Pages

Monday 6 September 2010

Ramadhan vs e-mail, facebook atau Quran


Bila kita berhadapan di antara 2 situasi di persimpangan, yang mana satu hendak dipilih, A atau B?... sedangkan kedua-duanya amat jauh perbezaan kepentingannya...

Bukankah menarik persoalan ini?...

Begitulah apa yang berlaku pada diri kita sendiri. Hendak membaca Quran ke... atau nak baca email yang bertalu-talu masuk memenuhi inbox folder... Pilihan sebegini pula terjadi bila mana time hendak membaca Quran ataupun sudah membaca beberapa baris ayat.

Baru mula hendak menyelak halaman juzuk, Aaih! tengok email dululah... Bila sudah membaca beberapa baris ayat, malah belum habis pun semuka, Aaih! klik facebook satlah...

Bila sudah membaca email, maka berlengah-lengahlah pula masa dihabiskan untuk membaca dari satu email ke satu email... Kalau ke bahagian facebook atau ada yang commented facebook... menerawang pula di kepala otak, eissh! apa depa komen haa, tengok sat... maka habis seluruh isinya di'khatam' dik jauhnya 'dunia' dan maklumat yang dijelajahi. Asalnya tadi hendak 'menjelajah' sekejap sahaja, tetapi semakin berjam-jam pula masa di'sedekah'nya begitu sahaja.

Yang menanti tetap menanti, Quran tetap setia berada disisi menanti untuk ditatapi. Amat setia menunggu dari seminit, sejam dan terus sehari... namun tetap juga tidak diselaknya.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Yunus [10:57]

Pengurusan diri dan masa

Sepertimana dimaklumi, Ramadhan hanya datang setahun sekali. Bulan yang penuh barakah dan diganjari pahala yang amat banyak dan tidak terhingga. Kemuliaannya tidak dapat ditandingi di bulan-bulan yang lain. Namun, hakikat yang terjadi adalah desakan nafsu kita sentiasa menjadi batu halang untuk kita terus istiqamah dan 'bekerja' keras untuk menambah amal yang dijamin dan pasti mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

Peribadi yang bijak dan cerdik adalah peribadi yang berjaya menyusun masa dan mengurus diri supaya Ramadhan ini tidak disia-siakan berlalu begitu sahaja. Tahap kawalan yang serius terhadap masa dan tenaga di bulan yang mulia ini akan memberikan kepuasan yang maksima sekiranya diurus dengan baik. Aktiviti-aktiviti amal di bulan ini diberikan perhatian khusus berbanding dengan bulan.
  • Kalau Al Quran selalunya dibaca 1 baris ayat atau 1 muka surat, tetapi di bulan Ramadhan dihabis untuk sejuzuk setiap hari dan mentadabbur ayat sebaik mungkin.
  • Kualiti Tarawikh ditingkatkan
  • Hubungan silaturrahim dijaga, bermaaf-maafan dan memohon keampunan sesama manusia.
  • Memperbanyakkan taubat kepada Allah
  • Memperbanyakkan amalan sunat
  • Memperbanyakkan bersedekah terutamanya memberikan bantuan kepada fakir miskin dan kepada yang sangat memerlukan
  • Menggelakkan pembaziran masa
  • Menggelakkan pembaziran makanan ketika berbuka dan bersahur
  • Tidak mengumpat dan mengadu domba dan kekal menjaga perbuatan ini dibulan-bulan yang lain
  • Berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan amal maaruf dan mencegah kemungkaran
  • Dan sebagainya.

Sekiranya kita benar-benar sayangkan dengan kehadiran Ramadhan ini, maka perlakukan amal yang terbaik sepanjang kehadirannya.

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. Al-Baqara [2:269]

Madrasah

Di dalam madrasah Ramadhan ini tidak ada guru yang mengajar dan mendidik kita melainkan kita sendirilah yang menjadi guru kepada diri sendiri. Kitalah yang mejadi hakim dan juri ke atas diri kita sendiri.
  • Belajar mendisiplin diri sendiri
  • Belajar memperbaiki diri sendiri
  • Belajar untuk menjadi patuh dan taat kepada Allah
  • Belajar untuk membersihkan hati nurani
  • Belajar untuk menundukkan hawa nafsu dan sifat terkeji atau mazmumah
  • Belajar untuk mempertingkatkan sifat terpuji atau mahmudah
  • Belajar untuk mematuhi masa
  • Belajar untuk menjadi peribadi yang pemurah
  • dan sebagainya
Inilah keistimewaan Ramadhan yang menjadi medan atau platform untuk mengubah nasib diri. Berdoalah kepada Allah Taala supaya kita terus kekal istiqamah dan berjaya melaluinya dengan satu kejayaan.

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri....

Wallahu a'lam...

abuzorief @ sheffield
6/9/2010, monday
27 Ramadhan 1431h
3:37pm

No comments:

Post a Comment