Pages

Tuesday 7 September 2010

Ramadhan vs akhir yang pasti


Hampir beberapa hari lagi akan berlabuh tirai Ramadhan. Countdown ini turut berdetik bersama detiknya nadi urat di tubuh. Sebak dan cemas sentiasa menerpa di ruang kotak hati yang selama ini telah melalui sebulan proses tarbiyyah di madrasah Ramadhan. Adakah masih ada lagi saki-baki karat mazmumah dan kotoran jahilliyah yang melekat di sudut-sudut hati tersebut?...
 
Semak!...

Wallahu 'alam, Allah lebih mengetahui dan hanya kita sahaja yang tahu dan perasan akan perubahan terhadap diri kita sendiri...
 
  • Kalau dulu selalu mengadu domba, selepas Ramadhan pasti tidak lagi...
  • Kalau dulu tidak bermotivasi dalam kehidupan tetapi selepas Ramadhan pasti melonjak semangat dan azam...
  • Kalau dulu kurang amanah sebagai pekerja, tetapi selepas Ramadhan tidak lagi, malah lebih berhimmah dan berdedikasi tinggi...
  • Kalau dulu kurang memberi tumpuan terhadap pendidikan anak-anak dan keluarga, tetapi selepas Ramadhan menjadi lebih bertanggung-jawab mengurus dan melaksanakan tanggungjawab... 
  • Kalau dulu kurang menitikberatkan dan tidak melaksanakan suruhan Allah maka selepas ramadhan ini pasti bertaut hati dan nafsu merealisasikan taubat nasuha dengan linangan air mata, pasrah menuntut keampunan dari Rabb yang maha pengasih dan penyayang. 
    • Kalau dahulu tidak menutup aurat, Ramadhan kini adalah penyudah kepada kedangkalan diri sendiri 
    • Kalau dahulu suka dan senang hati meninggalkan ibadah wajib, Ramadhan kini terasa insaf dan berupaya memulihkannya.
  • Kalau dulu sentiasa sedap dengan rasuah tetapi selepas ini merasa penuh keinsafan dan menjadi seorang insan yang amat pemurah memberi sedekah dan berintegriti tinggi.
  • Kalau dulu selalu memutuskan silaturrahim dengan ibu-bapa, kini selepas Ramadhan terasa betapa sayangnya akan mereka berdua.
Perubahan

Begitulah yang akan terjadi, perubahan demi perubahan sepatutnya disedari. Tetapi kalau masih juga tidak merasakan perubahan pada diri sendiri, segeralah bertaubat dan beristigfar kepada Allah semoga Allah memberi Rahmat ke atas kita. Diberinya masa dan saki baki masa adalah peluang untuk membaiki diri. Jangan pula peluang yang ada ini diabaikan sekali lagi dan ditangguh-tangguhkan sehingga akhirnya disedari ketika mana nyawa sudah dihujung halkum dan sudah berkeadaan nazak. Bertaubat pun tidak berguna lagi di saat ini. Di saat ini juga, maka menyesal pun tidak berguna. Menangis keluar air mata darah pun tidak akan mengubah nasib sendiri yang akan bakal diterima di alam barzakh dan di akhirat kelak.

1000 bulan

Inilah sebenarnya proses tarbiyyah yang perlu dilalui setiap kita apabila berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia dengan jaminan seluruh kebaikan yang dilakukan adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Bulan yang diturunkan Al Quran dengan awal sejarahnya dilalui oleh baginda Arrasul kita dengan perasaan yang cemas dan takut ketika mana di suruhnya membaca, Baca... baca... baca... dengan rangkuman kuat oleh malaikat Jibrail dan akhirnya pula diamanahkan untuk memikul sepenuh tanggungjawab sebagai nabi dan Rasul untuk mendidik ummat merealisasikan misi dan visi Islam yang suci yang mana ianya bertunjangkan akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih dan akhlak yang mulia.

Semua ini dilakukan dengan hati yang telah dibersihkan dari segala zulumat atau kegelapan jahiliyyah yang bermaharaja-lela dan bersarang di dalam hati. Kalau Arrasul pun dibersihkan hati yang menjadi simbolik pemurniaan jiwa inikan pula kita sebagai manusia yang sentiasa bergelomang dengan dosa-dosa dan kelemahan diri. Kita harus sedar bahawa usaha menyucikan hati telah diajarkan oleh Allah dan Arrasul supaya kita menjadi hamba Allah yang paling bertaqwa sepertimana yang diharapkan.

Produk

Jangan pula di akhir Ramadhan ini, proses tarbiyyah yang sepatutnya menatijahkan produk-produk yang terbaik yang akan sentiasa relevan untuk diguna-pakai untuk 11 bulan yang akan datang menjadi produk yang tidak mampu memberi 'tenaga' yang panjang, produk yang korup, produk yang lemah dan produk yang busuk dan tidak boleh diguna-pakai untuk melalui sekali lagi proses sebegini di Ramadhan akan datang.

Semoga Ramadhan ini benar-benar memberikan sinar perubahan yang dikehendaki oleh Allah dan Arrasul tercinta, menjadi jambatan yang bertaut kukuh untuk berhubung kasih dengan Allah Taala...

Wassalam...
 
abuzorief @ sheffield
28 Ramadhan 1431h, 
7/9/2010 Tuesday
10.25am

No comments:

Post a Comment