Pages

Saturday, 31 December 2011

Mari berfikir sejenak bersama anak-anak... (2)


Merenung kejadian alam

Andaikan, kalaulah matahari secara fitrahnya terbit di sebelah timur dan terbenam disebelah barat, tetapi engkar dengan arahan peraturan, maka akibatnya berlakulah kucar-kacir alam dan galaksi ini.

Kalaulah burung-burung secara tabi'enya diperintah terbang di udara, tetapi engkar dengan arahan, maka penuhlah burung-burung ini berjalan di atas muka bumi dan mengganggu makhluk lain termasuk manusia.

Kalaulah air-air di dalam alur sungai yang sepatutnya mengalir ke muara atau kuala, tetapi tetap degil untuk mengalir ke hulu, maka musibahnya akan berlaku banjir besarlah seluruh daratan. (dengan izin Allah Taala).

Begitulah dengan kejadian alam yang lain. Semua alam penciptaan Allah telah disusun peraturannya dan masing-masing akur dengan perintah Allah. Paling hampir untuk diajak kita berfikir ialah tentang kejadian dan sistem kehidupan manusia.


Tabi'e kehidupan

Peraturan adalah perlu di dalam sistem kehidupan. Semua kita berkehendakkan kepada peraturan atau undang-undang. Ia perlu untuk mengatur kehidupan kita supaya kita lebih berdisiplin atau menghormati di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain, memastikan kita mematuhi kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan yang tertentu.

Pernahkah kita bayangkan sekiranya disekeliling kita ini tidak ada undang-undang dan peraturan hidup. Pastinya keadaan yang ada akan mengalami kucar-kacir, kelam-kabut, huru-hara, punah ranah dan sebagainya. Manusia akan berbalah sesama-sendiri, bermusuhan, dan berbunuhan di antara satu sama lain. Siapa yang kuat dia akan terus berkuasa manakala yang lemah pasti tertindas dan menjadi hamba.

Bi'ah atau suasana

Anak-anak perlu dibiasakan dengan peraturan atau 'undang-undang' kecil di dalam rumah. Peraturan ini adalah untuk mendidik bukannya untuk mendera. Membiasakan mereka dengan peraturan akan membolehkan mereka sentiasa bersikap peka atau sensitif dan mengambil serius tentang banyak perkara dan berfikir tentang banyak perkara apabila hendak bertindak dan melakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya ibu-bapa berupaya menyediakan bi'ah (suasana) yang soleh. Peraturan yang saya maksudkan ialah peraturan yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah. Peraturan yang menepati manhaj Islam atau syariat.

Sekiranya dari kecil lagi mereka tidak dibiasakan dengan peraturan maka lama-kelamaan mereka akan membesar di dalam keadaan tidak terdidik. Mereka menjadi insan yang susah untuk menerima teguran dan sebagainya. Mereka akan bersikap memberontak dan kurang adab di dalam pergaulan sosial. Akhirnya akan merosakkan peribadinya sendiri dan memberi kesan kerosakan yang besar di dalam membentuk masyarakat yang bertamadun.

Melatih dan mendidik anak-anak sejak dari kecil adalah satu tindakan yang wajar. Ibu-bapa adalah guru pertama mendidik anak-anak. Apabila anak-anak dihantar ke sekolah, ibu-bapa meletakkan peratusan yang tinggi kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka. Sehinggakan ada dikalangan ibu-bapa langsung tidak ambil hirau lagi kefahaman dan kejelasan ilmu yang mereka terima di sekolah. Sepatutnya ibu-bapa kena memastikan kefahaman anak-anak selari dengan kefahaman ibu bapa. Dan kefahaman ibu-bapa pula mestilah sejajar sepertimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul (Al Quran).

Sebab itu di dalam mendidik anak-anak, maka ibu-bapalah pendidik dan perlu tahu banyak perkara tentang agama bukannya mengharapkan orang lain untuk mendidik anak sendiri. Ibu-bapalah perlu mengasihi agama sendiri sebelum menyuruh anak-anak mengasihinya pula. Tidaklah menjadi seperti ibu ketam hendak mengajar anak-anaknya berjalan lurus sedang siibu berjalan mengiring.

Mengajak anak-anak merenung kepada setiap kejadian alam, ini mudah-mudahan mereka faham bahawa perlunya kehidupan ini akan peraturan yang akan menyusun dan mengatur supaya tidak berlaku kucar-kacir yang merosakkan sistem kehidupan.

Peraturan hidup

Perhatikanlah, semuanya berkehendak kepada sistem dan peraturan. Begitu juga dengan perjalanan hidup kita di atas muka bumi ini. Sejak dari awal penciptaan kita lagi telah ada peraturan untuk mendisiplinkan dan mendidik kita supaya menjadi hamba Allah yang taat dan patuh. Peraturan hidup ini bertujuan supaya mematuhi arahan Allah Taala dan mengiyakan bahawa Allah Taala adalah maha pencipta yang agong. Ia menjadikan kita supaya menyembahnya dan memohon harap hanya kepada tuhan yang selayaknya memberi sepenuh harapan.

Panduan hidup kita yang sah hanyalah Al Quran Karim dan sunnah. Segala isi di dalamnya telah mempunyai jawapan dan lengkap dengan segala maklumat untuk seluruh perjalanan hidup kita.

Keingkaran

Disebabkan keingkaran kitalah, sistem kehidupan kita di atas muka bumi ini musnah dan hancur. Siapa lagi pemusnahnya kalau tidak kita, yang selalu menjadi pendusta dan kaki 'temberang' kepada maha pencipta kita sendiri. Ibarat kata, seorang hamba berlagak sebagai tuan, sedangkan tuannya ada di depan menyaksikan kelakuan hambanya sendiri.

Nescaya, Allah akan menghumban kita ke dalam nerakanya yang amat pedih itu. Allah dengan tanpa belas lagi akan menurunkan malapetaka yang amat dahsyat dan memusnahkan sistem kehidupan dunia dan kehidupan manusia khususnya. Apa yang hendak kita hairankan... kerana dialah yang maha berkuasa yang memerintah seluruh isi alam ini, bukankah adil Tuhan itu?...

Allah matlamat kami,
Ar-rasul pemimpin kami,
Al Quran perlembagaan kami,
Al Jihad pada jalan Allah adalah jalan kami,
dan mati di jalan Allah adalah cita-cita unggul kami.

Allahu a'lam, Wassalam...

abuzorief @ sheffield
31/12/2011, sabtu
selamat tahun baru 2012

Tuesday, 27 December 2011

Mari berfikir sejenak bersama anak-anak... (1)


Sambil saya menunggu bersama anak-anak, saya cuba melontarkan beberapa soalan kepada mereka untuk mengajak mereka berfikir sejenak tentang betapa besar dan berkuasanya Allah Taala yang telah menciptakan kita sebagai manusia. Bagi anak-anak, pasti mereka akan merasa pelik untuk berfikir tentang perkara-perkara yang mereka sendiri tidak nampak. Jadinya, tujuan mengajak mereka berfikir itu mudahan-mudahan dapat membawa imaginasi mereka untuk menerima perkara-perkara ghaib terutamanya mengenai Allah Taala sebagai Rabb dan Illah dan yang empunya sifat nama (Asma wassifat) yang cukup sempurna.

Jiwa suci murni...

Ibu-bapa mesti memastikan kotak fikiran anak-anak sentiasa terisi dengan kefahaman Akidah yang jelas yang tidak menyeleweng dari pengertian, makna, tuntutan dan peranan. Akal dan jiwa mereka yang masih suci bersih itu sepatutnya diisi dengan kefahaman yang hak dan bukannya yang batil atau songsang. Bahkan, memahamkan mereka biarlah secara hikmah dan biasakan mereka berfikir secara sedar dan bukannya memaksa mereka menerima secara paksa.

Cerita khayalan, Superman, Hantu...

Sejak di awal usia anak-anak lagi, mereka telah terdedah dengan cerita-cerita khayalan seperti Superman, BenTen, Power Rangers, Cinderella, hantu, halimunan dan lain-lain. Bahkan ibu-bapa menyogok pula anak-anak dengan costume atau pakaian, alatan permainan, bahan-bahan cerita dan sebagainya. Cerita-cerita hantu, mitos atau khayalan yang terlalu kerap ditonton di TV dan computer akan sedikit sebanyak mempengaruhi dan meninggalkan kesan negatif di dalam kotak fikiran mereka dan seterusnya terbawa-bawa melalui tindakan seharian.

Akibatnya, mereka akan menjadi pasif dengan cerita-cerita yang menakutkan atau mereka juga akan bersikap aggresif dan hyperactive, kononnya mereka juga boleh menjadi Superhero seperti idola kegemaran atau paling malang sekali bila mana mereka sendiri hilang rasa keyakinan pada diri sendiri bahkan dikhuatiri mereka akan berkata bahawa akan ada superhero idaman yang akan datang menyelamatkan mereka dikala memerlukan.

Walaupun objek-objek itu tidak pernah mereka lihat dengan mata kasar tetapi kepercayaan dan keyakinan mereka begitu kuat, seolah-olahnya ia ujud di alam realiti dan bayangan objek itu terbayang-bayang diwaktu keseorangan, malah terbawa-bawa apabila tiba waktu malam atau termimpi-mimpi dikala tidur.

Begitulah kuatnya kesan yang mereka perolehi. Secara tidak langsung kita sebagai ibu-bapa sepatutnya merasa bersalah kerana telah mengasak minda mereka supaya menerima khayalan itu sebagai realiti yang sebenarnya. Fikiran anak-anak teransang di dalam khayalan dunia yang palsu.

Jiwa suci...

Alangkah baiknya di awal usia itu diceritakan kepada mereka mengenai keesaan Allah Taala dengan segala sifat nama (Asma wa sifat) yang baik dan indah bagi Allah. Menceritakan kepada mereka tentang Rasul-rasul, Kitab-kitab, para Malaikat, Qada dan Qadar serta hari akhirat. Bukankah semua cerita-cerita ini adalah realiti yang semestinya mereka ketahui?. Tujuannya adalah untuk menghadirkan ke dalam hati mereka tentang benarnya keujudan Allah supaya mereka merasa aman, tenang dan merasa terpelihara di dalam keagungan dan kasih sayangnya serta kebaikan dan kelebihan sifat-sifat Allah Taala.

Justeru, mendidik mereka mengenai Akidah ini perlu berterusan sehingga ke usia remaja. Akal dan peribadi mereka kalau selalu 'dicanai' dan 'dipahat' dengan kefahaman Akidah yang jelas, insyaallah mereka mampu menjadi peribadi yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Ibu-bapa tidak perlu lagi risau tentang cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang akan mereka tempuhi di dalam kehidupan ini.

Akidah yang tertanam di dalam diri mereka, mampu menjadi perisai dan pelindung yang akan menyelamatkan mereka dari sebarang ujian dan halangan di atas muka bumi ini. Moga-moga kelalaian dan kealpaan gerak-laku mereka itu pantas disedarkan dan tidak tersasar jauh dari jalan yang hak dan mereka akan sentiasa sedar bahawa Allah itu melihat dan mengawasi setiap tingkah laku dan gerak-geri harian.

bersambung...

Allahu a'lam,

abuzorief @ sheffield
27/12/2011

Sunday, 18 December 2011

Bina harapan...


Kalau kenakalan anak-anak sejak dari kecil lagi diberikan perhatian dengan ditegur, dinasihat, dimarahi atau terakhirnya diberikan sedikit rotan sebagai peringatan, maka si anak-anak tadi pasti akan beringat selalu, serik dan tidak mahu buat lagi mengulangi perangai nakal itu. Mereka akan mengingati apa yang telah dinasihati dan mengambil pengajaran dari akibat perbuatan itu.

Sebaliknya, sekiranya anak-anak nakal itu dibiarkan sahaja oleh ibu-bapa, maka kenakalan mereka itu akan semakin menjadi-jadi sehingga lama kelamaan menjadi habit (tabiat), terus sebati dalam perbuatan, tindakan dan akhirnya susah untuk ditegur. Seterusnya akan mempengaruhi pula rakan-rakannya dan merosakkan kesejahteraan orang lain.

Masalah

Kita mungkin kecewa dengan keadaan yang berlaku, seperti rasuah, zina, salah guna kuasa, perebutan kuasa, kezaliman, kekejaman, ketidak-adilan kepada rakyat, sesama Islam bergaduh, jenayah civilization ummah dan berbagai-bagai lagi.

Perasaan kekecewaan itu seolah-olah mengambarkan kepada kita, bahawa sudah tiada harapan lagi untuk berubah, mengubah dan diubah. Buntu dan tiada upaya lagi untuk berbuat sesuatu untuk menyelesaikannya.
  • Apakah kita hendak menyerahkan semua masalah, beban dan nasib yang berlaku kepada masa dan keadaan supaya berubah dengan sendirinya?.
  • Ataukah kita hendak menunggu sang "Superman" yang akan menjadi penyelamat kepada semua perkara itu, sedangkan kita hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati sahaja atau tunggu dan lihat?
Big picture....

Namun, senario buruk yang berlaku di sekeliling kita dan ummah ini, terlalu banyak, runsing dan kronik kerana rapuhnya atau lemahnya sistem hidup manusia. Dari satu penyakit ke satu penyakit yang lain. Masalah yang berlaku berkait-kait di antara satu sama lain. Seolah-olahnya seperti satu simpulan (chain) tali yang berangkai kemudian berpintal-pintal sesama sendiri menjadi serabut dan hilang hujung pangkal atau puncanya.
  • Apakah untuk menyelesaikannya, dengan membuang sahaja tali bersimpul itu, atau menggunting dibahagian simpulan itu sahaja kemudian mengikat kembali bahagian yang telah dipotong, atau cuba merungkai perlahan-lahan simpulan itu sehingga ketemu pangkal dan hujungnya?
Tergesa-gesa, tunggu dan lihat...

Bagi kita yang berpegang kepada Akidah yang benar, pasti kita akan mengatakan bahawa semua apa yang berlaku itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Kerana itulah yang kita yakini. Kita tidak dilemahkan dengan perasaan berputus-asa dan lemah semangat. Sebenarnya, kitalah yang kena berusaha untuk mengangkat kembali martabat dan maruah diri, ummah dan manhaj Islam dengan kesungguhan yang paling maksima, istiqamah (berterusan) dan mujahadah sama ada dengan harta, malah akan membabitkan pengorbanan nyawa sekalipun.

Benar, masalah yang berlaku itu pasti telah berakar-umbi dan sukar untuk diselesaikan dengan sekelip mata. Bahkan, kalau difikirkan dari sudut logik akal maka kita akan merasa kecewa (frust) yang amat sangat dan buntu untuk menyelesaikannya. Tambahan pula, apabila kita hendak menyelesaikan satu-satu masalah, kita lebih bersifat tergesa-gesa (isti'jal) untuk melihat hasilnya. Kita selalu memilih jalan pintas tanpa memikir risiko yang akan dihadapi. Pada perkiraan nafsu, kita mahukan keputusan penyelesaian itu berlaku di depan mata, sekarang atau esok atau lusa. Sebaliknya kita lupa, Allah yang maha kuasa adalah penentu segalanya.

Lantunan seerah

Ketika Rasulullah dan para sahabat dihalau, dicaci, dimaki dan dibaling dengan batu-batu sehingga luka-luka oleh penduduk Taif, Rasulullah menunjukkan sikap yang paling berhemah dan mendidik kita semua. Sebaliknya, bukan terus dibalas dengan lontaran batu, semburan cacian dan makian tetapi berupaya menolak tawaran Malaikat bilamana bersedia untuk menhempap mereka dengan bukit-bukit yang ada, dengan ketulusan doa bermunajat kepada Rabb, supaya memberi taufik dan hidayah kepada generasi dan keturunan mereka yang akan datang. Harapannya adalah kepada generasi yang akan datang.

Serulah manusia kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik (An Nahl:125)

Cantiknya budi pekerti dan akhlak Arrasul kerana masih menaruh harapan kepada generasi yang akan datang untuk mengubah norma-norma hidup manusia kearah yang lebih baik dan sempurna. Perubahan itu tidak sekali-kali menggunakan jalan kekerasan sebaliknya banyak tertumpu kepada sistem pendidikan rabbani yang jauh lebih berkesan di dalam mendidik ummah.

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu semata-mata hanya untuk Allah... (Al Baqarah:193)

Peranan dan harapan...

Peranan kita, adalah meneruskan usaha, menyusun strategi, merancang sebaik mungkin, bersabar dan istiqamah dengan kerja-kerja pengislahan (pembaikan), taghyir (perubahan) dan sebagainya. Tetapi, kalau setakat usaha yang sedikit dan halai-balai (sambil lewa) dan boleh dikatakan seolah-olah seperti hangat-hangat tahi ayam, maka lupakanlah hasrat itu. Memanglah tidak berhasil. Tunggulah akan ada pihak atau insan-insan lain yang akan mengambil peranan itu dari kita. Jadilah kita sebahagian daripada orang-orang yang rugi kerana tidak bersama-sama mengambil peranan dan tanggugjawab.

Sepatutnya kita bersikap positif untuk melaksanakan kerja-kerja dan tanggungjawab serta bersungguh-sungguh untuk merubah dan membaiki.

Bahkan, walaupun kita tidak sempat untuk mengecapi hasilnya kerana mungkin kita akan 'dipanggil' untuk mengadap Allah Taala kelak, tetapi tahap keyakinan, kepercayaan dan hasil kerja buat kita mampu melahirkan model-model yang sama acuan rabbaninya iaitu menjadi penerus atau pewaris kita dan akan mewarisi hingga ke lapisan generasi akan datang. Insyaallah dengan harapan dan doa, pasti akan berkesinambungan dan membuahkan hasilnya.

Sistem Islam yang kecil itu perlu terbina di dalam diri kita dahulu sekiranya kita hendak membina sistem Islam yang menyeluruh yang mampu memberikan kesejahteraan hidup sejagat. Islam itu tetap akan datang saat kegemilangannya.

Allahu 'alam, wassalam...

abuzorief @ birmingham
MAB conference 2011
creating hope...
17/12/2011 sabtu

Wednesday, 14 December 2011

Marahkan nyamuk kelambu dibakar...


Apabila kita membeli kereta sudah tentu kita perlukan manual. Pihak pembuat kereta akan menyediakan manual yang sesuai untuk jenisnya sahaja dan tidak boleh digunakan untuk jenis kereta yang lain. Tujuan manual itu ialah untuk memastikan kereta kita sentiasa berada di dalam keadaan yang terbaik dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Sebarang masalah, dengan cepatnya kita mudah untuk merujuk kepada manual tadi.

Begitu juga, setiap urusan hidup manusia telah ada manualnya. Ia digunakan untuk menjadi panduan hidup. Apabila hendak pandu (drive) kehidupan, maka kita perlukan manual itu untuk memastikan perjalanan hidup kita itu sejajar dengan apa yang telah ditetapkan. Perjalanan hidup kita mestilah berada di dalam keadaan yang terbaik, selamat dan tidak tergelincir dari laluannya. Setting mode perlulah diperhatikan selalu. Sekiranya berlaku masalah di dalam perjalanan, maka manual tadilah yang perlu dirujuk dan memudahkan usaha trouble-shooting dilakukan. Manual itu mestilah manual yang sah dan bukannya manual yang telah ditokok-tambah mengikut cita rasa sendiri atau meminjam dari manual yang lain, yang tidak ada kena-mengena dengannya. Apakah kita sendiri meragui tentang manual kita sendiri?. Manual yang dimaksudkan itu adalah Al Quran Karim.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (Al Baqarah 2: 2)


Mempermainkan hukum

Agak kesal juga apabila setengah pihak mempermainkan hukum-hakam Allah tanpa berfikir risiko diri yang akan dihadapi. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah mereka itu tergolong di dalam golongan orang-orang Islam dan sanggup pula besekongkol dengan 'mereka-mereka' yang bukan Islam. Sudah pasti mereka ini jahil dengan agama sendiri. Perbuatan mereka ini secara tidak sedar telah tergelincir dari pegangan Aqidah Islam. Bukankah hukum-hakam Allah itu adalah benar dan pasti tujuannya serta objektifnya, yang mana ia telah diturunkan kepada manusia supaya menjadi panduan (manual) untuk menggerakkan seluruh perjalanan kehidupan di atas muka bumi ini. Hukum-hakam itu sendiri adalah untuk memastikan manusia itu sentiasa berada di dalam sistem atau manhaj kehidupan yang diredhai dan dinaungi olehnya.

Menghina Allah

Sungguh berani kita menderhaka kepada Allah Taala?.., Begitulah gambarannya kepada persoalan itu apabila kita memperlekeh, menyindir, mempersendakan setiap perkara, hukum dan aturan yang telah Allah tetapkan kepada kita walaupun dengan satu ayat sahaja. Betapa kurang ajarnya kita, apabila kita sendiri mengatakan ia tidak sesuai, meragui kebenarannya, malah berani pula mengatakan ia tidak adil, kejam, zalim dan sebagainya. Apakah hak kita untuk berkata sedemikian?.  Nauzubillahi min zalik....

Sedarlah kita semua, bahawa hanya Allah Taala sahaja yang tahu apakah bentuk panduan, pedoman dan garis hukum-hakam hidup kita sebenarnya, sepertimana yang telah termaktub di dalam Quran Karim dan melalui ajaran Arrasul SAW secara jelas terperinci.

Golongan orang Islam

Golongan yang sedar - golongan ini sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala perintah Allah Taala walaubagaimana keadaan sekalipun. Mereka faham dan yakin hanya Allah menentukan segala-galanya. Mereka sedar bahawa tanggungjawab untuk memastikan agama Allah ini mesti dijaga dan dakwah disebar-luaskan kepada manusia lain. Mereka akan memastikan undang-undang Islam didaulatkan dan berada ditempatnya.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At Taubah 9:71)

Golongan yang sangsi - golongan ini sentiasa merasa ragu-ragu terhadap hukum-hakam atau undang-undang yang telah Allah tetapkan kepada manusia. Mereka juga tidak akan segan silu mengatakan semua peraturan hidup Islam itu tidak sesuai dan tidak boleh dipraktikkan. Walhal mereka sendiri sudah nampak di depan mata, betapa peraturan hidup ciptaan manusia itu banyak yang cacat, rosak dan tempang.

(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur) atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman) ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka). (An Nur 24:50)

Golongan yang berkepentingan - golongan ini hanya mengharapkan kepentingan dan ganjaran yang akan diperolehi. Bagi mereka, selagi undang-undang manusia itu tidak menganggu urusan hidup, kedudukan, kekuasaan, kekayaan dan kesenangan mereka, maka selagi itulah ia boleh berkompromi dengannya dan memastikan dirinya selamat bernaung dibawahnya. Perlu disedarkan, bahawa undang-undang Allah tidak mengira siapa mereka, dari mana datangnya, dan mulianya mereka. Sebab itu undang-undang Allah amat berlaku adil pada semua manusia.

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Al A'raf 7:176)

Golongan berprasangka - Golongan ini sentiasa bersikap prejudis dengan Allah dan agama sendiri. Apa yang berlaku terhadap mereka dan sekeliling, secara sedar mereka akan menyalahkan Allah dan hukum-hukumnya di dalam setiap masalah yang berlaku. Sikap berpransangka mereka amat dahsyat sehingga sanggup menggadaikan tunjang akidah yang sepatutnya menjadi pegangan asas kepercayaan individu terhadap Allah Taala.

Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi! (Al Fussilat 41:23)

Sikap kita...

Jangan kita rosakkan manhaj Islam semata-mata kerana kita tidak bersetuju dan hanya berpandukan kepada logik akal dan rasa hati kita. Ambillah jalan berfikir supaya tindakan kita itu bersesuaian dengan diri kita yang berakal. Banyak sekali ayat-ayat Al Quran yang menyuruh kita semua supaya berfikir bukannya mengikut hawa nafsu yang bertuankan Syaitan yang direjam.

Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri) dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab. (Ar Rom 30:29)

Sekiranya kita tidak tahu, maka kita mesti belajar untuk mengetahui. Bukannya menjadi seperti tikus memperbaiki labu. Asal labu itu berkeadaan baik, habis ditebuknya, dicincang sehingga rosak dan tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan yan lain. Begitulah dengan keadaan kita apabila cuba buat-buat tahu, sedangkan apa yang telah kita lakukan itu secara tidak sedar telah merosakkan kehidupan kita sendiri malah turut merosakkan kehidupan orang lain.
  • Memperelokkan Aqidah kita kepada Allah Azza wajalla
  • Hendaklah diam sekiranya kita tidak tahu dan mengambil inisiatif untuk belajar dan untuk mengetahui kebenaran
  • Jangan cuba bersikap berani mempersendakan hukum Allah, kerana ia berkait dengan ikatan Akidah 
  • Beradablah dengan akhlak Islam
  • Jangan bersekongkol dengan puak yang memusuhi Islam kerana mereka beragenda untuk memesongkan agama Islam
  • Berfikirlah dengan waras apabila hendak melakukan sesuatu yang ada kaitannya dengan hal-hal ketuhanan.
Sekiranya kita mampu untuk menguruskan sikap kita, maka kita akan lebih berakhlak dengan akhlak yang terpuji. Berakhlak mulia dengan Allah dan berakhlak mulia juga sesama manusia. Dan sentiasa menjunjung segala perintahnya dengan melaksanakannya secara bersungguh-sungguh.

Allahu 'alam, sekian.

abuzorief @ sheffield
14/12/2011 rabu

Sunday, 11 December 2011

Bukan tidak percaya...


Amat penting dalam proses pembinaan diri itu perlu didahulukan kefahaman tentang aqidah yang jelas, tidak jemu mencari makna dan istiqamah mendalami tuntutan dan beramal dengannya.

Sepertimana firman Allah Taala,

"Dan (ingatlah) ketika Nabi ibrahim (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepa...da kekuasaanku)? Nabi ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah berfirman: (Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."(Al Baqarah 2:260)

Apabila hati dan jiwa bertembung dengan segala macam kekacauan pada diri, kita menjadi gundah-gulana kerana tidak tahu dimana hujung pangkal untuk menyelesainya. Sedangkan apa yang diajarkan oleh Arrasul SAW amat jelas sekali jalan penyelesaiannya, iaitu melalui proses pendidikan atau tarbiyyah yang berterusan.

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (Surah Luqman 31: 13)

Generasi pertama yang dibentuk telah 'dipahat' dan 'diikat' dengan ikatan akidah bertuhankan satu sahaja iaitu Allah SWT. Iman Bilal mampu bertahan dengan ujian dari puak kuffar, Sumaiyyah, dan ramai lagi generasi pertama yang telah berhadapan dengan ujian dan seksaan hidup diawal iman mereka.

Gagalnya kita mengawal diri kerana sikap kita. Lemahnya hak kebenaran untuk bertarung dengan kekuatan batil yang meruntun. Mungkinkah, ini menunujukkan bahawa kita masih lagi tidak menyakini amalan sunnah yang telah ditunjukkan. Timbul sikap ragu dan was-was terhadap Allah Taala. Sehinggakan, kesangsian kita kepada penyelesaian yang telah diajar itu telah menyebabkan kita cuba mencari kaedah lain untuk merawat keresahan hati, jiwa dan diri kita. Sekiranya benar penemuan kita itu, beruntunglah kita. Tetapi apa yang kita temui itu merupakan kaedah yang salah maka yang akan merana ialah diri kita sendiri.

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As Syam 91:7-10)

Akidah adalah pendinding hidup kita kerana ia meletakkan diri kita sentiasa hampir dan rindu kepada Allah Taala. Setiap perbuatan kita diperhatikan walaupun sedetik sahaja. Inilah kekuasaan penuh milik Allah Taala yang tidak ada tandingannya pada diri seorang hamba ciptaannya. Kerdil bukan ciptaan manusia ini?... Jadi apa yang hendak dimegahkan oleh kita sehingga kita mampu menidakkan keujudan Allah Taala sama ada sedar atau tidak melalui siri-siri perbuatan kita itu.

Sudah ramai yang telah kita lihat, manusia-manusia yang kecundang apabila tidak sempurna atau tidak ada pegangan Akidah dalam diri. Berbuat sesuatu tanpa ada neraca untuk menjadi penentu. Akhirnya hawa nafsu menjadi pemerintah yang paling berkuasa dalam diri. Betapa egonya hawa nafsu sehingga memesong pendirian dan pegangan diri manusia dari mempercayai atau mengiyakan kekuasaan Tuhan yang sebenarnya.

Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu... (Hadis ke 2: Hadis 40 Imam Nawawi)

Hati, jiwa dan hawa nafsu kita hanya mampu ditundukkan dengan Aqidah. Ikhlaskan hati dan berbanyaklah berfikir tentang segala isi dan kejadian dan penciptaannya yang lain. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Sekiranya sudah memperolehinya, jagalah ia dengan baik, dengan menjaga keasliannya. Walaupun kita tahu bahawa jalan untuk mendapatkannya, terpaksa melalui jalan getir dan sukar sehingga akan mengorbankan nyawa sekali pun.

Wallahu a'lam

abuzorief @ severn road, sheffield
11/12/11 ahad

Thursday, 8 December 2011

Palestin dan jiwa merdeka...


Peta dalaman Palestin berubah wajah lanskapnya dari tahun 1946 sehingga kini. Sehingga rapinya perancangan puak Yahudi dan sekutunya berusaha menukarnya menjadi negara Israel. Peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam peradaban hidup manusia, kalau diperhatikan dimana-mana negara di dunia ini.

Begitu mudah proses rompakan tanah-tanah yang bertuan asal untuk mereka miliki, melalui kekerasan dengan cara melakukan proses halauan, menzalimi, membunuh sekalipun serta mencabuli hak ketuanan bangsa Palestin sewenang-wenangnya melalui undang-undang yang berat sebelah, yang sudah kita ketahui, mereka telah mendiami sejak sekian lama, aman damai dan bahagia dengan puak bangsa lain.

Tidak siuman

Dari manakah datangnya puak-puak Israel yang dianggap hilang akal dan bersifat tidak siuman, yang masuk ke tanah orang lain secara membondong-bondong dengan rakus ibarat serigala yang kelaparan yang bukan lagi menunggu mangsa tetapi pantas menerkam mangsa dengan lahapnya serta gelojoh sekali. 'Serigala' peliharaan 'tuan' yang tidak diajar dengan adab dan kelakuan. Senantiasa sombong dan bongkak mendabik dada, merobek mangsa yang tidak sepatutnya dibunuh.

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). (Al Baqarah:146)

Berterusan sifat dendam kesumat mereka, ketika mana Arrasul masih berada dikota Mekah dan berlanjutan hingga berada di Madinah, mereka bukan sahaja mengherdik, mencaci, menghina, menyihir dan meracuni baginda dan umat Islam malah cuba merancang untuk membunuh baginda dengan berbagai-bagai cara asal tercapai hajat jahat mereka.

Begitulah peristiwa mereka yang banyak membunuh nabi-nabi dan Rasul yang diutuskan keatas mereka. Keangkuhan mereka mendatangkan kemurkaan dari Allah Taala. Malah merekalah bangsa yang paling banyak menerima azab dari Allah Taala.

Laknatullah...

Kini, kalau mereka ini puak Yahudi asal masakan mereka tidak tahu ajaran-ajaran Nabi dan Rasul dahulu kala yang jelas didatangi direct ke atas mereka memberi ajaran dan tunjuk ajar dan memimpin mereka sehingga diangkat menjadi satu bangsa yang mulia di atas muka bumi ini. Akan tetapi dengan kemuliaan itu telah menyesatkan mereka menjadi bangsa yang sombong dan bongkak. Tidak ubah seperti mana yang telah berlaku kepada Iblis laknatullah yang tidak mahu patuh kepada perintah Allah dan ingkar sama sekali, tanpa ingin sama sekali memohon maaf kepada yang maha Khaliq. Yahudi dan Iblis ibarat makhluk yang sama kejadiannya cuma berlainan asal-usul kejadian sahaja. Segala sifat Iblis penuh bersarang di dalam diri mereka. Suka membuat dan mendatangkan segala macam tipu daya, kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi.

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (Al Maidah:78)

Hati hiba...

Saya kira, hati saya yang keras ini, tidak mudah lembut untuk memaksa air mata mengalir tetapi tidak disangka akan terjadi sebaliknya. Mudah pula tersentuh hiba apabila menyaksikan peristiwa kejam yang berterusan berlaku. Sejak menyentuh dan menatap wajah comel anak Palestin dan meyaksikan sendiri penderitaan hidup mereka di kem pelarian, saya punyai semangat baru, saya mampu membayangkan betapa pilu dan sedihnya mereka diperlakukan sedemikian rupa. Mereka diusir sehingga terpaksa meninggal tanahair dan tanah lahir tercinta. Dada tiba-tiba menjadi sebak, dan kalau diteruskan juga mampu mengalirkan air mata... insaf!,... Tetapi apakan daya, hati hanya mampu berkata dari dalam.


Tanah wakaf

Tetapi tanah mereka adalah juga tanah yang telah diwakafkan oleh ummah Islam. Kita masih punyai hak keatasnya, kerana disitulah bermulanya tuntutan Ibadah solat fardhu dan Kiblat pertama umat Islam. Betapa payahnya Arrasul hendak menyakin kepada kaumnya ketika itu apabila berlakunya peristiwa Israk dan Mi'raj yang diluar jangkaan akal logik manusia. Segala tohmahan telah dilemparkan kepada baginda mengatakan peristiwa yang dilaluinya itu semuanya karut dan rekaan cerita belaka. Bagaimanakah kita kalau berada di masa itu?, mampukah kita beriman dengannya?...


Kemenangan

Kita pasti kemenangan akan berpihak kepada mereka dan kita semua, yang pasti dan tetap diberikan kekuatan oleh Allah kepada mereka untuk terus bertahan dan memperjuangkan tanah suci Palestin. Kalau tidak mereka siapa lagi yang akan melakukan tuntutan jihad tersebut. Palestin adalah platform atau medan jihad umat Islam sedunia. Semangat jihad tetap basah dan terus mengalir di dalam diri kita semua kerananya.


Rakyat Palestin adalah peisai kita. Mereka menahan muntahan peluru dengan batang tubuh mereka. Tubuh badan mereka sama dengan susuk tubuh badan kita, tidak ada yang lain rupa bentuknya atau specialnya, Ya!, seperti kita juga. Tetapi di dalam diri mereka dikurniakan Izzah oleh Allah melebihi apa yang ada di dalam diri kita. Jiwa mereka kental dan semangat jihad  mereka terus mengerunkan puak musuh. Semangat juang mereka telah mengambarkan kepada kita bahawa ruh mereka benar-benar terpahat kukuh sepertimana teracu dan terbentuknya pada generasi para sahabat Arrasul ketika mana berhadapan dengan puak Yahudi di zaman itu.
  • Kini apakah peranan kita?
  • Mampukah hanya duduk berpeluk tubuh berdiam diri sahaja?
  • Hanya menyaksikan kekejaman dan rintihan pilu mereka sahaja?
  • atau hanya berkata... entahlah apa yang hendak jadi dengan dunia ini...
  • Kalau kita tidak bertindak, siapa lagi yang akan bertindak.
  • Berusaha seoptima yang mungkin...
  • Ayuh lakukan sesuatu...
Ketenangan jiwa beribadah?..

Selagi kezaliman keatas mereka berterusan berlaku di depan mata kita, selagi itulah sepatutnya jiwa kita tidak tenang. Beribadah kepada Allah pun boleh berasa resah kerana tanggungjawab kita sesama saudara kita masih belum selesai. Ingin melelapkan mata pun tidak sampai hati kerana terbayang-bayang di anak-mata akan keperitan hidup mereka. Jiwa yang basah ialah jiwa yang senantiasa berdampingan dengan Allah dan berukhuwwah sesama saudara sendiri. Sakit mereka sakit juga kita. Derita mereka malah derita kita juga...

Jiwa kita perlu dilembutkan dengan memperbanyakkan...
  • kalimah Istighfar
  • Perbualan dengan ayat-ayat Al Quran Karim
  • Zikr maut
  • Beribadah di tengah malam
  • Berdoa kepada Allah


Ayuh mari lakukan sesuatu untuk mereka...
  • Buat tabungan peribadi dan keluarga untuk Palestin
  • Beri penerangan berterusan tentang isu sebenar mereka kepada masyarakat
  • Mendoakan kemenangan kepada mereka
  • Memperbanyakkan penulisan
  • Serius memboikot barangan keluaran Yahudi dan syarikat-syarikat sekutu yang menyokong mereka 
  • Bersatu sesama kita
  • Terus mengi'tiraf HAMAS sebagai kerajaan sah memelihara negara dan rakyatnya
  • Hulurkan bantuan yang diperlukan oleh mereka sama ada jiwa dan harta
  • dan sebagainya...
Sekadar semangat sahaja tidak memadai untuk terus istiqamah. Makanya, diri kita kena dipastikan berada di dalam sistem pentarbiyyahan secara tesusun.


Saya masih ingat kata-kata Dr Mohsen Salleh (Pengarah Azzaytounna Consultation and Study Centre), dengan katanya "Saya tidak akan berehat dengan isu Palestin dan hanya akan berehat bila jasad saya berada di dalam kubur...", Masyaallah satu percikan keinsafan pada diri saya.

Wassalam

abuzorief @ sheffield
8/12/2011 rabu

Tuesday, 6 December 2011

Generasi yang unggul?...


Program MKP/ISRAA di Lecture Hall, Mechanical Faculty, Sheffield University

Saya mengenangkan apa yang telah diperkatakan iaitu usaha untuk membina generasi Al Quran yang unik atau unggul. Bagaimana?.., macamana?....

Satu persoalan yang besar, yang mana pada kiraan realitinya sangat sukar untuk diperolehi generasi sedemikian, benarkah?

Tetapi tidak mustahil untuk melahirkan generasi sebegini melalui pentarbiyyahan yang berterusan. Pembentukan generasi sahabat terdahulu telah dibuktikan dan mereka mampu menjatuhkan kerajaan Rom dan Parsi dan memerintah 2/3 daripada dunia.

Pengalaman di kem pelarian Palestin



Namun, kini, tidak pula mustahil kerana semasa saya berada di kem pelarian Palestin, Shatila Beirut, saya tidak nampak pun anak-anak palestin yang datang meminta sedekah atau pengemis-pengemis berada di merata-rata tempat, walaupun kita faham dan maklum bahawa mereka berada di dalam keadaan yang cukup susah dan serba kekurangan. Di kejadian yang lain pula, mereka merasa tidak selesa apabila kami ingin mengambil gambar di sekitar kawasan mereka kerana khabarnya mereka tidak mahu ia menjadi bahan ketawa atau lelucun oleh pihak-pihak tidak berkenaan atau sengaja ingin mengambil kesempatan dari kesempitan hidup mereka.

Begitu juga keadaannya yang berlaku di tanah suci Gaza. Menurut salah seorang anggota konvoi AQSA Syarif yang menjejak kaki di sana, walaupun keadaan mereka sangat susah, rumah yang tidak serupa rumah, bangunan-bangunan yang pecah-pecah dibedil dengan peluru dan bom-bom oleh puak Zionist, makanan yang sukar diperolehi, kesihatan yang tidak terjamin, namun mereka tabah, mereka mampu berusaha untuk meneruskan kehidupan, anak-anak dididik dengan penuh izzah (kemuliaan), rakyat dijaga dengan penuh kasih sayang dan kemuliaan, mereka tidak menjadi pengemis atau peminta sedekah, malah mereka masih mampu untuk mempertahankan tanah suci yang menjadi tanah wakaf umat Islam sedunia. Mereka pasrah dengan ketentuan Ilahi dan akan terus mempertahankan tanah barakah itu bagi mewakili pihak kita semua.

Tidak seperti anak-anak 'comel' dan pengemis-pengemis tua yang mengemis di negara sendiri mahupun ditemui di negara-negara jiran. Rakyat di sekeliling boleh dikatakan senang-lenang dan negara amat mewah sehingga 'termuntah-muntah' dengan segala macam kemewahan. Namun tertindas juga golongan sedemikian. Usah dicakaplah tentang keperibadian sepertimana yang dimiliki oleh anak-anak Palestin atau rakyat Palestin.

Sesuatu yang menakjubkan dan sukar untuk mengetahui dimanakah datangnya kelebihan mereka. Mereka mampu menghasilkan generasi yang digeruni oleh puak Israel. Bukan kerana kekuatan senjata dan bukan juga kerana kecanggihan peralatan perang yang bermutu dan berteknologi tinggi.
  • Siapakah mereka?
  • Apakah formula pembentukan keperibadian ini?
  • Kenapa unik sekali generasi mereka?
Kehidupan Arrasul

Di awal usia baginda Arrasul, beliau telah terdedah dengan situasi atau suasana perit, sukar, sedih, hiba, kental, tegas, dan berbagai-bagai lagi. Tambahan pula hidup tanpa mendapat belaian kasih sayang ibu dan ayah dan tentunya tanpa kemesraan diperolehi dari mereka berdua. Di usia dewasa baginda dicemuh oleh kaum keluarga, kerabat dan bangsa serta manusia lain kerana membawa kalimah agung iaitu menyuruh manusia supaya tunduk dan taat kepada Allah sebagai tuhan rabb dan Illah. Semuanya adalah rencana dari Allah Taala yang bukan dibuat-buat secara sembrono untuk mengesahkan kehidupan baginda sedemikian rupa.

Kekentalan hidup baginda menyakinkan manusia yang bersama baginda untuk terus membina generasi yang akan memperjuangkan agama Allah. Malah, rentetan kehidupannya adalah untuk mendidik generasi ketika itu, kini dan akan datang secara langsung tentang ketabahan dan seriusnya usaha mendidik diri, keluarga, sahabat malah memastikan generasi supaya menjadi generasi yang terbaik mengikut acuan yang paling sempurna iaitu Al Quran. Mereka digelar sebagai generasi Al Quran yang unik.
  • Pegangan akidah mereka adalah berpandukan Al Quran
  • Amalan ibadah mereka menepati spesifikasi syariat
  • Akhlak mereka amat sempurna sepertimana termaktub di dalam Al Quran
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah 2:177)

Lihat sahaja kehidupan kita, sama ada di rumah atau di luar rumah, di tempat awam, sekolah atau pejabat, keseorangan atau berteman, bermasyarakat atau berkumpulan dan sebagainya. Malah tidak dinafikan pula dikalangan kita yang mengamalkan berbagai-bagai ideologi dan fahaman yang tidak bertepatan dengan Al Quran dan Sunnah. Apakah ideologi atau fahaman itu?

... Kapitalisma, sosialisma, nasionalisma dan ta'asub kepada bangsa, komunisma, sosialisma, demokrasi, hiburan (hedoisma) dan sebagainya.
  • Berpuas-hatikah kita dengan suasana dan keadaan yang ada?.
  • Bebaskah dengan apa yang diamalkan?.
  • Apakah 'nilaian' yang kita perolehi daripadanya.
  • Yakinkah kita betapa Islam mampu memberikan 'nilai' yang terbaik di dalam kehidupan manusia?
Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui. (Al-Baqarah 2:42)

Generasi yang dibentuk dengan Al Quran adalah generasi yang menolak semua ideologi ciptaan manusia kerana ideologi itu mempunyai banyak kepincangan sehingga menimbulkan kerosakan-kerosakan kepada sistem fitrah ciptaan iaitu hubungan dengan Allah Taala dan juga hubungan sesama manusia.

Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat. (Al-Baqarah 2:85)

Kekuatan aqidah

  • Pembinaan peribadi manusia yang mampu membuang sejauh-jauhnya pengamalan syirik dan sifat serta amalan kurafat dan jahiliyyah
  • Mengakui Allah sebagai rabb dan Illah yang sepatutnya disembah
  • Tidak tunduk kepada selain Allah
  • Menyakini tanpa ragu-ragu Kitab Allah
Berpegang pada prinsip dan bersikap tegas
  • Bertegas di dalam perkara-perkara hukum dan syariat
  • Mempertahankan perkara-perkara yang hak
  • Menolak sekeras-kerasnya perkara batil
Ukhuwwah
  • Menjalinkan ukhuwwah melangkaui batas bangsa dan kaum
  • Bersikap lemah lembut sesama mukmin dan bersikap tegas dengan puak yang menentang Allah dan Rasul
Mentaati Allah dan Rasul
  • Taat kepada suruhan dan larangan Allah dan Rasul di dalam setiap hal dan keadaan
Semoga kita bersama-sama membina generasi yang menepati acuan Allah dan mampu sekali lagi mengegarkan dunia dengan keperibadian yang cukup hebat dengan digelar sebagai generasi Al Quran yang unik.

Rasullullah SAW menyebut "Manusia ini seperti logam, orang yang terbaik dizaman jahiliyyah adalah orang yang terbaik di zaman Islam, jika mereka memahami"
Wallahu 'alam, sekian


abuzorief @ sheffield
10 muharram 1433H
6/12/2011 selasa