Pages

Sunday, 30 January 2011

Salam vs berjabat tangan


Setiap kali menjelang pilihanraya di Malaysia sama ada kecil atau besar maka setiap kali itulah isu baru akan muncul. Berbagai-bagai isu cuba dilontarkan. Ada yang mengelikan hati dan ada juga yang memanaskan hati. Ada yang menampakkan kematangan dan begitu sebaliknya.

Wallahu'alam... Pilihanraya yang penuh dengan warna-warni kehidupan.

Isu berjabat tangan di musim Pilihanraya kecil  DUN Tenang agak gempar juga. Saya tersenyum sahaja bila menteri tersebut melahirkan kekecewaan bila calon wanita Melayu tidak mahu bersalaman dengan kaum lelaki. Ataupun menafikan pemakaian sarung tangan bila bersalaman, katanya kurang manis. Biar kita katakan kepada mereka yang jahil itu, kurang manis hanya di mata manusia, jangan sekali-kali mencari kemurkaan Allah yang maha Esa.
 
Nak manis macam mana lagi... wallahu'alam
 
Tapi bila saya melihat Queen di UK ini bersalaman menggunakan sarung tangan, tidak ada pula komen-komen rakyatnya yang mengatakan Queen mereka double standard, kurang manislah, kurang sopanlah, atau sangkaan mereka yang tangan mereka kotor?... dan sebagainya...
 

Entahlah, Wallahua'alam... bila tidak serasi dengan nafsu, semua yang baik jadi tidak baik dan tidak pula berkenan di hati....

abuzorief @ sheffield
30/1/2011, sunday

Saturday, 29 January 2011

Kemiskinan dan rasuah


Protest

Senario rally protest yang bermula dari negara Tunisia yang telah berjaya menumbangkan kerajaan korup Ben Ali dengan tanpa di duga dan kini telah merebak ke negara Mesir dengan jutaan pemuda-pemudi turun dijalanan menyatakan protes mereka kepada kerajaaan regim Hosni Mubarak yang korup dan tyrant.

Sebelum ini, semua rakyat jelata hanya bersabar dan menunggu masa yang sesuai untuk bertindak memandangkan kerajaan yang ada langsung tidak mempedulikan hak-hak rakyat dan terus-menerus menafikan hak-hak kemanusian dan kebajikan mereka di negara sendiri serta pemerintah ingin berkuasa terus dan mewarisi tahta kerajaan kepada anak dan generasi seterusnya.
Several hundred demonstrators have gathered in a central Cairo square to demand  the resignation of Egyptian president Hosni Mubarak. (c) Sky News 2011 29/1/2011 Saturday
"The majority want to continue to bring down Ghannouchi. The whole government has to go, especially Ghannouchi," said Khaled Salhi, a 22-year-old student who called Thursday night's cabinet reshuffle just "playing for time." (c) AFP 28/1/2011

Inilah bibit-bibit kemarahan rakyat terhadap pemerintah yang hanya 'membisu seribu bahasa' apabila rakyat menuntut hak mereka. Manakala mereka yang kehadapan kerana memperjuangkannya dianggap penjenayah lalu dizalimi dan ditangkap tanpa bicara atau 'dihilangkan' entah kemana.

Kemiskinan

Kadar kemiskinan yang meningkat dan amalan rasuah yang berleluasa di dalam sektor kerajaan telah mengakibatkan bencana besar di dalam pentadbiran kerajaan sehingga langsung tidak mempedulikan kebajikan orang ramai.

Saya menyemak kembali (review) tulisan saya yang lepas mengenai Bribe payer index (BPI) melalui report BPI 2008 dan Corruption perceptions index 2010 yang dilakukan oleh agen Transperancy International (The global coalition against corruption) [1][2] dan ternyata amalan rasuah berleluasa dan memberikan imej yang buruk terhadap pentadbiran dibawah urus-tadbir oleh kerajaan warga Muslim.

Perbandingan index melalui Corruption perceptions index 2010 results. (clean corruption for greater no. index)
  • Indonesia - 2.8
  • Egypt - 3.1
  • Tunisia - 4.3
  • Malaysia - 4.4
  • United Kingdom - 7.6
  • Australia - 8.7
  • Sweden - 9.2
  • Singapore - 9.3
Boleh dikatakan majoriti negara-negara Islam berada di bawah ranking nombor index 4 ke bawah. Dimanakah letaknya amanah yang selama ini dituntut oleh Iman dan Syariat Islamiyyah?...

Punca

Banyak faktor-faktor yang menyumbang kepada kemarahan rakyat. Antara punca langsung ialah kerana faktor-faktor:-
  • kemiskinan rakyat tidak dibela sebaik mungkin.
  • Tiada pekerjaan
  • Amalan rasuah dan tidak diperangi habis-habisan.
  • Budaya kerja di dalam sektor kerajaan yang tidak berdisiplin dan amanah.
  • Krisis ekonomi yang tidak ditangani sebaik mungkin
  • Urus tadbir kewangan negara yang tidak amanah.
  • Pembaziran pentadbiran dan kewangan
  • Keperluan asas rakyat tidak diberi perhatian
  • Pemimpin sibuk mengaut keuntungan
  • Masalah sosial yang tidak ditangani secara seriuos
  • Kroni dan nepotisma
  • Pemimpin yang tamak dan gila kuasa
  • Mengaut kemewahan negara untuk kepentingan peribadi
  • Pendidikan dan kesihatan yang mahal
  • dan sebagainya...
Semua setiap inci kejadian akan menyebabkan rakyat terpaksa merana di negara sendiri tanpa dipeduli oleh pihak kerajaan. Amatlah malang kerana kerajaan yang dilantik oleh rakyat akhirnya melupakan harapan mereka dan terus gilakan kuasa untuk memerintah selama-lamanya.

Impak kejadian dan kuasa rakyat

Kejadian yang berlaku di Tunisia dan Mesir telah memberikan satu impak kesedaran yang besar kerana kuasa sebenarnya ialah di tangan rakyat. Apabila rakyat mampu bersatu dengan satu kefahaman yang jelas dan mereka akan bangun untuk memperjuangkan dan menuntut hak, maka tiada lagi regim kerajaan korup dan tyrant yang mampu untuk bertahan.

Rakyat hanya mahukan sistem pentadbiran yang adil dan amanah serta mereka dilindungi dengan baik. Hak negara adalah hak rakyat dan bukannya hak total pemimpin-peminpin yang memerintah dan berkuasa. Peminpin hanya melaksanakan tugas yang diserahkan oleh rakyat. Pemimpin sebenar bukannya perampas hak rakyat dan kemewahan harta negara dan mengaut untuk tujuan kesenangan perbadi, keluarga dan generasi. Sikap tamak dan gila kuasa sahaja yang telah mengakibatkan kehancuran amanah yang dipikul dan akhirnya berlakulah kezaliman terhadap rakyat jelata.

Kuasa rakyat hanya mampu ditunjukkan di atas jalanraya. Senjata rakyat adalah suara-suara dan pekikan-pekikan yang mampu menumbangkan regim kerajaan. Jangan perkecilkan kuasa rakyat kerana dikatakan kuasa rakyat adalah 'keramat'.

Kebimbangan

Perkembangan mutakhir di negara-negara arab kebelakangan ini secara tidak langsung telah melahirkan kebimbangan kepada negara-negara berkuasa besar dan kuncu-kuncunya terutamanya US dan Israel. Krisis ekonomi US yang tidak stabil telah menenggelamkan suara besar Presidennya terhadap negara Arab. Sedemikian juga, bimbangnya Israel apabila Eqypt yang dipimpin oleh Regim yang korup ini jatuh dan digantikan oleh pemerintah yang amanah dan tidak lagi mengikut telunjuk US.

Dengan harapan, kejatuhan kerajaan regim korup Egypt akan memberi ruang kepada negara-negara Arab lain untuk turut menumbangkan kerajaaan yang korup dan pro Amerika. Maka kita inginkan segala masalah negara Palestin dan rantau Arab kembali bersatu.

Nota:
[1] Transperancy International - Bribe payers Index:  http://www.transparency.org/news_room/latest_news/press_releases/2008/bpi_2008_en
[2] Transperancy International - Corruption perceptions index 2010 results: http://www.transparency.org/policy_research/surveys_indices/cpi/2010/results

abuzorief @ sheffield
29/1/2011, Sabtu

Friday, 28 January 2011

Islam laksana api yang menyala...


Merdu dan lunak

Zaman nubuwwah era khulafa',
Islam laksana api yang menyala,
Menerangi teman dan juga sahabat,
Bahang panasnya membakar lawan.
(The Zikr lyrics http://www.youtube.com/watch?v=BE0_tXIp9Cw - Dunia Baru Islam)

Lunak sahaja lirik lagu ini dan terbayang saya betapa indahnya hidup di bawah lembayung Khulafah Islamiyyah dengan pentadbiran yang cukup komprehensif dengan sistem-sistem politik, sosial dan ekonominya yang terjelma dari kehebatan Al-Quran dan As-sunnah. Kadar kemiskinan, rasuah, jenayah sosial dan sebagainya mencecah angka sifar. Malah berbangganya kita kerana kita dijamin untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah Taala. Lihat sahaja, empayar Islam ketika dahulu yang menjadi sebutan dan ingatan kerana Islam mewarnai seluruh kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

Bekerja untuk Islam

Bukan mudah untuk kita merasai kemanisan berada di bawah payung pemerintahan Islam. Bak kata... kalau kerja baru dapat gaji. Begitulah juga untuk memiliki sesuatu kena berusaha untuk mendapatkannya. Pemerintahan Islam bukannya barang dagangan yang boleh dimiliki sesuka hati dan dilemparkannya begitu sahaja tanpa diambil peduli. Untuk memilikinya terpaksa melalui perit payahnya.

Lihatlah bagaimana Rasulullah dan sahabat diawal kebangkitan Islam terpaksa bertembung dengan seribu satu macam rintangan dan laluan perit untuk meletakkan Islam di takhtanya.

Kini, pertarungan untuk mengembalikan kegemilangan Islam lebih hebat apabila berhadapan dengan orang-orang yang tidak tahu, tidah ambil peduli, mereka yang menentang, mereka yang menghalang, mereka yang mempunyai tanggapan salah faham terhadap Islam itu sendiri dan berbagai-bagai lagi.

Hanya hati-hati  ikhlas yang 'degil' dan 'keras' sahaja mampu untuk bertahan meredah dan merintis jalan sukar ini untuk memastikan Islam berada di tahtanya semula.

Dimana usaha kita?...

Senario yang lebih dekat, kita perhatikan kehidupan semasa pra dan pasca merdeka, di mana orang-orang Cina dan India tinggal bersama-sama dengan masyarakat Melayu di kampung-kampung, di taman-taman dan setiap sudut kawasan, malah sekarang ini pun begitulah keadaannya, tetapi mereka tidak tersentuh langsung dengan agama Islam dan sebaliknya faham mereka lebih kepada adat istiadat Melayu sahaja. Mereka hanya tahu baju Melayu dan baju kebaya, makan belacan, petai dan tempe, songkok dan ketayap, ber'sunat' dan sebagainya. Tetapi hati dan perasaan mereka langsung tidak terkesan dengan Islamnya orang Melayu.

Kenapakah sedemikian rupa?...

Apakah agama Islam itu ekslusif untuk golongan tertentu sahaja?...

Salah faham

Setiap kali isu berbunyi maka setiap kali itulah Islam akan dipersalahkan. Islam sering menjadi 'kambing hitam' di dalam segala masalah dan kemelut kehidupan. Sedangkan Islam datang untuk memberikan jalan penyelesaian dengan memenuhi dan mematuhi spesifikasi fitrah dan naluri manusia.

Banyak perkara yang perlu kita sedari dan perlu diperhalusi tentang salah faham orang-orang Cina dan India di Malaysia terhadap agama Islam. Kalau mereka berani menyentuh sensitiviti hal ehwal Islam, itu menandakan mereka masih tidak faham dan pengetahuan mereka terhadap agama Islam amatlah sikit atau langsung tidak ada asas tentang Islam. Tidak dinafikan juga, ada segelintir  mereka sengaja untuk mencari masalah dengan orang-orang Islam atau lebih dikatakan cuba menjolok sarang tebuan. Saya juga tidak menafikan perkara ini, tetapi apa yang hendak saya sentuh di dalam hal ini ialah bab salah faham mereka terhadap Islam di dalam masyarakat umum.

Sejak dari isu hudud, perlaksanaan Syariat Islam, Undang-undang Islam, Isu babi dan halal haram makanan, Negara Islam, Non Muslim yang menganut Islam dan hak mereka di Mahkamah Syariah dan Civil, Isu kalimah Allah, Isu garis-paduan MPSJ melarang pekerja Islam di premis menjual arak, isu bersalaman lelaki dan perempuan dan sebagainya, semuanya perlu pendidikan langsung, meluas dan mesti diketengahkan di dalam masyarakat majmuk. Isu-isu Islam, hukum-hakam dan hal-ehwal kehidupan Islam yang lengkap (syumul) perlu diberikan penerangan khusus dan diperbincangkan di dalam masyarakat umum secara terbuka.

Tarbiah dan Dakwah...
  1. Sewajarnya mereka diberikan kefahaman dan penerangan.
  2. Sebarkan Islam bukannya adat. Kesalahan dan kesilapan orang-orang terdahulu selama ini sepatutnya menjadi pengajaran kita.
  3. Kita perlu banyak melakukan usaha dakwah dan tarbiyyah dan menonjolkan peribadi serta akhlak mulia. Rasulullah dan para sahabat sentiasa mendidik dan mensyiarkan segala bentuk kefahaman, kemurniaan akhlak, kejituan keyakinan aqidah dan ketenangan beribadah yang sahih.
  4. Melihatkan kepada realiti dan kemelut semasa ini, perlulah diperbanyakkan usaha-usaha mendidik di dalam masyarakat majmuk.
  5. Belum tentu kita boleh hidup secara sempurna di dalam masyarakat majmuk apabila secara majoritinya non-muslim masih lagi tidak faham tentang indahnya hidup di bawah naungan dan lembayung Islam.
  6. Hilangkan rasa dan perasaan terancam mereka apabila timbulnya istilah-istilah yang 'ganjil' dan pelik apabila didengari oleh telinga mereka seperti Syariat Islam, Khalifah Islam dan sebagainya.
  7. Membezakan kepentingan Islam dengan adat di dalam kehidupan.
  8. Merancakkan aktiviti-aktiviti di dalam masyarakat muslim dan non-muslim sehingga mewarnai kehidupan.
  9. Melibatkan seoptima mungkin muslim revert bersama-sama menyemarakkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah untuk mendekati kaum mereka.
  10. Menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat majmuk melebihi adat bangsa.
abuzorief @ sheffield
28/1/2011, Jumaat

Monday, 24 January 2011

Bekerja di premis menjual arak


Agak menarik juga cerita di Selangor sejak kebelakangan ini. Antaranya ialah isu garis-panduan oleh Majlis Perbandaran Negeri yang mengeluarkan garis panduan melarang orang-orang Islam bekerja di premis yang menjual minuman arak.
Tahniah dan kita sebagai orang-orang Islam keseluruhannya mesti berbangga dengan mereka yang berusaha melaksanakan garis-panduan tersebut. Kerja melarang kemungkaran memanglah amat susah dan berbagai cabaran terpaksa dihadapi. Tetapi, kuasa sudah ada di tangan dan ayuh ubahlah segala kemungkaran dan fasad yang selama ini berleluasa tanpa diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa. Kuasa yang ada di tangan hendaklah digunakan dengan hikmah dan sebaik mungkin. Jangan nanti apabila ditanya oleh Allah, maka kita tidak mampu untuk melepas diri dari segala pertanyaan....
Apakah yang kamu telah buat semasa kamu mempunyai kuasa?...

Amalan meminum arak adalah perbuatan haram di sisi Allah Taala. Difardhukan pengharaman arak kerana ia banyak merosakkan diri si peminum. Akal tidak dapat berfikir secara waras dan menyebabkan segala tindakan dan kerja-buat sudah tidak menjadi fitrah ke atas diri sendiri. Akal tidak boleh membezakan antara yang baik dan buruk. Apabila hukum pengharaman ini, bukan sahaja se..kolah atau se... koleh (gelas) tetapi perlu dijauhi walau setitik.

Berbalik kepada kesan tindakan ini, saya berpandangan bahawa amat memalukan sekiranya segelintir orang-orang Islam yang terlibat cepat pula melatah dan dengan teruk sekali menghalang di sebalik larangan bekerja di premis berkenaan. Ada yang mengutuk dan mengkritik tindakan tersebut dan ada sampai yang mengatakan ia tindakan tidak adil kerana menyekat 'periuk nasi' mereka.

Astagfirullah 'azim...
Adakah perlu orang-orang Islam melenting dengan tindakan ini?...

Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Sekian, wallahu a'lam

abuzorief @ Sheffield
24/1/2011, monday

Wednesday, 19 January 2011

Perelokkan cakap dan lebihkan kerja berfaedah


Jangan banyak cakap, buat kerja...

Cakap pandai, suruh buat kerja tunggang langgang...

Terlajak perahu boleh berundur, tetapi terlajak kata buruk padahnya...

Ciptaan

Untuk menghalang orang lain dari bercakap adalah perkara mustahil dan tidak pasti berlaku. Mengata sesuatu yang tidak elok, fitnah, mengumpat, mengeji, mencaci-cerca atau sebagainya adalah perbuatan yang tidak disenangi oleh orang yang menerimanya. Semuanya adalah kerana mulut, akal, hati dan nafsu. Begitulah, betapa besarnya ciptaan Allah ke atas manusia dengan mencipta bahagian-bahagian anggota tersebut. Manusia boleh berfikir, bercakap dan bertindak mengikut kehendak hati dan nafsu. Hebat bukan...

Seronok mengata

Bercakap biarlah benar dan tepat dan bukannya untuk bermegah-megah dan menjatuhkan antara satu sama lain. Dari bercakap yang bukan-bukan mampu untuk menjatuhkan maruah orang lain dengan sekelip mata sahaja. Asyik sangat bercakap kisah orang lain tetapi diri sendiri terlupa pula hendak diperiksa dan diteliti adakah diri sendiri sempurna sepertimana yang diucapkan oleh mulut sendiri. Awas, jangan pula apa yang asyik dan seronok mengata orang lain itu dan ini tetapi sebenarnya membuka pekong diri sendiri. Tetapi kebanyakan di dalam masyarakat kita, apa yang berlaku itulah sebenarnya. Asyik sangat hendak mengata hal orang terlupa hendak memelihara diri sendiri.

Masyarakat lumpuh

Sekiranya ada individu itu mengata individu yang lain maka akan musnahlah peribadi individu tersebut. Mana-mana sekumpulan manusia seronok mengata dan menfitnah sekumpulan yang lain maka akan hancurlah kelompok tersebut dan lebih parah lagi sekiranya ada mana-mana jamaah Islam saling mengata antara satu sama lain maka akan rosaklah matlamat dan hala-tuju untuk penegakkan daulah dan Khalifah. Malah sekiranya empayar Islam terbina kelak akan turut sama menerima bencana akibat perbuatan tersebut. Begitulah besarnya dan akibat perbuatan tersebut.

Takut kemurkaan Allah

Wahai orang-orang yang beriman!, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. Sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (Surah As Soff [61] : 2-3)

Hendaklah kita lebih takut akan kemurkaan Allah Taala. Kita lebih banyak takutkan kehilangan kawan-kawan sehinggakan perkara yang dilarang di dalam agama hanya diketepikan begitu sahaja dan sanggup kita langgar tanpa ada perasaan takut kepada Allah Taala. Akhirnya apa yang kita percakapkan dan lakukan itu sebenarnya tersimpang jauh dari apa yang dihalalkan di dalam syariat.

As-Sirri as Saqati berkata: Setiap hari aku akan melihat hidungku sendiri, bimbang wajahku akan menjadi hitam (kerana kemurkaan Allah)

Begitu hebatnya mereka yang mempunyai cahaya iman dan akhlak mulia di dalam diri sehinggakan iman dan akhlak tersebut membimbing diri sendiri ke arah kecintaan diri kepada Allah Taala.

Kita bagaimana pula, bersediakah kita untuk berubah?...

abuzorief @ sheffield
19/1/2011, Rabu

Tuesday, 18 January 2011

Tertekan dan kita terus rasa bersalah...


American Foreign Policy

Kebiadapan Amerika terhadap pembantaian mereka ke atas negara Islam amatlah memalukan. Di sebalik keputusan mereka membentuk dan mengubal American Foriegn Policy selepas peristiwa 11/9 katanya untuk mempertahankan Amerika dari serangan pengganas adalah pembohongan semata-mata. Secara ironinya memanglah AFP itu nampak hebat dan mampu mempertahankan rakyatnya dari serangan pengganas, tetapi siapakah pengganas yang mereka maksudkan itu?... Sebaliknya dan tersirat, mereka akan mengambil kesempatan untuk menyerang negara Afganistan dan Iraq secara rasmi dan seterusnya 'menakluki' negara-negara Islam pada anggapan mereka adalah pengganas.

Melihatkan kejatuhan ekonomi mereka, kita sudah sedia maklum bahawa perancangan besar mereka sebenarnya adalah untuk menguasai minyak. Inilah agenda besar untuk mereka memulihkan ekonomi mereka yang sedang tenat. Apa sahaja yang mereka hendak kuasai, mereka akan mencari jalan yang 'sah' untuk mendapatkannya.

Kenapakah AFP ini mampu mempengaruhi atau influence masyarakat dunia supaya akur dengan mereka?

Tekanan dan rasa bersalah

Tekanan demi tekanan terus menimpa masyarakat Islam sedunia. Walaupun tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan orang Islamlah yang telah mengebom WTC di New York 11/9,  sedangkan yang melakukan hanyalah sekelompok kecil penjahat atau terrorists entah dari mana datangnya dan perancangnya atau konspirasi dalaman, maka dicap pendalangnya adalah orang Islam.

Sehingga kini dan setiap hari serta setiap masa, ada sahaja sebutan pengganas Islam atau Islam terrorists. Kalau pengganas itu sekelompok dari yang beragama Kristian, Yahudi, Buddha atau Hindu maka, kenapakah mereka ini tidak digelar sebagai Pengganas Kristian, Yahudi, Buddha atau Hindu. Kenapakah serangan US ke atas negara Afganistan tidak disebut penganas, kenapakah serangan US dan negara-negara sekutu ke atas Iraq tidak disebut pengganas. Begitu juga ketika US menyerang negara Vietnam tidak pula digelarnya pengganas dan diseretnya mereka ke mahkamah dunia untuk diadili. Paling tragis, sehingga kini kezaliman yang nyata oleh Yahudi - Zionist ke atas negara Palestin dengan merampas tanah-air dan memusnahkan harta benda dan membunuh rakyat tempatan Palestin tidak kira tua atau muda, kanak-kanak atau wanita secara sesuka hati, namun mahkamah dunia hanya membisu dan tidak berani pula menggelar mereka sebagai pengganas atau terrorists?...

Media massa

Di media massa pula sentiasa sahaja dipaparkan cerita berat sebelah terutamanya mengenai isu tentang penindasan, masalah sosial seperti hamil di bawah umur, buang anak, penderaan, melarikan anak selepas penceraian (abducted), pekerja di bawah umur dan sebagainya. Semua paparan ini hanya difokuskan di negara yang mengamalkan Islam atau majoritinya adalah Muslim. Jadi apabila ianya diulang-ulang tayang beberapa kali dan diketengahkan isu demi isu maka kita sebagai orang Islam ini pun sedikit sebanyak termakan apa yang telah dipaparkan. Kita merasa sedih, terasa terhina, terasa bersalah dengan sikap orang Islam dan sebagainya.

Inikan pula mereka yang sejak awal lagi tidak tahu apa-apa mengenai Islam atau membenci Islam terus mengambil sikap bahawa Islam ini adalah anti sosial dan menghalang kemajuan.

Dimanakah media massa yang melaungkan keadilan dan kebenaran maklumat?... Inilah ketidak-adilan di dalam media massa asing di dalam memberikan liputan yang adil dan benar. Malah mereka telah menjadi batu api yang amat bahaya di dalam usaha memporak-perandakan masyarakat dan perpaduan manusia, lebih-lebih lagi di dalam kesatuan masyarakat Islam.

Di akhir kesimpulannya masyarakat bukan Islam terus melabel dan mendakwa bahawa apa-apa keganasan yang berlaku kini semuanya dilakukan oleh orang Islam. Sehinggakan kita sebagai orang Islam akan terus menerus rasa bersalah dan bertanggung jawab ke atas apa yang berlaku di dunia ini.

Tamadun Islam

Empayar Islam yang berkembang bukanlah kesan penaklukan tetapi kesan pembukaan negara-negara dan di pimpin di bawah sistem Khalifah. Manusia yang berada di bawah empayar ini dibentuk supaya menjadi masyarakat madani yang senang untuk mengabdikan diri kepada tuhan.

Kita sedia maklum bahawa Islam sejak awal kedatangan telah membawa banyak kemajuan dan kejayaan dalam usaha membentuk masyarakat. Peranan ijtihad di dalam Islam telah berjaya membangunkan kemajuan sains dan teknologi serta kreativiti dan tamadun manusia. Lihatlah dari aspek pembangunan material, percaturan hidup sehinggalah memartabatkan kaum wanita menjadi insan yang dihormati dan bukannya dijadikan binatang dan habuan nafsu sahaja. Lihatlah kemajuan Sains dan teknologi sehingga pakar-pakar berjaya menghasilkan berbagai formula dan perlaksanaannya untuk kemajuan dunia kini. Dari manakah datangnya semua ini kalau tidak kerana Islamlah yang telah membuka pintu untuk kemajuan dan memartabatkan ilmu pengetahuan.

Bangun

Ummah Islam mesti bangun dari terus ditekan. Maksud bangun bukanlah bangun menentang dan perang tetapi menjadi jaguh atau Public opinion di dalam arus perdana masyarakat. Begitu juga, isu Islam tertekan perlu ditepis dan dipamirkan dengan aqeedah, ibadah yang sahih serta kesejahteraan akhlak yang menjadi teras kekuatan dan imej Islam.

abuzorief @ sheffield
18/1/201, Selasa

Monday, 10 January 2011

Selidiki apa-apa perkhabaran

Sekadar hiasan sahaja

Saya diperingatkan beberapa perkara tentang kesahihan maklumat yang diterima oleh seorang rakan. Kerana sekarang ini terlalu banyak maklumat sama ada benar atau tidak, jelas atau tidak, pasti atau tidak dan semuanya mudah diperolehi.

Kadang-kala maklumat yang diterima itu bunyinya macam baik, mengajak kebaikan atau kebajikan dan logik sahaja. Walhal, rupanya hendak menguji kepekaan kita sebagai seorang Islam. Adakah benar kita masih mempertahankan kesucian agama kita.

Peringatan

Wahai orang-orang yang beriman , Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu. (Surah Al Hujurat [49] : 7)

Di dalam Al Quran sendiri telah menegaskan kepada kita supaya jangan terus mempercayai berita yang disampaikan oleh mereka yang fasik (seorang Islam yang melakukan dosa), inikan pula berita dan maklumat dari mereka yang benar-benar hendak menghancurkan agama Islam.

Ayat Quran yang telah termaktub sejak 1431 tahun yang lalu, semakin relevant dengan suasana sekarang ini. Sungguh 'ajaib' dengan peringatan dari Allah sedemikian rupa walaupun ketika itu medium saluran komunikasi tidaklah secanggih seperti sekarang. 

Accessible

Penyebaran maklumat di akhir zaman ini terlalu pantas dan banyak serta senang diperolehi (accessible). Katanya, kalau hendak tahu, klik sahaja dengan pakcik Google, Wikipedia atau apa sahaja... Malah ada yang belajar agama Islam secara langsung melalui internet tanpa berguru langsung dengan guru-guru yang hidup di depan mata. Ini adalah satu kaedah pembelajaran yang sangat bahaya dan akan menghancurkan institusi pengajian dan sistem-sistem Islam.

Perlulah kita berhati-hati dan teliti kerana mungkin maklumat yang diperolehi itu cuba dimanipulasikan oleh golongan tertentu untuk memecah-belahkan kesatuan dalaman, menyelewengkan aqidah dan keyakinan, menjatuhkan maruah dan prinsip dan sebagainya. Dan ada pula hendak menegakkan ideologi dan falsafah yang bertentangan dengan syariat Islam, kerana sumber ilmu yang diperolehi lebih banyak difahami secara sendirian tanpa melalui guru yang sahih.

Ghairah

Mungkin, ada pihak-pihak tertentu sengaja mengada-adakan cerita dan disalurnya ke saluran internet untuk melihat betapa ghairahnya penerima menerima maklumat dan terus dipercayai tanpa diselidiki tentang diteliti kesahihan maklumat tersebut, lalu di'circulate' maklumat ini merata-rata sehingga capaian sedunia dengan kemudahan internet yang mempunyai kelajuan yang 'luar-biasa'.

Hati-hati

Dalam hal ini Al Quran menyuruh kita berhati-hati dengan segala perkhabaran yang diterima,

1. Teliti dan selidiki dahulu kebenaran maklumat
2. Mengenal pasti sumbernya
3. Siapa pembawanya atau penyampainya
4. Apa tujuannya
5. Apakah hasil tindakannya

Itulah kecantikan AlQuran yang sentiasa menjadi pedoman dan panduan kepada kita semua, kerana sentiasa menyuruh kita berhati-hati di dalam urusan komunikasi sesama manusia.

Wallahu 'alam

abuzorief @ sheffield
9/1/2011, Ahad