Pages

Friday, 20 August 2010

Ramadhan vs pembaziran

 
Sejak di ambang Ramadhan lagi sudah digembar-gemburkan dengan berbagai-bagai 'pesta' yang akan berlaku di bulan Ramadhan. Paling menyedihkan lagi apabila tiba di akhir bulan. Tiada lagi pahala, barakah, rahmah dan maghfirah. Seolah-olahnya bulan Ramadhan ini bulan yang penuh dengan keraian, temasya dan keramaian yang jarang-jarang sekali kita jumpa di 11 bulan yang lainnya. Dari pesta pasar Ramadhan, berbuka puasa di Hotel atau clubhouse atau di restoren-restoren, jualan murah hari raya di supermarket atau pasaraya, jualan lelong pakaian raya di gedung beli-belah atau perabot hiasan atau barangan elektrik terkemuka dan berjenama sehinggalah pesta moreh di masjid-masjid. Dibulan inilah juga terasa mata menjadi begitu rambang sekali dan nafsu pula meronta-ronta membisik di hati supaya membeli dan terus membeli.
Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran duit dilaburkan dengan begitu sahaja...

Dibulan puasa ini juga dirasakan masa begitu banyak terluang sehingga tidak mampu juga untuk diisinya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Paling banyak sekali ialah aktiviti bersantai dan menonton TV, Video, bermain games atau tidur yang berlebihan atau melebihi had waktu. Sedangkan masa terluang ini boleh sahaja diisi dengan membaca Quran, zikir, membaca dan menelaah buku, solat sunat dan sebagainya.

Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran waktu berlaku dan dibiarkan begitu sahaja berlalu...

Kalau juadah berbuka puasa, jangan cakaplah... memang banyak dan beraneka jenis juadah dan hidangan. Semuanya menarik dan sedap-sedap belaka. Dari juadah yang berwarna merah, biru, kuning, hijau atau berwarna-warni sehinggalah ke warna hitam, semuanya sedap dan menawan di mata terus ke hati. Tetapi akhirnya yang dimakan hanyalah pilihan yang sedap di mulut dan di anak tekak sahaja. Dan yang lainnya menerima nasib yang kurang baik kerana akan dihumbannya ke dalam tong sampah yang tidak berapa dipenuhi dengan penghuni sampah atau di longkang atau paling bertuah pun ayam-itik peliharaan di reban.

Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran rezeki dan makanan sehingga dibuangnya dengan begitu sahaja...

Wallahu'alam

abuzorief @ sheffield
20/8/2010

No comments:

Post a Comment