Tipu daya dan malu
Bilakah akan berkesudahannya isu Palestin yang tidak ada sedikit pun jalan penyelesaian, melainkan tipu daya dan sendiwara dari pelbagai pihak untuk mengaburi mata kita semua... sedangkan mereka telah melalui penderitaan dan azab ini puluhan tahun tanpa pembelaan.
Saban hari, mereka melaungkan jeritan, raungan kesakitan, tangisan, kematian, kegelisahan, kelaparan dan harapan mereka disana adalah kemerdekaan dan kembalikan hak-hak mereka dibumi sendiri tetapi kita disini hanya menonton sahaja seolah-olah menonton cerita lakonan dilayar-layar TV malah yang canggih lagi di layar TV Plasma atau sebagainya.
Siapakah mereka dan siapakah kita sebenarnya?...
Siapakah mereka dan siapakah kita sebenarnya?...
Sepatutnya kita merasa malu kepada diri sendiri kerana kita tidak melakukan sesuatu untuk membela mereka malah lebih-lebih lagi kita menyerahkan kemerdekaan Masjid Al Aqsa ditangan mereka secara bulat-bulat. Mereka menahan dada-dada mereka sebagai perisai kepada peluru-peluru hidup yang datang bertubi-tubi sehingga bersarang-sarang dada-dada mereka dik bedilan peluru yang tidak bermata itu.
Sekali lagi saya bertanya pada kalbu saya sendiri, kepunyaan siapakah Masjid Aqsa itu?
Malu pada diri sendiri memang tetap malu, kerana Masjid Al Aqsa itu adalah milik kita semua. Tetapi kita sedikit pun tidak merasai cemas, gundah dan gelisah... apakah dan bagaimanakah nasib yang menimpa Masjid yang agung ini.
Ketika Umar Al Khatab berjaya memasuki Masjid Al Aqsa beliau dengan sayu dan sebak serta menangis apabila mendapati sampah bertimbun-timbun diperkarangan masjid kerana penghinaan yang diberikan pada Masjid Al Aqsa lalu beliau sendiri mengangkat jubahnya untuk mengutip sampah-sampah tersebut. Beliau juga mengarahkan tentera-tentera Islam lainnya melakukan perkara yang sama sehinggalah bersih.
"Kita berhutang dengan rakyat Palestine selagi Palestine dan Baitul Maqdis tidak dibebaskan" Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.
- Apakah kaitannya kita dengan Palestine dan Baitul Maqdis sehinggakan kita dipaksa untuk memperjuangkannya?... sama-samalah kita fikirkannya
- Apakah perlunya juga kita turut bersama dengan rakyat Palestin berjuang membebaskan tanah yang dikatakan Barakah itu?... sama-samalah kita merenungkannya
Masjid Aqsa mesti dibebaskan walau dengan apa cara sekalipun. Kita mesti buangkan sedikit keselesaan hidup kita demi untuk merealisasikan cita-cita ini, walaupun penghujungnya kita tidak mengetahui bilakah akan datangnya kemenangan itu.
Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka, mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah?. Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung (At Taubah [9] : 111)
Dimanakah anak-anak muda kita?
Saya juga agak terharu bila melihat kesungguhan Dr Hafidzi yang bersungguh-sungguh dengan MKP Tour Palestine UK 2011 baru-baru ini dengan keadaan kesihatannya tidaklah sekuat sepertimana orang-orang muda. Tetapi semangat yang ditunjukkan menampakkan kepada saya bahawa beliau bukannya 'main-main' untuk memperjuangkan isu Palestin di persada masyarakat.
Masyarakat kita perlu disedarkan... dan masyarakat kita mesti bersama-sama berjuang untuk menaikan kembali maruah dan martabat ruh Islam di atas muka bumi ini.
Tetapi sebak hati kerana kelihatan anak-anak muda begitu rakus dan tenggelam di dalam keasyikan hiburan dunia. Mereka hilang sifat 'kejantanan' untuk menjadikan diri mereka seperti mana yang disebut di dalam Quran sebagai Ar-Rijal yang berjuang di atas jalan Allah dan menjadi Fidyatun yang beriman dengan Allah Taala.
Siapakah Ar Rijal dan fidyah itu?...
Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka (Al Kahfi [18] : 13)
"Inilah anak-anak Palestin. Mereka punyai Keberanian, Kesabaran, Kekuatan, Tawakkal dan banyak lagi sifat mulia yang telah terhakis dari umat ini. Mereka adalah guru kita untuk menaikkan semula umat ini yang dilanda penyakit cintakan dunia dan takutkan mati." AQSA Syarif
Masalah Sosial
Anak-anak muda kita banyak yang terjebak dengan masalah-masalah sosial seperti penzinaan atau pelacuran, pergaulan dan sex bebas berlainan jantina, hamil sebelum nikah dan pembuangan bayi, minum arak, hiburan yang melampau (hedonism[1]) dan sebagainya. Negara seolah menyepi untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya memberikan penyelesaian dengan cara 'menghalalkan' sahaja perbuatan ini. Mereka digalakkan lagi menggunakan alat-alat 'perlindungan' dengan katanya untuk mengurangkan masalah kehamilan dan pembuangan bayi. Malah mendirikan pusat-pusat hiburan di merata tempat yang sebenarnya adalah sebagai salah satu punca merebaknya masalah sosial anak-anak muda mahupun orang-orang tua yang khayal dan 'mabuk' dengan keseronokan dan keasyikan permintaan serakah amarah hawa nafsu semata-mata. Setiap masalah perlu diselesaikan dari puncanya dan bukan sahaja pada hujung masalah atau penyakit yang terjadi.
Anak-anak muda mesti 'digoyang dan direntap' diri mereka supaya mereka kembali sedar dari lamunan dan asyiknya dengan keseronokan dunia. Mereka mesti kembali kepada tarbiyyah sepertimana yang diajar oleh Ar-Rasul SAW. Kita tidak mahu menjadi seperti buih-buih di lautan yang mengambarkan betapa banyaknya orang-orang Islam tetapi sedikit pun tidak berkualiti dan bermanfaat pada dunia Islam. Para sahabat Rasulullah kerap berdoa supaya mereka tergolong di dalam golongan orang-orang yang sedikit, kerana golongan yang sedikit ini sentiasa bersyukur kepada Allah Taala.
Jadi, dimanakah pendirian dan tindakan kita?...
Nota
[1] Hedonism is a school of thought which argues that pleasure is the only intrinsic good.[1] This is often used as a justification for evaluating actions in terms of how much pleasure and how little pain (i.e. suffering) they produce. In very simple terms, a hedonist strives to maximize this net pleasure (pleasure minus pain). http://en.wikipedia.org/wiki/Hedonism
abuzorief @ darnall, sheffield
9/3/2011 Rabu
agaknya sampai kiamat..
ReplyDelete