Carboot Oldcote
Anugerah ciptaan
(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia (Adam) dari tanah. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)Ku. (As Sood : 71-72)
Sungguh indahnya ciptaaan Allah Taala kerana menjadikan manusia itu berpasang-pasangan dan berbangsa-bangsa dan disuruhnya saling kenal mengenali di antara satu sama lain. Itu adalah sebahagian daripada asas kehidupan manusia supaya kita lebih berinteraksi dan berkomunikasi kerana fitrah kehidupan manusia sukakan pergaulan dan tidak suka hidup bersendirian.
Wahai manusia!, sungguh kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sunguh, Allah Maha mengetahui dan maha teliti (Al Hujurat [49] : 13)
Manusia yang tercipta secara berbangsa dan berlainan adat resam dan tradisi serta bahasa telah menyebabkan kehidupan manusia itu menjadi unik dan kepelbagaian ini telah menyebabkan manusia berusaha untuk berinteraksi atau berkomunikasi di antara satu sama lain walau apa cara sekalipun. Sama ada berlainan bahasa atau penggunaan satu bahasa yang semuanya boleh difahami telah menjadikan hubungan manusia dan saling kenal mengenali itu menjadi mudah dan penjadi penyebab kepada kita untuk membina hubungan ukhuwwah di antara satu sama lain.
Bina ukhuwwah
Islam sama sekali menentang perbuatan manusia itu bermusuhan diantara satu sama lain. Malah, Islam membuka peluang selebar-lebar mungkin jaringan interaksi dan memberikan penekanan betapa pentingnya ukhuwwah itu dibina.
Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat (Al Hujurat [49] : 10)
Berhubung dengan perkara ini juga terdapat salah satu golongan yang dinyatakan di dalam hadis tentang tujuh golongan yang Allah akan naungi mereka di bawah naungan nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungannya sahaja iaitu "Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, mereka berhimpun atau bertemu kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah" [1]
Adab pergaulan
Islam amat menitik-beratkan seni-seni perhubungan dan adab-adab pergaulan sesama manusia.
Sabda Rasulullah SAW, Seseorang itu berada di atas agama temannya maka hendaklah seseorang dari kamu melihat dengan siapa dia bersahabat (Hadis riwayat Abu Daud (4833) dan At Tarmizi (2379) daripada Abu Hurairah r.a dengan sanad yang hasan)
Dari Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, Demi diriku yang berada dalam kekuasaanya, seseorang dari kamu tidak akan beriman (sempurna imannya) sehingalah dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari (1/53,54), Muslim (45), An Nasaie (8/115), At Tarmizi (2517) dan Ibnu Majah (66)
Rukun usrah
Amat menarik sekiranya kita lihat di kala Rasulullah menyatukan puak ansar dan muhajirin di Madinah tanpa ada rasa sengketa dan rasa tidak puas hati di antara mereka. Kasih sayang dan jalinan mahabbah menjadi teras ukhuwwah.
Di akhir khalifah Islamiyyah tumbang, masyarakat Islam 'terpinga-pinga' mencari kekuatan, Iman Hasan Al Banna berjaya membentuk kembali institusi 'keluarga Islam' berlandaskan keimanan teguh kepada Allah Taala. Melalui rukun ini, ia berjaya menyatukan tali atau ikatan ukhuwwah sesama muslim yang benar-benar menyayangi kemanisan berukhuwwah sesama sendiri. Saling menjaga dan mencari keaslian mentauhidkan Allah Taala, mengabdikan diri beribadah kepadanya dan saling memperelok dan menyantuni akhlak yang terpuji sepertimana yang dikehendaki di dalam Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW.
- Taaruf (berkenalan)
- Tafahum (bersefahaman)
- Takaful (berseimbangan)
Nota
[1] Riwayat Al Bukhari (2/119), Muslim (1031), Malik (2/952), At Tarmizi (2392) dan An Nasai'e (8/22)
[2] Usrah dan Dakwah – Imam Hassan Al Banna
abuzorief @ concord sport centre, sheffield
12/3/2011, Sabtu
No comments:
Post a Comment