Pages

Tuesday 29 January 2013

Lorong-lorong pahala...


Alhamdulillah, puas rasanya 'berkampung' untuk menjayakan program AQSA2GAZA@Mydin yang telah diadakan di Pasaraya Mydin Bukit Jambul, Penang baru-baru ini iaitu pada 26 (Sabtu) -27 (Ahad), Januari 2013 untuk jangka masa 3jam sahaja sehari.

Program ini adalah kesinambungan aktiviti untuk menbantu mereka di Gaza, Palestine yang dizalimi oleh puak Zionist Israel dan membantu rakyat Syria bebas disebabkan kekejaman Pemerintahnya Basyar Assad serta regimnya. Semuanya disebabkan oleh kerakusan dan ketamakan manusia untuk berkuasa dan mengaut harta, sehingga sanggup mengenepikan hak-hak orang lain.

Pengalaman berharga...

Banyak pengalaman yang menarik apabila melihat gelagat, memerhati tingkah-laku, berbual, bertukar-tukar pandangan dengan manusia baik lelaki, perempuan, tua, dewasa, kanak-kanak, muslim, non-muslim, Melayu atau bangsa lainnya. Inilah salah satu anugerah yang Allah berikan kepada manusia itu sendiri. Bahkan, ia mengingatkan saya kembali, tentang satu ayat di dalam surah Al-Hujurat 49:13...

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).


Mencari pahala...

Untuk mendapat kemuliaan di sisi Allah itu sangat banyak. Ruang-ruang pahala yang diberikan itu pun cukup banyak.

Apakah kita masih mencari-cari atau menunggu-nunggu sahaja?.
  • Mengenali antara satu sama lain (taaruf: fizikal, pemikiran dan emosi)
  • Memahami tingkah-laku dan perangai manusia (tafahum)
  • Tolong-menolong di antara satu sama lain (takaful, Wataawanu 'alal birriwattaqwa)
  • Melakukan kebajikan sesama manusia (fastabikul khairat)
  • Mengajak dan membawa anak-anak dan isteri bersama melakukan kebajikan (Surah alKahfi 18: 46)
  • Berdakwah (Bil-lisan, Bil-Akhlak, Bil-Hadaf, dan sebagainya...)
  • Ringan mulut untuk bermuayasyah (bersembang)
  • Mengajak dan mengikat mereka bersama-sama melaksanakan kebajikan (Rabtul Am)
  • Dan sebagainya


Kembali untuk bertaqwa...

Berbanyaklah kita memohon ampun kepada Allah yang maha pengampun. Siapa lagi kalau tidak kepadanya.

Mendokong serta melaksanakan kerja-kerja kebaikan dan kebajikan itu mestilah bermula dari diri kita sendiri (self-motivated). Kerana usaha seterusnya, bersama-sama menyeru manusia lain ke arah kebaikan dan melarang mana-mana individu atau puak atau segolongan besar manusia dari melakukan kemaksiatan dan kemungkaran adalah kerja yang mulia dan perlu. Kalau kita tergolong di dalam golongan manusia yang sentiasa mencari kebaikan maka sudah pasti kita termasuk di dalam golongan orang-orang yang berjaya (muflihun). Itulah janji Allah Taala kepada hambanya.


Unik...

Setiap manusia itu ada keunikannya. Unik dari segi cara fikirnya, tindakannya mahupun keikhlasan hati nuraninya. Tidak semua manusia itu mempunyai cara fikir yang sama, atau tindakan dan kerja buat yang sama ataupun ransangan kebaikan dan keikhlasan hati yang sama. Jika semua keunikan itu di'himpun'kan atau bersatu nescaya ia mampu memberikan manfaat yang besar.

Di dalam kerja dakwah, jika semua para pendakwah (dai'e) memanfaatkan keunikan masing-masing nescaya kita akan dapat melihat manfaatnya. Jauh dari itu, kita akan lihat semua orang akan merasa seronok berusaha dan bersungguh-sungguh melaksanakan Islam di dalam seluruh aspek kehidupan. Hasilnya itu bukan sahaja dirasai oleh manusia tetapi makhluk ciptaan Allah yang lain, insyaallah tempiasannya juga adalah satu kemanisan dan semua dapat merasainya kemakmurannya.
  • Bukankah Islam itu menyelamatkan manusia dari kejahatan dan kerakusan?
  • Bukankah Islam itu adalah selamat dan menyelamatkan?
Marilah sama-sama kita usahakan untuk mengangkat martabat Islam ditempatnya.

Semoga Allah meneguhkan keimanan kita dan terus berjuang untuk kebajikan dan kebaikan demi untuk Islam tercinta.

Sekian.

abuzorief @ pasaraya mydin, bukit jambul penang
pengarah AQSA2GAZA@Mydin
26-27/1/2013 (3-6ptg), sabtu dan ahad
29/01/2013 selasa
9.12am

2 comments:

  1. Tahniah... Muga keikhlasan mengiringi usaha kita itu dan ganjaran Allah melimpahi jalan-jalan di hadapan!

    ReplyDelete
  2. Tahniah dari saya untuk team ini.

    ReplyDelete