Alhamdulillah kesan boikot ke atas barang-barang kepunyaan Syarikat yang menyokong
Zionist Israel telah menampakkan hasilnya. Kalau mereka secara terang-terangan menyokong
Zionist, maka kita juga mesti terang-terangan memboikot mereka. Timbulkan rasa sensitiviti dan kemarahan kita secara terbuka.
Walaupun, kita melawan mereka bukan dengan peluru dan senjata tetapi kita mesti memaksa diri kita dengan melawan hawa nafsu kita untuk tidak membeli barang-barang yang banyak menyokong
Zionist Israel semata-mata untuk membunuh dan menzalimi rakyat Palestin dan lainnya. Ini isu keadilan dan hak kemanusiaan. Banyak mangsa kematian dan kecederaan itu terdiri daripada anak-anak kecil, wanita, orang tua dan mereka yang tidak bersenjata.
Setiap diri kita mesti disedarkan dengan setiap tindakan dan apakah kesannya tindakan yang kita lakukan. Setiap tindakan itu mestilah ada
hadaf (tujuan) dan
awlawiyyat (keutamaan). Terutama tindakan yang kita lakukan itu ada kaitannya dengan kezaliman dan pembunuhan.
Saya bersyukur sangat kerana masyarakat Malaysia kini sudah sedar dan semakin ramai yang menyokong usaha memboikot ini. Kalau dulunya usaha ini diperlekehkan dan dipandang sebelah mata sahaja, kini seluruh dunia telah bangun menyatakan kebersamaan mereka. Sekarang bukan lagi isu agama tetapi isu kemanusian dan hak kemanusiaan sejagat.
Syukur, saya membesarkan anak-anak saya dengan tidak memberi mereka makan
McD, tidak memenuhi rumah saya dengan produk
Nestle, tidak memenuhi peti sejuk dengan
Coca-Cola atau
Pepsi atau produk yang ada kaitan dengan menyokong
Zionist. Anak-anak saya tidak menjadi orang 'gila' kerana tidak dapat makan makanan yang berjenama tersebut.
Walaupun produk itu halal tetapi saya telah 'mengharamkan' setiap pembelian produk, sebelum saya berumahtangga lagi kerana saya sedar bahawa syarikat-syarikat itu telah banyak menghancurkan nilai-nilai dan hak-hak kemanusiaan yang hakikatnya semua manusia mengimpikan keamanan dan keadilan.
Cukuplah dengan apa yang
Zionist telah lakukan ke atas rakyat Palestin. Sudah lama mereka menderita dan bertahan di atas tanah mereka sehingga sekarang. Mereka berjuang di atas tanah dan halaman sendiri, mempertahankan negara, kedaulatan tanahair, mempertahankan kesucian agama, tempat lahir dan dibesarkan dan lainnya adalah tanggungjawab, tetapi mereka pula digelar sebagai penjenayah,
terrorist dan sebagainya di dalam negara dan tanahair sendiri.
Sesungguhnya Palestin adalah 'guru' kepada kita, kerana mereka 'mengajar' kita untuk mempertahankan kemuliaan dan kemerdekaan diri, sedangkan kita yang melihat mereka masih terjajah dan kalah kerana terbelenggu dengan hawa nafsu dan ego sendiri.
bersambung...
abuzorief @ kulim
5/8/2014 selasa