Pages

Tuesday 22 March 2011

Ikhlaskah saya?..


Persoalan

Berbagai pertanyaan, diajukan atau dilontarkan tentang bab ikhlas dan bagaimana hendak mendapatkan hakikat ikhlas itu sendiri.

Apabila melakukan sesuatu amal nanti,... Kalau buat nanti rasa megah diri atau kalau buat nanti orang kata itu dan ini, Wah! bagusnya..., Hebat dia tu..., ahli ibadah sungguh dia tu..., dan lain-lain lagi.

Jadi macamana nak memperolehi ikhlas, kalau semua persoalan yang bersarang itu tidak pasti dimana hendak dihuraikan dan dicerahkan. Boleh dikatakan apabila membabitkan masalah ikhlas, ada saja perasaan-perasaan lain seperti riak, sombong dan sebagainya akan timbul dan menjadi batu penghalang untuk kita memperolehi kenikmatan ikhlas beramal di dalam pengibadatan harian kita.

Keimanan dan ketaqwaan

Untuk menjawabnya sangatlah subjektif untuk setiap dari kita dan sebenarnya saya berpandangan dimana, ianya bergantung kepada sejauh mana keimanan dan ketaqwaan diri kepada Allah Taala.

Kerana ikhlas berkait rapat dengan hati, niat dan amalan-amalan ibadah atau kebajikan diri kita kepada Allah Taala.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs ibn Khattab radhiallahu anhu katanya: Aku telah mendengar Rasulullah sallallahualaihi wa sallam bersabda: “Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah. – Riwayat Dua imam Muhaddisin – Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah ibn Bardizbah Al Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al Hujjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naisaburi dalam sahih keduanya.

Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya, lagi tetap teguh di atas tauhid (Al Bayyinah : 5)

Maka apabila mereka naik kapal, mereka berdoa kepada Allah denan penuh rasa pengabdian kepadanya, tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, malah mereka (kembali) mempersekutukan (Allah).

Latih tubi

Ikhlas tidak pernah dan mudah datang begitu sahaja. Ia perlu dicari dan dilatih secara latih-tubi. Ikhlas menuntut kepada usaha gigih dan istiqamah di atas setiap amal yang dilakukan. Kadang-kadang, ia mudah sahaja diperolehi dan malah ada pula memakan masa yang lama dan mungkin bertahun-tahun lamanya.

Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi saw bersabda, Sesiapa berazam untuk membuat kebaikan tetapi tidak melakukannya, tetap ditulis untuknya satu pahala kebaikan. (Sahih Bukhari dan Muslim bilangan (6/34) dan riwayat Abu Daud (2508)

Perasaan ikhlas mestilah diasuh, dilatih dan dilakukan berterusan, walaupun pada mulanya akan datang perasaan riak, malas, bermegah-megah atau sebagainya. Tetapi apabila datang perasaan sedemikian, janganlah pula kita terus meninggalkan amalan itu begitu sahaja dengan alasan hendak menjauhkan sifat riak, bermegah-megah dan sebagainya.

Katanya apalah perlu dilakukan sekiranya amalan itu tidak mendapat apa-apa, malah lupus begitu sahaja apabila ada perasaan riak di dalam hati. Bagi saya pendapat dan pandangan sebegini tidak membina diri dan agak pasif serta negatif.

Inilah pertarungan jiwa yang hebat berlaku di dalam diri kita sendiri. Namun semua sifat yang mendatang itu juga perlu diberikan perhatian dan hati perlu dididik dan bermujahadah supaya lebih banyak perasaan takutkan pada Allah Taala di dalam setiap tingkah laku dan amal perbuatan.

Dan kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadika dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (Al Furqan: 23)

Bagi saya ikhlas itu akan diperolehi akhirnya setelah apabila kita merasa serba salah apabila tidak melakukan setiap amalan yang sebelumnya dilakukan. Contoh seperti Solat wajib 5 waktu, membaca Al Quran, sedekah, solat Dhuha, Tahajjud dan Witr, sunat rawatib dan sebagainya.

Natijahnya, amalan kebajikan yang selama ini dilakukan akan dilindungi pula oleh perasaan Ikhlas yang sentiasa mendorong sipelaku untuk melakukannya. Manakala amalan jahat pula akan dididik oleh perasaan ikhlas supaya meninggalkan segala perbuatan jahat dan terkeji. Ikhlas akan menjaga peribadi kita sehingga melahirkan perasaan Ehsan dan muraqabah, yang mana ehsan ini adalah puncak kepada pengabdian dan penghambaan diri kita kepada Allah Taala.

Ma'ruf Al Kurki sentiasa memukul diri sendiri dengan berkata: Wahai diri, ikhlaskan diri nescaya kamu akan terselamat.

Abu Sulaiman berkata: Bahagialah siapa yang setiap langkahnya hanyalah untuk mendapat keredhaan Allah Taala.

Setiap detik untuk mendapatkan perasaan ikhlas ini perlulah melakukan mujahadah. Sebab itu tidak pelik apabila Rasulullah mengingatkan para sahabat yang baru selesai berjuang, akan ada jihad yang lebih besar dari ini, iaitu mujahadah nafs. Termasuklah ikhlas adalah sebahagian daripadanya, yang memerlukan pengorbanan jiwa untuk berperang dan membebaskan diri dari cengkaman riak, sombong, bermegah diri dan sebagainya..

Ayuh lakukan amal sebanyak mungkin sehingga kita merasa perasaan riak itu dapat dihindarkan dan ditinggalkan sedikit demi sedikit sehingga terus lenyap dari dalam diri kita sendiri, sehingga kita merasa seronok untuk melakukan amal kebajikan kerana Allah Taala.

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiayai seseorang sekalipun seberat zarrah. Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah itu) amal kebajikan, nescaya Dia akan menggandakannya. (An Nisa : 40)

Beberapa panduan
  • Melakukan amal walaupun sekecil-kecil amal
  • Sentiasa melakukan amal sama ada seorang diri atau dikhalayak ramai
  • Berterusan atau istiqamah sehingga sebati menjadi amal peribadi.
  • Menjaga makanan dan mengambil yang halal
  • Hadirkan di dalam diri, bahawa setiap amal itu dilihat oleh Allah Taala
  • Melakukannya sama ada suka atau tidak suka, sukarela atau terpaksa
  • Sentiasa berusaha untuk menambah-baikan amalan yang dilakukan
  • Sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan untuk beramal
Nota:
[1] Sahih Bukhari dan Muslim, riwayat Abu Daud
[2] Terjemahan Al Quran
[3] Ringkasan Kitab Jalan Mereka yang menuju Allah Jilid 2 - Imam Ahmad Bin Qudamah Al Maqdisi, Pustaka Salam

abuzorief @ rochdale
20/3/2011, Ahad

1 comment: