Pages

Thursday, 26 August 2010

Ramadhan vs penderitaan


Sudah masuk setengah purnama berpuasa. Alhamdulillah, anak-anak pun sudah steady untuk menghabiskan setengah bulan terakhir. Pada awalnya mereka merungut kelaparan. Maklumlah puasa yang paling lama sepanjang sejarah hidup. Di awal ramadhan, sahur tamat pada jam 3.30 pagi dan berbuka pada jam sekitar 9.00 malam. Jangka masa yang panjang. Lebih kurang 17 - 18 jam berpuasa. Walaupun tidak seberapa panas, tetapi air di dalam badan cepat juga dehydrated. Perut mula pedih di penghujung yang ke 15 jam terakhirnya. Namun kalau diisikan dengan aktiviti insyaallah ia mampu melupakan 'penderitaan' tersebut.

Kekurangan makan

Begitulah agaknya yang berlaku pada mereka yang menderita kekurangan makanan. Pedih perut, sakit perut, lemah badan tidak bermaya, penat dan sebagainya bila berkeadaan miskin dan fakir. Tidak ada duit untuk berbelanja. Atau pun sekadar hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi yang tidak berkemampuan langsung, usahkan kais, tengok makanan pun tidak ada. Inilah yang telah berlaku di bumi Gaza, Palestine, atau negeri-negeri yang mengalami krisis ekonomi yang teruk.

Tarbiyyah di Madrasah Ramadhan

Walaupun 'penderitaan' yang kita alami hanya sementara waktu sahaja tetapi ianya cukup memberi pengajaran yang besar di dalam kehidupan. Madrasah Ramadhan telah menyediakan ruang tarbiyyah untuk kita sama-sama menjalani latihan samada berbentuk jasmani, rohani mahupun akal fikirian. Ia mampu menundukkan sikap ego, bermewah-mewah, dan segala sifat mazmumah yang lain. Tetapi dicelah-celah proses tarbiyyah ini juga, ada dikalangan kita tewas dan kalah dengan perkiraan diri kita sendiri. Mereka yang tewas di bulan ini sudah tentu akan tewas di 11 bulan seterusnya. Tewas dengan desakan hawa nafsu. Tetapi bagi mereka yang berjaya mendidik diri di Madrasah ini, maka mereka akan menang kerana berjaya menundukkan hawa nafsu yang selama ini telah menguasai diri selama 11 bulan sebelumnya. Sebulan di dalam pentarbiyyahan ini juga akan mencorakkan warna-warni kehidupan yang panjang yang penuh dengan cabaran.

Penderitaan sebenarnya menginsafkan diri kita supaya lebih melihatkan kerahmatan Allah di dalam diri sendiri. Mampu untuk merubah kehidupan dari kurang bersyukur kepada lebih bersyukur kepada Allah Taala. Dari bermegah-megah dengan kehidupan kepada tunduk dan tawaduk mencari keredhaan Allah Taala. Dari sikap pembaziran kepada suka memberi dan bersedekah kepada yang memerlukan.

Allah telah menfardhukan puasa ini kepada orang-orang sebelumnya. Ini bermakna proses tarbiyyah diri manusia telah berlaku sekian lama. Corak pentarbiyyahan ini adalah proses yang asli atau sibghah Allah dan bukannya cipta dan rekaan manusia, namun pemilik sebenarnya adalah Allah Taala. Umum mengetahui akan kebaikan amalan berpuasa bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi lebih kepada timbang-tara di antara kehidupan manusia di atas muka bumi ini untuk dikira di padang mahsyar kelak.

Keampunan

Sikap kita berlebih kurang melaksanakan amalan ini akan merugikan kita. Kerana Allah Taala telah memberi jaminan bahawa bulan ini merupakan bulan rahmat, maghfirah dan diampunkan segala dosa. Bulan yang mengatasi kebaikan dari 1000 bulan. Tetapi dengan syarat, ianya perlulah dilakukan di dalam ruang lingkup spesifikasi yang dikehendaki.

Kita mendoakan supaya Allah Taala mengembalikan rahmatnya di atas muka bumi ini. Banjir, kemarau dan berbagai-bagai mala-petaka yang berlaku sekarang telah mengakibatkan banyak masalah. Tanaman rosak dan bekalan makanan berkurangan. Krisis makanan yang melanda telah meresahkan kehidupan kita. Kesannya bukan sahaja di negara yang dilanda mala-petaka tetapi dirasai oleh seluruh manusia di atas muka bumi ini. Barang-barang makanan berkurang dan harga barang makanan turut melambung naik.

Bila melihat anak-anak sendiri menangis kelaparan, terbayang sayu kerana lebih jutaan anak-anak miskin yang kelaparan yang memerlukan makanan. Bila anak-anak sendiri memilih-milih makanan yang berada di depan mata, terbayang sedih melihat jutaan anak-anak miskin yang tidak mampu untuk merasa hidangan yang berkhasiat dan sedap. Bila anak-anak sendiri membazir-bazirkan makanan, terbayang hiba bila mengenangkan jutaan anak-anak miskin yang mengharapkan belas kasihan dari kita semua untuk mendapatkan sesuap makanan.

abuzorief @ sheffield
26/8/2010
5.16pm

No comments:

Post a Comment