:193)

Peranan dan harapan...

Peranan kita, adalah meneruskan usaha, menyusun strategi, merancang sebaik mungkin, bersabar dan istiqamah dengan kerja-kerja pengislahan (pembaikan), taghyir (perubahan) dan sebagainya. Tetapi, kalau setakat usaha yang sedikit dan halai-balai (sambil lewa) dan boleh dikatakan seolah-olah seperti hangat-hangat tahi ayam, maka lupakanlah hasrat itu. Memanglah tidak berhasil. Tunggulah akan ada pihak atau insan-insan lain yang akan mengambil peranan itu dari kita. Jadilah kita sebahagian daripada orang-orang yang rugi kerana tidak bersama-sama mengambil peranan dan tanggugjawab.

Sepatutnya kita bersikap positif untuk melaksanakan kerja-kerja dan tanggungjawab serta bersungguh-sungguh untuk merubah dan membaiki.

Bahkan, walaupun kita tidak sempat untuk mengecapi hasilnya kerana mungkin kita akan 'dipanggil' untuk mengadap Allah Taala kelak, tetapi tahap keyakinan, kepercayaan dan hasil kerja buat kita mampu melahirkan model-model yang sama acuan rabbaninya iaitu menjadi penerus atau pewaris kita dan akan mewarisi hingga ke lapisan generasi akan datang. Insyaallah dengan harapan dan doa, pasti akan berkesinambungan dan membuahkan hasilnya.

Sistem Islam yang kecil itu perlu terbina di dalam diri kita dahulu sekiranya kita hendak membina sistem Islam yang menyeluruh yang mampu memberikan kesejahteraan hidup sejagat. Islam itu tetap akan datang saat kegemilangannya.

Allahu 'alam, wassalam...

abuzorief @ birmingham
MAB conference 2011
creating hope...
17/12/2011 sabtu

No comments:

Post a Comment